RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Isnin, 21 November 2011

Nahas Kereta api-Bas 1964



NAHAS KERETA API - BAS 1964

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  MALANG sememangnya tidak berbau. Lazimnya nahas yang diakibatkan kecuaian adalah punca segala kejadian, akhirnya boleh membawa padah. Itulah sinopsis yang sering kita dengar untuk menjelaskan hakikat bahawa jika berlakunya sesuatu kemalangan khususnya yang melibatkan kenderaan berat, nyawa pastinya melayang. Namun kita perlu sedar bahawa akibat masalah jalan yang tidak sempurna juga turut menjadi penyebab kepada nahas jalan raya.

Mungkin khalayak telah melupakan tragedi pertama yang berlaku di lintasan keretapi Lemal, Pasir Mas dan selepas itu tragedi kedua yang melibatkan pertembungan di antara kereta api dengan bas yang dikatakan nahas yang paling buruk pernah berlaku di stesen lintasan kereta api Wakaf Baharu di Kelantan. Namun syukurlah kerana tragedi yang berlaku pada tahun 1964 itu tidak mengorbankan nyawa kecuali terdapat kecederaan beberapa penumpang termasuk pemandu bas.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, seorang warga emas yang turut ke tempat kejadian, Hassan Ali, 70, atau Ayah Su dari Jalan Puteri Sa'adong, Wakaf Baharu, Kelantan berkata, nahas ngeri itu berlaku semasa sambutan hari raya korban iaitu selepas solat Aidiladha  pada pagi Jumaat itu.

Menurut Ayah Su, beliau sempat menyaksikan nahas antara kereta api dengan bas berkenaan kerana jarak antara rumah orang tuanya di hulu dan stesen keretapi dan stesen kereta api di sebelah selatan sekadar 500 meter sahaja. Pada ketika itu juga, beliau agak kelam kabut dengan atuknya diserang penyakit angin ahmar. Disebabkan ingin melihat kejadian yang tidak disangka-sangka itu, beliau terpaksa meninggalkan atuknya yang sedang sakit tenat buat sementara waktu.

"Dari apa yang Ayah Su lihat, terdapat enam penumpang bas cedera parah termasuk pemandu bas itu sendiri akibat dirempuh kereta api menyebabkan bas itu terbalik. Namun, tidak ada penumpang yang terkorban", katanya ketika menjelaskan keadaan nahas pada tahun tersebut.

Tambah Ayah Su yang ketika itu berusia 26 tahun, kemalangan itu berlaku kerana lintasan kereta api tidak diurus dengan sempurna malah belum lagi diwujudkan pintu pagar lintasan kereta api. Menurutnya, pihak pentadbiran kereta api pada masa itu dikenali Federated Malay State Railway (FMSR) merupakan syarikat kereta api Malay Railway (M.R) adalah kereta api pertama menggunakan tenaga stim bernombor pendataran 531.04 bertembung dengan 'Bas Nets' yang merupakan syarikat bas pertama di Kelantan dikenali North Eastern Transport Services (N.E.T.S). Akibat dari tragedi menyayat hati itu, kedua-dua pihak mula mengambil langkah untuk mengatasi kelemahan yang ada.

"Pada pendapat Ayah Su, kejadian itu berlaku kerana lintasan tersebut terlalu tinggi dari jalan raya. Akibatnya, bas yang melintas landasan kereta api terpaksa turun dengan gear rendah.

"Oleh kerana bas itu melintasi tempat yang tinggi dan jalan tidak rata, bermakna dari gear tiga mesti turun ke gear satu. Jadi, ketika naik lintasan itulah pemandu bas tidak sedar kemunculan kereta api yang bergerak laju dari arah dekat lalu bertembung", katanya.

Tambahnya, jika pemandu kereta api itu cuba membrek terlalu kuat, berkemungkinan kereta api berkenaan akan tergelincir kerana roda besi yang meluncur atas landasan tidak sama dengan tayar dibuat dari getah yang boleh dibrek secara mengejut.

"Pada masa itu, tidak ada ambulan untuk memberikan bantuan kecemasan. Hanya mengharapkan orang-orang kampung yang memainkan peranan menghulurkan bantuan. Kalau ikutkan perasaan, memang terkejut dan menyayat hati lebih-lebih lagi berlaku pada pagi raya", ujarnya apabila ditanya tentang perasaannya ketika melihat kejadian itu.

Walaupun akibat kejadian itu menyebabkan berlakunya trauma selama seminggu kepada penduduk kampung termasuklah beliau sendiri, namun keadaan itu tidak berpanjangan. Ini kerana, masyarakat pada masa itu tidak begitu ambil kisah terhadap kejadian tersebut.

"Bas yang terbalik akibat dilanggar kereta api itu terus diangkat pada hari yang sama. Tiada kerosakan berlaku sekadar bertembung sahaja bukannya diheret kereta api, tidak sebagaimana tragedi di Lemal yang menyebabkan penumpang tercampak keluar", ujarnya lagi.

Katanya, pada tahun 1964 itu, tidak ada pengangkutan awam yang bersaing sebagaimana sekarang. Justeru, bas Nets yang menjadi tumpuan utama penumpang sehinggakan penumpang yang menaiki perkhidmatan berkenaan terpaksa berdiri dan bergayut pada palang besi kerana melebihi tempat duduk.

"Kalau tidak silap ingatan Ayah Su, bas jenis Seddon yang menggunakan minyak petrol yang terlibat dengan kemalangan itu", jelasnya.

Selepas kejadian itu, pihak Syarikat Kereta api Malay Railway datang membuat kajian dari pelbagai sudut dan beliau tidak mengetahui perkembangan selanjutnya selepas peristiwa itu kerana melibatkan tugas kedua-dua jabatan.

Justeru, nahas berkenaan adalah suatu tragedi yang tidak disangka-sangka berlaku di bulan mulia, akhirnya terus dilupakan sekadar termeterai dalam lipatan kenangan.    


Hassan Ali atau Ayah Su.


Di sinilah nahas tersebut berlaku. Kini, lintasan tersebut sudah diselenggara dengan baik.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan