RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Isnin, 7 November 2011

Pasar Besar Siti Khadijah


PASAR BESAR SITI KHADIJAH

KOTA BHARU, KELANTAN:  PASAR BESAR SITI KHADIJAH dulunya dikenali sebagai Pasar Besar Buluh Kubu yang terletak di Jalan Buluh Kubu, kira-kira 800 meter dari pusat bandar Kota Bharu, Kelantan. Nama Pasar Besar Buluh Kubu kemudiannya ditukar oleh Menteri Besar Kelantan, Y.A.B Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat sehingga sekarang selepas Parti Islam Se-Malaysia (PAS) berjaya merampas Kelantan ketika Pilihanraya Umum 1990 dari tangan Barisan Nasional (BN).

Tujuan penukaran nama pasar tersebut adalah sebagai tanda penghormatan dan untuk menghargai sumbangan kaum Hawa (wanita) dalam bidang perniagaan. Ini kerana, kira-kira 80 peratus majoriti peniaga di pasar berkenaan terdiri daripada golongan wanita.

Walau bagaimanapun, disebabkan pertambahan bilangan peniaga yang agak luar biasa, Pasar Besar Siti Khadijah mengalami perubahan apabila terdapat beberapa blok bangunan dibina baru bagi kemudahan wanita untuk berniaga terutamanya di bahagian kuih-muih tradisional seperti akok, pulut bakar, jala mas, apam dan sebagainya.

Pasar Besar Siti Khadijah ini mempunyai empat tingkat kesemuanya yang mana di tingkat bawah telah dikhususkan untuk barangan basah seperti ikan, daging, ayam, sayur-sayuran dan ulam. Selain itu, di bahagian pintu masuk ke pasar ini dikhususkan gerai jualan santan kelapa dan kelapa parut dengan harga yang amat berpatutan.

Manakala di tingkat satu pula ditempatkan gerai untuk makanan kering seperti serunding, keropok dan ikan kering. Selain itu, di tingkat ini juga menempatkan beberapa buah kedai runcit bagi kemudahan pengunjung untuk mendapatkan barangan keperluan harian seperti susu, gula, bawang dan sebagainya. Sementara itu, di sebelah kiri tangga ke tingkat satu ini ditempatkan beberapa gerai makanan dan minuman untuk kemudahan pengunjung menjamu selera.

Nama 'Siti Khadijah' diambil bersempena nama isteri Baginda Nabi Muhammad S.A.W  yang merupakan seorang peniaga wanita Islam yang berjaya. Pasar Besar Siti Khadijah ini mula beroperasi seawal jam 6.00 pagi hingga 7.00 malam setiap hari. Sementara untuk kemudahan peniaga menunaikan solat, dalam kawasan pasar ini turut dibina sebuah surau dan kebanyakan peniaga-peniaga berkenaan akan menghentikan segala urusan jual-beli selama 15 minit bagi membolehkan pengunjung dan peniaga menunaikan rukun Islam yang kelima itu setelah masuk waktunya.

Justeru, bagi anda yang mempunyai kesempatan masa ke Kelantan khususnya di Kota Bharu, silalah berkunjung ke Pasar Besar Siti Khadijah yang mana anda akan merasai sendiri pengalaman dilayani sebagai seorang pelanggan dan anda tentunya akan berasa puas hati. Malahan anda juga akan merasai kepuasannya kerana harga barangan yang ditawarkan di pasar ini amat berpatutan.





Pelbagai barangan basah di gerai Pasar Besar Siti Khadijah.

Pasar Besar Siti Khadijah dirakam dari atas bangunan.


Gerai kuih-muih tradisional.


Gerai ikan dari laut.

Gerai daging lembu.

Gerai makanan di Tingkat Satu.

Anting-anting turut dijual di Pasar Besar Siti Khadijah.


Keropok keping banyak dijual di tingkat satu pasar ini.

Kedai runcit juga ditempatkan di tingkat satu pasar ini.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

1 ulasan: