RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 4 November 2011

Air Terjun Jeram Pasu (Pasir Puteh)


AIR TERJUN JERAM PASU

PASIR PUTEH, KELANTAN: JERAM PASU yang terletak di Kampung Padang Pak Amat dalam jajahan Pasir Puteh, Kelantan merupakan pusat rekreasi paling awal dibuka di daerah berkenaan yang jaraknya kira-kira 35 kilometer di Selatan Kota Bharu serta 16 kilometer dari bandar Pasir Puteh. Jeram Pasu adalah kawasan air terjun pertama di Kelantan yang menyediakan tempat berteduh serta pelbagai kemudahan lain untuk keselesaan pengunjung seperti kolam mandi untuk kanak-kanak dan dewasa, surau, bilik persalinan, wakaf rehat, gerai makanan, tandas, trek pejalan kaki, tapak perkhemahan untuk bermalam kepada pengunjung serta tempat parkir kenderaan yang agak luas turut disediakan di Jeram Pasu.

Sesuatu yang dianggap menarik tentang Jeram Pasu ialah kawasan ini kaya dengan landsakp hutannya malahan tempat ini turut menampilkan suasana flora dan faunanya yang menghijau dan mempesonakan. Di samping aliran alirnya yang agak perlahan dan sejuk sememangnya amat sesuai untuk aktiviti mandi-manda. Selain itu, sungai yang mengalir ke arah air terjun ini yang dikenali sebagai "caruh air" turut dihuni pelbagai spesis anak-anak ikan yang turut menambahkan lagi seri panorama alamnya yang menyamankan dan menyegarkan, sebagai penyebab Jeram Pasu masih dikunjungi oleh pelbagai lapisan masyarakat sama ada dari penduduk setempat, bahkan turut dikunjungi oleh penduduk-penduduk dari daerah lain di Kelantan dan luar Kelantan setiap kali musim perayaan, cuti persekolahan serta cuti hujung minggu.

Dalam pada itu, jika pertama kali anda menjejakkan kaki ke Jeram Pasu pastinya anda akan terkejut, bosan dan tertekan dengan suasana bising oleh hiruk pikuk jeritan kanak-kanak sedang bermain air serta berenang ke sana ke mari di bawah deruan air terjun serta kolam mandi yang disediakan oleh pihak Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP). Walau bagaimanapun, anda boleh nikmati suasana yang sunyi, tenang dan damai bertemankan suasana hutan dengan hembusan angin sepoi-sepoi bahasa yang menyegarkan badan, dengan mendaki ke tingkat atas jeram berkenaan melalui trek pejalan kaki yang disediakan bersebelahan dengan air terjun tersebut.

Pada hakikatnya, suasana dalam hutan di Jeram Pasu ini memang nyaman dan menyegarkan badan apatah lagi tatkala anda tiba di kawasan aliran air selepas mendaki ke tingkat atas jeram terbabit, anda akan dihiburkan dengan bunyi desiran angin dan kocakan air yang mengalir secara perlahan melalui batu-batuan yang dianggap rakan dan teman alam sebagai pengubat halwa telinga. Menariknya di kawasan caruh air tersebut apabila pengunjung akan dapat melihat pasirnya yang putih disilau mentari yang mengintai dari celah-celah daun hutan menambahkan lagi kecantikan dan seni landskap yang ternyata memukau pandangan.

Selain golongan kanak-kanak dan orang-orang dewasa berduyun-duyun datang ke Jeram Pasu, golongan remaja peringkat sekolah dan lepasan sekolah tidak putus-putus mengambil peluang bersantai di tempat berkenaan. Namun, bezanya golongan remaja berkenaan lebih gemarkan suasananya yang sunyi yang letaknya di tingkat atas Jeram Pasu tersebut. Mereka yang datang secara berkumpulan akan beriringan menuruti laluan aliran air sampai ke hujungnya sambil mencari tempat yang sesuai dan dalam untuk bermain air.

Justeru, bagi anda yang mempunyai kesempatan masa di hari cuti, silalah berkunjung ke Jeram Pasu sambil menikmati panoramanya yang segar dan mempesonakan sambil menyaksikan sendiri suasananya yang pasti anda akan teringat dan bermimpi untuk datang lagi di lain kali. Datanglah ke Jeram Pasu bersama keluarga sambil menghirup udaranya yang segar di samping menikmati juadah yang dibawa sendiri dari rumah. Malahan sekiranya anda tidak berkesempatan untuk membawa bekalan makanan, di Jeram Pasu tersebut turut disediakan beberapa gerai makanan untuk menjamu selera. Kehadiran anda di Jeram Pasu memang dialu-alukan bukan sahaja ingin menikmati suasananya yang menyamankan, namun untuk melepaskan rasa bosan dan tekanan akibat faktor kerja, di Jeram Pasulah tempatnya yang paling sesuai untuk tujuan itu.

Papan tanda arah masuk ke Air Terjun Jeram Pasu.

Kolam mandi remaja dan orang dewasa.

Kolam mandi untuk kanak-kanak.


Parkir kenderaan agak luas disediakan.

Gerai makanan untuk kemudahan pengunjung menjamu selera.

Pemandangan di Jeram Pasu.

Trek dan tangga pejalan kaki ke tingkat atas Jeram Pasu.


Suasana hutannya amat mendamaikan.


Sungai dan caruh air di tingkat atas Jeram Pasu.

Batuan air terjun di caruh air Jeram Pasu.



AKTIVITI KAMI

Pada 10.9.2011, kami telah mengadakan perkelahan di Jeram Pasu. Setelah tiba di lapang parkir kenderaan berhampiran kolam mandi dewasa, kami memunggah bekalan makanan dari rumah. Dari tangga sebagai laluan pejalan kaki, kami menuju ke sebuah caruh air yang mana di kawasan berkenaan terdapatnya pasir yang putih.

Sebab utama kami berkelah di kawasan itu kerana kawasan berkenaan agak sunyi dan kami tidak ingin diganggu oleh sesiapa apatah lagi bunyi bising. Setelah tiba di kawasan berpasir, kami menghamparkan tikar untuk tujuan menjamu selera dan selepas itu kami mandi dan berendam.

Di kawasan caruh air di Jeram Pasu di tingkat atas ini, aliran airnya tidaklah laju dan airnya tidak dalam. Penulis tidak mandi kerana tidak membawa pakaian persalinan. Tetapi itulah yang menariknya di Jeram Pasu.

Penulis (kanan sekali) bersama keluarga turut bersantai di Jeram Pasu.

    Air yang mengalir di Jeram Pasu amat sejuk hingga ke tulang.    

Penulis (kanan) tidak mandi sebab tidak membawa pakaian persalinan.

Setelah hari beransur petang, kami mula melangkah pulang.


MISTERI JERAM PASU


Jeram Pasu selain mempunyai asal usulnya, tempat ini sememangnya bermisteri. Pengalaman arwah moyang Paksu Mi ketika menceritakannya kepada penulis mendakwa, Jeram Pasu pada asalnya tidak mempunyai sebarang nama. Namun, moyangnya yang merupakan seorang peneroka tanah yang belum diteroka mengambil peranan itu. Hasil usaha dan penat lelahnya itu, akhirnya moyang Paksu Mi menemui jeram tersebut.

Disebabkan terlalu asyik menebas dan membersihkan kawasan terpencil yang pada awalnya diselubungi hutan tebal, akhirnya kawasan terbabit boleh dilihat dengan jelas dan didapatinya terdapat sebuah jeram yang dialiri air yang mengalir seperti air terjun. Pada awalnya, moyangnya itu tidak mengetahui apakah kawasan tersebut boleh mendatangkan masalah kepadanya kerana beliau dianggap telah menceroboh tempat yang terpencil.

Diringkaskan cerita, selang beberapa lama, moyangnya terlihat sebanyak tujuh buah pasu yang kelihatan jelas dalam pandangan matanya. Pada mulanya, moyangnya itu memang agak hairan, kenapa boleh jadi begitu? Tetapi jika difikirkan berlaku di kawasan hutan, amat mustahil pasu sebesar itu boleh wujud di tempat itu dalam sekelip mata kecuali di alam ghaib. Disebabkan sifat ingin tahu tentang pasu tersebut begitu melonjak dalam dirinya, moyangnya cuba mengetuk ketujuh-tujuhnya untuk menguji adakah pasu yang terpampang di depan matanya itu pasu yang sebenar atau sekadar jelmaan semata-mata.

Setiap pasu sebanyak tujuh buah itu diketuknya berulang kali dengan mengalunkan bunyi yang berbeza-beza. Selang beberapa lama moyangnya berbuat demikian, dengan tidak semena-mena beliau melihat beberapa lembaga seperti manusia keluar dari arah itu, seperti keluar dari sarang yang tidak kelihatan (alam ghaib). Malah selang beberapa lama pula lembaga yang keluar tadi masuk balik ke tempat tersebut lalu ghaib di situ. Moyangnya yang tidak berfikir panjang segera masuk ke tempat berkenaan kerana beliau tidak mengetahui bahawa tempat itu adalah penempatan atau perkampungan ghaib makhluk bunian. Sejak hari selama empat tahun, moyangnya tidak pulang-pulang ke rumah. Hal ini tentunya meresahkan keluarganya lantas mereka mengadakan majlis tahlil untuknya kerana menyangka moyangnya itu telah meninggal secara ghaib.

Namun, dengan tidak semena-mena moyangnya muncul kembali di rumahnya dalam keadaan kusut-masai seperti dikerjakan oleh sesuatu. Setelah dapat menenangkan diri beberapa hari, barulah moyangnya dapat mengingati kembali peristiwa tersebut bahawa di kawasan hujung jeram itu adalah sebuah perkampungan bunian dan pasu yang dijelmakan sehingga dapat dilihatnya sebanyak tujuh buah itu adalah harta milik makhluk bunian berkenaan. Dalam tujuh buah pasu itu dikatakan mengandungi pelbagai jenis 'harta karun' dan moyangnya dianggap orang pertama yang dapat melihat harta milik bunian di kawasan hujung jeram itu. Bermula dari situlah, Jeram Pasu mendapat nama.

Pada 12.11.2011 lalu, penulis sekali lagi ke Jeram Pasu iaitu di kawasan misteri sebagaimana pasu yang ditemui oleh moyang Paksu Mi semata-mata untuk merakam gambar. Dalam pengamatan penulis, kawasan perkampungan bunian bermula dari lereng berlekuk yang mana di kawasan ini aliran air lata tidaklah terlalu laju bahkan terdapatnya selekoh air terjun di situ.

Ketika penulis menaiki tebing dari lekukan lereng itu, penulis dapati terdapat laluan yang sungguh cantik dan dari dalam semak bersebelahan dengan laluan penulis, penulis dapati ada lembaga lelaki yang berpakaian (baju biru muda dan berseluar biru hitam) seolah-olah ingin berlumba dengan penulis dan tiba-tiba ghaib di sebuah kolam berdekatan dengan tempat penemuan pasu ghaib itu. Mungkin lembaga lelaki itu ingin memberitahu sesuatu kepada penulis bahawa penulis telah memasuki kawasan kediaman mereka.

Setelah kolam berkenaan dapat dirakam, penulis bergegas pula ke arah hujung air terjun, sebuah tempat yang dikatakan tujuh buah pasu yang ditemui oleh moyang Paksu Mi dan lembaga yang keluar dan masuk serta ghaib di kawasan itu. Dari penglihatan penulis, penulis dapat melihat sebuah pasu sahaja tetapi tidak dapat melihat enam buah lagi. Jadi, jelaslah sekarang bahawa, itulah pintu masuk ke alam bunian di Jeram Pasu yang mana di situ juga penulis dapat melihat sebuah gua, batu hampar serta air terjun yang mengalir satu laluan sahaja.

Namun, golongan remaja sering ke tempat berkenaan kerana suasana di sini dianggap sunyi dan mereka tidak mengetahui tentang sesuatu tempat asalkan mereka dapat mandi, bergembira dan berpesta. Jadi jelas, empat kumpulan remaja lelaki dan perempuan yang seolah-olah sedang melarikan diri dari sesuatu di kawasan air terjun aneh itu berkemungkinan mereka telah terlihat sesuatu yang ganjil dan menakutkan yang menyebabkan mereka terus meninggalkan kawasan terbabit dengan tergesa-gesa.

Gua batu kapur di sebalik pohon yang tumbuh subur di perkampungan bunian.



Inilah kolam makhluk bunian di kawasan perkampungan bunian.

Di sinilah dipercayai tujuh buah pasu ditemui oleh moyang Paksu Mi dan di sini juga pintu alam ghaib ke perkampungan bunian.
 
Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan