RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Rabu, 23 November 2011

Telinga Kalimah Allah



TELINGA KALIMAH ALLAH

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  SEORANG bayi lelaki bernama Muhamad Nor Syafieeq bin Rosli, berusia 19 hari adalah bayi istimewa anugerah Allah Yang Maha Esa buat ibu yang melahirkannya. Bayi yang dilahirkan di Hospital Kelaboran, Tumpat, Kelantan pada 4 April, 2011 itu mempunyai kalimah Muhammad di telinga kanannya dan kalimah Allah di telinga kirinya membuatkan jururawat yang menyambutnya agak terkejut dengan perkembangan itu.

Ketika ditemui Penulis di kediaman ibu yang melahirkan bayi itu, Khairul Bariah binti Shamsuddin, 33, dari Taman SBJ Putera, Pasir Pekan, Wakaf Baharu, Kelantan pun tidak menyangka beliau telah melahirkan bayi comel yang mempunyai kedua-dua kalimah tersebut.

Katanya, sebagai ibu yang melahirkannya beliau memanjatkan rasa syukur kerana telah melahirkan bayi berkenaan dan pada mulanya beliau tidak mengetahui status bayinya. Beliau mengetahui tentangnya setelah dimaklumkan oleh salah seorang jururawat yang menyambut kelahiran bayinya pada masa dan tarikh tersebut.

Tambahnya, semasa bayinya itu dalam proses kelahiran beliau tidak merasai sebarang kesakitan tidak sebagaimana pengalaman melahirkan anaknya yang sulong malah kelahirannya itu dianggap singkat dan mudah.

"Bagi saya, setelah bayi ini dillahirkan tangisannya agak pendek dan suaranya agak perlahan berbanding dengan bayi-bayi yang lain. Mungkin kehendak Allah sebegitu.

"Selain kedua-dua belah telinga mempunyai kalimah, bayi saya juga mempunyai satu tanda seperti 'bintil' di bahagian atas lidahnya kerana menurut orang tua-tua bayi yang mempunyai tanda seperti itu dianggap bertuah", terang Khairul Bariah.

Apabila ditanya, adakah beliau pernah mengalami mimpi sehingga memperoleh seorang bayi bertuah itu. Pada mulanya, beliau agak ragu-ragu untuk menjawab soalan Penulis kerana mendakwa mimpi tidak wajar diceritakan kepada orang lain kerana dibimbangi disalah anggap. Namun, apabila terus didesak oleh Penulis beliau menjelaskan, memang beliau pernah bermimpi bertemu dengan seorang bayi yang agak cantik.

Dalam mimpinya itu, beliau menegur bayi tersebut kerana terpikat dengan kecantikan rupa parasnya. Jelasnya, bayi yang muncul sebagaimana dalam mimpinya itu berpakaian serba putih kelihatannya agak menawan dan montel, namun beliau tidak mengetahui sama ada jelmaan bayi dalam mimpinya itu bayi lelaki atau perempuan.

"Saya tidak ambil kisah sangat mimpi itu, sebab mimpi itu mainan tidur. Mungkinkah mimpi itu menjadi kenyataan sehingga bayi yang saya lahirkan sekarang berpunca dari pengalaman itu", katanya.

Sambungnya, keadaan bayinya sekarang seperti bayi-bayi yang lain juga, apabila bayi berkenaan dalam keadaan lapar bayinya itu pasti akan menangis. Menariknya, dalam usia 19 hari bayinya itu dianggapnya cerdik dan cerdas kerana sudah tahu bergerak sendiri mengalahkan bayi-bayi yang berusia sebulan, iaitu kalau pada mulanya berada di atas tilam, kadang-kadang dapat dilihat sudah berada di bawah.

Paling menarik lagi apabila mencecah jam 6.00 pagi bayi bertuahnya itu akan membangunkannya jika beliau agak terlena tidur. Caranya bayinya itu seperti bermain-main sendiri tatkala menjangkau waktu tersebut. Kadang-kadang beliau lihat bayinya akan sentiasa senyum dan apabila bayinya dicuit ketawanya terkekeh-kekeh. Begitu juga jika bayinya sedang tidur di waktu petang, apabila bayinya bangun bayinya itu akan tersenyum dan ketawa kecil untuk menggambarkan bayinya itu cerdik dan pintar.Begitu juga apabila tibanya waktu malam, seolah-olah bayinya itu tidak menyusahkannya kerana gelagatnya diam tanpa menangis tidak sebagaimana bayi-bayi yang lain yang kerap menangis.

Tambahnya, beliau dapat saksikan gelagat bayinya apabila terdengar azan sama ada di kaca televisyen mahupun di masjid berhampiran, bayinya akan tersenyum riang seolah-olah telah begitu petah dan suka mendengar bunyi suara azan itu.

"Pada mulanya, sebagai ibu saya agak hairan kerana dalam usia 19 hari dia mudah tersenyum setelah mendengar suara azan. Padahal dalam usia sebegitu kebanyakan bayi tidak mengerti apa-apa", jelasnya.  
   
Beliau beranggapan, keistimewaaan yang dianugerahkan Allah terhadap bayinya amat disyukurinya berbanding dengan bayi-bayi yang lain yang mungkin lahir pada masa dan hari yang sama dianggap berbeza tidak sebagaimana yang dimiliki oleh bayinya yang memiliki kalimah agung iaitu Allah dan Muhammad. Harapannya supaya bayi yang bertuah itu menjadi seorang anak yang berguna dan dapat menjadi seorang alim ulama yang disegani ramai apabila dirinya dewasa kelak.

 

Khairul Bariah Shamsuddin ketika ditemubual Penulis di kediamannya.

 Telinga kanan, kalimah Muhammad.

Telinga kiri, kalimah Allah.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan