RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 25 November 2011

Misteri Pohon Cengal Menangis


MISTERI POHON CENGAL MENANGIS

TUMPAT, KELANTAN PERNAHKAH anda mendengar pokok menangis? Sebatang pohon cengal menangis di Desa Sri Tanjung, dulunya dikenali Kampung Menjual, Tumpat, Kelantan telah membuktikan pokok juga menangis. Ia adalah suatu kejadian yang benar-benar berlaku ketika majlis memasak bubur asyura sempena bulan Muharam.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, Mariam Mat Isa, 46, yang membahasakan dirinya Kak Yam dari Desa Sri Tanjung, Tumpat, Kelantan memberitahu, pohon cengal tersebut ditanam oleh arwah bapanya ketika usianya empat tahun sebagai 'turus pagar' (tiang pagar) untuk menyokong dan meneguhkan kayu-kayu pagar yang lain. Tetapi tanpa diduga, pohon cengal yang ditanam didapati hidup subur dan kini ketinggiannya telah mencecah 6 meter (20 kaki) seolah-olah memberikan gambaran tumbuh-tumbuhan juga mempunyai perasaan seperti manusia.

Menurutnya, pohon cengal itu mengeluarkan air matanya telah disedari oleh penduduk kampung ketika mengadakan rutin tahunan iaitu majlis memasak bubur asyura berhampiran pohon cengal itu. Disebabkan terlalu penat dan kepanasan akibat terdedah dengan api, salah seorang tukang masak bubur asyura itu mengambil kesempatan itu untuk berehat seketika lalu menyandarkan tubuhnya pada batang pohon cengal itu.

Tatkala tubuhnya menyentuh batang pohon cengal tersebut, tukang masak itu berasa tubuhnya agak sejuk yang luar biasa dan dari kilauan api yang sedang marak itu beliau dapat melihat dengan jelas pakaiannya basah kuyup. Menyedari pakaiannya basah, beliau mendongak ke atas untuk mengetahui sama ada hujan turun atau tidak.

Ketika mendongak itulah pohon cengal itu merenjiskan titisan air lalu terkena seluruh mukanya. Bagi mengetahui benar atau tidak pohon cengal itu menitiskan air dari atas, seorang kanak-kanak telah memanjat pohon tersebut dengan membawa sebotol bekas air mineral kosong sebagai bekas tadahan.

Apabila kanak-kanak itu berjaya mencapai dahan yang dikatakan mengeluarkan air, kanak-kanak tersebut melihat dua dahan yang terjuntai ke arah kiblat didapati pecah-pecah dan kelihatan air menitis keluar dari tangkai daun itu.

"Kanak-kanak itu berbisik kepada saya dan ia kelihatan seperti tanda mata air di dahan yang pecah-pecah dan air menitis dari tangkai daun itu", ujar Kak Yam tentang keajaiban pohon cengal menitiskan air mata.

Kak Yam menambah, air mula menitis melalui dua tangkai daun pohon cengal itu ketika waktu Maghrib secara gerimis dan semakin banyak apabila mencecah jam 1.00 pagi. Salah seorang rakannya menyatakan rugi jika air yang menitis dari dahan pohon cengal itu dibiarkan sahaja. Seelok-eloknya airnya ditadah kerana mungkin berguna suatu masa nanti. Jadi, tanpa berlengah lagi Kak Yam menadah air ajaib yang mungkin berguna kepada individu yang memerlukannya. Setelah ditadah, air yang menitis itu memenuhi sebotol air mineral berisipadu 1.5 liter.

"Ramai juga yang datang dari jauh semata-mata untuk mendapatkan air yang menitis dari pohon cengal itu kerana mereka beranggapan airnya turun banyak hakikatnya gerimis saja", ujarnya sambil ketawa.

Pada mulanya beliau tidak begitu percaya tentang dakwaan penduduk setempat yang menyatakan pohon cengal itu mengeluarkan air kerana tidak pernah melihatnya sebelum ini. Keadaannya berubah apabila beliau melihat sendiri daun hijau muda pohon tersebut mengeluarkan air mata. Beliau berasa sejuk dan nyaman apabila berada di bawah pohon cengal itu seperti sedang berada dalam bilik pendingin hawa.

Tetapi anehnya, apabila Kak Yam keluar dari kawasan pohon cengal itu, air titisannya berhenti secara serta merta. Perasaan percaya apabila seorang penduduk kampungnya bernama Mat Adip menunjukkan kepadanya sebotol air titisan tersebut. Pada malam hari pula daun-daunnya didapati bergerak-gerak dan mengeluarkan air.

"Ada juga yang menganggap pohon cengal itu berkehendakkan tuannya seolah-olah mengenali pemiliknya sebenar sedangkan pemilik sebenar telahpun meninggal dunia", ujarnya yang masih teruja dengan peristiwa itu.

"Dari apa yang Kak Yam lihat, air tersebut berwarna seperti air teh muda dan rasanya agak kelat dan melekat seperti getah", katanya ketika ditanya warna air pohon cengal  itu.

Beliau telah menghubungi abangnya seorang Pengamal Rawatan Tradisional  terkenal di Tumpat. Abangnya berharap supaya Kak Yam menyimpan air pohon cengal itu dalam bekas khas untuk dijadikan sebagai penawar dalam rawatan.

Pada mulanya beliau agak keberatan untuk memberitahu tentang khasiat dan keistimewaan air mata pohon cengal itu kerana bimbang disalah tafsirkan. Namun, salah seorang penduduk kampung berkenaan yang sakit tekak telah mencubanya dengan menyapukan sedikit  air titisan di lehernya dan didapati sakit itu hilang serta merta. Selain itu, kesan penggunaan air titisan pohon cengal apabila salah seorang anak lelakinya yang dianggapkan pemalas kini didapati berubah secara tiba-tiba.

Anak lelakinya itu kini sering ke masjid berhampirans setiap kali masuk waktu sembahyang dan akan sentiasa ke rumah guru agama untuk belajar dan mendalami ilmu keagamaan dan persilatan. Begitu juga dengan anak gadisnya yang kini menjadi pelajar pintar di sebuah kolej di Kedah setelah diberikan air mata pohon cengal itu.

Namun, Kak Yam menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya beliau sengaja memasang batang paip dari rumah dan disalurkan ke arah pohon cengal itu untuk menimbulkan kontroversi dan mendapat keuntungan hasil kontroversi itu. Bagi Kak Yam, biarlah beliau dan keluarganya hidup dalam kemiskinan tetapi tidak akan sesekali menipu orang lain dengan cara melakukan perkara sebegitu.

"Jika sesiapa mahukan air pohon cengal ini bagi tujuan kebaikan, ambillah. Kak Yam tidak kenakan sebarang bayaran untuknya. Malah Kak Yam tidak berniat membuka warung kopi atau menyediakan tabung derma kepada sesiapa yang mengambil air mata pohon cengal ini walaupun ada juga cadangan sebegitu daripada penduduk kampung", kata Kak Yam menamatkan perbualan.

 
Mariam Mat Isa atau Kak Yam.

Dahan cengal yang mengunjur ke arah kiblat didakwa mengeluarkan air mata.
 
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan