RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Isnin, 21 November 2011

Pulau Teluk Renjuna (Tumpat)


PULAU TELUK RENJUNA
(TUMPAT)

TUMPAT, KELANTAN: PULAU TELUK RENJUNA yang terletak dalam daerah Tumpat, Kelantan bukanlah sekadar 33 buah pulau yang terletak di muara Sungai Kelantan. Pulau ini dipisahkan dari tanah daratan di Pengkalan Kok Majid sejauh 200 meter, tetapi merupakan sebuah penempatan dan perkampungan yang dihuni 1,400 penduduk daif dan tersisih meliputi 200 buah rumah yang memerlukan pembelaan dari pihak kerajaan. Mereka juga perlukan pembangunan tersusun sebagaimana penduduk-penduduk daratan sebelah sini. Namun, mereka masih menetap di situ kerana itulah tanah, dunia dan kehidupan mereka.

Wartawan RELATIF yang terpaksa menaiki bot tambang untuk ke Pulau Teluk Renjuna ketika air pasang, sempat menjengah kehidupan di pulau berkenaan dan sempat menemubual seorang warga emas yang juga bekas Penyelia Pembangunan Mukim (PPM), Ibrahim bin Hussein, 61, atau Paksu Him dari Kampung Pantai Haji Nik Mat, Tumpat, Kelantan.

Menurut Paksu Him, kehidupan masyarakat di Teluk Renjuna adalah seratus peratus nelayan kecil meliputi nelayan sungai dan nelayan laut. Kebanyakan nelayan sungai sekadar menangkap ikan dan ketam berbanding nelayan laut yang menangkap ikan di perairan pantai. Mereka turut menggunakan pukat hanyut, pukat harimau dan pukat bawal untuk menangkap ikan dan udang.

Katanya, kebanyakan penduduk kampung berkenaan adalah turun-temurun sebagai nelayan, sejak dari zaman nenek moyang mereka lagi. Selain itu, terdapat juga petani yang mengerjakan sawah padi dan pencari nira (penyadat kelapa). Namun terdapat juga golongan belia yang bekerja sebagai buruh binaan di beberapa tempat di Kota Bharu. Jelas Paksu Him lagi, golongan belia ini bekerja di tempat-tempat berkenaan semata-mata untuk mendapatkan sumber pendapatan yang lebih baik berbanding di Pulau Teluk Renjuna.

Tambahnya, pada masa dahulu, kebanyakan penduduk kampung adalah seratus peratus mengerjakan sawah padi. Tetapi dalam satu tahun itu berlakunya banjir besar, lantas pihak kerajaan terpaksa meletupkan kawasan tersebut untuk tujuan mengelakkan masalah banjir berkenaan, itulah asal usul Kuala Besar sedangkan Kuala Besar sebenar terletak di Tumpat. Ini diikuti pembukaan Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Jadi, dengan wujudnya Kuala Besar di Pulau Teluk Renjuna menyebabkan air masin mula melimpah memasuki beberapa kawasan sawah menyebabkan padi tidak lagi sesuai ditanam di situ.

"Apabila berlakunya banjir, memang mendatangkan masalah kepada beberapa kampung di pulau ini. Pihak kerajaan sendiri pernah berjanji untuk membina benteng. Malangnya, sehingga hari ini tidak ada usaha ke arah itu", cetus Paksu Him dengan nada sedikit kecewa.

Paksu Him menambah, beberapa buah pulau seperti Teluk Rejuna sendiri, Pulau Pisang, Pulau Gorek dan lain-lainnya akan menghadapi masalah banjir yang berlaku setiap kali musim tengkujuh tiba di antara bulan Oktober hingga Disember. Malahan kebanyakan penduduk-penduduk di pulau-pulau berkenaan akan berpindah ke Tumpat kerana rumah kediaman ditenggelami air dan mereka terpaksa menyeberangi sungai berkenaan dengan menaiki bot dalam keadaan arus deras.

"Paksu telah lama mencadangkan kepada pihak kerajaan supaya dibina sebuah jambatan dari jeti Pengkalan Kok Majid ke Pulau Teluk Renjuna iaitu sejak tahun 1995 lagi. Difahamkan, projek berkenaan telah diluluskan satu hala. Tetapi sehingga kini, cadangan itu seperti dibakul sampahkan.

"Pihak kerajaan membisu seribu bahasa, seolah-olah tidak ingin menyelesaikan masalah penduduk-penduduk di sini. Janji sekadar janji saja", keluhnya lagi apabila Penulis mencadangkan pembinaan sebuah jambatan berkenaan.

Kata Paksu Him, setiap penduduk kampung dari pulau berkenaan pasti akan menerima bantuan banjir yang diperuntukkan kerajaan berupa wang tunai RM500 bagi setiap keluarga, beras 10 kilogram (1 kampit), gula dan makanan-makanan ringan yang lain.

Lazimnya bantuan banjir yang diterima setiap tahun akan diperolehi oleh penduduk-penduduk berkenaan ketika berlakunya banjir. Namun kadang-kadang walaupun telah seminggu banjir berlaku, bantuan yang diharapkan masih juga belum diterima. Malah sering berlaku apabila banjir berkenaan telah surut sepenuhnya barulah bantuan itu sampai.

"Setakat ini belum pernah berlaku bantuan tidak diterima. Tetapi jika belum diterima juga, tindakan kami adalah membantu sesama mangsa untuk meringankan beban keluarga terlibat.

"Contohnya, jika terdapat mangsa banjir perlu berpindah kerana rumah dinaiki air, mangsa berkenaan akan menumpang di rumah jiran-jiran yang masih selamat. Maknanya, sifat tolong-menolong yang diamalkan di kampung ini dalam memberikan bantuan kepada sesama penduduk masih menebal dan kukuh", jelasnya.

Menurut Paksu Him, Pulau Teluk Renjuna adalah pulau terbesar yang mengandungi dua buah kampung seperti Lubuk Kawah dan meliputi Teluk Renjuna Hulu dan Teluk Renjuna Hilir. Pulau Beluru meliputi tiga buah kampung seperti Pulau Seratus, Pantai Haji Nik Mat serta Pantai Nik Him. Pantai Suri pula mengandungi sebuah kampung dikenali Pantai Baru, Pulau Tongkang dan Pulau Cendol.

"Di Pulau Teluk Renjuna tidak ada pejabat khusus untuk memudahkan penduduk-penduduk kampung berkenaan berurusan kecuali sebuah sekolah rendah iaitu Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru dan klinik di Teluk Renjuna sendiri serta Klinik Pulau Tongkang", katanya.

Walaupun terdapat sebuah sekolah rendah di Pulau Beluru, namun masalah yang dihadapi pelajar-pelajar dari kampung berkenaan ialah sekolah menengah. Kebanyakan pelajar sekolah menengah dari Tingkatan Satu hingga enam dari beberapa buah kampung seperti Teluk Renjuna Bawah, Pantai Suri, Kedai Buloh, Pantai Haji Nik Mat, Pulau Beluru dan Pulau Seratus yang mana pelajar-pelajar ini terpaksa menyeberangi sungai menggunakan perkhidmatan bot untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pinang. Manakala pelajar dari Pulau Tongkang pula ke Sekolah Menengah Tumpat.

Berhubung dengan tambang bot pula menurut Paksu Him, walaupun dilihat agak murah, namun jika dinilai agak membebankan disebabkan perolehan pendapatan penduduk di kampung-kampung berkenaan agak tidak menentu. Misalnya tambang pergi dan balik setiap hari yang dikenakan kepada pelajar-pelajar dari Pantai Suri ke Pulau Beluru ialah RM1 dan jika ke Sekolah Menengah Tumpat serta dari Pantai Haji Nik Mat ke Sekolah Menengah Sungai Pinang pula RM2. Manakala bagi tambang orang dewasa adalah RM1-50.

"Semasa Paksu menjadi Ketua Kampung di sini dulu, belum pernah berlaku nahas dihanyutkan air atau lemas semasa menyeberangi sungai berkenaan", ujar Paksu Him apabila diminta komen tentang kejadian lemas dan perahu terbalik sebelum ini.

Paksu Him menambah, purata nelayan memperolehi pendapatan ke laut sekitar RM400 sebulan. Dari konteks ini menurut Paksu Him, terpaksalah keluarga terbabit berjimat-cermat untuk mengelakkan sebarang masalah tentang beban kewangan. Tetapi untungnya bagi penduduk-penduduk di Teluk Renjuna tidak perlu mengeluarkan belanja berlebihan berikutan kelapa dan tumbuh-tumbuhan yang boleh dijadikan ulam dan sayur-sayuran seperti pucuk paku memang banyak terdapat di tempat berkenaan.

"Cuma kami sebagai nelayan khususnya nelayan-nelayan kecil di sini menghadapi masalah tidak mempunyai lesen bot dan tiada persatuan nelayan untuk membimbing kami. Pihak kerajaan juga tidak ada usaha untuk membantu kami sedangkan nelayan-nelayan di laut mendapat bantuan seumpama itu", jelas Paksu Him yang ternyata berharap jabatan-jabatan dan agensi kerajaan dapat membela mereka dari segi idea dan sebagainya dalam usaha mempertingkatkan tara hidup mereka sebagai nelayan kecil.

Paksu Him juga turut menyentuh tentang masalah yang dihadapi penduduk-penduduk kampung di Teluk Renjuna berhubung dengan ketiadaan pihak berkuasa keselamatan supaya pihak kerajaan menempatkan sebuah balai polis bagi kemudahan penduduk-penduduk di pulau berkenaan.

"Kami di Pulau Teluk Renjuna juga amat sukar untuk melaporkan sesuatu kejadian kepada pihak berkuasa keselamatan. Balai polis tidak ada di pulau ini kecuali pihak polis dari Palekbang akan sering meronda ke pulau ini dengan bot mereka.

"Walaupun terdapat sebuah balai polis di Kuala Besar berhampiran kompleks LKIM, namun jika terpaksa membuat aduan dan kematian, kami terpaksa melaporkannya di Balai Polis Palekbang", ujar Paksu Him.

Dalam hal ini, Paksu Him berharap bahawa sebagai manusia mereka juga memerlukan perhatian dan pembelaan bukan sekadar retorik dan janji-janji manis di bibir pemimpin-pemimpin politik semata-mata, sebaliknya tidak ada usaha ke arah itu.

Justeru, beliau cuba mengulangi cadangannya supaya kerajaan meluluskan pembinaan jambatan yang boleh menghubungkan di antara jeti Pengkalan Kok Majid dengan Pulau Teluk Renjuna sebagaimana yang ditandatangani pada tahun 1995 itu. Di samping memberikan bantuan dalam beberapa perkara berhubung dengan kemudahan untuk penduduk-penduduk dan pelajar-pelajar di kampung-kampung yang terpisah dengan daratan sebelah sini itu secara adil dan saksama.   


Bekas PPM, Ibrahim Hussein atau Paksu Him ketika ditemubual Wartawan RELATIF.


Pengkalan Kok Majid memisahkan Pulau Teluk Renjuna sejauh 200 meter.

Penulis menaiki bot tambang untuk ke Pulau Teluk Renjuna.

Inilah wajah Pulau Teluk Renjuna dilihat dari jauh.

Jeti di Pulau Teluk Renjuna.

 Wartawan RELATIF mula berangkat pulang dari Pulau Teluk Renjuna dengan bot tambang.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan