RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Ahad, 13 November 2011

Gunung Tebu: Xpdc Pertama - 7.7.2007


EKSPEDISI GUNUNG TEBU
(XPDC PERTAMA: 7.7.2007)

GUNUNG TEBU yang terletak dalam Hutan Simpan Daerah Besut, Terengganu dan berketinggian 1036 kilometer (3,401 kaki) dari aras laut yang juga terletak dalam Banjaran Bintang mempunyai khazanah alam yang agak unik dan belum pernah tercemar menjadi penyebab Gunung Tebu kaya dengan spesis tumbuh-tumbuhan dan serangga luar biasa. Kesuburan pelbagai spesis tumbuh-tumbuhan di gunung berkenaan menjadi tarikan utama pencari khazanah hutan seperti akar dan teras kayu, tumbuhan herba dan selain tempat yang paling sesuai untuk mendalami ilmu kerohanian dan kebatinan kerana tempatnya sunyi dan bebas dari gangguan orang ramai.

Istilah utama yang menjadikan Gunung Tebu tersohor di mata umum berikutan tempat ini menjadi inspirasi golongan tahan lasak yang menjadikan aktiviti mendaki sebagai sebahagian memori hidup. Aktiviti mendaki yang dimulakan di kaki Gunung Tebu iaitu di Hutan Lipur Lata Belatan, setiap pendaki tentunya ingin melihat jenis batu-batan yang terbentuk ratusan tahun. Pelbagai nama diberikan oleh penduduk tempatan seperti Batu Madrasah, Batu Mat Hassan, Batu Pancung dan Batu Mahkamah.

Dari  pandangan di kakinya, Gunung Tebu berdiri megah memang menggamit pengunjung. Tetapi siapa sangka, gunung ini menyembunyikan pelbagai rahsia dan misteri kerana dari beberapa batu ini tersembunyi gua kecil, pelbagai jenis batu permata, ikan luar biasa bahkan terdapat rahsia Batu Mat Hassan yang jalannya selari dengan Sungai Cakah Dua turut didakwa oleh penduduk tempatan bahawa ada seorang yang bernama Mat Hassan melakukan pertapaan di sebuah gua di situ yang dinamakan batu tersebut sempena namanya.

Menyedari kewujudan misteri dan rahsia tersirat itu, pada 7 Julai, 2007 peserta kami yang terdiri daripada Azmi Mohd. Salleh (Penulis), Aziz Haji Daud (Abang Aziz, 53, Pengamal Rawatan Tradisional Warisan Pusaka Tok Kenali dan Abjad Kelantan), Wan Ibrahim Wan Ismail (50) dan Anis Sabirin bin Azmi, (15, anak keempat Penulis) telah mengadakan ekspedisi ke gunung tersebut. Bukan sekadar ekspedisi, sebaliknya untuk memperolehi pengalaman bertemu makhluk bunian yang berkampung di suatu kawasan khusus di gunung tersebut selain mengenal pasti suatu tempat di gunung itu yang menyebabkan ramai pendaki disorok dan ghaib tanpa dapat dikesan.

Semasa mula-mula mendaki melalui trek pejalan kaki yang disediakan, penulis terpandang seketul tengkorak berhampiran papan tanda 'Dilarang Mandi Di Sini Kerana Batu Licin'. Dari maklumat yang penulis dengar, pernah beberapa pelajar yang melalui arah tengkorak itu terlihat lembaga yang hanya tinggal rangka sahaja sedang mundar-mandir seperti mengawal kawasan persekitarannya. Akibatnya, mereka lintang-pukang lari ketakutan.

Penulis bersama peserta meneruskan pendakian melalui jalan biasa sebelah gunung berkenaan, kemudian terlihat empat ekor ikan yang tidak pernah dilihat sebelum ini yang mana pada insangnya kelihatan cahaya terang berwarna biru sedang berenang ke sana ke mari dalam alur sungai berhampiran tebing laluan pendakian.

Semasa dalam pendakian seterusnya, penulis menemui 'batu aneh' seperti alat kelamin lelaki berwarna kelabu semasa pendakian terakhir pada ketinggian kira-kira 3000 meter. Penulis sempat merakam gambar kenangan. Namun, apabila turun kembali dan melalui kawasan batu aneh itu, batu tersebut telah hilang (ghaib). Melihatkan keadaan tersebut menunjukkan batu itu ada penjaganya, sebaliknya tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Akhirnya kami semua singgah di sebuah alur sungai yang kelihatannya seperti sebuah tasik. Melihat dari mata kasar, alur sungai tersebut hanyalah alur biasa. Namun, ketika penulis ingin merakam gambar, suasana berubah menjadi gelap secara luar biasa. Bahkan seketul batu besar di sebelah kanan alur berkenaan kelihatan tergantung (tidak berpijak bumi) beberapa kali.

Anak penulis, Anis Sabirin yang memang mempunyai kebolehan mengesan kehadiran makhluk melalui pandangan zahir, diminta mengesan kehadiran makhluk itu. Ini kerana, semasa dia duduk di atas sebuah batu besar, tiba-tiba muncul gumpalan asap putih datang dari arah belakangnya melingkari sebelah kiri dan naik ke atas kepalanya sebelum hilang dengan tiba-tiba.

Kemudian, dia melangkah ke arah aliran air untuk mencuci muka dan tangannya. Semasa mengangkat tangan, secara tiba-tiba bulu romanya berdiri tegak seperti ada sesuatu berhampirannya. Dalam masa yang sama, dia terlihat seekor burung yang tidak dikenali berwarna ungu muncul berhampirannya.

Memandangkan wujudnya perkara luar biasa di situ, dia kemudiannya mengatur langkah menuju ke arah beberapa buah batu yang tersusun indah dan agak rapat dalam jarak kira-kira 20 meter untuk memastikan kewujudan benda-benda pelik di kawasan itu dengan memandang ke serata kawasan.

"Semasa Anis berdiri, dari celah-celah batu kecil, Anis ternampak seperti ikan haruan berwarna hitam. Panjangnya lima sentimeter, tubuh dan ekornya seperti ikan haruan tetapi kepalanya seperti kepala ular, ghaib dengan tiba-tiba.

"Selepas itu, muncul pula belut dari arah seketul batu besar berhampiran ikan haruan itu. Warnanya hitam pekat, panjangnya kira-kira satu meter, tubuhnya tidak bersirip, ekornya seperti ekor belut tetapi kepalanya seperti kepala ikan haruan, lalu ghaib", jelas Anis.

Pengalaman aneh itu tidak berakhir di situ sahaja apabila dia terdengar pula suara perempuan mengilai berhampiran tempat ikan haruan itu muncul. Suara hilaian itu menunjukkan perempuan tersebut dalam usia sekitar 20 tahun.

Anis Sabirin meneruskan tinjauan untuk melihat beberapa keanehan di situ. Memang benar, tatkala dia mendekati sebuah lagi batu besar berukuran segi empat bujur, tiba-tiba anak telinganya menangkap suatu bunyi seperti suara ular, diikuti harimau, burung dan beruang bersilih ganti. Pada mulanya bunyi suara tersebut agak perlahan sehinggalah menjadi bising bercampur-baur menjadi laju seolah-olah memarahinya mendekati sebuah batu segi empat bujur itu.

Mendengar suara binatang yang semakin lantang, kecut-perut juga dibuatnya seolah-olah memaksanya meninggalkan tempat itu. Dia terus terjun untuk meninggalkan tempat itu. Tiba-tiba badannya terasa tidak bermaya, kepalanya terasa berat dan ingin pitam seolah-olah ada suatu kuasa ghaib sedang menariknya dari belakang. Dia gagahi juga sambil mencedok sedikit air dari alur sungai tersebut lalu menyimbah ke muka dan meminumnya beberapa teguk. Barulah tenaganya kembali pulih dan kepalanya tidak lagi terasa pening seperti tadi.

Beliau turut mendakwa, batu berkenaan sebagai penutup lubang gua yang wujud di Sungai Cakah Dua itu. Dengan tiba-tiba muncul pula seekor burung yang tidak dikenali berwarna ungu yang dilihatnya di awal kemunculan gumpalan asap putih tadi yang kemudiannya bertenggek di atas batu berkenaan.

Keanehan juga wujud semasa beliau cuba mengesan kehadiran makhluk halus di kawasan itu menggunakan telefon bimbit. Tarikh yang tercatat pada skrin telefon bimbitnya padam dan selepas itu telefon bimbitnya juga turut terpadam dengan sendiri. Hakikat ini menunjukkan, ada makhluk halus berhampiran tempat berdiri di situ.

"Anis akan dapat melihat paras rupa makhluk halus itu jika membawa bersama cermin muka. Tapi sayangnya, cermin muka itu tertinggal", ujarnya sambil melepaskan perasaan kecewa.

Tambahnya lagi, terdapat beberapa lagi peristiwa aneh dari alur sungai tersebut umpamanya sebatang kayu tumbang sebesar batang pinang yang merentangi di tengah-tengah alur sungai yang mana hujungnya mencecah air dan pangkalnya terletak betul-betul di atas sebuah batu yang agak tinggi. Keadaan kayu tersebut seperti sedang tidur berbantalkan batu tersebut.

"Pangkal kayu itu seperti kepala seekor kucing besar sedang mendongak atau memandang ke arah puncak Gunung Tebu itu", katanya.

Mendengar cerita dan pengalaman Anis Sabirin, Abang Aziz cuba mencari jawapan di sebalik rahsia yang tersirat pada petang itu. Sambil menapak di atas seketul batu dalam alur sungai tersebut, beliau cuba bermeditasi untuk melangkah ke alam ghaib bagi melihat perkara sebenar sebagaimana pengalaman yang telah dialami oleh penulis dan Anis Sabirin sendiri.

Dengan tiba-tiba beliau merasakan, batu tempat beliau menapak itu seperti bergoyang. Bahkan keputusannya sudah terjawab bahawa, batu-batu yang tersusun indah yang telahpun dipijak oleh Anis Sabirin sebelum itu merupakan sebuah taman permainan makhluk bunian yang dikelilingi bunga-bungaan berwarna kuning dan merah yang mana kelihatan bulan agak cerah.

"Di kiri dan kanan dalam taman permainan makhluk bunian itu sebenarnya dikawal oleh dua pengawal yang gagah perkasa. Mereka berpakaian seperti seorang pesilat yang berselendang merah", katanya apabila ditanya tentang taman bunian tersebut.

Kehadiran asap putih di bahagian atas dan kuning di bahagian bawahnya sebagaimana yang didakwa oleh Anis Sabirin memang benar untuk menunjukkan kehadiran makhluk bunian tersebut. Keadaan ini amat jelas dari pemerhatiannya bahawa, terdapat tiga gadis dari makhluk bunian Islam muncul. Gadis yang memakai baju kurung berwarna hijau berbunga yang sedang mencangkung sambil mencuci tangan itu ialah kakaknya. Manakala gadis kedua pula memakai baju kurung berwarna merah jambu dan gadis ketiga adalah yang bongsu, memakai baju kurung berwarna kuning tetapi bertubuh kecil.

Menurut Abang Aziz, dari meditasinya itu, ketiga-tiga gadis bunian itu memberitahunya bahawa, ikan karang yang bercahaya biru pada insangnya adalah ikan peliharaan mereka di sebuah kolam indah di tepi laluan pendakian kami. Tambahnya, ketiga-tiga gadis bunian itu pada mulanya ingin melarikan diri kerana mendapati beliau dapat menjejak masuk ke alam mereka.

"Abang Aziz percaya, ketiga-tiga gadis bunian itu adalah dayang istana", katanya apabila penulis ingin mengetahui asal usul gadis tersebut.

Selepas itu, beliau melangkah ke arah taman permainan bunian itu lalu menapak di atas seketul batu yang agak cantik bentuknya. Seketika kemudian, beliau terlihat seorang pemuda berusia dalam lingkungan 30 tahun sedang menunggang seekor kuda berwarna perang dari arah laluan pejalan kaki menuju ke arah Batu Mat Hassan sambil memerhatikan ke arah Abang Aziz.

"Pemuda itu memakai semutar seperti Aladin yang mana pada dahi semutar yang dipakainya ada sebiji batu permata bersinar. Baju yang dipakai oleh pemuda bunian itu pula berwarna kuning kehijauan dan ketebalannya agak jelas di bahagian belakang", ujarnya.

Tambahnya lagi, baju yang dipakai oleh pemuda makhluk bunian itu kelihatan nipis seperti kain sutera bersinar, berkedut di bahagian pergelangan tangan dan mempunyai butang baju yang agak kemas. Berikutan Abang Aziz dapat melihat pemuda makhluk bunian itu dengan jelas, sepantas kilat pemuda tersebut terus ghaib di situ. Dan beliau percaya, pemuda makhluk bunian itu merupakan seorang putera raja.

Menurut Abang Aziz lagi bahawa, kebanyakan pendaki yang tersesat dan terlupa jalan asal lalu masuk ke dunia mereka, ada yang kebingungan, beberapa kes pendaki yang hilang dan tidak pulang-pulang atau ditemui mati bahkan tidak ingin pulang lagi ke dunia manusia, sebenarnya telah disorok, dibawa dan dijelmakan sebuah taman makhluk bunian yang indahm di Sungai Cakah Dua tempat kami merakam gambar, bermeditasi dan mengesan kehadiran mereka berhampiran dengan kami.

Justeru, pada hemat penulis bahawa ekspedisi kami ke Gunung Tebu tempoh hari sebenarnya mempunyai rahsia dan misteri telah mencapai sasarannya walaupun kami diperlihatkan tanda-tanda bahawa kehadiran rombongan kami tidak diizinkan oleh makhluk bunian ke gunung tersebut. Jadi, penulis telah menemui jawapan sebenar mengapa kes manusia tidak pulang ke dunia asal manusia berpunca dari tempat itulah. Itulah Taman Permainan Bunian yang dikelilingi alur sungai bagaikan sebuah tasik indah yang letaknya di Sungai Cakah Dua di Gunung Tebu itu.      

Peserta Ekspedisi Gunung Tebu Pertama pada 7.7.2007 (dari kiri Azmi Mohd. Salleh (Penulis), Aziz Haji Daud (Abang Aziz), Anis Sabirin bin Azmi dan Wan Ibrahim Wan Ismail).

Kami mendaftar di Pondok Pengawal sebelum mendaki.

Abang Aziz (berketayap) dan Wan Ibrahim Wan Ismail bergambar di sebuah batu licin, tempat munculnya seketul tengkorak manusia.



Pendakian Gunung Tebu diteruskan.

Kolam ikan milik tiga gadis bunian.

Anis Sabirin menceritakan kemunculan asap putih dari arah belakangnya dan berkumpul di atas kepalanya.

Arah munculnya gumpalan asap dan tiga gadis makhluk bunian.

Abang Aziz (kanan) sedang bermeditasi dengan makhluk bunian.

Taman Permainan makhluk bunian di Sungai Cakah Dua, Gunung Tebu.

Anis Sabirin (gambar kecil) terjun dari arah batu misteri, tiba-tiba ditarik suatu kuasa.

Batu aneh seperti alat kelamin lelaki ini tiba-tiba ghaib.

Penulis (tengah) bergambar kenangan di Taman Permainan Bunian.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan