RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Sabtu, 19 November 2011

Kota Bharu Kota Budaya (Kelantan)


KOTA BHARU KOTA BUDAYA
(KELANTAN)

KOTA BHARU, KELANTAN: KOTA BHARU merupakan ibu negeri Kelantan dan sebuah bandar yang unik di Pantai Timur. Bandar ini dibuka dengan rasminya pada masa pemerintahan Sultan Muhammad II pada tahun 1844. Dulu bandar ini dikenali sebagai Kota Saba' dan kini Kota Bharu tersohor sebagai pusat pentadbiran kerajaan negeri yang dinamakan Kota Darul Naim. Bahkan Kota Bharu juga dikenali sebagai 'Serambi Mekah' menjadi pusat perniagaan bagi kebanyakan kaum wanita.

Kelantan banyak melahirkan tokoh-tokoh ulama dan wali tersohor seperti Muhammad Yusof bin Ahmad atau Tok Kenali selain tokoh politik, sasterawan dan kebudayaan. Kerana itulah banyak masjid dan surau didirikan dibina bagi menampung jemaah dan masyarakat setempat seperti Masjid Muhammadi yang merupakan masjid tertua di Kelantan yang terletak di Jalan Padang Bank serta Masjid Sultan Ismail Petra yang dikenali juga sebagai Masjid Kubah Biru iaitu masjid yang tercantik di sini terletak di Kubang Kerian.

Selain itu, Kompleks Balai Islam yang terletak di Lundang, Jalan Sultan Yahya Petra menjadi pilihan individu dan pertubuhan Islam untuk mengadakan ceramah keagamaan selain pelbagai pameran untuk orang ramai mendapat maklumat sewajarnya.

Hari ini, Kota Bharu diberikan jolokan 'Kota Bharu Kota Budaya', sinonim dengan peranannya menjadi pusat kegiatan seni dan warisan budaya rakyat seluruh negeri Kelantan. Peranannya turut diperkuatkan dengan pembinaan Gelanggang Seni yang terletak di Jalan Mahmood sebagai wadah golongan seni, budaya dan sastera menketengahkan bakat dengan mempersembahkan pelbagai acara dikir barat, rebana ubi, permainan gasing dan sebagainya.

Tidak lengkap rasanya bagi pelancong jika tidak mengunjungi beberapa pasar utama seperti Pasar Besar Siti Khadijah (dulu dikenali Pasar Besar Buluh Kubu) serta Bazar Buluh Kubu yang mana kedua-duanya terletak di Jalan Buluh Kubu.

Pasar ini berbentuk segi lapan dan mempunyai empat tingkat mengikut jenis barangan yang dijual dari barangan basah sehinggalah barangan keperluan harian seperti runcit dan pakaian. Disediakan juga tempat untuk menjamu selera yang dikhaskan di tingkat satu serta kuih-muih tradisional di tingkat bawah. Manakala Bazar itu pula ditempatkan pelbagai jenis pakaian dari peringkat kanak-kanak sehingga orang-orang dewasa.

Selain itu, di Kota Bharu juga terdapat Muzium Negeri Kelantan yang terletak di Jalan Sultan Ibrahim selain Stadium Sultan Mohd. IV yang terletak di Jalan Mahmood sebagai stadium perlawanan bolasepak yang utama di Kota Bharu khususnya dan di Kelantan amnya.

Bagi peminat kraftangan pula, bolehlah mengunjungi Kampung Kraftangan yang terletak di Jalan Hilir Balai kerana pelbagai barangan kraf serta makanan tradisional boleh didapati di sini, malah anda juga dapat melihat sendiri cara pembuatannya.

Berkunjunglah ke Kota Bharu, Kelantan kerana segalanya ada di sini. Anda boleh menikmati pelbagai jenis makanan tradisional popular yang tidak mungkin dapat anda temui di tempat lain. Rancanglah perjalanan anda sempena Tahun Melawat Malaysia.

Papan tanda Kota Bharu.

Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI), sebagai Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Mercu tanda: Menara jam dan replika Al-Quran di Jalan Sultan Ibrahim.

Kota Darul Naim: Pusat pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan di Jalan Kuala Krai.

Bazar Buluh Kubu: Pusat pakaian di Jalan Buluh Kubu.

Pasar Besar Siti Khadijah di Jalan Buluh Kubu.

Gelanggang Seni: Pusat kebudayaan dan kesenian Kelantan di Jalan Mahmood.

Stadium Sultan Mohd. IV di Jalan Mahmood.

Perbadanan Muzium Negeri Kelantan di Jalan Sultan Ibrahim.

Bazar Tok Guru di Jalan Sultan Ibrahim.

Kampung Kraftangan: Pusat kraftangan di Jalan Hilir Balai.

Pintu masuk Kota Kubang Labu.

Istana Negeri di Kubang Kerian.

Kompleks Balai Islam Lundang di Jalan Sultan Yahya Petra.

Masjid Muhammadi: Masjid tertua di Jalan Padang Bank.

Masjid Sultan Ismail Petra atau Masjid Kubah Biru di Kubang Kerian.

Mini taman di bandar Kota Bharu di Jalan Sultan Ibrahim.

Pusat bandar Kota Bharu di Jalan Doktor.

Laluan menuju pusat bandar Kota Bharu di Jalan Kuala Krai.

Bank Pitis.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan