RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Selasa, 22 November 2011

Kucing Kalimah Allah


KUCING KALIMAH ALLAH

KOTA BHARU, KELANTAN KISAH tentang kalimah Allah adalah suatu cerita yang aneh dan luar biasa, tetapi itulah hakikat yang ingin ditunjukkan oleh Allah S.W.T  supaya hamba-hamba-Nya terus berfikir kerana di sebalik kejadian itu ada hikmah yang tersirat. Begitulah juga dengan seekor kucing betina yang dinamakan 'Omel' mempunyai cerita menarik di sebalik tingkahlakunya itu tersembunyi suatu rahsia iaitu pada tubuhnya tertera kalimah 'Allah'.

Kesempatan bertemu dengan pemilik kucing berkenaan, Nik Haslina Nik Ismail, 41, atau lebih dikenali sebagai Kak Min (enggan disiarkan gambar) dari Kampung Bunut Payong, Kota Bharu, Kelantan tidak kurang menariknya kerana kucing tersebut diberikan oleh seorang rakan suaminya yang menetap di Kampung Paya Senang, satu kilometer dari kediamannya.

"Kucing itu asalnya milik kawan suami sebab kelihatannya sangat hodoh berbanding yang lainnya cantik-cantik belaka. Niat pada mulanya memang nak dibuang di pasar borong saja", ujar Kak Min.

Kak Min menambah, disebabkan rasa segan jika kucing tersebut tidak diterima dengan pemberian rakan sendiri, lantas suami beliau mengambilnya sedangkan pada awalnya beliau sendiri juga tidak berminat apatah lagi selain kucing tersebut agak hodoh, bentuk tubuhnya juga tidak menarik. Namun, setelah enam bulan membelanya, timbul pula rasa sayang walaupun pada hakikatnya beliau memang berniat untuk meletakkannya di pasar borong saja. Ini melihatkan kucing tersebut juga sudah bunting yang menunjukkan tanda-tanda akan melahirkan anak.

Suatu hari, rakannya yang kini menetap di Sabak Bernam, Selangor datang ke rumahnya lalu terlihatkan kucing tersebut. Sambil membelek tubuh kucing tersebut, rakannya itu merakam beberapa keping gambar lalu memintanya untuk dibawa pulang di kediamannya di sana. Pada ketika itu juga, Kak Min memang berhasrat untuk menyerahkan kucing tersebut kepada rakannya itu disebabkan ada lagi kucing-kucing lain di rumahnya. Namun apabila melihat rakannya itu merakam gambar, beliau bertanya kenapa berbuat demikian. Rupa-rupanya pada perut kucing tersebut tertera kalimah Allah yang amat jelas pada hari-hari tertentu.

"Melihatkan adanya kalimah Allah pada perut kucing itu, Kak Min tak jadi nak serahkannya. Di saat itu jugalah, Kak Min menamakannya 'Omel", ujar Kak Min sambil ketawa.

Menurut Kak Min yang juga seorang peruncit secara kecil-kecilan di kampung berkenaan, semenjak memelihara Omel beliau dapat mengesan tuah yang ada pada kucing itu walaupun pada hakikatnya segala ketentuan itu daripada Allah belaka. Tetapi sejak Omel tinggal bersama di kediamannya yang dijadikan sebuah kedai runcit, beliau mendapati rezekinya semakin bertambah dan pelanggan yang datang ke kedainya juga tidak putus-putus walaupun di hari cuti minggu. Apatah lagi, ketika memulakan jualan runcit beliau hanya seorang diri melayani pelanggan yang datang, namun sejak kebelakangan ini beliau terpaksa menambah dua orang pembantu.

"Kak Min sengaja tidak menghebahkannya kepada jiran-jiran, bimbang Omel dicuri. Bagi Kak Min, dengan adanya Omel seolah-olah rezeki daripada Allah sebagai pelaris perniagaan", ujarnya.

Tambah Kak Min lagi, Omel adalah seekor ibu kucing yang baik walaupun dikatakan hodoh. Apabila dilihat pada lelangit mulutnya berwarna hitam. Menurut kata orang tua-tua, jika haiwan peliharaan mempunyai lelangit berwarna hitam itu tandanya haiwan luar biasa yang boleh membawa tuah dan keuntungan kepada pemiliknya. Suatu hal lagi yang agak luar biasa pada Omel ialah makanan yang dihidangkan di atas meja tidak disentuh atau dicuri tidak sebagaimana kucing-kucing yang lain. Menariknya pada kucing itu menurut Kak Min apabila Omel memanggilnya 'Ma' (mama) dengan jelas.

Menurut Kak Min lagi, Omel juga tidak melepaskan najis merata-rata tempat. Peliknya kucing tersebut akan masuk ke tandas setiap kali ingin melepaskan hajat. Malahan Omel juga tidur seperti biawak iaitu dalam keadaan meniarap di mana kaki dan ekornya akan diluruskan berbanding kucing-kucing lain yang tidur dalam keadaan mengiring.

"Setiap kali Omel ingin tidur, Kak Min akan sediakan bantal dan kipas untuknya barulah tidur. Jika tidak, Omel akan ke sana ke mari.

"Omel juga mudah mengalah setiap kali ada orang atau kucing-kucing lain mengganggunya sedang makan", jelas Kak Min sambil memangku Omel yang kelihatan manja ketika beliau memeluknya.

Katanya lagi, paling menarik tentang Omel ialah sewaktu berkumandangnya azan sama ada melalui peti televisyen atau masjid yang terletak berhampiran kediamannya, Omel akan berhenti serta merta lalu berpaling kemudiannya merebahkan tubuhnya ke lantai seolah-olah sedang menghayati ataupun menghormati bunyi azan itu.

"Sewaktu Kak Min sedang solat, Omel tidak pernah mengganggu sama ada melintasi di hadapan. Apa yang diketahui, Omel akan menunggu Kak Min selesai solat di belakang", ujarnya tentang keistimewaan yang turut menjadikannya bertambah sayang.

Omel kini telah berusia satu tahun dengan melahirkan empat zuriat. Dua ekor anaknya telah diserahkan Kak Min kepada bondanya, yang tinggal dengannya sekadar seekor anak sahaja, manakala yang seekor lagi telah terbunuh dilanggar kenderaan.

Itulah Omel, sewaktu dipungut dari rakan suaminya dahulu selain hodoh adalah kucing berpenyakit kurap dan banyak kutu. Tetapi kerana lebih sayangkan nyawanya sebagai kucing bertuah, dengan bantuan Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH), kini Omel semakin sihat malah semakin manja dengan tuannya yang mengerti tentang susah payahnya sebagai seekor kucing.
     



Kalimah Allah jelas terpampang pada perut kucing bernama Omel ini.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan