AIR TERJUN LATA HUJAN
(TANAH MERAH)
TANAH MERAH, KELANTAN: LATA HUJAN atau dikenali juga Taman Rekreasi dan Air Terjun Lata Hujan terletak di Gual Ipoh, Tanah Merah, Kelantan. Perjalanan ke Taman Rekreasi Lata Hujan ini adalah sejauh 8 kilometer dari bandar Tanah Merah dan 65 kilometer dari bandar Kota Bharu adalah kawasan perkelahan menarik bukan sahaja menjadi tumpuan masyarakat setempat, namun terdapat juga pengunjung dari Kota Bharu dan pengunjung luar Kelantan seperti dari Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur sebagai destinasi utama mereka semata-mata untuk melihat panorama hutannya yang masih belum tercemar di samping merasai aliran airnya yang sejuk dan selain untuk merehatkan badan serta menenangkan fikiran.
Kebanyakan pengunjung yang sering ke Lata Hujan memilih hari paling sesuai seperti cuti hujung minggu terutamanya hari Jumaat dan Sabtu, cuti persekolahan, cuti umum mahupun hari-hari perayaan.
Seorang pengunjung tetap ke Lata Hujan, Mohd. Hafizi bin Zainuddin, 18, yang berasal dari Kampung Bechah Laut, Tanah Merah, Kelantan berkata, beliau ke Lata Hujan bukan sahaja ingin meraikan rakan-rakannya dari Raub, Pahang tetapi juga disebabkan Lata Hujan agak hening, segar dan sejuk mata memandang.
"Keadaan persekitaran di Lata Hujan agak hening, segar dan sejuk mata memandang. Air yang mengalir di lata ini pun agak dingin walaupun di musim kemarau. Hutan yang ada di sini juga adalah hutan asal yang masih belum diteroka dan bebas dari pencemaran", katanya apabila ditanya kenapa beliau sering ke Lata Hujan.
Menurut Mohd. Hafizi lagi, setiap pengunjung ke Lata Hujan terutamanya kanak-kanak tidak akan rugi kerana walaupun tempat berkenaan agak baru bagi mereka, namun di kawasan kolam di lata berkenaan telah dibina tempat gelongsor terus ke dalam air bagi kemudahan kanak-kanak bermain air. Keadaan aliran airnya agak perlahan sememangnya tidak membahayakan mereka dan amat sesuai untuk mandi-manda pelbagai peringkat usia sama ada golongan dewasa, remaja dan kanak-kanak.
Manakala di bahagian atas Lata Hujan itu, kebanyakan penduduk setempat menamakannya Bukit Lata Hujan kerana di situ terdapat air terjun yang amat cantik mata memandang yang mana perjalanan dari aras bawah ke atas bukit berkenaan memakan masa selama 20 hingga 30 minit. Dalam perjalanan merentasi laluan yang secara langsungnya pengunjung terpaksa meredah belukar dan caruh air terjun. Anda akan dapat menyaksikan keindahan panorama hutannya yang menghijau sudah tentu menggamit setiap pengunjung yang pernah melihatnya, tentunya akan melupakan segala masalah yang pernah menimpa. Dalam perjalanan ke tempat yang sama, anda akan melalui sebuah jambatan gantung dan di sini anda akan dapat melihat secara lebih dekat tentang keunikan air terjun tersebut termasuk kawasan persekitarannya.
Di samping itu, jika berkesempatan pengunjung yang mendaki ke Bukit Lata Hujan berhampiran air terjun tersebut pasti akan dapat melihat sepasang gajah liar sedang berkeliaran di kawasan itu. Pasangan gajah tersebut tidak mengganggu sesiapa, tetapi dengan adanya haiwan tersebut untuk memberikan gambaran bahawa tentang kesuburan tumbuh-tumbuhan dan hutan yang wujud di situ masih belum terusik oleh sebarang aktiviti penerokaan haram.
Sementara itu, menurut Mat Zain bin Kadir, 46, seorang pengusaha gerai makanan ringan di Kampung Gerakan Desa Wawasan (GDW) Blok Ulu Kusial dekat sini berkata, Lata Hujan tersebut merupakan idea dan konsep daripada pihak Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar). Katanya, Lata Hujan ini dibuka pada tahun 2000 dan telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa), Tan Seri Haji Annuar Musa.
Di antara kemudahan yang disediakan kerajaan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Taman Rekreasi Lata Hujan umpamanya wakaf rehat, surau, tempat berkhemah untuk menjalani latihan dan kursus, tempat gelongsor untuk kanak-kanak, gerai makanan, bilik penginapan serta tandas awam.
Walaupun suasana dan kemudahan yang disediakan itu masih belum sempurna sepenuhnya, namun anda tidak akan rugi untuk menjadikan Taman Rekreasi Lata Hujan sebagai destinasi pelancongan indah dan menyegarkan di Pantai Timur khususnya di Tanah Merah ini. Justeru, berilah sokongan dan sahutlah seruan kerajaan untuk menjadikan taman rekreasi sebagai taman riadah bersama keluarga.
Papan tanda arah Lata Hujan.
Papan tanda Taman Rekreasi di pintu masuk ke Lata Hujan.
Inilah wajah Lata Hujan yang mendamaikan.
Aliran air dari Air Terjun Lata Hujan.
Gambar: Wakaf rehat.
Tandas awam.
Rumah penginapan.
Taman permainan kanak-kanak.
Gerai makanan.
Jambatan gantung di Bukit Lata Hujan, menuju Air Terjun Lata Hujan.
Mat Zain bin Kadir.
Mohd. Hafizi bin Zainuddin.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan