RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 25 November 2011

Misteri Kubur Tok Lipat Tujuh


MISTERI KUBUR TOK LIPAT TUJUH

KUBANG KERIAN, KELANTAN KUBUR adalah satu alam yang memisahkan antara manusia yang hidup dan telah meninggal dunia. Tempat itu juga disebut sebagai dunia sementara bagi makhluk Allah yang bernama manusia dan dalam masa yang sama sebagai tempat perhitungan amalan sama ada ke syurga atau neraka. Dalam konteks kubur juga, terdapat kubur biasa dan kubur luar biasa yang dianggap misteri oleh sesetengah pihak berikutan ilmu dan amalan yang dilakukan semasa hayatnya agak berbeza dari kebanyakan orang.

Kubur bukanlah sebuah alam untuk ditakuti kerana setiap manusia yang hidup tentunya akan sampai ke situ. Namun dalam konteks realitinya, kubur perlu sentiasa diziarahi bagi menginsafkan hati manusia yang masih hidup supaya tidak terus lalai dengan kehidupan dunia malah sewajarnya perlu sentiasa mengingati pencipta-Nya iaitu Allah S.W.T.

Disebabkan ramai manusia yang alpa, menyebabkan wujudnya makam dan kubur-kubur lama di mana ada di antaranya kubur bersejarah tetapi tidak dipedulikan malah terbiar begitu sahaja sehingga ditumbuhi hutan belukar dan semak-samun. Salah satu pusara lama dianggap bersejarah dan terbiar ialah kubur Tok Lipat Tujuh atau digelarkan penduduk tempatan sebagai Tok Panjang Tujuh.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, Wan Alias Wan Abdullah, 60, atau lebih dikenali sebagai Paksu Wan dari Kampung Pulau Masjid, Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan menjelaskan, beliau tidak pernah diberitahu kisah dan asal usul sehinggakan Tok Lipat Tujuh atau Tok Panjang Tujuh digelarkan orang kerana tidak pernah diceritakan oleh arwah ibu bapanya. Namun, dari cakap-cakap beberapa penduduk asal dan warga emas di kampung itu yang pernah didengarinya mendakwa arwah Tok Lipat Tujuh agak panjang semasa hendak disemadikan di salah sebuah tanah perkuburan yang terletak dalam kawasan tanah ahli keluarganya di kampung itu yang kadang-kadang bentuknya akan berubah mengikut peredaran masa.

Tambah Paksu Wan lagi, dari kiraannya usia kubur tersebut dianggarkan kira-kira 300 tahun. Beliau tidak pasti arwah hidup di zaman siapa, namun dari cerita yang pernah didengarinya dari beberapa orang penduduk beliau percaya, Tok Lipat Tujuh hidup ketika zaman Puteri Sa'adong pada tahun 1715 lagi.

Cerita Paksu Wan seterusnya, semenjak Tok Lipat Tujuh meninggal dan dikebumikan di tanah perkuburan di kampung itu sehinggalah beliau dilahirkan dan masih dalam usia kanak-kanak, kejadian-kejadian aneh dan misteri yang dikaitkan dengan kubur Tok Lipat Tujuh bagaikan sudah sebati dengan kehidupan beberapa orang penduduk Kampung Pulau Masjid itu kerana terdapat di antara mereka yang pernah terkena sakat ekoran bermain-main di persekitaran tanah perkuburan terbabit.

"Pada zaman dahulu, arwah kakak Paksu pernah melihat dari arah kubur tersebut satu lembaga bertubuh sasa, kepalanya panjang dan rambutnya jarang, manakala tubuhnya pula dipenuhi panau dapat dilihat dengan jelas ketika hujan panas turun", ujar Paksu Wan menceritakan pengalaman arwah kakaknya yang pernah melihat rupa paras Tok Lipat Tujuh sewaktu hujan panas turun di kubur tersebut sewaktu ketika dahulu.

Menurutnya, banyak lagi kejadian misteri yang pernah berlaku sewaktu ketika dahulu. Di antaranya seorang penduduk asal kampung tersebut yang dikenali sebagai Nik Yaacob atau dipanggil juga Pak Nik Kob, seorang pekerja mengambil upah memanjat kelapa yang tumbuh subur berdekatan kubur Tok Lipat Tujuh turut mengalami peristiwa yang agak aneh sewaktu beliau sedang memetik buah-buah kelapa tersebut. Buah-buah kelapa yang berjaya dipetik itu dicampakkan ke bawah malah ada yang bergolek ke arah kubur tersebut. Setelah agak banyak, Pak Nik Kob mengumpul kesemua buah-buah kelapa untuk dipungut dan dibawa pulang.

Semasa sedang mengumpul buah-buah kelapa tersebut, Pak Nik Kob dapat merasakan bahawa beliau seolah-olah sedang berada di lereng sebuah bukit, sedangkan pada hakikatnya beliau pada masa itu sedang berada di kawasan tanah perkuburan yang agak rata. Pengalaman beliau itu kemudiannya diceritakan kepada seluruh jemaah masjid di kampung tersebut. Daripada ceritanya itu menyebabkan orang ramai mentertawakannya kerana menganggap Pak Nik Kob seperti tidak siuman berikutan dakwaannya yang kononnya tanah yang agak rata dikatakan berbukit. Selepas seminggu daripada peristiwa itu, beliau dilaporkan meninggal dunia.

Menurut Paksu Wan lagi, Pakcu Him yang bekerja sebagai penyadat air nira kelapa turut mengalami peristiwa ngeri ketika berada di tanah perkuburan Tok Lipat Tujuh. Beliau yang tidak berpuas hati disebabkan banyak pohon kelapa didapati telah pupus dan tidak lagi mengeluarkan hasil nira sebagaimana yang diharapkannya, beliau bagaikan tidak sabar lalu meraung dan membuat bising di situ seolah-olah ingin melepaskan geram. Akibat tindakannya yang membuat bising di situ, menyebabkan beliau disakat apabila dengan tiba-tiba beberapa pelepah kelapa yang agak besar seperti dilontarkan oleh seseorang ke arahnya dari kubur tersebut. Setelah diamati, tidak ada sesiapa di tempat itu kecuali beliau seorang sahaja.

"Arwah bapa pernah berpesan supaya tidak melakukan sesuatu yang kotor di kubur itu seperti membuat maksiat, kencing dan membuang najis sesuka hati. Bahkan perempuan yang datang bulan seperti haid dan sebagainya dilarang melalui kawasan perkuburan itu", ujarnya.

Sementara itu, menurut adik perempuan Paksu Wan yang tinggal berhampiran dengan kampung yang sama, Wan Zainab Wan Abdullah, 51, yang dikenali Kak Wan (enggan dirakam gambar) memberitahu, sewaktu ketika dahulu penduduk-penduduk di kampung berkenaan telah sedia maklum di kawasan persekitaran kubur tersebut memang ditakuti ramai kerana dikatakan bermisteri. Menurutnya, banyak cerita pelik telah dikaitkan dengan kubur tersebut apabila beberapa penduduk asal kampung itu turut disakat dengan kejadian aneh seolah-olah penghuni yang bermukim di dalamnya seperti terganggu dengan tetamu yang tidak diundang.

Kata Kak Wan, sewaktu ketika dulu ayahnya ada mengambil seorang anak angkat bernama Pak Mat. Suatu hari, sambil menggapai sebilah parang Pak Mat bergegas menuju ke arah tanah perkuburan itu bertujuan untuk mendapatkan kayu api, tanpa disedari dan tidak disengajakan parang yang ada di tangannya terpotong sebuah batu nisan di situ menyebabkan batu nisan tersebut kelihatan separuh sumbing. Akibat daripada kejadian itu menyebabkan tangannya bengkok dengan tiba-tiba.

Kerana sakit yang amat sangat disebabkan tangannya bengkok, Pak Mat bergegas pulang serta merta lalu memaklumkan kepada ayah angkatnya itu. Berikutan itu, ayahnya berlari ke arah kubur Tok Lipat Tujuh seraya memohon maaf disebabkan kelalaian anak angkatnya itu. Sambil itu, tangan Pak Mat diurut berulang kali oleh ayahnya sehingga sembuh. Semenjak itu, Pak Mat seperti fobia dan tidak lagi menjejakkan kaki di tanah perkuburan Tok Lipat Tujuh bimbang kejadian lain pula berlaku.

Tambah Kak Wan lagi, sepupunya juga turut mengalami kejadian disakat sewaktu memanjat kelapa di tanah perkuburan itu. Apabila beliau turun, didapati apa yang dilihatnya laut yang agak luas mengelilinginya di tempat beliau berdiri menyebabkan beliau terkepung dan tidak dapat keluar dari kawasan itu. Untuk menyelesaikan masalah sedemikian, beliau meluahkan dari hatinya bahawa bukan niatnya untuk mengganggu ketenangan Tok Lipat Tujuh yang bersemadi di situ tetapi sekadar untuk mendapatkan sedikit perbelanjaan dan sumber kewangan dari hasil kelapa tersebut. Selepas itu, didapati lautan luas yang melingkari kawasan pohon kelapa tempat sepupunya berdiri itu hilang serta merta dan sepupunya itu dapat keluar dari kawasan tersebut lalu pulang ke rumah dengan segera.

Selain itu menurut Kak Wan seterusnya, ketika abangnya yang sulung meningkat remaja, beliau mengalami peristiwa yang agak pelik terutamanya ketika menjelang senja. Ini kerana, kelebihan abangnya itu dapat melihat pelbagai jenis makhluk halus dan salah satunya ialah dapat melihat dengan jelas sepasang lembaga lelaki dan wanita sedang berada di salah sebuah batas tanaman kunyit milik ibunya. Lembaga lelaki yang dimaksudkan oleh Kak Wan kelihatannya setinggi pohon kelapa dan bertubuh sasa sedang menebar sehelai kain kuning. Manakala lembaga perempuannya pula kelihatan seperti emak saudaranya sedang menggali kunyit yang baru ditanam oleh ibunya.

Kerana agak hairan dengan tindakan kedua-dua pasangan lembaga aneh ketika senja itu, abangnya cuba mendekatinya seraya bertanya untuk tujuan apa kunyit yang baru ditanam itu digali semula. Dengan tidak semena-mena, lembaga perempuan yang menyerupai emak saudaranya itu tiba-tiba bingkas bangun lalu melangkah ke kubur berhampiran kemudiannya ghaib di kubur itu diikuti lembaga lelaki tersebut dari arah belakang.

Kubur Tok Lipat Tujuh kini menjadi bahan kenangan dalam sejarah silam kerana ia terbiar di dalam belukar dan semak-samun. Kalau dulu, kubur Tok Lipat Tujuh memang ditakuti ramai apabila beberapa penduduk asal kampung itu turut diganggu dengan pelbagai kejadian yang sukar digambarkan, tetapi kejadian itu tidak lagi berlaku hari ini. Malahan kebanyakan penduduk yang disakat sewaktu ketika dulu telahpun menyahut panggilan Illahi seorang demi seorang untuk menunjukkan usia kubur tersebut melebihi ratusan tahun lamanya. Hanya yang tinggal kenangan hari ini ialah, kelihatan sebuah batu nisan didapati sumbing kerana ditetak secara tidak sengaja. Apa yang patut dilakukan terhadap laman kubur tersebut ialah perlu dibersihkan dan diperindahkan lagi pusaranya agar kelihatan menarik, malahan kenangan hidup Tok Lipat Tujuh wajar dirungkai kembali untuk menjadi bahan sejarah yang paling bernilai supaya dapat dikenang sepanjang zaman.
 

Wan Alias Wan Abdullah atau  Paksu Wan bergambar di pusara Tok Lipat Tujuh.

Batu nisan pusara Tok Lipat Tujuh yang kelihatan sumbing.

Ahli keluarga Paksu Wan turut serta menjejak pusara ahli keluarganya.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan