RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Rabu, 9 November 2011

Pulau Tengkorak: Xpdc 2010-2011



EKSPEDISI PULAU TENGKORAK

TUMPAT, KELANTAN PULAU TENGKORAK yang terletak 200 meter dari perairan Kampung Ketil, Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan sering dianggap oleh sesetengah pihak sebagai sebuah pulau puaka dan bermisteri dan pulau berkenaan dikatakan menjadi tempat persinggahan kumpulan lanun pada tahun 1969 dulu. Nama 'tengkorak' telah diberikan oleh penduduk kampung pada masa itu berikutan ketua lanun bernama Tok Sang Niaya telah membunuh sekurang-kurangnya 1,000 orang lalu mayat-mayat yang dibunuh itu dihumban dan ditimbuskan di pulau tersebut. Sejak itu, penduduk dari kampung berkenaan mendakwa Pulau Tengkorak berpuaka. Sehingga tarikh 22.1.2010 dan 18.2.2011 lalu, dikatakan tiada siapa yang berani menjejakkan kaki ke pulau tersebut. Banyak kejadian aneh yang didakwa oleh segelintir penduduk dari kampung berkenaan menyatakan, jika dilihat dari jauh bentuk pulau itu seperti seekor buaya dan pada masa-masa tertentu seolah-olah kelihatan seperti seekor buaya sedang melibaskan ekornya.

Dari dakwaan penduduk terbabit, sudah agak ramai yang menerima natijah akibat menjejakkan kaki ke pulau itu seperti disorok, ada yang mendengar suara binatang buas seperti harimau dan beruang sedangkan jika dilihat bentuk pulau tersebut yang dikelilingi air laut, mustahil wujudnya binatang buas.

Seorang penduduk, Zakaria Mamat, 45, memberitahu penulis, salah seorang penduduk dari kampungnya yang mencari lokan di perairan pulau tersebut akhirnya tersesat kerana lokan yang dicarinya semakin banyak sehingga mangsa terlupa jalan pulang kerana telah terlalu jauh ke tengah pulau. Pada masa itu, Pulau Tengkorak masih belum ditumbuhi hutan tebal tidak sebagaimana hari ini.

Banyak lagi kejadian aneh dan penuh misteri yang dianggap tidak masuk akal dialami oleh beberapa penduduk dari kampung berhampiran sewaktu menjejakkan kaki ke pulau itu. Namun, sudahnya mereka tidak kembali ke dunia manusia kerana telah dighaibkan ke dunia jin di mana ada yang mendakwa terdapat dua kumpulan jin Islam dan jin bukan Islam telah menghuni dan menetap di pulau itu sejak dulu.

Disebabkan fobia dengan kejadian itu, beberapa penduduk dari Kampung Ketil itu mendakwa kalau diupah ke pulau tersebut RM1,000 pun mereka tidak akan ke sana. Biar rugi duit daripada menerima bala dan padah. Disebabkan tiada manusia yang menjejakkan kaki ke pulau itulah yang menyebabkan pulau berkenaan ditumbuhi pelbagai spesis tumbuh-tumbuhan yang agak subur sehingga batangnya sebesar paha orang dewasa.

Bagi penulis, Pulau Tengkorak bukanlah pulau puaka dan mengusik. Itu sekadar ketakutan dan fobia yang dialami oleh penduduk dari kampung terbabit. Malahan beberapa media cetak dan elektronik sebelum ini pernah menyiarkan artikel tentang Pulau Tengkorak, mereka merakam foto dari jarak jauh iaitu dari perairan Kampung Geting tetapi tidak pernah cuba memasuki pulau tersebut kerana takut dan kecut perut disebabkan dakwaan berkenaan.

Justeru, disebabkan ingin mencabar ketakutan dan fobia yang dialami banyak pihak tentang puaka Pulau Tengkorak, pada 22 Januari, 2010 peserta kami yang terdiri daripada Azmi Mohd. Salleh (Penulis), Aziz Haji Daud atau Abang Aziz (Pengamal Rawatan Tradisional Warisan Pusaka Tok Kenali), Anis Sabirin bin Azmi (Anak keempat penulis) serta Mohamad Nasiruddin Mohamed Nor (Din) telah melakukan "Ekspedisi Pertama" memasuki perut Pulau Tengkorak.

Ketika di pulau itu, kami juga sempat berkomunikasi dengan penghuni ghaib di pulau itu yang mana salah seorang ketuanya berketayap putih sedang memberi makan 500 ekor biri-biri yang diternaknya, manakala penjaga pulau tersebut tidak berbaju dengan mengenakan seluar jeans lusuh seperti seorang tukang kebun. Kami ekspedisi ke pulau itu hanya sehari sahaja dan kami berangkat pulang pada pukul 6.30 petang pada hari yang sama, tetapi tiada apa yang berlaku dan cuba mengganggu kami. Sedangkan, sebelum kami bertolak ke pulau tersebut dengan sebuah bot sejauh 200 meter, kami dimomokkan dengan pelbagai cerita untuk menghalang penulis dan peserta ekspedisi dari menjejakkan kaki ke pulau itu bimbang natijah buruk yang berlaku. Sudahnya, kami pulang dengan selamat dan penuh kepuasan. Paling menarik buat kami, makhluk halus yang memakai ketayap putih itu pula meminta kami datang lagi pada masa-masa yang akan datang.

Dengan itu, sebagai menyahut pelawaan lelaki berketayap putih berstatus haji dari kumpulan jin Islam itu, pada 18 Februari, 2011 lalu kami melakukan "Ekspedisi Kedua" ke Pulau Tengkorak dengan tujuan bermalam di pulau itu. Untuk ekspedisi kali kedua ini, penulis selaku Ketua Ekspedisi telah membawa 11 peserta lain. Kami berempat Azmi Mohd. Salleh (Penulis), Aziz Haji Daud atau Abang Aziz, Hafaizal Mat Ali dan Anis Sabirin bin Azmi (anak keempat penulis) dari Warisan Pusaka Tok Kenali dan Abjad Malaysia-Kelantan begitu teruja untuk ke pulau itu. Sementara lapan peserta lain sekadar ingin melayarkan hobi untuk memancing di pulau itu yang terdiri daripada Wan Ibrahim Wan Ismail, Hairudin Hasam, Mahazam Daud, Mohd. Naziz Ismail, Mohd. Suhaimi Mohd. Amad, Rashid Mat Hussain, Abdullah Ali dan Mohd. Zulkifli Zainal Abidin (rakan Anis Sabirin).

Sebelum berangkat ke pulau tersebut, kami berempat melakukan beberapa kaedah wasilah Warisan Pusaka Tok Kenali dan Abjad Malaysia. Ini kerana, dari pandangan kami, penghuni ghaib di pulau tersebut sedang mengamuk pada hari itu dan tentunya suasananya agak keras tidak sebagaimana ekspedisi kali pertama dulu. Dari jarak jauh, kami juga dapat melihat istana jin Islam di pulau itu bagi memudahkan kami berangkat dan menjejakkan kaki ke pulau tersebut.

Dengan itu, pada tarikh 18 Februari, 2011 kami bertolak dari Kota Bharu pada pukul 10.45 pagi dan setibanya kami di jeti Kampung Ketil, Pengkalan Kubor kami mula bertolak dengan sebuah bot memuatkan 12 peserta. Kami sampai di perairan Pulau Tengkorak tepat jam 12.00 tengah hari. Sebelum memasuki pulau, kami berempat sekali lagi melakukan kaedah wasilah untuk mengesan dan mengelak daripada gangguan. Setelah selesai, kami mula membuat laluan dengan mencantas dan menebang pokok-pokok yang menghalang laluan berbekalkan parang dan golok yang dibawa bersama.

Anis Sabirin (anak keempat penulis) yang mendahului peserta lain dalam aktiviti membersihkan dan membuat laluan  memberitahu penulis, ketika beliau sedang asyik memotong batang pokok yang menghalang laluannya dengan tiba-tiba jalan yang kelihatan jelas sebelumnya dengan tiba-tiba ghaib (hilang) dan beliau tidak dapat melihat ke arah hadapan. Untuk itu, beliau kemudiannya membaca "Qulhuwallah" sebanyak 40 kali barulah laluan yang ghaib itu dapat dilihat kembali. Tetapi tidak habis setakat itu sahaja apabila beliau diberitahu oleh seorang makhluk halus bersuara lelaki supaya pokok yang ditebang itu dibuat 'ala kadar' sahaja. Namun, Anis Sabirin tidak mempedulikan suara arahan itu dan kerana itu makhluk halus tersebut tidak lagi mengganggunya.

Ketika melakukan aktiviti membersihkan laluan ke perut pulau itu banyak peluh mengalir dan tenaga semakin berkurangan disebabkan perlu memotong akar dan batang pokok sebesar paha orang dewasa yang tumbuh subur di Pulau Tengkorak itu, sehinggalah kami memilih tempat untuk mendirikan khemah dan markas, kami meneruskan aktiviti berkenaan. Bimbangkan kehabisan tenaga dan bekalan air masak berkurangan, penulis meminta peserta yang melakukan kerja itu dibuat secara giliran tidak sebagaimana sebelumnya. Kami selesai membersihkan segala semak-samun dan hutan belukar jam 12.45 tengah hari. Sebelum membina markas, penulis selaku Ketua Ekspedisi mengalunkan azan untuk memaklumkan kepada penduduk di kalangan makhluk ghaib di pulau itu bahawa kami telah menjejakkan ke pulau tersebut. Peserta kami siap membina markas kira-kira jam 3.30 petang.

Setelah berehat selama setengah jam, peserta-peserta lain mengambil peluang mandi air masin, ada yang pergi mencari lokan untuk bekalan BBQ pada sebelah malamnya nanti. Penulis yang telah selesai mandi air masin dan solat Zohor cuba untuk baring beberapa ketika dalam markas yang kami namakan "Markas Abjad Kota Bharu" untuk tujuan melepaskan kepenatan sejak tadi lagi. Ketika penulis sedang berehat itu, penulis dapat melihat dengan jelas bahawa markas yang kami bina itu betul-betul di tengah ruang dalam istana jin di PulauTengkorak itu.

Kami sengaja membina markas sedemikian dalam usaha untuk meneroka, menakluk dan menjajah pulau itu dari dimiliki oleh makhluk ghaib dari bangsa jin Islam dan jin Kafir itu. Kami melakukan kaedah wasilah Warisan Pusaka Tok Kenali dan Abjad dengan menganggap makhluk halus di bawah tapak kaki kami. Kami bukan datang ke pulau itu seramai 12 orang, sebaliknya kami sebenarnya turut diiringi oleh guru-guru kami dan 70,000 malaikat, inilah hebatnya kaedah wasilah. Makhluk halus yang melihat kami dengan rupa yang besar tetapi kami melihat makhluk halus itu kecil sahaja malah selayaknya di bawah tapak kaki kami, sebab itulah  makhluk ghaib tidak dapat mengambil tindakan dan mengganggu kami. Hal yang sama turut diakui oleh Aziz Haji Daud, Hafaizal Mat Ali serta Anis Sabirin.

Tujuan kami membina markas yang berlilitkan plastik putih yang mana laluan masuk dari arah jalan yang kami rentas dan laluan keluar dari sebelah sana adalah untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini. Peserta yang tidak mengetahui kaedah sedemikian perlu menurut arahan kami supaya berada dalam keadaan selamat, manakala pada sebelah malamnya mereka perlu bersama kami dan tinggal di dalam markas yang telah disiapkan itu tetapi tidak boleh keluar sesuka hati.

Pengalaman waktu malam sehingga pagi amat menarik buat kami. Ini kerana, dalam masa kami mengadakan 'bar-b-que' dengan memasang unggun api untuk membakar lokan dan ikan yang telah dapat dipancing pada sebelah petangnya, penulis mengambil kesempatan itu untuk merakam foto kenangan. Dalam banyak foto yang penulis rakam pada malam tersebut, terdapat dua keping foto makhluk halus yang berjaya dirakam menggunakan 'lampu kilat' kamera. Dalam dua keping foto tersebut, sekeping darinya kelihatan empat makhluk halus berjaya dirakam. Di antara bentuk makhluk halus dalam foto itu adalah lembaga cahaya bermata biru, lembaga tengkorak, lembaga seperti manusia yang mempunyai tangan yang agak besar serta lembaga seperti manusia berketayap hitam atau berambut hitam.

Setelah malam semakin larut, kami mengambil tempat masing-masing untuk melelapkan mata. Namun, kami sebenarnya tidak dapat melelapkan mata disebabkan serangan nyamuk yang datang silih berganti. Ketika jam menjengah 3.00 pagi, penulis dapat mendengar suara seperti ada sesuatu sedang berlari dengan agak laju dari arah luar markas yang kami bina itu dan kemudiannya penulis dapat melihat lembaga perempuan sedang melilau dan memandang ke arah kami dari balik tiang keluar markas.

Tetapi lembaga perempuan tersebut kemudiannya ghaib setelah penulis melihat ke arahnya dengan tepat. Selang setengah jam selepas itu pula, rakan penulis bernama Hafaizal Mat Ali memberitahu, beliau melihat lembaga perempuan tadi sedang meniup lilin yang sedang menyala itu sambil dirinya mencangkung. Pada mulanya Hafaizal menganggapnya tidak masuk akal kerana pada malam itu tiada angin yang berhembus, tetapi melihatkan api lilin yang sedang beralun ke sana ke mari agak tidak munasabah. Setelah beliau memerhatikan ke arah lembaga perempuan itu, lembaga itu kemudiannya ghaib. Jika beliau tidak memerhatikan gelagat lembaga itu, sudah tentu barangan yang diletakkan berdekatan dengan api lilin itu akan terbakar. Rupa-rupanya lembaga perempuan itu sengaja meniup api lilin yang sedang menyala untuk membakar barangan kami di situ.

Penulis yang tidak dapat melelapkan mata walaupun sekejap pada malam tersebut turut menyaksikan Aziz Haji Daud (Abang Aziz) turut gelisah kerana terpaksa menepis nyamuk yang datang mengganggu dan menggigit mukanya. Kerana bosan dengan keadaan itu, beliau bangkit untuk membuat unggun api dalam usaha untuk mengurangkan gangguan nyamuk-nyamuk itu. Tetapi dalam beberapa minit kemudiannya, Abang Aziz memberitahu penulis beliau juga turut ditegur oleh lembaga lelaki (berambut hitam) sebagaimana dalam foto yang berjaya dirakam oleh penulis yang meminta beliau tidak menghabiskan atau membakar kesemua kayu yang dikumpulkan di tepi markas kami. Geram dengan teguran lembaga lelaki berambut hitam itu, Abang Aziz menempelak lembaga lelaki itu bahawa kalau makhluk itu menghalangnya juga, beliau akan membakar makhluk halus termasuk pulau itu pula. Selepas itu, makhluk halus yang menegurnya ghaib dan tidak menampakkan dirinya sehingga waktu pagi.

Pada pagi esoknya, 19 Februari, 2011 kami berangkat pulang pada pukul 8.00 pagi. Kejayaan kami menjejakkan kaki di Pulau Tengkorak  adalah sesuatu yang indah dan mencatatkan sejarah yang tersendiri yang tidak pernah dilakukan oleh pihak-pihak yang lain. Tetapi paling menarik lagi apabila kami dapat membina Markas ABJAD Kelantan, kami juga turut menyenaraikan dan memahatkan nama peserta kami yang dapat meneroka, menjelajah dan menakluk Pulau Tengkorak yang dikenali sebagai pulau paling berpuaka juga sebagai peserta pertama yang dapat berbuat demikian sedangkan tiada pihak lain yang sanggup berbuat demikian.    


FOTO EKSPEDISI PERTAMA - 22.1.2010


Seorang penduduk Kampung Geting, Zakaria Mamat.


Aziz Haji Daud (Abang Aziz) sedang bermeditasi dengan ketua makhluk halus.


Bergambar di perairan Pulau Tengkorak jam 6.30 petang.


 FOTO EKSPEDISI KEDUA - 18.2.2011




Peserta ekspedisi menaiki sebuah bot di jeti Kampung Geting jam 11.50 pagi.

Inilah perairan Pulau Tengkorak. Kami sampai di sini jam 12.00 tengah hari.

Kami membuat lorong untuk masuk ke perut pulau.

Penulis memulakan operasi mencantas dahan pohon untuk dibuat penempatan.




Kerja berpasukan memang cepat. Hutan tebal menjadi terang.

Penulis mengalunkan azan selepas kerja siap jam 3.30 petang.


Penulis (kanan sekali) berehat.

Masing-masing ambil kesempatan untuk melepaskan penat.


Kami menyambung kerja, membina khemah atau markas.

Memancing dan mencari lokan.

Sebahagian lokan yang dapat dipungut kerana air laut pasang.

Anis Sabirin (kanan sekali) sedang membakar lokan.

Sebahagian lokan yang dapat dibakar. 


Makhluk halus (bertanda bulat) yang dapat dirakam oleh penulis.


Bergambar kenangan di pagi 19.2.2011 untuk berangkat pulang.

Penulis keluar dulu untuk melihat keadaan sekitar.

Sedang menunggu ketibaan bot di tebing Pulau Tengkorak.

Kami berangkat pulang pada 19.2.2011 jam 8.00 pagi.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

1 ulasan: