RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Sabtu, 26 November 2011

Misteri Dibuli Makhluk Halus


MISTERI DIBULI MAKHLUK HALUS

TUMPAT, KELANTAN:  JANGAN kata manusia yang bersifat nakal saja suka 'membuli' sesama sendiri apatah lagi jika terdiri daripada pelajar-pelajar baru, sememangnya akan menjadi makanan pelajar senior. Namun, tahukah anda bahawa makhluk halus adalah pembuli nombor satu terutamanya terhadap manusia yang lemah. Malahan makhluk halus ini juga bagaikan mengetahui jika individu manusia itu baru saja menghuni di kawasan terlibat sama ada baru memulakan tugas di sesuatu kawasan yang pada asalnya telah dihuni oleh makhluk ghaib itu.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF di sebuah warung kopi berdekatan, mangsa gangguan, Mohd. Nawawi Ramli, 29 atau Awie yang merupakan merupakan seorang Pengawal Keselamatan Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Cabang Empat, Tumpat, Kelantan, dari Kampung Kubang Batang dekat sini tidak menafikan cerita tersebut.

"Saya bertugas sebagai pengawal di asrama sekolah itu pada tahun 2007. Semasa memulakan tugas di situ, saya dapati suasananya agak gelap sedangkan lampu asrama sentiasa dipasang setiap kali menjelang malam", jelas Awie sambil jari telunjuknya menunding ke arah asrama sekolah tersebut.

Pada mulanya dia mengesyakki apa-apa dengan kejadian itu disebabkan baru mula bertugas, tentunya masalah tersebut disebabkan berlakunya litar pintas. Malah Awie sendiri malas memikirkan tentang peristiwa pada hari itu. Justeru, beliau membiarkannya kerana tugasnya yang sebenar sekadar mengawal asrama  tersebut dari dicerobohi oleh pemuda-pemuda luar yang nakal dari membuat sesuatu yang tidak diingini terhadap pelajar-pelajar berkenaan.

Namun, gangguan tersebut tidak selesai setakat itu sahaja. Ini kerana, buat kali kedua pula telinga Awie dapat menangkap satu bunyi deruan air yang keluar dari sebatang paip di asrama tersebut. Hairan juga baginya siapa yang menggunakan paip pada malam-malam buta begitu, padahal hanya beliau seorang sahaja yang berada di kawasan itu pada malam kejadian. Beliau kemudiannya bergegas ke arah datangnya bunyi air itu, namun sesuatu yang pelik berlaku kerana hasil pemerhatiannya tidak ada air yang keluar dari batang paip tersebut. Kejadian itu tidak dipedulikannya kerana beliau telah mula menyedari bahawa, segala yang berlaku itu adalah permainan makhluk halus yang sentiasa berkeliaran di kawasan asrama dan jalan raya berhampiran.

Tambah Awie lagi, selang beberapa hari kemudiannya, dari arah padang bola asrama berkenaan iaitu semasa beliau melintasi padang berkenaan, tubuhnya terasa seperti dihembus angin yang agak luar biasa. Dia melihat sekeliling untuk memastikan pohon bergoyang akibat ditiup angin.

"Saya ingat, bukan angin yang bertiup pada ketika itu. Ini kerana, selain waktu tengah hari, didapati tidak ada pohon bergoyang. Ini tentunya kerja makhluk berkenaan", cetusnya.

Menurut Awie, beberapa hari berikutnya, beliau juga terlihat sebatang pohon bergoyang terutamanya di bahagian atas daun pohon tersebut tatkala beliau cuba melewati pohon berkenaan. Sambil mendekati pohon tersebut, beliau cuba mengamati untuk melihat secara lebih jelas binatang yang boleh bertenggek di hujung daun pohon yang bergoyang itu. Memang sah, tiada sebarang binatang di atas pohon itu malah amat mustahil seekor binatang boleh bertenggek di atas daunnya jika dilihat kepada fizikal pohon yang bergoyang itu.

Di samping itu katanya, kadang-kadang beliau juga terkejut sewaktu tiba gilirannya bertugas di asrama tersebut tatkala beliau ingin melelapkan mata walaupun hanya sekejap. Ini kerana, beliau sering diganggu oleh lembaga berkenaan apabila terasa kakinya diheret, malahan kadang-kadang tubuhnya juga turut ditindih. Kejadian seumpama itu sering berlaku terutamanya dari jam 1.00 pagi hingga 2.00 pagi.

"Kadang-kadang terdapat juga kanak-kanak yang tinggal di kawasan asrama tersebut disakat oleh lembaga berkenaan apabila menjelangnya malam. Malah, kadang-kadang saya sendiri pernah mendengar seperti bayi atau kanak-kanak sedang menangis berdasarkan malam-malam tertentu.

"Suatu hari itu, sewaktu saya sedang merokok di luar asrama itu kemudiannya saya meludah beberapa kali, apa yang dapat saya lihat ialah rambut yang mengerbang seperti ditiup angin. Saya agak lembaga tersebut lelaki, tubuhnya agak sasa dan ketinggiannya sehingga dua meter", jelas Awie mengingatkan pengalamannya melihat susuk lembaga yang sering mengganggunya itu.

Awie kemudiannya menceritakan bentuk fizikal lembaga yang menyakatnya sejak awal beliau bertugas di situ sehinggalah hari ini didapati tubuhnya agak sasa dari manusia biasa. Pakaian yang dapat dilihatnya berwarna hitam pekat dan setakat ini hanya lembaga lelaki itu sahaja yang ada di kawasan itu walaupun beliau tidak menafikan mungkin ada makhluk halus lain yang menetap di kawasan yang sama.

"Memanglah, bersebelahan asrama tersebut dijadikan sebagai tempat pembakaran mayat kaum Siam. Saya agak, punca lembaga itu berkeliaran berhampiran asrama berkenaan datangnya dari tempat itu", ujarnya apabila diminta menceritakan sebab kejadian wujudnya gangguan di kawasan asrama sekolah berkenaan.

Tambahnya lagi, kejadian histeria yang melibatkan dua orang pelajar perempuan sekolah tersebut pernah berlaku pada bulan Ramadan lalu. Beliau tidak menolak, selain tekanan yang dialami oleh pelajar berkenaan, namun beliau percaya penyumbang kepada masalah gangguan histeria itu adalah disebabkan makhluk halus yang berkeliaran di kawasan asrama terbabit.

Walaupun beberapa pihak cuba untuk menghindarkan segala masalah yang menghantui pelajar-pelajar berkenaan melalui kaedah tradisional, sebaliknya usaha tersebut menemui kegagalan. Sejajar dengan itu, beliau berharap supaya hal seumpama ini diselesaikan secepat yang mungkin sebelum kejadian yang agak pelik dan luar biasa terus menimpa para pelajar yang menghuni di asrama berkenaan.

   
Mohd. Nawawi Ramli atau Awie ketika diwawancara Wartawan RELATIF di sebuah warung kopi berhampiran asrama itu.


Inilah asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Cabang Empat Tumpat yang dimaksudkan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan