RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Isnin, 9 Januari 2012

Tok Bali Merah


TOK BALI MERAH

TUMPAT, KELANTAN:  NEGERI KELANTAN bukan sahaja melahirkan ramai para alim ulama, ahli sufi atau wali-wali tersohor seperti Tok Pulai Chondong, Tok Wan Ali Kutan, Tuan Tabal, Tok Kenali dan lain-lainnya. Namun, sebagai sebuah negeri yang mendapat jolokan "Serambi Mekah", negeri ini juga pernah menjadi tempat laluan Wali Sembilan dikenali "Wali Songo". Walaupun begitu, disebabkan keramahan dan sikap mesra penduduk negeri Kelantan ini turut menjadi tarikan golongan alim dan pendakwah dari negara lain untuk menyebarkan Agama Islam yang suci itu. Salah seorang pendakwah dari Pattani, Siam dikenali gelaran Tok Bali Merah pernah datang ke Kelantan untuk berdakwah dan salah satu tempat tumpuannya iaitu di Kampung Belukar Cengal, terletak di daerah Tumpat, Kelantan.

Menurut seorang warga emas dari generasi keempat, Awang bin Mamat, 120, atau dikenali juga sebagai Haji Wak Din dari Kampung Belukar, Tumpat dekat sini berkata, Tok Bali Merah adalah seorang tokoh pendakwah yang paling disegani di Pattani, Siam malah hidup sezaman dengan Ustaz Mat Hassan atau Tok Janggut, seorang pahlawan atau nasionalis dari Pasir Puteh.

"Semasa kedatangan Tok Bali Merah, Kampung Belukar ini dikenali Kampung Belukar Cengal yang dibuka oleh seorang peneroka dari Kampung Sering, Pulau Melaka, Kota Bharu dan hanya 20 orang penduduk meliputi 10 buah rumah sahaja ketika itu.

"Tetapi semenjak Tok Ayah Soh menjadi Penggawa ketika usianya 25 tahun pada tahun 1940, nama Kampung Belukar Cengal diubah menjadi Kampung Belukar", jelas Haji Wak Din yang pernah berguru dengan Tok Kenali.

Sebagai seorang alim dan pendakwah yang bermulut masin, kata-katanya mendapat keberkatan dan sering menjadi. Tok Bali Merah bukan sahaja turut melakukan tugas suci itu untuk menyebarkan Agama Islam dan menyatu padukan hubungan umat-umat Islam, dia juga turut dibantu oleh Tok Janggut. Oleh kerana Tok Bali Merah seorang yang alim, masyarakat kampung berkenaan pada waktu itu mengambil peluang itu untuk menimba ilmu dengan beliau, malah sebagai menghormati seorang guru yang alim dan sanggup datang dari jauh untuk menyampaikan ilmu, penduduk kampung itu turut membantu mendirikan pondoknya. Pembinaan pondok di situ bertujuan sebagai tempat ibadat dalam usaha menyebarkan syiar Islam kepada penduduk-penduduk di situ.

Katanya, pada masa dulu kawasan tersebut masih dipenuhi hutan tebal dan ladang getah. Manakala tanah tersebut merupakan tempat yang tinggi, namun sejak pembinaan sistem pengairan dan saliran untuk kegunaan sawah padi menyebabkan tanah tersebut diratakan dan jika dilihat dari jarak dekat kawasan tersebut kini seperti sebuah lembah.

Tambah Haji Wak Din lagi, setelah kematian Tok Bali Merah, makam arwah dibina sebegitu indah selain dipacakkan batu nisan di bahagian kepala dan kaki, turut juga diletakkan di kawasan khas oleh pelajar-pelajarnya sebagai menghormati guru mereka. Selang bertahun lamanya, makam Tok Bali Merah agak terbiar setelah pelajar-pelajarnya pula meninggal dunia. Apabila kampung berkenaan bertukar nama kepada generasi baru, makamnya terus berkeadaan terbiar. Kerana itu, timbullah usaha untuk membersihkan kawasan itu untuk tujuan pembinaan sawah padi bagi menampung keperluan sumber kewangan penduduk-penduduk kampung terbabit.

Apabila timbulnya hasrat sedemikian, makam itu pula perlu dipindahkan ke tempat lain supaya tanah makam yang masih berbaki itu dapat digunakan sepenuhnya untuk tujuan berkenaan. Walau bagaimanapun, usaha penduduk-penduduk terbabit tidak kesampaian kerana kedua-dua batu nisan dan makam itu gagal diangkat dari tempatnya, apatah lagi individu yang berbuat demikian menerima natijahnya apabila diserang demam dan sakit yang agak pelik. Setiap kali ada usaha untuk memindahkannya, setiap kali itu juga orang yang berbuat demikian menerima padah, seperti makamnya dilarang dipindahkan. Manakala pusara-pusara lain yang merupakan pusara pelajar-pelajarnya berjaya dipindahkan dan tidak mengalami sebarang masalah.

"Semasa orang-orang kampung menggali makam itu untuk dipindahkan ke tempat khas, banyak ditemui pinggan mangkuk milik arwah Tok Bali Merah di makam itu dan sebahagian lagi tempat tapak pondok itu", ujar Haji Wak Din.

Tambahnya, makam keramat Tok Bali Merah itu sebenarnya berusia lebih 100 tahun. Disebabkan kejadian aneh yang menimpa beberapa orang penduduk  terbabit ekoran cuba memindahkannya, akhirnya makam itu dibiarkan di situ sehingga ditumbuhi pohon-pohon renek. Tetapi usaha untuk mewujudkan sawah padii tetap diteruskan kerana kerja-kerja sebagai pesawah padi begitu popular sebagai jalan untuk memperolehi pendapatan paling mudah sebagaimana di daerah-daerah lain.

"Tapi ambo (saya) sedih juga sebab sejak diketahui kekeramatan Tok Bali Merah, makamnya pula jadi sasaran golongan penjudi. Mereka memuja makam itu dengan meminta nombor ekor. Sanggup mereka bawa tikar bantal, makan dan bermalam di situ supaya usaha yang diharapkan berhasil.

"Tetapi niat mereka tidak menjadi, sebab dengan tidak semena-mena muncul jelmaan yang menakutkan dari makam itu. Apa lagi, mereka lari lintang-pukang dengan meninggalkan tikar bantal kerana ketakutan", ujar Haji Wak Din sambil ketawa kecil.

Ditanya tentang ketinggian masyarakat zaman dulu khususnya arwah Tok Bali Merah, beliau menganggarkan ketinggiannya mencecah 3 meter (8 kaki) dan bentuk fizikal tubuhnya agak tegap dan sasa, sebab itulah arwah mampu berjalan kaki dari jarak yang jauh apatah lagi terpaksa meredah hutan belukar dengan mudah. Wajahnya pula berwarna merah kuning dan terdapat bintik-bintik di sebahagian mukanya manakala di kepalanya sentiasa "bersemutar".

Hari ini, makam keramat seorang alim dan pendakwah disegani yang menghembuskan nafasnya di negeri Serambi Mekah berusia beratus tahun itu didapati terbiar dan tidak terurus di atas batas sawah padi ekoran tiada sesiapa pun yang sanggup menguruskan dan membersihkannya kerana mungkin masih fobia dengan kejadian pada masa lampau. Hal ini amat jelas sewaktu Penulis meminta seorang remaja dari kampung berkenaan untuk menunjukkan tempat makam berkenaan juga masih enggan ke tempat itu dan setelah dipujuk, barulah akur kerana bimbang dengan kejadian yang berlaku beratus tahun lalu itu.


Awang bin Mamat atau Haji Wak Din.

Haji Wak Din ketika ditemubual Penulis di kediamannya.

Inilah Makam Tok Bali Merah.


Penulis menjejak Makam Tok Bali Merah bersama salah seorang penduduk dari Kampung Belukar, Tumpat yang letaknya betul-betul di tengah sawah padi.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

1 ulasan: