RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Rabu, 30 November 2011

Misteri Bukit Bilal


MISTERI BUKIT BILAL

MACHANG, KELANTAN:  BUKIT BILAL dan kampung-kampung sekitarnya yang terletak kira-kira dua kilometer dari bandar Machang, Kelantan adalah sebuah bukit yang agak tersohor yang didakwa penduduk berhampiran sebagai sebuah bukit yang agak keras, bermisteri dan mempunyai penunggu. Walaupun kawasan berkenaan baru dibuka beberapa tahun lalu dengan disediakan kemudahan jalan raya dan selepas itu wujudnya penempatan penduduk serta beberapa buah pejabat berhampiran bukit itu dikatakan sebagai penyebab kepada pelbagai gangguan dan jelmaan lembaga yang sering berkeliaran di kawasan sekitarnya.

Suatu kisah menarik tentang Bukit Bilal adalah pengalaman salah seorang penduduk yang dapat melihat makhluk halus apabila pintu rumahnya diketuk berkali-kali tatkala beliau ingin melelapkan mata. Sangkanya ada jiran-jiran yang memerlukan pertolongan, lantas beliau membuka pintu. Alangkah terkejutnya apabila pintu dibuka, didapati lembaga itu tidak berkepala sebagai menunjukkan dirinya yang sebenar seraya ghaib ketika itu juga. Mangsa berkenaan kemudiannya terpaksa berpindah kerana tidak sanggup diganggu lagi.

Seorang lagi penduduk yang sempat ditemui Penulis, Zainuddin Awang, 39, atau dikenali Abang Jak dari Kampung Kaabah, Machang, Kelantan sanggup berkongsi cerita perihal Bukit Bilal di samping pengalamannya juga turut diganggu makhluk halus di kawasan tersebut. Kejadian yang berlaku pada tahun 2006 itu pada mulanya menyebabkannya terperanjat, tetapi beliau percaya Bukit Bilal memang ada penunggunya yang akan mengganggu sesiapa sahaja yang terserempak dengan makhluk berkenaan.

Menurut Abang Jak, pengalaman pertamanya yang bekerja sebagai pemandu jentolak menurap jalan di mana pada suatu hari beliau telah diarahkan oleh bosnya supaya datang bekerja seawal 3.00 pagi. Beliau yang tidak mempunyai lesen motosikal, sering menggunakan jalan kampung itu sebagai laluan alternatif paling singkat untuk ke tempat kerjanya lebih cepat dengan melalui sebuah jirat Cina. Di sebelah utara jirat Cina itu pula adalah kawasan lembah yang ditumbuhi serumpun pohon sagu yang agak subur.

Katanya, sebelum ini beliau telah acap kali melalui kawasan itu namun tidak pernah pula diganggu, tetapi apalah nasibnya pada pagi itu. Sewaktu motosikal yang ditunggangnya menuruni lembah untuk melintasi rumpunan pohon sagu di tepi jalan kampung itu yang agak sunyi kerana agak jauh dari kediaman penduduk, beliau terasa seram sejuk yang amat sangat sehingga ke tengkuk. Sambil memberhentikan motosikalnya buat seketika untuk memerhatikan keadaan yang bakal berlaku itu, beliau cuba menyentuh bulu romanya yang menegak agak luar biasa. Di saat itulah beliau teringat tentang cerita dan petua orang-orang tua memberitahunya, jika bulu romanya terasa seram dari paras pinggang ke bawah, itu tandanya ada binatang buas di kawasan itu. Tetapi, kalau bulu romanya tegak berdiri agak luar biasa dari paras pinggang sehingga ke bahagian atas tengkuknya, itu tandanya kehadiran atau makhluk halus sedang menunggu di kawasan tersebut.

Tambah Abang Jak lagi, seminggu selepas kejadian beliau disakat makhluk halus di rumpunan sagu tersebut, beliau kemudiannya menerima arahan yang sama supaya bekerja sebagaimana hari itu. Namun, kerana beliau bangun tidur agak lewat beliau tiba di tempat kerjanya jam 3.30 pagi. Setibanya beliau di tempat kerjanya yang terletak beberapa meter dari Bukit Bilal itu, beliau dapati suasana pada pagi itu agak lengang di mana tidak ada walau seorang pun pekerja kecuali dirinya sahaja. Ini kerana, setahunya Pengawal Keselamatan yang sepatutnya berkawal di pintu masuk pejabatnya itu yang dikenali sebagai Pak Mat tentunya sudah pulang.

Untuk tidak membuang masa, beliau sebagai pemandu jentolak menurap jalan, beliau menggunakan kesempatan itu sepenuhnya untuk membuat pemeriksaan tentang keperluan yang sepatutnya ada bagi sebuah jentolak seperti keadaan minyak pelincir, minyak diesel dan sebagainya bagi memudahkan beliau melaksanakan tugas-tugsanya nanti.

Tatkala beliau memijakkan kaki di atas jentolak itu, dengan tiba-tiba beliau terlihat kemunculan Pengawal Keselamatan yang bernama Pak Mat itu sedang berdiri betul-betul di tengah-tengah laluan di antara sebuah surau dan bengkel mekanik kenderaan sambil bercekak pinggang di mana kelihatan di tangannya sedang memegang sebilah senjata golok dengan wajah yang menyeringai bengis tepat memerhatikan ke arahnya untuk menunjukkan pengawal tersebut sedang marah.

Dalam hatinya agak tertanya-tanya dengan keadaan luar biasa pada pagi itu memandangkan Pak Mat itu sepatutnya sudah pulang. Tetapi hairannya kenapa pula Pak Mat muncul secara tiba-tiba. Tercetus juga dalam hatinya, adakah Pak Mat ingin menuduhnya sedang mencuri sesuatu? Sedangkan beliau tidak berniat serong untuk berbuat demikian kerana itulah periuk nasinya selama ini. Beliau ke situ sekadar untuk memeriksa jentolaknya sahaja bagi memastikan sentiasa berkeadaan baik dan sempurna apabila melakukan kerja-kerja menurap jalan nanti. Melihatkan keadaan pelik di pagi itu, beliau tidak mempedulikan lembaga Pak Mat itu kerana niatnya adalah benar dan bukannya menyimpang.

Selang beberapa minit kemudian, beliau dapati lembaga agak bengis yang dikatakan Pak Mat itu tiba-tiba ghaib serta merta di tempatnya berdiri tadi. Melihatkan keadaan demikian, hatinya berbisik sendirian kerana difahamkan beliau seorang sahaja yang ada di kawasan berkenaan ketika itu. Namun, agak hairan juga, siapa pula secara tiba-tiba hilang dalam sekelip mata tadi? Melihatkan suasana pada ketika itu, beliau berasa tidak sedap hati apabila bulu romanya meremang secara tiba-tiba dan tubuhnya pula berasa seram sejuk.

Bagi mengesahkan siapakah sebenarnya lembaga Pak Mat yang pada awalnya tercegat dengan bengis kemudiannya hilang secara tiba-tiba itu, beliau kemudiannya melangkah turun dari jentolak tersebut seraya mencari dan meninjau di sekeliling arah tentang ke mana perginya Pak Mat itu. Menurutnya, memanglah sebelum ini beliau berselisih pendapat dengan Pak Mat, jadi beliau bimbang jika Pak Mat masih menyimpan dendam terhadapnya. Namun, apabila teringatkan tentang keluarga Pak Mat bahawa hanya keluarganya sahaja yang dikatakan penghuni awal di Kampung Bukit Bilal itu dari sehingga hari ini, malahan menurutnya Pak Mat pernah memberitahunya tentang makhluk halus di situ dari pelbagai keturunan. Bahkan beliau percaya kemungkinan jelmaan lembaga Pak Mat sebagaimana yang pernah dialaminya itu adalah dari asal usul 'saka' arwah atuknya kerana hanya keluarganya sahaja yang tidak pernah diganggu.

"Abang Jak memang terlupa langsung hendak melihat adakah jelmaan lembaga Pak Mat itu kakinya berpijak bumi atau tidak. Memang tidak terlintas langsung untuk memerhatikan gerak geri lembaga Pak Mat itu.

"Pakaian yang dipakai oleh jelmaan Pak Mat itu juga hampir sama dengan pakaian yang sering dipakai oleh Pak Mat sewaktu bertugas. Jadi, melihatkan jelmaan itu, Abang Jak pada mulanya agak keliru, sebab yang sebenar dan jelmaan sama saja", ujar Abang Jak.

Menurut Abang Jak lagi, pernah rakannya yang juga pemandu lori bersama Abang Soh yang baru pulang dari Gua Musang tertidur dalam surau berhampiran pejabatnya akibat keletihan. Pada mula-mulanya nama rakannya sahaja yang dipanggil berulang kali. Katanya lagi, Abang Soh ingat panggilan namanya sekadar mimpi sahaja. Namun, sewaktu matanya ingin terlelap dengan tiba-tiba buat kali kedua kakinya pula ditarik dengan kasar. Melihatkan keadaan itu, Abang Soh bingkas bangun lalu meneruskan tidurnya itu di dalam sebuah lori yang diparkir di luar kawasan pejabat mereka bagi mengelak daripada gangguan itu lagi.

Dalam hal ini, Abang Jak tidak menolak jelmaan lembaga Pak Mat yang menyeringai bengis ke arahnya sewaktu beliau masih di atas jentolak tadi adalah makhluk halus yang cuba menguji keberaniannya. Apatah lagi, setahu beliau juga Pak Mat dan keluarganya sahaja tidak diganggu sedangkan Bukit Bilal menurut sejarahnya amat tersohor sebagai sebuah bukit yang mengusik. Apatah lagi, dengan pengalaman rakannya itu juga turut memberikan gambaran bahawa lembaga yang menjelma dalam rupa Pak Mat dan gangguan dari bukit tersebut mungkin dari generasi yang sama iaitu 'saka' yang ditinggalkan oleh atuknya untuk menunjukkan kawasan terbabit adalah tempat yang diteroka oleh keluarganya sejak dulu lagi.    
 

Zainuddin Awang atau Abang Jak.

Abang Jak (kanan) ketika ditemubual Penulis di kediamannya di Kampung Kaabah, Machang.

Di kawasan pohon sagu inilah Abang Jak diganggu sewaktu sedang menunggang motosikalnya.

Di sinilah jelmaan lembaga Pak Mat sedang memerhatikan ke arah Abang Jak dengan muka bengis.

Di surau inilah kaki Abang Soh ditarik dengan kasar sewaktu tidur di situ.


Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan