POKOK MATA JIN
KOTA BHARU, KELANTAN: MENDENGAR sahaja nama "jin", sudah pasti kecut perut dibuatnya dan sudah pasti juga kita akan terbayang akan peristiwa yang aneh-aneh. Namun, itu hanyalah istilah yang diberikan oleh orang ramai. Pernahkah anda mendengar tentang pokok mata jin? Tentu hanya sebilangan kecil sahaja yang pernah mendengar dan mengenali pokok ini.
Pokok mata jin adalah sejenis pokok herba yang boleh dijadikan penawar dan mendatangkan banyak khasiat kepada kesihatan manusia.
Perkembangan teknologi yang semakin canggih berlaku pada hari ini mendorong orang ramai beralih kepada perubatan moden. Namun, tidak dinafikan masih ada juga di kalangan masyarakat kita yang masih mengamalkan cara dan kaedah tradisional dalam mencari penawar bagi sesuatu penyakit.
Salah satu cara rawatan yang digunakan ialah menggunakan tumbuh-tumbuhan herba sebagai bahan alternatif. Bukan sahaja untuk meredakan malah turut menyembuhkan penyakit yang dihidapi. Inilah kehebatan sistem perubatan tradisional berasaskan tumbuh-tumbuhan herba yang mampu menyembuhkan penyakit.
Kaedah rawatan tradisional sudah lama diamalkan khususnya menggunakan tumbuh-tumbuhan herba. Salah satu keajaiban dalam menggunakan tumbuh-tumbuhan herba yang dilaporkan amat mujarab dan luar biasa iaitu "pokok mata jin".
Ramai yang tidak mengenali pokok berkenaan termasuklah Penulis sendiri yang baru-baru ini sahaja mendengarnya. Namun, daripada temubual Penulis dengan salah seorang yang turut mengamalkan pengambilan pokok mata jin dan menanam di perkarangan rumahnya, Zulkifli Senik dari Kampung Durian Pahir, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan tercungkil satu rahsia yang belum diketahui umum berkaitan khasiat yang terdapat pada pokok mata jin itu.
Menurut Zulkifli, kehebatan pokok mata jin ini diketahui apabila seorang pegawai Risda di sini menyatakan pokok mata jin ini telah menyelamatkan suaminya daripada melakukan pembedahan akibat penyakit batu karang.
Apabila suaminya disahkan menghidap penyakit batu karang dan perlu menjalani pembedahan bagi membuangnya, dia cuba mencari cara lain yang boleh menyembuhkan penyakit suaminya itu. Maka cara terbaik baginya ialah menemui sambil meminta nasihat daripada Pengasas Pusat Rawatan Darus Sifa', Dr. Haron Din.
Namun, dia tidak dapat menemui Dr. Haron Din. Seorang pembantunya memberikan kepadanya sehelai daun kering supaya merebusnya dan mengamalkan meminum air rebusan pokok mata jin itu di samping membaca ayat dari Surah Al-Hajj, ayat 1 hingga 10 terlebih dahulu dan meniupkan ke dalam bekas air rebusan terbabit sebanyak 7 kali kemudian meminumnya. Apabila diteliti, daun kering itu adalah sama dengan pokok yang tumbuh di halaman rumahnya.
Hasil daripada amalan meminum air rebusan pokok mata jin, penyakit batu karang yang dihidapi suaminya telah sembuh tanpa disedari sehinggakan pembedahan yang perlu dilakukan dahulu dibatalkan.
Tambah Zulkifli, dia sendiri tidak tahu dari manakah asal usul pokok berkenaan. Tetapi menurutnya, dia pernah mengalami masalah yang sama apabila pada tahun 2003, dia disahkan mengalami penyakit batu karang.
"Seingat saya, tahun 2003, seorang doktor dari sebuah klinik swasta di Kota Bharu telah mengesahkan saya menghidap penyakit batu karang. Tapi syukurlah, penyakit berkenaan beransur pulih setelah saya meminum air rebusan pokok mata jin itu", katanya menceritakan pengalamannya.
Menyelami tentang manfaat dan khasiat pokok tersebut kepada kesihatan, dia turut menanam pokok tersebut dalam usaha untuk membantu orang ramai yang memerlukan rawatan dan penyembuhan berasaskan tumbuhan herba seperti pokok mata jin itu. Ini kerana menurutnya, selain berkhasiat untuk menyembuhkan dan menyisihkan penyakit batu karang, pokok mata jin itu juga boleh meredakan serangan angin, sakit perut, makanan tidak hadam dan masalah kencing.
Zulkifli Senik.
Inilah pokok mata jin, menjadi penawar penyakit batu karang dan meredakan serangan angin, sakit perut, makanan tidak hadam serta masalah kencing.
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan