HUTAN LIPUR BUKIT BAKAR
(MACHANG)
MACHANG, KELANTAN: HUTAN LIPUR BUKIT BAKAR yang terletak di Kampung Limau Nipis, Machang, Kelantan dalam Jajahan Kelantan Timur telah dibuka dengan rasminya pada tahun 1975 merupakan sebuah kawasan rekreasi yang paling popular di daerah ini. Keluasan hutan lipur tersebut meliputi 3.14 hektar terletak dalam kompatmen enam Hutan Simpan Ulu Sat adalah sebuah tempat yang amat sesuai untuk dikunjungi keluarga kerana suasana flora dan faunanya yang menghijau, teduh dan memukau pandangan.
Jarak perjalanan dari bandar Machang ke Hutan Lipur Bukit Bakar sejauh 7 kilometer dan dari bandar Kota Bharu kira-kira 63 kilometer yang boleh dilalui oleh pelbagai jenis kenderaan sama ada melalui jalan raya Machang - Kota Bharu mahupun Machang - Pasir Puteh - Kuala Terengganu.
Hutan lipur ini sentiasa dikunjungi orang ramai sama ada musim cuti persekolahan, cuti hujung minggu serta cuti umum dan tidak terhad kepada penduduk tempatan semata-mata malah turut dikunjungi oleh penduduk dari luar Kelantan. Hutan lipur ini dibuka setiap hari bermula jam 7.00 pagi hingga 7.00 malam dengan tidak dikenakan sebarang bayaran masuk untuk tujuan memberikan galakan kepada pengunjung menikmati suasana hutannya yang menghijau dan menggamit pandangan di samping memberikan peluang kepada pengunjung untuk menjalankan sebarang aktiviti sihat sama ada secara individu, berkumpulan atau bersama keluarga.
Disebabkan kawasan persekitaran hutan lipur ini agak menarik kerana landskapnya amat teratur apatah lagi suasana di kawasan berkelah menyerlahkan pasirnya yang landai dan menyilau, sementara kawasan sungai yang berjeram berhampiran dengan jambatan gantung juga tidak kurang menariknya, secara langsung atau tidak pengunjung yang datang ke hutan lipur ini pastinya akan terpikat dan terpesona, malah mereka boleh menjalankan pelbagai aktiviti santai seperti berkhemah, mandi-manda serta rekreasi.
Sementara itu, bagi pengunjung yang ingin menjalankan aktiviti perkhemahan perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran pihak Penguasa Hutan Lipur ini iaitu Pengarah Perhutanan Negeri Kelantan untuk mengelakkan sebarang tragedi yang tidak diingini.
Banyak kemudahan yang disediakan untuk pengunjung di Hutan Lipur Bukit Bakar umpamanya parkir kenderaan yang agak luas, pondok rehat, kerusi rehat, kolam mandi, jambatan gantung (dulu, kini telah reput), taman kanak-kanak tapak perkhemahan, gerai makanan, laluan pejalan kaki serta tangga untuk mendaki tebing, tong sampah dan tandas awam.
Terdapat kira-kira tiga buah kolam mandi diwujudkan di Hutan Lipur Bukit Bakar khusus untuk golongan dewasa, remaja serta kanak-kanak. Suasana kolam mandi dewasa sememangnya airnya yang mengalir deras dan dalam, sementara kolam mandi kedua sesuai untuk kanak-kanak yang terletak di bawah aliran air kolam orang dewasa, manakala bagi kolam mandi ketiga terletak berdekatan dengan sungai berjeram yang mengalir perlahan di bawahnya. Lazimnya keadaan kolam ini agak cetek ketika musim kemarau dan agak dalam apabila hujan turun dengan lebat seperti musim tengkujuh.
Manakala jambatan gantung pada masa dulu sering digunakan oleh kebanyakan pengunjung untuk menyeberangi sungai berjeram ke destinasi di seberang sana. Namun, agak dukacita apabila jambatan gantung yang dimaksudkan hari ini didapati uzur dan amat membahayakan pengguna, tetapi tetap digunakan oleh segelintir pengunjung.
Justeru, bagi pengunjung yang ingin merasai sendiri suasana sedemikian mereka bolehlah datang ke Hutan Lipur Bukit Bakar, Machang, Kelantan kerana hutan lipur ini sentiasa menanti kunjungan anda pada bila-bila masa.
Papan tanda jalan ke Hutan Lipur Bukit Bakar, Machang, Kelantan.
Suasana hutannya mendamaikan dan mempesonakan.
Kolam mandi untuk remaja dan orang dewasa.
Kolam mandi untuk kanak-kanak.
Sungai berjeram berhampiran jambatan gantung.
Tempat berkelah.
Taman bunga.
Papan tanda peringatan di Hutan Lipur Bukit Bakar tidak dilupakan.
Parkir kenderaan disediakan agak luas.
Gerai makanan.
Trek pejalan kaki.
Tangga untuk mendaki tebing.
Taman permainan kanak-kanak.
Wakaf rehat.
Kerusi rehat disediakan berdekatan dengan kolam mandi.
Tapak perkhemahan.
Tandas awam.
Tong sampah disediakan berhampiran trek pejalan kaki.
PERSEKITARAN
Sememangnya, Hutan Lipur Bukit Bakar, Machang, Kelantan amat menarik jika pihak pengurusannya sentiasa memberikan perhatian terhadap kebersihan yang sepatutnya ditekankan oleh pihak berkenaan. Bahkan pengunjung juga patut berhemah semasa mengadakan aktiviti di hutan lipur terbabit.
Tinjauan penulis di beberapa lokasi di Hutan Lipur Bukit Bakar mendapati terdapat papan tanda yang lusuh yang mana perkataannya agak kurang jelas tetapi masih dikekalkan di situ. Sepatutnya papan tanda seumpama ini digantu baru. Malahan terdapat wakaf rehat yang telah roboh, hanya tinggal bumbungnya sahaja tidak diuruskan dengan sempurna, sekadar dilonggok di laluan pejalan kaki.
Jambatan gantung yang merupakan sebahagian kemudahan yang disediakan kepada pengunjung juga tidak dapat digunakan dan amat merbahaya apabila digunakan apabila didapati di beberapa bahagian papan pemijak yang didapati kopak dan pecah. Keadaan ini jika dibiarkan akan menyebabkan masalah kepada pengunjung bahkan boleh mencacatkan pemandangan.
Masalah persekitaran di beberapa taman seperti taman permainan kanak-kanak, taman bunga serta trek pejalan kaki yang tidak terurus juga turut mencacatkan pandangan untuk menunjukkan hutan lipur berkenaan tiada pihak yang menguruskannya. Kalaulah sekiranya, pelancong dari luar negara melihat perkembangan ini, tentunya mereka akan mendakwa pengurusan hutan lipur dan taman rekreasi di Malaysia agak buruk.
Dalam pada itu, sikap pengunjung juga dianggap tidak bertamadun apabila bahan buangan (sampah) sama ada kertas akhbar mahupun pembungkus makanan serta tuala bayi dibuang dengan sewenang-wenangnya sama ada di wakaf rehat ataupun di kawasan perkelahan.
Dengan demikian, diharap pihak terbabit memberikan perhatian sewajarnya supaya Hutan Lipur Bukit Bakar yang kini hampir nyawa-nyawa ikan itu terus bernafas, sebelum hutan berkenaan sekadar tinggal nama tetapi tidak dikunjungi oleh orang ramai.
Gambar: Keadaan papan tanda yang lusuh patut ditukar baru.
Gambar: Persekitaran trek pejalan kaki yang tidak terurus.
Gambar: Sampah dibuang dalam kawasan wakaf rehat.
Sampah dibuang di tempat perkelahan.
Wakaf rehat terbiar, hanya tinggal bumbung.
Jambatan gantung kini tidak selamat, papannya kopak dan buruk.
Tandas di tapak perkhemahan tidak sempurna.
Benteng penghalang hakisan aliran air juga rosak.
AKTIVITI KAMI
Hanya gambar kenangan kami sekeluarga.
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan