LATA BELATAN
BESUT, TERENGGANU: LATA BELATAN yang terletak di kaki dan di dalam Hutan Simpan Gunung Tebu dalam daerah Besut, Terengganu termasuk juga dalam kawasan Pentadbiran Hutan Terengganu Utara. Lata Belatan memang tersohor di kalangan pengunjung dengan Air Terjun Lata Belatan yang mana lokasinya terletak kira-kira 118 kilometer dari bandar Kuala Terengganu, Jerteh (24 kilometer) serta 71 kilometer dari bandar Kota Bharu, Kelantan.
Lata Belatan selain dikenali air terjun yang cantik dan mendamaikan yang ditemani pelbagai jenis batu-batan agak besar sebagai penghias kolam air terjunnya, ia juga dikenali sebagai Hutan Lipur Lata Belatan dan sebuah tempat yang dikenali Taman Rekreasi yang kerap dikunjungi pengunjung pada setiap masa. Di kawasan Lata Belatan ini juga terdapat gua-gua kecil yang tersorok dari pandangan umum malahan paling menariknya, lata ini mempunyai sebuah sungai yang dikenali 'Sungai Belatan' dan kawasan sekitarnya memang kaya dengan flora dan fauna yang agak menarik malah landskapnya cukup sesuai menarik perhatian pengunjung.
Dari tinjauan RELATIF, lebih 500 pengunjung yang datang ke Lata Belatan ini dalam sehari dan jumlahnya semakin bertambah apabila tibanya hari cuti hujung minggu, cuti umum serta cuti persekolahan. Air terjun yang mengalir dari Gunung Tebu ke Lata Belatan ini memang agak jernih dan rasanya sejuk walaupun dalam keadaan cuaca yang panas. Sementara banyak aktiviti boleh dilakukan di Lata Belatan umpamanya menikmati keindahan persekitarannya, berkelah secara bersendirian atau dengan keluarga, mandi-manda, berkhemah, merentas hutan serta merakam foto.
Dari tinjauan RELATIF, lebih 500 pengunjung yang datang ke Lata Belatan ini dalam sehari dan jumlahnya semakin bertambah apabila tibanya hari cuti hujung minggu, cuti umum serta cuti persekolahan. Air terjun yang mengalir dari Gunung Tebu ke Lata Belatan ini memang agak jernih dan rasanya sejuk walaupun dalam keadaan cuaca yang panas. Sementara banyak aktiviti boleh dilakukan di Lata Belatan umpamanya menikmati keindahan persekitarannya, berkelah secara bersendirian atau dengan keluarga, mandi-manda, berkhemah, merentas hutan serta merakam foto.
Pelbagai kemudahan turut disediakan di Lata Belatan untuk keselesaan pengunjung umpamanya parkir kenderaan yang agak luas, pondok pengawal, pondok telefon awam, surau, pondok rehat, kerusi rehat, bilik persalinan, gerai makanan, tapak perkhemahan, jambatan gantung, tandas awam serta trek pejalan kaki untuki merentas hutan ke puncak Gunung Tebu.
Suatu hal yang menarik di Lata Belatan ini ialah kawalan keselamatan turut ditekankan dengan menyediakan 'siren amaran' untuk memaklumkan kepada pengunjung jika berlaku sesuatu yang tidak disedari seperti terjahan 'kepala air terjun' yang kelajuannya memang tidak diduga. Selain itu, turut disediakan di Lata Belatan ini ialah tong sampah yang diletakkan di setiap kawasan seperti di pondok rehat, kawasan lapang kerusi rehat dan berhampiran trek pejalan kaki di Sungai Belatan.
Dalam hal ini, Lata Belatan tetap tidak berganjak dari kedudukannya malahan bersedia menerima pengunjung yang sudi datang yang ingin menikmati keindahan panoramanya serta merasai sendiri kesejukan air terjun yang setiap mengalir tanpa hentinya walaupun musim kemarau mendesak.
Pintu masuk ke Hutan Lipur Lata Belatan.
Suasana hutan yang tenteram dan mendamaikan.
Inilah wajah Air Terjun Lata Belatan berhampiran dengan batu licin.
Kolam air terjun dipenuhi batu-batan besar amat menarik.
Inilah wajah Sungai Belatan mengalir tenang, tempat mandi dan berenang.
Kawasan batu licin.
Kawasan air terjun dan batu licin kini telah dipagar.
Aliran air dari Sungai Cakah Dua, lereng Gunung Tebu.
Parkir kenderaan yang luas, antara kemudahan yang disediakan.
Pondok Pengawal sebagai Pusat Penerangan.
Sebahagian gerai makanan juga disediakan kepada pengunjung.
Kemudahan pondok telefon tidak dilupakan.
Inilah jambatan gantung yang merintangi Sungai Belatan.
Trek pejalan kaki.
Pondok rehat dibina cukup sesuai dan sinonim dengan Lata Belatan.
Kerusi rehat.
Dapur BBQ.
Tapak perkhemahan.
Surau Lata Belatan untuk umat-umat Islam menunaikan solat.
Tandas awam.
AKTIVITI KAMI
Untuk aktiviti keluarga tahun 2011 ini, kami menjejakkan kaki di Lata Belatan sebanyak dua kali iaitu pada 8.10.2011 dan 29.10.2011. Setelah kami tiba di Lata Belatan bersama bekalan makanan yang dibawa khusus dari rumah, kami mula mendapatkan tempat di sebuah Pondok Rehat berdekatan dengan kawasan batu licin iaitu berhampiran dengan Air Terjun Lata Belatan. Setelah menghamparkan tikar, kami mula menjamu selera kerana selepas itu kami akan lakukan aktiviti mandi, berenang dan berendam pula.
Pada tarikh 8.10.2011, setelah kami tiba di Lata Belatan didapati hujan turun mencurah-curah dan sesekali reda dan lebat. Namun, disebabkan kami telah berada di tempat berkenaan, jadi kami teruskan aktiviti mandi-manda, berenang dan menyelam sehinggalah hujan berhenti terus.
Manakala pada 29.10.2011, apabila kami tiba di Lata Belatan, kami tidak terus menjamu selera sebaliknya kami terus berada di kolam air terjun. Namun, melihatkan kolam air terjun berkenaan didapati airnya agak cetek yang sememangnya tidak sesuai untuk mandi, kami kemudiannya menuju ke arah Air Terjun Lata Belatan yang mana di bahagian atas air terjun tersebut masih ada lagi tempat mandi. Tetapi apabila kami sampai di tempat yang dimaksudkan, didapati keadaan aliran airnya yang laju dan dalam menyebabkan kami membatalkan untuk mandi di situ. Lantas kami angkat kaki lalu menuju ke sebuah kolam mandi di bawah aliran air dari Sungai Cakah Dua. Keadaan air di tempat itu memang sesuai untuk mandi, aliran airnya agak sederhana dan tidaklah dalam sangat. Jadi kami membuat keputusan untuk mandi di situ. Namun, berhati-hati jika anda ke sini kerana di tempat berkenaan adalah kawasan bermisteri. Ketika kami mandi di situ, kami sememangnya diintai seorang perempuan ghaib yang penulis namakan 'Puteri Bunian' yang mengenakan sepasang baju kurung berwarna merah jambu (pink) sedang bertenggek di atas batu di hadapan penulis sedang berendam.
Setelah hari agak semakin petang, kami melangkah turun lalu bergegas ke Sungai Belatan. Selepas mandi beberapa ketika di Sungai Belatan, kami kemudiannya menunaikan solat Zohor dan kemudiannya menjamu selera untuk melangkah meninggalkan Hutan Lipur Lata Belatan itu.
Kami menjamu selera sebelum masuk ke kolam air terjun.
Seronok juga bermain air, mandi dan berendam dalam air yang sejuk.
Penulis mengambil kesempatan berendam di bawah aliran air Sungai Cakah Dua.
Inilah wajah air dari Sungai Cakah Dua, arah ke Gunung Tebu.
Sebelum pulang, kami menjamu selera untuk menghabiskan makanan.
PERSEKITARAN
Pemandangan di Lata Belatan memang menarik dan pengunjung tentunya tidak jemu untuk datang lagi apabila terpikat dengan keunikan landskap hutannya yang tersusun. Deruan bunyi Air Terjun Lata Belatan dan menyaksikan batu-batan yang setia menyelimuti kolam mandi di bawah turut menjadikan Hutan Lipur Lata Belatan dikagumi umum.
Walau bagaimanapun, sikap manusia yang bernama 'pengunjung' juga tidak boleh dipercayai kerana merekalah penyebab berlakunya pencemaran selain kurangnya perhatian dari pihak pengurusan Lata Belatan itu sendiri.
Dari tinjauan penulis, banyak papan tanda yang dipasang di Lata Belatan ini yang didapati uzur dan tulisannya didapati telah tanggal. Kecacatan seumpama ini akan menyebabkan pandangan tidak begitu menarik dan sewajarnya hal ini diselesaikan. Malahan terdapat juga kemudahan 'Tandas Awam' kelihatan dari luarnya cantik, tetapi apabila masuk ke dalam didapati pintunya tidak dapat dikunci dari dalam, masalah pam air tidak dapat digunakan dan sebagainya.
Manakala sikap pengunjung pula sememangnya tidak berhemah dan tidak bersopan. Terdapat segelintir di kalangan mereka yang makan dan menjamu selera di kawasan kolam air terjun dan di Sungai Belatan. Bekas-bekas dan pembungkus makanan dengan sewenang-wenangnya mereka campakkan ke dalam air sedangkan kemudahan tong sampah telah disediakan di pinggir sungai tersebut. Malahan terdapat juga 'tuala bayi' yang dicampak dan dibuang sesuka hati ke dalam air malah ada yang diletakkan di atas pasir itu sahaja. Sikap pengunjung ini boleh mengundang padah kepada sistem aliran air yang boleh mencemari air tersebut. Sepatutnya mereka sedar tentang hakikat ini. Jangan salahkah 'tikus' kononnya tikus yang kencing ke dalam air tetapi salahkan manusia sendiri kerana ada di antara mereka yang 'kencing' di dalam air secara senyap.
Keadaan papan tanda yang uzur dan cacat.
Tulisan pada papan tanda juga didapati telah tertanggal kerana usianya terlalu lama.
Sambungan paip air (anak panah) dalam tandas didapati tercabut.
Sikap pengunjung yang tidak sabar-makan dalam air (anak panah).
Teks dan Foto
AZMI MOHD. SALLEH
Menarik..tq dgn info2 ni..planning nak pg coz dok kb je..
BalasPadamTerima kasih kerana membaca info ini.
BalasPadam