RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Ahad, 20 November 2011

Bukit Bunga (Jeli)


PEKAN BUKIT BUNGA
(JELI)

JELI, KELANTAN: PEKAN BUKIT BUNGA yang terletak dalam daerah Jeli, Kelantan iaitu di tengah-tengah laluan Lebuh Raya Timur-Barat yang mana Pekan Bukit Bunga ini telah dibuka dengan rasminya pada tahun 1985 dan mula beroperasi dari jam 8.00 pagi hingga 6.00 petang setiap hari menjadi tumpuan pengunjung sebagai sebuah tempat membeli-belah yang unik.

Menurut seorang peniaga serbaneka di Pekan Bukit Bunga, Rohani Hussin, 50, berkata, Pekan Bukit Bunga dibuka pada tahun 1985. Pada masa itu, tumpuan pengunjung tidaklah ramai sebagaimana hari ini kerana kebanyakan mereka tidak mengetahui wujudnya deretan kedai di situ. Sehingga pada tahun 1990, orang ramai mula menyedari wujudnya kedai berkenaan.

Walaupun jarak perjalanan dari Kota Bharu ke Pekan Bukit Bunga sejauh kira-kira 60 kilometer, terdapat pengunjung dari tempat berkenaan yang sanggup ke sana semata-mata untuk mendapatkan pelbagai jenis barangan yang dianggap murah dan berpatutan. Ini kerana, kebanyakan barangan yang dijual di pekan ini terdiri dari barangan Thailand di samping barangan dari Malaysia sendiri.

Di antara barangan tersebut seperti buah-buahan, peralatan memasak hinggalah barangan hiasan rumah dan kraftangan tempatan sebagai kesinambungan rekaan Malaysia dan Thailand, kedua-dua negara berjiran.Selain barangan yang ditawarkan di pekan ini dianggap berpatutan, satu hal yang nyata ia kelihatan menarik dan sebab itulah Kelantan terutamanya Jeli menjadi destinasi utama para pengunjung dari luar Kelantan.

Pekan Bukit Bunga bukan sahaja sebuah tempat yang strategik apatah lagi kenderaan mudah diparkir kerana kawasannya agak luas. Namun, keramahan peniaga di pekan ini yang sentiasa menanti kedatangan pengunjung dan mereka amat mudah untuk diajak berbual. Jika terdapat barangan yang dijual agak terlalu mahal, proses tawar-menawar boleh dilakukan kerana itulah adat di antara pembeli dan peniaga.

Sementara itu, pengunjung yang berhasrat untuk bermalam di situ bolehlah menginap di rumah tumpangan yang disediakan di pekan itu dengan harga yang berpatutan. Singgahlah di Pekan Bukit Bunga jika anda ke Kelantan. Nikmatilah panorama malamnya yang indah serta alamnya yang segar.

Rohani Hussin, peniaga dan pemilik Kedai Serbaneka di Pekan Bukit Bunga.

Inilah kedai serbaneka milik Rohani Hussin.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan