RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Rabu, 28 Disember 2011

Rawat dan Refleksologi


RAWAT DAN REFLEKSOLOGI

KOTA BHARU, KELANTAN:  PENYAKIT datang seperti kilat tetapi kembali (sembuh) seperti semut merayap. Ia berpunca daripada kecuaian serta sikap tidak ambil peduli di kalangan segelintir manusia yang terlalu lambat menerima rawatan. Apabila ditahap kritikal, barulah mereka mula menggelabah. Sepatutnya apabila berasa tanda-tanda tidak sihat seperti berdenyut, kebas atau sengal-sengal di beberapa bahagian sendi dan saraf merupakan sebahagian daripada syarat berlakunya gangguan kesihatan. Namun, kebanyakan kita tidak mempedulikannya, akibatnya menderita seumur hidup dan tentunya menyesal tidak sudah.

Membicarakan perihal rawatan, sama ada rawatan moden atau berdasarkan kaedah rawatan tradisional, kedua-duanya mempunyai satu tujuan sahaja dalam hidup manusia iaitu memperolehi kesihatan yang baik, sempurna serta dapat menjalani kehidupan yang sihat, jelas Pakar Urut, Refleksologi dan Rawatan Tradisional, Haji Remli bin Musa atau dikenali juga Abang Haji, 54, dari Kampung Seribong, Pasir Tumboh, Kota Bharu, Kelantan ketika ditemui Penulis di kediamannya itu.

Selain pakar urut yang begitu mahir dengan sendi dan saraf dalam tubuh manusia, beliau turut menggabungkan di antara kaedah mengurut secara tradisional dan refleksologi, malahan turut merawat penyakit yang berpunca daripada gangguan makhluk halus berdasarkan kaedah tertentu sehingga pesakit sembuh sepenuhnya.

Ketika diminta menceritakan kisah hidupnya berhubung dengan rawatan yang dilakukannya, beliau mempelajari ilmu di bidang berkaitan semenjak usia 13 tahun lagi di mana beliau memperolehi ilmu tersebut secara sepontan (melalui ilham), walaupun tidak menolak disebabkan dari keturunan moyangnya sendiri yang mahir dengan perubatan terbabit. Apatah lagi, sejak kecil beliau sendiri amat berminat untuk berbakti kepada orang yang memerlukan pertolongan walaupun pada masa itu beliau masih belum memahami apa-apa tentang rawatan yang dimaksudkan.

"Pengalaman pertama saya semasa merawat pesakit strok di mana dalam hati saya berharap penyakit ini sembuh dengan segera. Selepas itu, saya merawat penyakit busung (uluran) terutama di kalangan kanak-kanak yang berpenyakit batu zakar besar sebelah.

"Kaedah rawatan saya ialah dengan memohon doa meminta Allah memperkenankan harapan saya supaya penyakit itu sembuh seperti sediakala", ujarnya yang juga pernah berlakon dalam sebuah drama tempatan sebagai pelakon tambahan.

Namun, disebabkan beliau masih belum dikenali menyebabkan rawatan yang dilakukannya seperti tenggelam dan timbul silih berganti kerana masih belum lagi memiliki ilmu yang secukupnya di bidang terbabit. Berikutan minat yang semakin mendalam ditambah pula dengan usahanya yang tidak pernah jemu kerana telah berjaya menyembuhkan penyakit yang dianggap tenat pada masa itu, beliau mula mempelajari kaedah mengurut daripada bapanya dan semenjak itu juga minatnya dalam bidang mengurut semakin menyerlah. Pada tahun 2000 ketika usianya mencecah 48 tahun, dari sekadar minat mengurut beliau menjadikannya kerjaya sepenuh masa dalam usaha membantu orang ramai yang memerlukan khidmatnya sebagai pakar urut.

"Walaupun memulakan aktiviti mengurut, saya masih meneruskan pembelajaran di bidang berkaitan sehingga hafal tentang ilmu itu. Di samping mengurut, saya turut merawat mangsa buatan orang, kanak-kanak terkena sawan, lemah tenaga batin, resdung, buasir, masalah kencing, penyakit kencing manis, darah tinggi dan masalah pasangan tidak memiliki anak", katanya.

Haji Remli berkata, sebelum membuat urutan beliau akan melihat keadaan pesakit terbabit. Sekiranya pesakit itu terseliuh urat di leher termasuk pesakit tersalah bantal semasa tidur, beliau akan memulakan urutan di bahagian leher itu. Apabila pesakit itu tersalah di bahagian pinggang, beliau akan mengurut di bahagian pinggang. Ini kerana menurutnya, di bahagian pinggang merupakan kawasan penting terletaknya urat saraf. Baginya, kebanyakan golongan lelaki ini mengalami gangguan kesihatan disebabkan masalah di bahagian pinggang, jadi sewajarnya bahagian tersebut perlu diberikan keutamaan.

Manakala di bahagian kaki pula beliau akan membuat urutan refleksologi kerana menurutnya di bahagian kakilah terdapatnya urat saraf yang berhubung kait dengan jantung, paru-paru dan organ-organ penting yang lain. Selain itu, beliau juga akan bergantung kepada keadaan kesakitan yang dialami oleh pesakit itu sendiri. Menurutnya, keadaan manusia tidak sama dan bertolak dari itu beliau berpendapat kadang-kadang individu manusia mempunyai penyakit yang agak pelik dan berbeza-beza.

Tambahnya, masalah terseliuh urat sebagaimana yang dialami kebanyakan orang kerana bersukan, terjatuh atau kemalangan akan menyebabkan kesakitan yang amat sangat malah perlu diurut secepat mungkin. Katanya, terseliuh akibat terjatuh akan mengakibatkan sendi pesakit itu berlipat. Di bahagian cedera ini akan wujud darah beku (darah kotor). Dalam hal ini, jika di bahagian berkenaan tidak diurut, pesakit akan terus menderita sakit yang agak lama kerana urat di bahagian ini telah dimasuki angin.

Selain strok, beliau pernah merawat pasangan yang tidak memiliki anak walaupun beberapa tahun telah mendirikan rumahtangga. Tambahnya, apabila beliau memberikan rawatan pesakit perlu yakin dengan ikhtiar yang dilakukannya supaya masalah berkenaan menemui kejayaan.

Katanya, walaupun terdapat individu yang pernah menerima rawatan di hospital, jika belum sembuh juga, cuba-cubalah dengan rawatan tradisional. Ini kerana menurutnya, kadang-kadang ada jenis-jenis penyakit sembuh di hospital dan kadang kala sembuh dengan rawatan tradisional. Ini bermakna, di antara rawatan tradisional dengan moden perlu seiring.

Terangnya lagi, bagi individu yang telah lama mendirikan rumahtangga tetapi gagal mendapat zuriat, kedua-dua pasangan tersebut diminta datang berjumpa dengannya, penting untuk melihat keadaan pasangan untuk mengenal pasti, adakah suami isteri itu yang bermasalah. Menurutnya, kegagalan memperolehi cahaya mata berkait rapat dengan masalah hormon atau kelemahan hormon sama ada di pihak suami mahupun isteri. Kadang-kadang keadaan hormon di pihak isteri tersekat atau terhalang oleh sesuatu sebab tertentu. Jika wujud halangan hormon di pihak isteri, beliau akan meminta si wanita itu meminum air tawar yang telah diisikan dengan wirid dan doa dari ayat-ayat Al-Quran.

"Saya pernah merawat pesakit yang mengalami sesak nafas. Puncanya disebabkan tulang rusuk mangsa tersepit di antara kedua-duanya. Disebabkan masalah pernafasan itu menyebabkan oksigen tidak dapat mengalir masuk ke bahagian paru-paru.

"Selepas itu, saya menggunakan kaedah urutan di kedua-dua tulang rusuk menurut cara yang tidak menyakitkan dan disukai pesakit", jelasnya.

Selain itu, beliau juga turut membuat rawatan penyakit kulit di mana penyakit ini berpunca daripada keadaan darah yang kotor. Kaedah yang diamalkannya ialah dengan memberikan ubat tradisional yang dihasilkannya sendiri kepada pesakit di mana bahan-bahan resipinya adalah terdiri dari hormon tumbuh-tumbuhan. Jika pesakit enggan menerima rawatan darinya atas sebab-sebab tertentu, beliau menasihatkan pesakit supaya mendapatkan rawatan di klinik atau hospital.

Di samping itu, penyakit gastrik atau dialek Kelantan disebut 'medu' adalah berpunca daripada keturunan yang diakibatkan masalah gangguan angin dalam badan. Walaupun telah dirawat secara moden, penyakit ini tidak akan sembuh sepenuhnya. Oleh kerana penyakit ini disebabkan 'angin' dalam badan, perlulah pesakit berpantang. Setakat ini penyakit medu yang dirawatnya sembuh seperti sediakala kerana beliau berpegang kepada kata-kata Nabi S.A.W  bahawa "setiap penyakit itu ada ubatnya". Cara rawatan itu adalah penting, jika kena dengan kaedahnya, insya Allah penyakit yang dihidapi pasti sembuh.

Perumpamaan beliau berhubung masyarakat sekarang seperti sebuah kenderaan. Katanya, individu sekarang lebih menitikberatkan kenderaan daripada dirinya sendiri. Contohnya, apabila kenderaan mengalami kerosakan kenderaan tersebut dibaiki dengan segera kononnya jika kenderaan sakit perjalannya juga tidak sempurna. Tetapi apabila melibatkan diri sendiri mengalami gangguan kesihatan, individu terbabit tidak mempedulikannya kerana menganggap masih boleh bertahan lagi. Apabila tubuh tidak lagi boleh bangun, barulah mereka menggelabah untuk mendapatkan rawatan dengan memanggil beliau supaya merawatnya.

"Dalam soal ini, jangan tunggu sampai tahap mudarat barulah ingat untuk menerima rawatan. Justeru, apabila terasa kebas dan tidak selesa, segera dapatkan rawatan.

"Rawatan awal itu lebih baik dan boleh memberikan kesan yang positif terhadap kesihatan. Sebab itu, jika ada individu terkena strok beliau akan memberikan rawatan segera walaupun tidak menjamin seratus peratus kerana kalau sembuh pun hanya separuh sahaja", ujarnya.

Dalam pada itu, sakit kepala yang dikenali "migrain" disebabkan masalah saraf. Untuk menyembuhkan penyakit ini perlukan urutan di mana sarafnya terletak di bahagian kepala. Saraf ini menurutnya adalah sejenis urat yang agak halus di mana urat ini tidak tahan kepada cuaca terlalu panas. Namun hakikatnya, migrain adalah berpunca daripada tekanan dan gangguan emosi. Jadi, jika berupaya boleh hindarkan dari tekanan, cuba hindarkan.

Di belakang tengkuk (leher) dipanggil saraf tunjang. Misalnya sebatang pohon semestinya ada akar. Begitulah halnya dengan manusia. Daripada saraf tunjang inilah manusia akan mengalami sakit kepala, sebab darah tidak mengalir ke bawah sebabnya terhalang oleh pelbagai masalah dalam saraf itu. Cara mengatasinya, urat di bahagian itu perlu diurut berdasarkan kaedah urutan yang betul.

Sementara itu, ada segelintir pesakit sering berasa kebas yang berpunca masalah perjalanan darah yang tersekat-sekat. Pertama, kena jaga supaya peralanan darah itu betul. Jika wujud kaitan seumpamanya rawatan seperti urutan dan refleksologi di bahagian jari seperti paru-paru, pankreas, saluran kencing dan buah pinggang adalah perlu. Ini kerana, kalau ingin disebutkan sehingga berpuluh-puluh urat dan saraf di tapak kaki, manakala dalam satu tangan mempunyai 12 jalur urat saraf seperti paru-paru, usus, jantung, buah pinggang serta injap dalam jantung. Apabila diurut di bahagian jari-jari tangan akan sampai ke bahagian otak dan organ-organ yang lainnya. Apabila diurut di bahagian ini, tukang urut sepertinya akan dapat mengetahui jenis penyakit yang dialami oleh mangsa.

"Biasalah tukang urut seperti saya, setiap kali selepas mengurut saya akan merawat diri sendiri bimbang disebabkan pesakit akan mendatangkan masalah kepada saya pula.

"Misalnya penyakit strok adalah salah satu gangguan syaitan dan iblis yang sukakan tempat tinggal menarik di antara sendi-sendi manusia. Makhluk itu akan melekat pada sendi-sendi dalam tubuh manusia umpamanya sendi lutut dan sendi tangan, sebab itulah kita tidak dapat melakukan pergerakan di mana dalam tubuh manusia ini, terdapat 300 sendi dan 666 urat saraf", terangnya.

Menurutnya lagi, setiap manusia yang ingin hidup sihat perlulah menjaga jantungnya sendiri seperti mengadakan aktiviti yang boleh menyihatkannya seperti bersenam dan juga mengurut. Jika dapat dituruti dua kaedah tersebut, tubuh manusia pastinya dalam keadaan selamat. Sehubungan itu menurutnya, apabila badan berasa agak berbeza dengan sebelumnya, segeralah melakukan pemeriksaan awal kerana dengannya akan dapat menyelamatkan tubuh kita. Ini kerana, tubuh manusia seumpama dengan kenderaan juga, jika kenderaan boleh rosak begitulah halnya dengan manusia, perlukan pemeriksaan dan rawatan.

Sementara itu, selain pakar dalam bahagian mengurut, Haji Remli juga bersedia merawat mangsa gangguan makhluk halus. Menurutnya, makhluk halus adalah makhluk Allah juga dan ia berada di mana-mana. Cuma dalam konteks manusia, jika manusia itu kuat semangat akan dapat mengatasi segala gangguan yang berpunca daripada makhluk berkenaan. Manakala golongan yang lemah semangat akan sentiasa disakat oleh makhluk tersebut.

"Sepanjang pengalaman saya merawat pesakit akibat gangguan makhluk halus itu didapati mangsa pengsan. Walau bagaimanapun, mangsa akhirnya sedar dari pengsan itu setelah saya merenjiskan air solat hajat kepada mangsa. Dengan solat hajat itu menyebabkan terlerainya gangguan itu", katanya.

Tambahnya lagi, beliau pernah merawat seorang wanita yang menjadi mangsa makhluk halus berasal dari Kuala Lumpur. Mukanya bengis dan selalu marah-marah.

"Apabila saya tiba di rumah mangsa pada malam itu, saya merawatnya menggunakan benang, asam limau purut, sementara kaki mangsa saya pegang. Dalam waktu yang sama saya melaungkan "Allah hu akhbar" sebanyak tiga kali. Alhamdulillah, tak sampai beberapa saat, makhluk halus yang mendiami dalam tubuh mangsa itu keluar seperti angin".

Pada hari yang lain, beliau pernah dikejutkan oleh seorang pesakit yang diakibatkan oleh gangguan jin, ketika itu jam 2.00 pagi. Memanglah pada waktu itu beliau terasa amat mengantuk kerana sehari suntuk memberikan rawatan dan urutan kepada beberapa orang pesakit di rumahnya pada sebelah siang, namun beliau terpaksa gagahi juga kerana berharap pesakit tidak berasa kecewa. Apa yang beliau faham sehingga hari ini, pesakit tersebut berkeadaan baik kerana makhluk yang sering mengganggu mangsa tidak lagi berbuat demikian.

"Makhluk halus memang gemar kepada tubuh manusia, mereka memasuki tubuh manusia melalui kaki lantas bergerak melalui urat saraf menuju ke bahagian kepala. Itulah yang menyebabkan manusia diserang histeria", jelasnya.

Apabila ditanya tentang histeria dan santau, beliau menjelaskan bahawa histeria disebabkan sikap manusia sendiri yang cuba mengganggu tempat tinggal makhluk halus itu. Kebanyakan mangsanya terdiri daripada kaum hawa walaupun tidak menolak kaum lelaki juga terkena gangguan ini kerana lemah semangat. Baginya, cara memulihkan gangguan histeria ialah dengan meminta makhluk halus itu berpindah ke kawasan lain yang lebih sesuai.

Sementara santau pula, beliau menyarankan kepada individu yang menaruh perasaan dendam kepada individu lain supaya tidak melakukan pekerjaan terkutuk itu, sebab perbuatan berkenaan adalah berdosa. Jika ada individu tertentu berniat untuk berbuat demikian perlulah berfikir secara matang untuk tidak melakukannya.

Ditanya tentang sambutan pesakit terhadap kaedah mengurut dan rawatan lain, beliau menjelaskan bahawa, setakat ini keyakinan pesakit terhadap rawatan yang dilakukannya amat menggalakkan disebabkan urutan dan rawatan yang dilakukannya agak berkualiti dan sempurna. Baginya wang upah rawatan adalah nombor dua, tetapi baginya pula niat untuk berkhidmat dan memberikan pertolongan itu adalah paling utama. Katanya, apabila kita membuat rawatan dengan sempurna, pesakit akan cari kita kerana menganggap kita mampu melakukannya yang terbaik. Kebanyakan pesakit yang pernah menerima rawatan darinya terdiri daripada menteri dan beberapa orang kenamaan, ahli politik, anggota polis dan bekas ketua turus angkatan tentera Malaysia.

Menurutnya, walaupun sewajarnya pesakit perlu datang ke rumahnya untuk menerima rawatan, namun jika keadaan pesakit itu agak tidak mengizinkan untuk berbuat demikian, beliau akan menemui pesakit berkenaan. Namun baginya, jika beliau perlu merawat di rumah pesakit, keluarga pesakit itu sendiri yang datang menjemputnya. Kesempatan ini akan digunakannya untuk memagar kawasan kediaman mangsa supaya tiada lagi gangguan makhluk halus luar datang mengganggu. Khidmat seumpamanya selain pesakit dari Kelantan sendiri, beliau pernah ke Kedah dan Perak untuk memagar rumah pesakit.

"Saya tidak meletakkan bayaran, atas dasar ikhlas pesakit dan keluarga mereka. Bagi saya tidak pernah berkata tidak cukup, namun kadang-kadang saya pernah menerima bayaran RM30, RM50 malah pernah diberikan sebanyak RM100, bergantung kepada kemampuan dan keikhlasan pesakit itu sendiri", ujarnya.

Beliau menyarankan kepada individu yang berharap kepada khidmatnya, sebaik-baiknya perlu datang sendiri, kerana dengan kehadiran pesakit beliau akan dapat mengetahui masalah sebenar. Setakat ini, bukan sahaja beliau merawat di rumah pesakit, namun menariknya beliau juga membuat rawatan di hospital atas permintaan pesakit sendiri. Ini kerana, tidak semua penyakit dapat diatasi oleh doktor, justeru dalam masa yang sama khidmat rawatan alternatif juga diperlukan. Malahan kadang-kadang rawatan alternatif menemui kegagalan, jelas rawatan moden dan alternatif perlu seiring kerana kedua-duanya saling perlu memerlukan.

Haji Remli turut menekankan tentang masalah penyakit yang menghantui manusia hari ini kerana sikap tidak peduli kalangan mereka sendiri. Orang-orang tua dahulu walaupun ketiadaan pusat rawatan seperti hospital, namun usia mereka agak panjang sehingga 100 tahun. Malangnya, dewasa ini usia seperti itu semakin menurun akibat permasalahan pemakanan yang terdiri daripada bahan-bahan yang memudaratkan menyebabkan ramai yang mendapat sakit dan meninggal dalam usia muda.

Perihal makanan yang dimakan oleh masyarakat kita sekarang tidak sebagaimana dulu. Masyarakat dulu memperolehi makanan yang bebas bahan-bahan kimia dan racun, sebab itulah usia mereka mencecah beratus tahun. Berbanding hari ini, teknologi makanan kini ternyata bergantung kepada bahan-bahan kimia dan racun dalam usaha menghindarkan masalah serangga perosak dan sebagainya. Cuma tumbuh-tumbuhan yang masih bebas dari bahan racun seperti pucuk paku dengan kangkung sahaja manakala bahan-bahan makanan yang lain telah dicemari bahan-bahan kimia dan racun.

Walau bagaimanapun, beliau perturunkan petua orang-orang tua dan kaedah untuk menghilangkan kesan racun ialah hendaklah direndam dengan air garam untuk mengelakkan kesan racun tersebut. Ini kerana, teknologi hari ini jika tidak menggunakan racun, ulat dan serangga mengambil peranan memakan bahan-bahan makanan itu.

Dalam hal ini, bersegeralah membuat pemeriksaan sama ada secara moden mahupun secara tradisional sama ada berjumpa beliau sendiri atau sesiapa yang mahir dalam bidang berkaitan. Jangan terlalu lewat melebihi tiga hari barulah ingin membuat pemeriksaan dan rawatan, ini tentunya akan mengancam kesihatan.

Justeru, ketahuilah juga tanda-tanda tidak sihat seperti berasa kebas untuk menunjukkan gangguan kesihatan bermula kerana aliran darah itu telah terganggu dan tersekat. Hebatnya tubuh manusia kerana dapat mengesan masalah gangguan dalam tubuh mereka. Cara mengatasinya ialah dengan mengurut supaya aliran darah itu kembali normal. Apabila tubuh kita sihat, tentunya kita dapat menjalankan tugas dengan lebih baik dan sempurna.

Haji Remli boleh dihubungi melalui telefon:
013-9671975
 
   

Di antara peralatan moden yang turut digunakannya.

Papan tanda arah tempat rawatannya.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan