RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 18 November 2011

Jeram Perdah (Pasir Mas)


JERAM PERDAH
(PASIR MAS)

PASIR MAS, KELANTAN:  JERAM PERDAH yang terletak di daerah Alor Pasir, Pasir Mas, Kelantan telah diteroka pada awal tahun 1940 oleh seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Syed Kuning. Jeram ini pada ketika itu bukan sahaja tersohor di negeri ini tetapi juga di luar Kelantan, apatah lagi kedudukannya yang bersempadan dengan Tak Bai di Thailand. Manakala sungainya pula mengalir ke arah Pengkalan Kubor yang terletak dalam daerah Tumpat satu-satunya sebatang sungai yang sering digunakan untuk tujuan perdagangan di antara kedua-dua negeri ini.

Walaupun pada masa itu Jeram Perdah masih belum mendapat nama, namun keindahan bentuk geografinya yang dikelilingi hutan serta bukit kecil yang bersempadan dengan Tak Bai di Thailand memang suatu tempat yang agak unik dan kerana itulah jeram ini sering dikunjungi. Kebanyakan pengunjungnya pada masa itu bukan sahaja terdiri daripada penduduk tempatan termasuk daerah-daerah lain di Kelantan, namun kebanyakan darinya adalah pelajar-pelajar sekolah selain penduduk-penduduk terdiri dari negara jiran itu.

Pengunjung yang datang ke sini tidak akan disia-siakan kerana mereka akan terhibur dengan bunyi desiran angin lembut, kicauan burung dan deruan air terjun yang memikat hati. Bahkan di suatu sudut jeram ini, terdapat pengunjung yang datang akan menikmati keindahan panoramanya malahan ada di antaranya untuk memancing pelbagai spesis ikan sungai yang dikatakan penghuni setia di sungai itu kerana aktiviti memancing amat sesuai dengan suasananya yang sunyi apatah lagi sungai di jeram ini bertalian dengan sebatang Sungai Coper di sebelah Tak Bai itu.

Menjelaskan tentang asal usul san sejarah Jeram Perdah, seorang warga emas yang merupakan penduduk jati kampung berkenaan, Taib bin Deris, 72, atau lebih dikenali sebagai Pak Taib berkata jeram tersebut diteroka pada awal tahun 1940 oleh salah seorang penduduk yang hanya dikenali sebagai Syed Kuning. Katanya, ketika Syed Kuning ke tempat itu, beliau mendapati banyak pokok getah tumbuh subur dan hanya beliau seorang sahaja yang mengenali pokok tersebut. Melihatkan keadaan suasananya yang masih dilutupi semak-samun dan hutan tebal yang belum terusik, Syed Kuning memang tidak pernah duduk diam malah seorang yang 'ringan tulang' sehingga sanggup membersihkan kawasan tersebut seorang diri.

"Sewaktu Syed Kuning membersihkan semak-samun di kawasan itu, ternampaklah olehnya aliran air terjun yang memukau pandangannya. Kelihatan juga di tempat yang sama batu-batu tersusun menarik perhatiannya. Kata orang-orang Kelantan, kalau suasana seperti itu, orang panggilnya sebagai 'jeram", ujarnya yang pernah menangkap ikan di jeram itu sewaktu zaman remajanya.

Agak terlalu lama juga beliau dengan kerjanya untuk melihat kawasan jeram itu berkeadaan bersih yang sesekali terkena pancaran sinar mentari yang semakin terik menjadikan suasananya agak panas menyebabkan perutnya yang masih kosong mula berkeroncong sebagai tanda meminta makanan, kerana sejak pagi lagi beliau masih belum menjamah makanan walau sedikit pun. Jadi, dari bekalan nasi berlaukkan beberapa ekor ikan yang dibawanya sebagai bekalan, dia menikmati juadahnya itu dengan agak berselera sekali tambahan pula makan seorang diri di tempat seperti itu menyebabkan dia lupa segala-galanya.

Disebabkan cara makannya agak gelojoh, dia lupa bahawa lauk yang dimakannya bersama nasi itu mengandungi sejenis tulang atau kadang-kadang disebut juga sebagai duri seperti huruf "T". Kebanyakan tulang ikan seperti ini terletak di bahagian perut yang mana dialek masyarakat Kelantan memanggilnya sebagai "perdah". Apa lagi, akibat kegelojohannya itu menyebabkan tulang ikan yang dipanggil perdah itu terlekat di anak kerongkongnya. Keadaan itu menyebabkan matanya berair kerana tulang ikan yang terlekat di kerongkong memang terlalu sukar untuk ditanggalkan. Namun, disebabkan Syed Kuning seorang yang mempunyai pelbagai rahsia diri yang tidak diketahui orang lain, beliau akhirnya dapat mengeluarkan perdah tersebut dengan mudah. Dari situlah Syed Kuning mendapat ilham apatah lagi sebuah jeram yang dikelilingi batu-batan dan terletak di antara anak bukit itu dinamakannya "Jeram Perdah". Selepas itu, sebuah bukit yang berdiri gagah berhampiran jeram itu kemudiannya dikenali Bukit Jeram Perdah diambil sempena nama jeram tersebut.

Tambah Pak Taib lagi, Jeram Perdah sebenarnya kaya dengan cerita-cerita menarik sebagai pengajaran umum. Salah satunya kejadian pada tahun 1940, apabila seorang lelaki yang merupakan pedagang dari Tak Bai, Thailand membawa muatan budu dan pelbagai barangan makanan lain menongkah dengan tongkangnya lalu berlabuh di Jeram Perdah itu. Setibanya lelaki itu di Jeram tersebut beliau amat sukar untuk menaikkan perahu ke atas daratan seorang diri kerana jika diletakkan di tepi jeram bimbang tongkangnya akan dihanyutkan arus. Justeru, terpaksalah 30 tempayan budu yang dibawa oleh lelaki Tak Bai itu terpaksa dibuang kesemuanya ke dalam air di jeram itu kecuali sedikit sahaja sebagai bekalannya.

Tujuan lelaki Tak Bai itu datang ke tempat itu adalah untuk mendapatkan seorang atau dua lelaki dari kampung berkenaan sebagai temannya berniaga. Sekali lagi pedagang dari Tak Bai itu terpaksa memohon pertolongan seramai lapan orang penduduk di situ supaya menurunkan tongkangnya ke gigi air dan sebagai balasannya diberikannya ikan, budu dan manisan sebagai upah dan selepas itu beliau bertolak dengan tongkangnya menyusuri sungai tersebut. Selepas kedatangannya itu menurut Pak Taib, berita tentang peniaga lelaki Tak Bai bersama dua pemuda sebagai pembantu dari kampung berkenaan masih belum diketahui sama ada masih hidup ataupun sebaliknya.

Apabila ditanya tentang suasana sambutan orang ramai pada masa dulu sama ada di kalangan penduduk tempatan dan pelancong dari negeri lain terhadap Jeram Perdah jika dibandingkan dengan hari ini, jelasnya amat berbeza. Menurutnya, pada masa dulu Jeram Perdah memang dikenali ramai khususnya di kalangan guru-guru sekolah. Ini kerana, kebanyakan pihak sekolah akan datang secara berkumpulan (rombongan) untuk mengadakan aktiviti perkelahan dan santai-santai di jeram tersebut kerana suasananya agak damai, airnya jernih tidak sebagaimana hari ini yang didapati keruh dan cetek. Apatah lagi pada masa itu tumpuan orang ramai ke jeram disebabkan adanya air terjun yang cantik dan airnya laju, dapatlah pengunjung mandi-manda sambil bermain air di situ. Selain itu, keadaan jeram yang teduh dan pasirnya yang putih menyilau apabila disilau cahaya matahari cukup menambahkan lagi kecantikan Jeram Perdah.

"Cuma saya agak terkilan sebab keadaan Jeram Perdah hari ini tidak seindah dulu. Puncanya, akibat aktiviti menggali di Sungai Coper sebelah negara jiran itu menyebabkan air kering, apatah lagi projek pembinaan tebing berdekatan menyebabkan air yang ada dulunya agak dalam, tetapi kini semakin cetek sedangkan pada masa itu sungai di Jeram Perdah ini airnya dalam.

"Kalau dulu sungai di Jeram Perdah ini dapat dilalui tongkang dan kapal-kapal bersaiz besar, tetapi saat itu hanya boleh dilalui perahu-perahu kecil sahaja", cetusnya dengan nada sedih.

Selain itu katanya, sesuatu yang amat dikesalkannya apabila di tebing jeram tersebut telah ditimbun batu-batu kerikil, secara langsung atau tidak menyebabkan Jeram Perdah tidak lagi menyerlah apatah lagi keadaannya semakin sempit selain tidak ada papan tanda nama Jeram Perdah dan susur masuk ke tempat itu.

Dalam pada itu, kata-katanya itu bukan sekadar menyedapkan cerita tetapi suatu kejadian pada tahun 1950, sejak aktiviti pembalakan bermula di Jeram Perdah dijadikan sebagai laluan alternatif disebabkan sungainya agak lebar berbanding sungai-sungai lain. Oleh kerana kayu-kayu balak agak besar dan panjang menyebabkannya tersadai kerana sukar dilalui. Selama empat hari usaha untuk mengeluarkan kayu-kayu balak yang dialirkan melalui jeram itu tidak dapat dikeluarkan. Akibat dari halangan kayu-kayu balak yang tersadai di jeram itu menyebabkan aliran airnya terganggu. Manakala rakit buluh yang membawa beratus-ratus batang buluh untuk memasuki Tak Bai bertujuan untuk menjadikannya sebagai unjang tanaman juga terhalang selama tiga hari di kawasan air moleh itu kerana pusingannya tidak melepasi arus air. Akhirnya kayu-kayu balak dan rakit buluh ditinggalkan dan sebahagiannya terbenam di dasar jeram itu.

Menurutnya, purata penduduk di Kampung Jeram Perdah pada hari ini meliputi 28 buah rumah berjumlah 168 orang sahaja. Suatu kejadian yang masih segar dalam ingatannya apabila seekor buaya akhirnya dapat ditembak ekoran mengganas dengan melahap beberapa ekor itik milik beberapa penduduk kampung terbabit yang sedang bermain-main di sekitar jeram itu.

Peristiwa buaya melahap itik-itik itu bukan sekali tetapi berlaku sebanyak tiga kali menyebabkan penduduk dari seberang Tak Bai yang terlihat kejadian itu terus menembaknya sebanyak 20 das dan selang beberapa hari pihak polis dari Kampung Jeram itu turut melakukan hal yang sama.

Tembakan tersebut mengenai tubuh buaya tersebut yang didapati nyawa-nyawa ikan, akhirnya dapat ditangkap oleh arwah Mat Diah seorang warga emas dari kampung terbabit yang arif tentang buaya. Arwah Mat Diah mengangakan mulut buaya tersebut lalu dijerat oleh penduduk-penduduk kampung akhirnya buaya tersebut berjaya diheret ke atas tebing pasir. Selepas itu, buaya tersebut diikat di kiri dan kanan dengan dua batang buluh minyak. Buaya itu kemudiannya diangkat lalu diletakkan di sebuah Musalla Padang Nyior di kampung terbabit lalu tubuh buaya tersebut dibedah, sekalian yang hadir mendapati itik yang dilahap buaya itu tiada lagi dalam perutnya.

Ditanya buaya itu berasal dari sungai mana, beliau menjelaskannya dari sebuah lubuk yang terletak di jeram itu. Walau bagaimanapun, masih terdapat seekor lagi buaya yang menghuni di dasar jeram itu, tetapi buaya terbabit tidak mengganas. Buaya berkenaan mungkin mengetahui ada individu yang sedang memancing, menjala dan menangkap ikan di sungai terbabit, tetapi kerana sifatnya yang suka bersendirian dan tidak bertindak ganas menyebabkannya masih dapat meneruskan hidup, jika tidak tentunya akan mengalami nasib yang sama sebagaimana buaya terawal yang telah dihapuskan.

Kata Pak Taib lagi, suatu kejadian seorang pelajar salah sebuah sekolah yang datang berkelah pernah ditemui meninggal dunia ketika sedang asyik mandi di sungai tersebut. Pelajar terbabit yang tidak tahu berenang terus terjun ke sungai tersebut setelah melihat airnya yang agak tenang kerana terlalu seronok dapat mandi sungai dengan tidak menyedari kedalaman air sungai di jeram itu. Namun, sungai itu bukanlah sebagai penyebab kematian pelajar tersebut, berkemungkinan pelajar itu menemui ajal secara kebetulannya sahaja.

"Kalau ada buaya, memang terdapat lubuknya di dasar sungai itu. Ini kerana, setiap kali banjir melanda menyebabkan airnya berpusing. Melihatnya agak menggerunkan, ketika itu kita tidak akan turun ke sungai walaupun mata pencarian sebenarnya adalah di sungai itu", jelasnya.

Justeru tegasnya, walaupun Jeram Perdah kini tidak lagi tersohor dan seindah seperti dulu, namun bagi orang ramai yang ingin menikmati sedikit saki baki kedamaian dan menghirup udara yang nyaman di jeram itu masih boleh menikmatinya lagi hari ini.

Walaupun wujud kejadian yang agak mengejutkan seperti penemuan buaya, namun kejadian seperti itu tidak lagi berlaku hari ini. Kecuali berlaku kesan perubahan alam sekelilingnya sahaja yang cacat akibat kegagalan pihak kerajaan negeri untuk menjadikannya sebuah taman rekreasi dan jeram yang indah untuk dikunjungi. Manakala hari ini, Jeram Perdah terkenal juga sebagai destinasi pemancing terutamanya di kalangan remaja-remaja dan penduduk-penduduk  dari negara jiran itu yang masih menjadikan amalan menangkap ikan sebagai aktiviti turun-temurun.        



Taib bin Deris ketika ditemubual Penulis di kediamannya.

Susur masuk ke Jeram Perdah dilitupi hutan dan semak-samun tebal.


Penulis menjejak Jeram Perdah. Kawasan tebing ini sering dinaiki banjir.



Di batu inilah bermulanya kisah dan asal usul nama Jeram Perdah.


Di sinilah seekor buaya berjaya ditembak kerana melahap itik penduduk kampung.

Ombak beralun merupakan air terjun Jeram Perdah. Seberang sana adalah Tak Bai, Thailand.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan