RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 4 November 2011

Air Terjun Lata Rek (Kuala Krai)




AIR TERJUN LATA REK

KUALA KRAI, KELANTAN:  AIR TERJUN LATA REK yang terletak dalam daerah Laloh, Kuala Krai, Kelantan adalah di bawah pentadbiran Majlis Daerah Dabong (MDD), sedikit masa dulu agak popular bukan sahaja di kalangan warga tempatan, namun tarikan utamanya adalah penduduk dari luar Kelantan. Perjalanan menuju air terjun ini dari Kota Bharu sejauh 110 kilometer dan 27 kilometer dari Kuala Krai. Apabila anda sampai di simpang empat Laloh, pengunjung akan dapat melihat papan tanda menghala ke arah laluan itu sejauh tiga kilometer.

Sebagai pengetahuan, Air Terjun Lata Rek ini adalah sebuah lata dan sungai yang agak tersohor pada masa dulu berikutan aliran airnya yang agak cetek, bersih dan jernih. Disebabkan Air Terjun Lata Rek merupakan suatu tarikan rekreasi yang popular di Kuala Krai, ia telah menggamit ramai pengunjung untuk melakukan aktiviti rekreasi seperti berkelah, mandi-manda serta berehat di atas pasir luas yang putih.

Dalam pada itu, sungai air terjun ini menjadi dalam setiap kali musim tengkujuh tiba di antara bulan November hingga Februari dan menjadi cetek apabila musim kemarau. Manakala kedalaman air terjun ini menjadi kelaziman yang mencecah 20 meter dan panjangnya 100 meter.

Kebanyakan pengunjung pula sering datang pada setiap kali musim cuti persekolahan, cuti umum serta cuti hujung minggu seperti hari Jumaat dan Sabtu. Lazimnya, pengunjung yang datang ke Air Terjun Lata Rek ini bukan sahaja untuk mandi-manda, namun ada di antara mereka yang mengambil kesempatan untuk berehat sambil menikmati hembusan bayu yang menyegarkan walaupun di musim kemarau. Malahan pengunjung yang sering ke lata ini pastinya akan terhibur dengan bunyi alunan air yang menerjah caruh air dan menghempas batu-batan yang menjadi penghuni setia dalam sungai berkenaan.

Menyaksikan persekitaran tebing Air Terjun Lata Rek hari ini agak menarik berbanding dulu. Ini kerana, pada masa itu Air Terjun Lata Rek ini masih dipenuhi hutan dan semak-samun yang tebal. Pengalaman penulis yang berkunjung buat pertama kali pada tahun 1975 dulu membuktikan, Air Terjun Lata Rek hari ini amat cantik berikutan dihiasi pemandangan luas pasirnya yang putih dan landai tentunya memukau pandangan dan keadaan ini menjadikan persekitaran air terjun ini bertambah gah.

Kemudahan yang disediakan di Air Terjun Lata Rek ini seperti tempat parkir kenderaan yang agak luas dan bebas boleh diberikan pujian. Cuma sesuatu yang agak kurang disenangi yang perlu diberikan perhatian khusus oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Majlis Daerah Dabong (MDD) serta Majlis Daerah Kuala Krai Selatan (MDKKS) adalah berhubung dengan masalah papan tanda yang dipasang di pintu masuk arah Air Terjun Lata Rek yang didapati terlindung dan tidak begitu jelas sehingga menyebabkan pengunjung terpaksa tercari-cari arah ke lata ini. Adalah lebih baik perkataannya ditulis lebih besar supaya lebih jelas merintangi di laluan berkenaan bagi memudahkan pengunjung melihatnya.

Sementara itu, masalah tandas awam juga sering menjadi rungutan pengunjung yang ingin menggunakan kemudahannya apabila tandas berkenaan berkunci seolah-olah tidak membenarkan pengunjung menggunakannya. Di samping wakaf rehat yang agak uzur yang mana bumbungnya telah didapati retak dan kopak tentunya mencacatkan pandangan. Masalah sampah yang dibuang oleh pengunjung tidak bertanggungjawab menjadi agak terbiar yang menggambarkan kawasan persekitaran air terjun ini tidak dijaga atau diurus sebagaimana yang sepatutnya.

Walaupun wujud beberapa kelemahan dan kekurangan atas sikap manusia, namun hakikatnya kehebatan Air Terjun Lata Rek ini tidak pernah kurang walapun bertukar musim kerana ia dijadikan untuk kepentingan manusia menyelami alam ini semahunya. Atas dasar itu, silalah berkunjung dan bawalah keluarga bersama sambil menikmati Air Terjun Lata Rek yang menjanjikan keheningan dan kenyamanan alam sekitarnya yang penuh dengan seribu satu keistimewaannya yang tersendiri.

Papan tanda Air Terjun Lata Rek yang kecil dan mengelirukan.


Lata Rek adalah air terjun yang menarik.

Lata Rek mempunyai pinggir berpasir yang menarik.

Pemandangan luas kawasan Air Terjun Lata Rek.


Suasana hutan di Lata Rek juga menggamit pengunjung.

Aliran sungai dari terjahan Air Terjun Lata Rek.

Kemudahan parkir kenderaan yang luas.

Wakaf rehat yang uzur dan kopak di bahagian bumbungnya.

Tandas awam juga kadang-kadang berkunci.


AKTIVITI KAMI

Pada 24.9.2011, kami tiba di Air Terjun Lata Rek ini ketika hari hampir petang. Agar tidak membuang masa secara percuma, setelah mendapat tempat di kawasan tepi aliran sungai, kami mula menjamu selera terlebih dahulu sebelum melakukan aktiviti.

Sebelum masuk ke dalam aliran air terjun, penulis mengambil kesempatan itu untuk merakam gambar dan selepas itu kami masuk ke dalam air terjun. Selepas itu, kami bergambar kenangan sebelum melangkah pulang.


Penulis (depan) bersama keluarga sedang santai di dada Air Terjun Lata Rek.


Penulis bersama keluarga bergambar kenangan di tebing Air Terjun Lata Rek.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan