RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Khamis, 24 November 2011

Kisah Arwah Tok Imam Taib


KISAH ARWAH TOK IMAM TAIB

JELI, KELANTAN Imam selain mengetuai solat jemaah, dia juga selaku pemimpin masyarakat dalam mukimnya. Imam juga adalah contoh terbaik sebagai penganjur empat mazhab yang menjadi ikutan orang-orang Islam seperti Imam Shafii, Hanafi, Hambali dan Maliki.

Berbanding sekarang, para imam zaman lampau menjadi rujukan masyarakat setempat tentang sesuatu hukum yang ditetapkan dalam Al-Quran dan Hadis. Malah mereka juga dapat mengawal kehidupan masyarakat di bawahnya menjadi seorang yang terbaik dan sempurna akhlaknya.

Keadaan ini dapat memberikan gambaran bahawa para imam zaman dulu memiliki ciri-ciri seorang pemimpin yang sering mendekatkan diri dengan Allah S.W.T  kerana selain memiliki ilmu Fekah dan Tauhid, mereka juga memiliki ilmu kerohanian yang tinggi dan dengan cara ini tentunya dapat menambat hati masyarakat di sekeliling mereka.

Tetapi lebih jelas lagi dapat menundukkan musuh-musuh dalam selimut yang terdiri daripada kalangan dalam masyarakat itu sendiri. Begitulah kisah yang ingin dipaparkan berhubung Imam Pertama Masjid Kuala Balah, Alahyarham Tok Imam Taib bin Awang.

Membicarakan tentang kehebatan Tok Imam Taib semasa hayatnya, Penulis berkesempatan menemui Imam Muda Masjid Kuala Balah, Mohamad @ Mamat bin Awang, 67, dari Kampung Kuala Balah dekat sini.

"Arwah Tok Imam Taib sememangnya berasal dari kampung ini. Sebelum menjadi Imam, arwah menuntut ilmu di Pattani, Siam. Apabila pulang dari Pattani itulah beliau menjadi imam", ujar Imam Muda Mohamad.

Menurut Imam Muda Mohamad lagi, pada masa dahulu jika seseorang yang kuat beribadah tetapi tidak cukup kuat dengan ilmu kerohanian, mereka akan diperkecilkan malah sentiasa menjadi makanan musuh. Apabila mereka kuat dari segi tuntutan kerohanian, mereka akan dipandang mulia dan ditakuti semua orang terutamanya di kalangan musuh. Begitulah halnya yang berlaku ke atas arwah Tok Imam Taib.

Allahyarham ke Pattani, Siam selain menuntut ilmu agama, beliau juga menuntut ilmu kebatinan dalam usaha memperkuatkan pertahanan dan melindungi diri dari angkara musuh dan golongan yang sesat. Arwah pernah dicabar oleh individu tertentu untuk menguji kehebatan setelah arwah memperolehi ilmu kerohanian itu. Walau bagaimanapun, setelah diadakan pertandingan, ternyata ilmu yang dimiliki arwah begitu kuat berbanding pencabarnya. Ini menunjukkan, Allah sentiasa bersama-sama orang yang benar apatah lagi kuat beribadah.

Pada ketika itu, seorang Ahli Jawtankuasa (J/K) Parti Komunis Malaya (PKM), Shamsiah Fakeh bersama pengikutnya pernah merancang untuk menjadikan Kampung Kuala Balah sebagai tempat membiakkan kumpulannya. Namun, apabila diketahui bahawa Tok Imam Taib menetap di kampung berkenaan lalu hasrat tersebut dibatalkan disebabkan kedua-duanya sama seguru dalam tuntutan ilmu kerohanian malah dalam aliran yang sama juga.

"Allahyarham sempat mendirikan rumahtangga dengan seorang gadis dari kampung yang sama. Keturunan keluarga arwah adalah baik, mempunyai kekuatan dari segi agama serta rohani yang kuat", katanya.

Menurutnya lagi, dalam tahun 1940 hingga 1950, arwah berjaya menyatu padukan seluruh penduduk di kampung tersebut di mana pada masa itu aktiviti kemasyarakatan amat teguh sehingga masyarakat di kampung berkenaan hidup dalam harmoni.

Tidak pernah terjadi persengketaan dan perselisihan faham untuk menunjukkan keberkatan dan kealimannya yang kuat beribadah. Seluruh penduduk menghormatinya kerana sikapnya yang sentiasa merendah diri dan suka memperbetulkan kesalahan yang dilakukan oleh masyarakat dalam mukimnya.

 Disebabkan sikapnya yang mesra, telah mendekatkan masyarakat pada masa itu lebih mengenalinya sebagai seorang pemimpin yang suka menolong seseorang yang di dalam kesusahan walaupun arwah sebenarnya tidak menggemari aktiviti sosial.

"Semasa arwah menjadi imam juga, wujud permuafakatan yang kukuh di antara seluruh penduduk di mana aktiviti gotong-royong dan apa-apa aktiviti yang menjurus kepada kebaikan dapat dihidupkan sebagaimana yang disarankan dalam Islam, tidak sebagaimana yang berlaku hari ini", ujarnya untuk menunjukkan hubungan di antara jiran tetangga waktu dulu amat berbeza dengan hari ini.

Salah satu sebab menurutnya, arwah Tok Imam Taib tidak pernah mengeluarkan ucapan yang sia-sia. Walaupun di waktu itu telah wujud sifat iri hati dan cemburu beberapa pihak terhadapnya. Namun, oleh kerana contoh terbaik yang ditunjukkan oleh arwah, pihak-pihak yang mencemburuinya terpaksa membatalkan hasratnya. Keadaan ini berpunca dari perwatakannya malah setiap kata-kata dan ucapan yang keluar dari mulut arwah, masyarakat akan akur malah menghormatinya sebagai seorang pemimpin agama yang warak dan disegani.

Tambah Imam Muda Mohamad, Tok Imam Taib meninggal dunia dalam tahun 1970 ketika berusia 80 tahun dengan meninggalkan anak-anak dan isteri pertama seramai lima orang dan isteri kedua seramai enam orang.

Tok Imam Taib di masa hayatnya pernah berwasiat kepada anak-anaknya hendaklah mengkebumikan jasadnya di kawasan masjid tersebut. Jadi, memang benar pusara arwah Tok Imam Taib ada berhampiran masjid tersebut bersama sebuah perigi dan tempat mengambil wuduk jemaah masjid pada masa itu.

Hari ini, jika dilihat kepada bentuk fizikal, masjid tersebut dibuat dari bahan-bahan yang tahan kepada gangguan bencana alam seperti banjir dan angin ribut. Walaupun masjid tersebut terletak di dalam kawasan dusun buah-buahan dan dilitupi semak-samun serta hutan belukar, namun pada asasnya Kampung Kuala Balah tersohor pada masa itu kerana arwah Tok Imam Taib yang dapat memimpin masyarakatnya menjadi seorang yang beriman kepada Allah S.W.T.

Sementara itu, Penulis cuba membangkitkan isu masjid berkenaan yang telah dihuni oleh masyarakat jin kerana terbiar sebegitu rupa dalam belukar yang sememangnya menjadi tempat makhluk halus itu bernaung, Imam Muda Mohamad menafikannya. Namun begitu, terdapat suatu kes agak luar biasa apabila beberapa golongan pemuda  sesat yang datang berjudi berdekatan dengan masjid lama itu terpaksa membatalkan hasrat mereka kerana seperti ditusuk perasaan takut yang amat sangat. Ini menurutnya, orang-orang yang beriman sentiasa di dalam peliharaan Allah S.W.T  walaupun jasadnya telah tiada.

"Ini menunjukkan sifat yang ada pada arwah sifat yang terbaik malahan suka menolong orang yang di dalam kesukaran, tentunya Allah akan menolongnya sebagai membalas perbuatan baik itu. Jadi, mana-mana individu yang mendokong atau membawa kebaikan kepada masyarakat, Allah akan menolong dan memeliharanya", tambahnya.

Justeru, contohilah watak kehidupan yang ditinggalkan oleh Allahyarham Tok Imam Taib sebagai ikutan yang terbaik. Ini kerana, selepas kewafatan Rasulullah S.A.W, hanya alim dan ulama sahaja yang patut menjadi ikutan masyarakat moden hari ini supaya tidak jauh tersesat. Dunia akan ditinggalkan, yang kekal selama-lamanya ialah kampung akhirat. 


Imam Muda Masjid Kuala Balah Baru, Mamat bin Awang.

Masjid Kuala Balah Lama dari pandangan luar.

Tempat mengambil wuduk.

Sebuah perigi sering digunakan arwah dan jemaah masjid untuk mencuci badan.

Pusara arwah Tok Imam Taib terletak dalam masjid itu.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

2 ulasan:

  1. dah 3 tahun tak pergi kat pusara arwah tok su ... rumah lama yang abah duduk masa kat kampung lama tu masih saya ingat...

    BalasPadam
  2. Al-fatihsh buat arwah tok ayah...sedikit pembetulan info, arwah ada 3 isteri (isteri ke 3 ada
    5 anak). Saya cucu dr isteri ke 3, arwah Che Minah Said.

    BalasPadam