RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Rabu, 16 November 2011

Gunung Stong: Xpdc 29.4.2011


EKSPEDISI GUNUNG STONG

KUALA KRAI, KELANTAN GUNUNG STONG yang terletak di Kampung Jelawang dalam daerah Dabong, Kuala Krai, Kelantan termasuk dalam Hutan Simpan Dabong merupakan hutan dara yang telah diwartakan sebagai Hutan Taman Negeri Kelantan. Ketinggian Gunung Stong mencapai 1,433 meter dari aras laut merupakan gunung kedua tertinggi di Kelantan selepas Gunung Ayam setinggi 1,504 meter. Namun paling menarik tentang Gunung Stong ialah suasana flora dan faunanya yang menghijau memang memukau pandangan, penuh dengan khazanah alam dan merupakan tempat laluan gajah liar. Apatah lagi, air terjun yang terkenal di Gunung Stong yang dikenali Air Terjun Jelawang atau Air Terjun Gunung Stong setinggi 305 meter merupakan air terjun yang kelima paling menarik di Malaysia dan tertinggi di Asia Tenggara.

Bercerita tentang Gunung Stong yang berdiri gagah terletak berhampiran dengan Gunung Ayam itu ternyata menarik minat Penulis. Ini kerana, selain bentuk geografinya yang berubah-ubah yang mana setiap pendaki perlu melalui beberapa halangan ekologi seperti lopak air, akar kayu, pokok tumbang, tanah yang licin dan berliku serta ketinggian yang mengejutkan di awal pendakian, secara langsung atau tidak setiap pendaki perlukan ketahanan mental dan fizikal. Tetapi tanpa disedari umum, Gunung Stong juga kaya dengan kisah misteri di sebalik tasik dan hutannya yang tebal itu.

Berdasarkan kepada kehebatan Gunung Stong apatah lagi begitu gah dengan kehebatan air terjunnya yang tersohor, pada 29 April, 2011,  kami yang terdiri daripada Azmi Mohd. Salleh (Penulis), Aziz Haji Daud atau Abang Aziz (Pengamal Rawatan Tradisional Warisan Pusaka Tok Kenali), Hafaizal Mat Ali, Wan Ibrahim Wan Ismail (Abang Him) serta Mohd. Hafiz Abdul Rahman telah melakukan 'Ekspedisi ke Gunung Stong' semata-mata ingin menikmati keindahan dan kesegaran hutannya di samping merasai pengalaman misteri di sebuah tapak rumah rehat asal dan sebuah tasik yang ada kaitan dengannya.

Atas dasar itulah, pada pukul 1.00 petang hari tersebut kami bertolak dari Kota Bharu ke Dabong, Kuala Krai sejauh 150 kilometer melalui jalan utama menghala ke Jalan Dabong sehingga tiba di kaunter pendaftaran mendaki jam 5.00 petang. Setelah kelima-lima peserta kami mendaftar dengan dikenakan bayaran RM35 untuk tujuan memasuki perut hutan, kami memulakan langkah melalui trek pejalan kaki yang dibina khusus. Selepas melalui trek pejalan kaki berakhir, kami bersama-sama meniti Jambatan Gantung menyeberangi caruh air dan batu-batu air terjun untuk sampai ke kaki Gunung Stong.

Pada awal mendaki, Penulis berasa agak terkejut kerana ketinggiannya agak ketara berbanding dengan Gunung Tebu yang terletak di Besut, Terengganu disebabkan bentuk geografinya begitu mendongak apatah lagi pada masa yang sama lutut sudah mula berasa perit. Namun, kerana semangat mendaki agak tinggi Penulis meneruskan pendakian walaupun terpaksa berhenti beberapa kali untuk mengumpul tenaga berikutan barangan dan bekalan makanan yang dibawa agak berat kerana terlalu banyak.

Setelah melalui beberapa jalan penuh berliku, pokok tumbang, halangan ranting dan dahan pokok merintangi laluan, akar kayu dan tanah licin, apatah lagi beberapa minit selepas itu hujan renyai-renyai tiba-tiba turun menyebabkan pakaian Penulis kebasahan. Kami kemudiannya tiba di sebuah wakaf rehat yang dibina di tengah-tengah laluan pada pukul 6.15 petang. Setelah berehat selama 15 minit dalam usaha untuk mengumpul tenaga dan semangat yang tinggi, kami meneruskan pendakian dan kemudiannya peserta kami tiba di tempat yang dituju di tapak perkhemahan Baha's Camp pada pukul 7.15 malam.

Setelah menyandarkan beg dan bekalan yang dibawa kami mengambil kesempatan itu untuk berehat selama 15 minit supaya keringat yang mengalir di tubuh kami dapat kering sepenuhnya. Kami kemudiannya membersihkan badan dengan mandi ala kadar sahaja dalam usaha untuk mengurangkan masalah bau peluh yang mengalir sekian banyak sejak kami mula-mula mendaki lagi. Kemudiannya, kami menunaikan solat Maghrib dan Isyak dan bersama-sama menjamah bekalan makanan dan minuman yang dibawa.

Tujuan kami bertapak di Baha's Camp iaitu di sebuah tasik yang tersohor di Gunung Stong itu kerana, Penulis pernah mendapat maklumat bahawa beberapa tahun lalu terdapat sebuah rumah rehat bersebelahan tasik tersebut dikatakan berpenunggu. Dari cerita yang Penulis dengar, terdapat sepasang suami isteri yang menyewa dan ingin menginap di rumah rehat itu telah dicampakkan keluar dari rumah rehat itu sedangkan mangsa tidak dapat melihat siapakah yang berbuat demikian. Walau bagaimanapun, rumah rehat tersebut kini telah dirobohkan. Malahan Penulis difahamkan, disebabkan rumah rehat itu dirobohkan seolah-olah makhluk halus yang mencampakkan mangsa seperti tidak senang dan mereka dikatakan sering mundar-mandir di kawasan tapak khemah terutamanya tapak rumah rehat asal termasuk di kawasan tasik air terjun itu. Berdasarkan laporan, banyak korban mangsa yang terjadi dalam tasik tersebut terutamanya ketika air terjun memenuhi sehingga ke tebing.

Setelah selasai menunaikan solat Isyak, sambil Penulis berbual-bual dengan Abang Him di samping mengambil kesempatan tersebut untuk menjamu selera. Ketika itulah Penulis terpandang sebatang tubuh lelaki yang memakai baju berwarna biru muda dari arah sebatang pokok agak sebesar berdekatan dengan warung tempat Penulis sedang menikmati sebuku roti yang mana makhluk berkenaan seolah-olah sedang memerhatikan ke arah Penulis. Namun, Penulis tidak mempedulikannya dan peluang seperti itu digunakan sepenuhnya oleh Penulis untuk melihat bentuk tubuh makhluk halus yang dimaksudkan itu seperti manusia juga.

Selang beberapa minit kemudian, rakan Penulis bernama Hafaizal Mat Ali meminjam kamera kecil milik Penulis lalu bergegas ke arah tapak asal rumah rehat yang dimaksudkan untuk merakam gambar. Rupa-rupanya foto yang dirakamnya pada 9.30 malam itu membuahkan hasil didapati terlalu banyak aura dan gelombang tentang wujudnya makhluk halus dalam bentuk asap putih di kawasan itu. Melihatkan keadaan itu, Penulis mencapai kamera digital resolusi tinggi untuk merakam foto makhluk halus yang dikatakan mula berkeliaran dari tapak rumah rehat asal menuju ke warung tempat kami menjamu selera. Dari tiga keping gambar yang dapat dirakam Penulis, sekeping gambar yang dimaksudkan kelihatannya tiga makhluk halus dalam rupa manusia tetapi agak gelap iaitu dua lelaki dan seorang wanita sedang memerhatikan ke arah Penulis yang sedang merakam gambar mereka. Penulis mengistilahkan ketiga-tiga makhluk ghaib tersebut sebagai 'lembaga hitam' kerana kelihatannya seperti bayang hitam.

Dari bukti foto rakaman itu menggambarkan, makhluk halus terbabit memang wujud di tempat yang dimaksudkan dan mereka sebenarnya tidak ke mana-mana kerana di situlah dunia dan perkampungan asal mereka. Sebagai manusia, kitalah penceroboh perkampungan mereka kononnya atas nama pembangunan dan aktiviti gelojoh manusia. Mungkin manusia beranggapan tiada sesuatu yang dirosakkan kerana kita tidak nampak sesuatu yang telah musnah yang dialami oleh makhluk mereka. Jadi, bermula dari saat itulah beberapa kejadian ngeri terjadi di kawasan berkenaan termasuk di sebuah tasik berdekatan dan kolam mandi di hujung tasik tersebut.

Dalam masa yang sama juga, Abang Aziz melihat makhluk yang sama sebagaimana yang dapat dirakam oleh kamera Penulis. Katanya, ketika kami masing-masing sedang bersarapan, beliau terpandang seekor lipan yang mana kepalanya berwarna biru sementara tubuhnya berwarna oren kekuningan sedang menjilat air yang tumpah di atas meja tempat kami menjamu selera. Melihat lipan yang aneh itu beliau mengetuknya dengan sebatang sudu, seurus selepas terkena ketukan lipan tersebut tiba-tiba ghaib. Beliau percaya, lipan tersebut bukanlah seekor serangga biasa tetapi jelmaan jin yang tinggal berdekatan dengan tempat kami.

Malahan ketika kami sedang bercerita sehingga menjangkau waktu pagi ditemani hembusan bayu dingin dari arah tasik itu, kami membuat keputusan untuk melelapkan mata beberapa ketika. Walau bagaimanapun, kami berlima hanya tidur beralaskan plastik serta berbantalkan kain sarung dan sejadah tanpa membawa khemah sebagai hamparan tempat tidur kami. Dapat juga kami melelapkan mata sementara menunggu fajar pagi menyingsing esoknya.

Sementara itu, ketika peserta ekspedisi kami sudah melelapkan mata seorang demi seorang, ketika itulah berbagai kejadian misteri dan gangguan yang dialami oleh beberapa peserta kami. Salah seorang peserta kami, Wan Ibrahim Wan Ismail (Abang Him) tiba-tiba terkejut dan terbangun dari tidurnya kerana katanya beliau berasa seperti digigit seekor lipan di pipinya. Apabila disentuh tempat gigitan itu, barulah beliau berasa sakit yang menyucuk dan kesakitan itu beransur reda setelah disapukan minyak urutan yang dibawa khas olehnya. Dari kejadian itu, Penulis berpendapat Abang Him telah diganggu jin yang menjelma dalam bentuk lipan yang sebelumnya telah diketuk oleh Abang Aziz dengan sebatang sudu.

Kejadian berkenaan tidak selesai setakat itu sahaja kerana Abang Aziz yang tidur agak lena pada malam itu juga turut diganggu, apabila jari kakinya seperti digigit dan disentak sesuatu. Kejadian yang sama turut dialami oleh Hafaizal Mat Ali apabila kakinya juga turut digigit dan disentak berkali-kali. Hanya Penulis dan Mohd. Hafiz sahaja yang tidak diganggu sehinggalah waktu Subuh berkumandang.

Pada pagi esoknya (30 April, 2011), kami bergambar kenangan di Kolam Tuan Puteri dan Air Terjun Telaga Tujuh, sebuah kawasan yang kaya dengan kisah misteri. Setelah bersiap-siap, kami mula melangkah perlahan-lahan meninggalkan kolam dan tasik tersohor yang banyak menyimpan kisah aneh dan pelik itu pada pukul 9.00 pagi dan tiba kembali di kaunter pendaftaran tepat jam 10.00 pagi untuk mengucapkan selamat tinggal dan kami bertolak pulang dengan memperolehi sedikit pengalaman dan kenangan yang mungkin tidak dapat dilupakan. 



Papan tanda arah ke Gunung Stong di daerah Dabong, Kuala Krai.


Inilah Air Terjun Jelawang atau Air Terjun Gunung Stong.


Bergambar di kaki Gunung Stong selepas mendaftar untuk mendaki.


Jambatan gantung di kawasan kaki Gunung Stong.

Pendakian kami melalui trek pejalan kaki ini.


Laluan dan lorong kecil sebagai trek pendakian kami.


Kami berhenti selama 15 minit di wakaf rehat yang disediakan.


Inilah kolam Air Terjun Gunung Stong. Kami tiba di tempat ini jam 7.15 malam.


Tiga lembaga sempat dirakam Penulis berhampiran pokok kayu ini.

Aura dan gelombang seperti asap tentang wujudnya makhluk halus di tapak asal rumah rehat.

Tapak asal rumah rehat yang dirobohkan.


Nampak tenang, tetapi inilah kolam air terjun misteri.

Air Terjun Gunung Stong dari rakaman sisi.


Kami bersiap untuk pulang pada 30.4.2011.


Bergambar berlatar belakangkan Air Terjun Telaga Tujuh.

Kolam Tuan Puteri.

Landskap hutan di Gunung Stong memang mengagumkan.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD.SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan