RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Ahad, 20 November 2011

Kg.Teluk Ibu, Tak Bai (Thailand)


KAMPUNG TELUK IBU, TAK BAI
(THAILAND)

TAK BAI, THAILANDKEHIDUPAN masyarakat di Tak Bai khususnya di Kampung Teluk Ibu pada hakikatnya agak tertekan walaupun kelihatannya penduduk di daerah berkenaan dapat menjalani aktiviti harian seperti lazimnya. Melihatkan keadaan di negara berkenaan yang tidak menentu ekoran wujudnya beberapa masalah dalaman, namun rutin harian penduduk di Tak Bai itu ternyata dibebani masalah untuk mendapatkan pekerjaan sempurna khususnya kepada belia-belia kampung.

Rata-rata mata pencarian penduduk di daerah tersebut adalah sebagai petani yang mengusahakan sawah padi dan selebihnya melakukan lain-lain pekerjaan. Walaupun ada di kalangan belia-belia berkenaan berkemampuan untuk bekerja di bandar-bandar besar seperti Bangkok, Narathiwat dan Chiengmai, namun masalah turut menghantui apabila mereka dibayar gaji yang terlalu rendah dan tidak memadai dengan kenaikan harga barangan.

Contohnya, jika pendapatan sehari adalah 15 baht, tentunya bagi yang mempunyai keluarga agak ramai dianggap tidak mencukupi untuk menampung keperluan itu. Sudahnya, belia-belia berkenaan terpaksa berhijrah ke Malaysia semata-mata untuk memperolehi pendapatan lebih baik. Berbanding dengan Thailand, apabila mereka datang ke Malaysia, sekurang-kurangnya mereka memperolehi pendapatan RM40 sehari.

Salah seorang warga emas yang ditemui Wartawan RELATIF, Embong binti Abdullah, 65, dari Kampung Teluk Ibu, Tak Bai, Thailand meluahkan rasa kecewa mengenangkan nasib penduduk-penduduk di kampung berkenaan yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah bukan sahaja dari segi sumber pendapatan yang tidak menentu tetapi masalah banjir juga sesuatu yang perlu difikirkan.

Beliau yang dulunya berasal dari Kampung Kedondong, Pasir Mas, Kelantan dan telah menetap di Tak Bai selama lebih 40 tahun kerana mengikut keluarganya menceritakan pengalaman mengerjakan sawah padi sebagai rutin harian dalam usaha untuk mencari sumber pendapatan menganggap amalan tanaman dua kali setahun di Malaysia adalah sama dengan Tak Bai. Setakat yang beliau ketahui, sekurang-kurangnya 10 buah kilang yang beroperasi di Bangkok yang boleh memproses sama ada untuk mengeringkan padi dan menghasilkan beras bermutu tinggi dengan harga murah.

Cara menanam padi menurut Embong masih sama dengan Malaysia, tetapi berbeza dan aspek mengeringkan padi yang baru dituai. Berbanding beras murah di Malaysia yang cepat basi, berbeza pula dengan Thailand yang boleh bertahan hingga keesokan paginya. Kalau dulu, kaedah mengetam padi dilakukan secara tradisional sebagaimana di Malaysia juga, tetapi kini menggunakan jentera penuai secara moden.

Menurut Embong lagi, padi yang siap dituai di Tak Bai akan dibeli oleh pihak kilang untuk diproses di Bangkok. Ini merupakan peraturan pihak kerajaan dalam mengawal mutu beras di negara berkenaan.

"Bezanya di Tat Bai ini, kami ketiadaan sistem pengairan dan saliran yang sempurna. Namun, orang-orang di sini perlu tanam padi walaupun terpaksa berhadapan dengan masalah. Kerana itulah mata pencarian di sini", ujarnya dengan sedikit kecewa dengan perkembangan yang dihadapi oleh masyarakat di kampung itu.

Selain itu menurut Puan Embong yang mempunyai empat anak saudara bekerja di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan itu berkata, tanaman getah turut diusahakan untuk tujuan menambah pendapatan. Kebanyakan petani-petani di Tak Bai akan menggilirkan masa menanam padi kemudiannya menoreh getah sebagai mata pencarian.

"Kebanyakan beras dari Thailand dijual kepada pembeli-pembeli dari Kelantan. Jualannya bukan mencari untung tetapi sekadar untuk memperolehi sedikit wang perbelanjaan harian", ujar Embong yang menganggap jualan beras ke Malaysia tidak ada had atas dasar permintaan daripada pengguna-pengguna dari Kelantan.

Selain mengerjakan sawah padi, kebanyakan penduduk-penduduk kampung di Tak Bai turut mengusahakan tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan bagi menambahkan pendapatan.

"Kebanyakan penduduk kampung ini menanam sendiri sayur-sayuran dan buah-buahan. Mereka menjualnya di kedai-kedai seperti di Kampung Merbau, Kampung Che Him, Kuala Tak dan Mundok serta di pasar-pasar minggu lain di Kelantan", ujarnya.

Beliau menambah, taraf pendidikan di Tak Bai juga hampir sama dengan Malaysia yang meliputi pendidikan pra-sekolah seperti tadika, sekolah rendah dari tahun satu hingga tahun enam bermula seawal usia lima tahun. Manakala bagi pelajar sekolah menengah seperti Kelas 10, mereka hendaklah menyambung pelajaran di bandar Bangkok, Narathiwat dan Pattani dengan menaiki kenderaan khas untuk ke sana.

"Terdapat sekurang-kurangnya lima pelajar dari kampung ini yang belajar di Malaysia (Kelantan) kerana beranggapan sistem pendidikan di Malaysia agak maju. Berbanding di Tak Bai, hanya sekolah rendah sahaja yang ada", jelasnya.

Menurutnya lagi, sistem pengajian pondok juga disediakan di Tak Bai seperti Pondok Mundok, Kebun Gambir dan Pedada. Tetapi Pondok Kebun Gambir adalah pondok yang terbesar sehingga Kelas 10 turut menyediakan sistem pendidikan Al-Quran, Fekah, Tauhid dan Tasauf di mana pelajar-pelajar yang menuntut di sini mencecah usia 18 tahun.

Manakala bagi tenaga pengajar seperti guru-guru yang terlibat pula, pendapatan mereka boleh mencecah sehingga 7,000 baht tidak sebagaimana dulunya hanya 4,000 baht untuk menunjukkan kerajaan sekarang begitu prihatin dengan nasib guru-guru terlibat.

Menariknya di kebanyakan rumah di Kampung Teluk Ibu ini ialah kebanyakan kediaman mereka dipasang papan tanda berwarna biru  bertemakan 'Keluarga Bebas Dadah'. Pemasangan papan tanda oleh pihak kerajaan ini untuk memberikan gambaran bahawa keluarga berkenaan memang terdiri daripada keluarga yang sempurna akhlak, berbudi mulia dan boleh berurusan secara yang sepatutnya.

Itulah destinasi menarik di Kampung Teluk Ibu, Tak Bai, Thailand. Walaupun perkampungannya agak kecil, namun keramahan kebanyakan keluarga dan penduduk di sana amat berhemah dan begitu terasa apabila menyambut Penulis dalam suasana ramah mesra sebagai rumpun Melayu yang beragama Islam tidak dapat dipisahkan dari segala-galanya walaupun sekadar dipisahkan oleh sungai berjarak 100 meter.     

Embong binti Abdullah.

Puan Embong binti Abdullah (tiada dalam gambar) ketika diwawancara Wartawan RELATIF.


Papan tanda 'Keluarga Bebas Dadah' yang dipasang pihak kerajaan di setiap rumah.

Penulis bergambar kenangan di sebuah papan tanda jalan di Kampung Teluk Ibu dalam keadaan hujan lebat.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan