RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 4 November 2011

Gua Seto: Xpdc 24.10.2011



EKSPEDISI GUA SETO

KUALA KRAI, KELANTAN:  GUA SETO yang terletak di Kampung Gua Ikan dalam daerah Dabong, Kuala Krai, Kelantan merupakan sebuah gua yang letaknya berhampiran dengan Gua Ikan sememangnya tidak tersohor sebagaimana Gua Ikan. Disebabkan tidak begitu popular kepada umum, gua ini memang tidak dicatatkan di dunia maya dan tidak pernah dikunjungi pelancong dari dalam negara apatah lagi pelancong luar negara.

Jarak perjalanan dari Pekan Dabong ke Gua Seto adalah kira-kira 42 kilometer dan dari Kota Bharu kira-kira 150 kilometer.

Walau bagaimanapun, Gua Seto dianggap unik. Disebabkan adanya keunikan apatah lagi apabila penulis sendiri mengetahui dunia gua tidak sebagaimana di luar yang sunyi dari gangguan bunyi bising. Keadaan ini diikuti pula apabila penulis mendapat maklumat bahawa ada laluan bawah tanah melalui gua, sementelah pula setiap adanya gua tentunya di atasnya pula adalah sebuah gunung, malah pendakiannya paling singkat tidak sebagaimana sesetengah gunung yang perlu didaki melalui lerengnya menyebabkan keletihan malah lambat sampai ke puncak. Namun, dengan memasuki gua pendakian ke puncak paling singkat dan pantas.

Pada tarikh 24.10.2011 yang lalu, kami enam peserta yang terdiri daripada Azmi Mohd. Salleh (Penulis), Azhar bin Azmi (Anak Ketiga Penulis), beberapa penduduk dari Kampung Gua Ikan yang terdiri daripada Zakaria Mohamed (Pak Da Soh), Pak Ku Am, Kassim serta Mohd. Adhar (Pak Ar) telah melakukan Ekspedisi Membongkar Dunia Gua.

Dari laluan jalan utama di hadapan gerai makanan milik Pak Da Soh, kami mula mendaki untuk memasuki lubang gua dengan catatan masa 15 minit. Setelah tiba di gua yang dimaksudkan, kami mula memasuki pintu dan lubang gua yang mana di tingkat satu gua berkenaan sememangnya banyak laluan yang perlu kami redah. Ketika kami sedang asyik meninjau beberapa lorong dalam gua, dengan tiba-tiba kami terpandang seekor katak biasa yang mana saiznya lebih besar berbanding katak yang pernah dilihat di luar gua sedang melompat, mungkin agak terkejut dengan gerombolan kami dan ingin melarikan diri. Dalam masa satu jam kami berjaya menyelongkar dan melalui beberapa lorong dan laluan di dalam gua sehinggalah kami tiba di sebuah kilauan seperti berlian. Dari penglihatan kami, penulis menyangka ia pasir yang mudah berderai namun apabila disentuh pasir tersebut adalah batu yang agak pejal dan keras.

Setelah selesai menerjah beberapa lorong dan laluan di dalam gua, kami berenam keluar dari lubang gua menuju ke arah lereng Gua Seto untuk meneruskan aktiviti kami seterusnya. Setelah melangkah beberapa ketika melalui lereng gua tersebut kami dapat melihat dari atasnya sebuah sungai yang mengalir di bawahnya. Dari lereng gua itu, kami turun ke sungai berkenaan dan dari situ kami berenam mula mendaki melalui celah-celah pokok yang hidup subur dengan cara bergantung melalui akar-akar pokok yang bergayutan di lereng gua berkenaan untuk sampai ke tingkat dua. Selang kira-kira satu jam, kami sudah tiba di tingkat dua Gua Seto. Dari situlah kami menyusuri laluan dalam gua ke tingkat tiga dan kemudian kami bergambar kenangan. Kata Pak Da Soh, ruang Gua Seto di tingkat dua boleh menempatkan 1,000 orang manakala di tingkat tiga pula seramai 500 orang. Selepas itu, kami turun kembali ke tingkat dua, lalu menemui dua batu yang mana sebuah batu berkepala ular seperti ular dan sebuah batu lagi seperti katak biasa. Menurut Pak Da Soh, memang Gua Seto dihuni seekor ular sebesar "Anaconda".

Dari lubang gua di tingkat dua itu, kami berenam turun melalui lereng gua berkenaan dengan cara bergayutan dengan akar-akar kayu yang tumbuh subur sebagaimana yang pernah kami memanjat beberapa minit tadi. Apabila tiba di bawah, kami menyusuri sebuah lata atau sungai yang mengalir setia di bawah gua itu. Setibanya kami di atas tebing, didapati kami sudah berada di Gua Ikan. Dari Gua Ikan itu kami melangkah pulang. Perjalanan memasuki gua dan mendaki lerengnya selama tiga jam itu adalah pengalaman baru buat Penulis yang boleh dikategorikan sebagai aktiviti lasak.

Sebagaimana yang pernah Penulis dimaklumkan, terdapat individu yang menyatakan bahaya memasuki gua kerana dibimbangi sesat di dalamnya ataupun diganggu pelbagai makhluk ghaib termasuk binatang buas. Namun, ketahuilah bahawa orang-orang zaman lampau berjalan kaki dalam jarak yang jauh tentunya jika melalui jalan darat (luar) terpaksa mengharungi beberapa ranjau dan duri, akar kayu, hutan, gunung dan bukit-bukau yang tinggi. Tetapi kenapa mereka cepat sampai ke destinasi yang dituju? Salah satunya ialah melalui jalan-jalan gua dan kemudiannya menyusur melalui jalan bawah tanah.

Justeru, jelaslah bahawa laluan bawah tanah bermula dari lubang gua. Kerana dalam gualah manusia akan memperolehi ketenangan dan ketenangan dari segala gangguan. Sebab itulah golongan bertapa, bersuluk dan uzlah dilakukan di dalam gua memperolehi dan mencapai tahap paling maksimum dalam amalan kebatinan mahupun kerohanian.

Inilah peserta "Ekspedisi Gua Seto" pada 24.10.2011.

Gua Seto dirakam dari jarak jauh. 

Kami sedang mencari arah pintu Gua Seto.





Seekor katak gua yang mempunyai saiz luar biasa.



Kilauan pasir ini cantik apabila terkena cahaya lampu.


Sungai yang sejuk mengalir di bawah Gua Seto.

Kami perlu mendaki untuk sampai ke tingkat dua Gua Seto.

Penulis sedang menunjukkan lubang gua di tingkat dua.


Penulis (kanan sekali) bergambar di tingkat tiga Gua Seto.

Batu katak puru.

 Batu ular.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

  
PRASARANA

Menurut Pak Da Soh (gambar), yang memiliki gerai makanan berhampiran dengan Gua Seto di Kampung Gua Ikan itu berkata, dalam daerah Dabong, Kuala Krai, Kelantan terdapat lapan buah gua seperti Gua Ikan, Gua Seto, Gua Keris, Gua Mas, Gua Pagar, Gua Tebeng, Gua Katak dan Gua Kuda.

"Sebagaimana gua-gua yang lain, Gua Seto juga memerlukan prasarana dan perlu dibangunkan. Pihak Majlis Daerah Dabong (MDD) perlu melakukan sesuatu supaya Gua Seto juga tersohor seperti Gua Ikan sedikit masa dulu.

"Gua Seto pasti menerima pengunjung paling ramai jika pihak PBT itu berusaha untuk mewujudkan sektor rekreasi dan pelancongan", katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Zakaria Mohamed atau Pak Da Soh, 50 tahun.


MISTERI GUA SETO

Menurut Pak Da Soh, Gua Seto juga bermisteri. Penghuni ghaib di Gua Seto menurutnya adalah penjaga tunggal bernama Cik Siti Wan Kembang. Cik Siti Wan Kembang sering menyeberang jalan di hadapan gua berkenaan setiap kali malam menjelang bermula waktu Maghrib sehingga jam 5.00 pagi. Jelmaan Cik Siti Wan Kembang sering dilihat oleh pemandu kenderaan yang terserempak ketika melalui jalan tersebut pada waktu-waktu berkenaan.

"Satu kejadian jelmaan berlaku pada bulan September 2011 yang lalu. Cik Siti Wan Kembang keluar dari arah sisi Gua Seto, kemudiannya berdiri di tepi jalan tersebut.

"Selepas itu, makhluk halus itu menyeberang jalan lalu datang ke gerai Pak Da kemudiannya berdiri di sebelah Pak Da. Katanya, dia ada berjanji dengan seseorang untuk bertemu di gerai Pak Da", jelas Pak Da Soh sambil menunjukkan ke arah kirinya di meja makan yang didudukinya itu.

Katanya, walaupun kehadiran makhluk halus itu ke gerainya lalu berdiri di sisinya, beliau tidak dapat melihat bentuk lembaga tersebut kecuali pasangan keluarga yang turut duduk di kerusi di gerai miliknya itu. Menurutnya, lembaga makhluk halus memang mengetahui kehidupan Pak Da Soh agak susah dan beliau berusaha membantu dengan kaedah makhluk halus. Sebab itulah menurut Pak Da Soh, walaupun gerainya berada di kawasan hutan, namun pengunjung yang datang tidak pernah kurang sehingga ke pagi esoknya, sehingga beliau menutup gerai untuk melayani matanya yang sudah mengantuk barulah pengunjung seorang demi seorang melangkah pulang.

Dari arah inilah makhluk halus itu keluar.

Pak Da Soh sedang menunjukkan arah Cik Siti Wan Kembang berdiri di tepi jalan itu.

Di meja inilah Cik Siti Wan Kembang berdiri (sebelah kirinya).

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan