RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 2 Disember 2011

Misteri Jirat Cina


MISTERI JIRAT CINA

WAKAF BAHARU, KELANTAN:  Sebuah jirat Cina yang terletak di Jalan Ketik Kulim di Wakaf Baharu dekat sini adalah perkuburan Cina yang telah lama ditinggalkan dan tidak lagi digunakan. Walaupun dikatakan agak lama dan terbiar, namun pengalaman beberapa orang penduduk berdekatan terutamanya dari Kampung Delima yang mengalami gangguan dan usikan yang agak menyeramkan oleh pelbagai jelmaan haiwan ketika melalui kawasan terlibat masih menmghantui fikiran mereka sehingga hari ini. Ini kerana, setiap kali menjelang petang hingga waktu Maghrib akan muncul pelbagai jelmaan lembaga yang menakutkan itu di beberapa tempat berhampiran jirat tersebut.

Pengalaman yang dialami oleh Abd. Rahman Husin, 47, atau Abang Man dari Kampung Delima, Wakaf Baharu, Kelantan turut mengakui bahawa beliau yang sering ke kawasan tersebut tidak pernah serik walaupun sering diganggu jelmaan haiwan seperti kucing, ular besar, lembu dan gajah putih. Ini kerana, beliau yang merupakan seorang petani yang mengerjakan kebun berhampiran dengan jirat itu perlu diteruskan kerana itulah mata pencariannya sebagai pekerja kampung. Kejadian yang berlaku pada tahun 2007 itu walaupun pada mulanya agak menakutkan, namun beliau terpaksa memberanikan diri dan kalau diikutkan hati penakut, sudah tentu kebun sayurnya itu akan layu kekeringan.

"Memanglah kawasan berhampiran jirat Cina  itu agak keras. Abang Man sering diusik tetapi Abang Man buat-buat tidak peduli. Takut memang ada, tapi lama kelamaan rasanya sudah lali dengan keadaan itu", katanya ketika ditemui Penulis di rumahnya.

Katanya, kejadian pertama ketika beliau datang ke kebun sayurnya yang berdekatan dengan sebatang pohon halban itu apabila beliau mendapati pohon tersebut bergoyang agak luar biasa. Kalau ingin dikatakan akibat ditiup angin, tidaklah seaneh dan sekuat itu. Namun, melihatkan keadaan pada masa itu beliau percaya ada lembaga yang sedang menunggu dan bertenggek di dahan pohon berkenaan sambil memerhatikan ke arahnya lalu menyakatnya derngan cara menggoyang-goyangkan dahan dan daun-daun pohon halban itu.

Usikan dan gangguan di kebun sayurnya itu tidak selesai setakat itu sahaja. Ini kerana, setiap kali beliau ke kebun itu pada hari-hari seterusnya beliau diperlihatkan dengan jelmaan beberapa ekor haiwan yang agak besar dari saiz haiwan biasa yang muncul dari arah pohon halban itu.

Menurutnya, selain diusik dengan jelmaan ular besar yang agak luar biasa, beliau juga turut disakat dengan jelmaan lain seperti lembu dan gajah putih. Sering kali jelmaan seumpama itu berlaku apabila hari semakin suram bermula jam 5.00 petang sehingga waktu Maghrib.

Katanya lagi, beliau ke kebun pada masa-masa berkenaan berikutan amat sesuai ditanam pelbagai jenis sayur-sayuran kerana waktu berkenaan keadaan tanah-tanih akan semakin sejuk yang membolehkan tunas tumbuh dengan subur. Manakala tujuan jelmaan berkenaan sering berlaku dalam waktu-waktu berkenaan  supaya beliau tidak mendekati tempat-tempat terbabit, namun beliau tidak mempedulikan hal itu kerana kerjanya sebagai petani adalah rutin hariannya untuk mencari rezeki buat keluarganya.

Selepas itu, beliau terus diganggu lembaga yang menjelma dalam bentuk seekor kucing, juga di tempat yang sama. Pada mulanya, beliau menyangka kucing tersebut adalah kucing belaan milik penduduk di tempat itu. Jadi, beliau tidak menaruh sebarang syak lalu cuba menjejak arah yang dilalui kucing tersebut. Hairannya, semakin dekat beliau menghampiri lembaga kucing itu didapati kucing itu semakin pantas berlari dan jaraknya semakin jauh meninggalkannya di belakang walaupun beliau sering mengejarnya untuk mengentahui rahsia lembaga kucing tersebut.

Kejadian yang masih menebal di ingatannya adalah peristiwa yang berlaku dua tahun lalu apabila beliau disakat seekor ular besar ketika beliau ingin mencantas sebatang dahan kayu pohon halban untuk dibuat ujnang timun di kebun sayurnya. Cubaan pertama beliau untuk mencantas dahan pohon tersebut menemui kegagalan apabila jelmaan seekor ular sebesar pahanya itu seperti menghalang kerja-kerjanya.

Pada mula-mula kejadian, beliau tidak perasan wujudnya ular besar yang sedang bergayut di dahan pohon halban itu sehinggalah sebelah tangannya seperti teraba suatu benda yang agak lembik dan licin. Agak terkejut juga dengan peristiwa pada pukul 4.00 petang itu, beliau kemudiannya dengan serta merta terjun dari pohon yang dipanjatnya itu di mana kerjanya itu disambut buat kali kedua selepas agak reda dari kejadian demikian.

Gangguan dan jelmaan lembaga dalam bentuk haiwan sering berlaku berhampiran dengan jirat Cina di Jalan Ketik Kulim kerana pada masa itu masih lagi berkeadaan hutan tebal tidak sebagaimana hari ini.

"Abang Man tidak menolak, jelmaan haiwan di pohon halban itu berpunca oleh salah seorang gadis Cina yang didapati meninggal ketika melahirkan anak lalu disemadikan di jirat tersebut.

"Namun, ada juga bomoh yang membuang saka dari tubuh lalu dicampakkan di bawah pohon halban itu. Mungkin ini sebagai penyebabnya gangguan berkenaan sering berlaku", jelas Abang Man lagi.

Tambah Abang Man lagi, selain beliau yang kena sakat di kawasan berkenaan, anak saudaranya yang bernama Adnan juga turut mengalami pengalaman yang sama. Berdasarkan ceritanya, anak saudara beliau terkena usik di kawasan yang sama sewaktu sedang mendapatkan 'belalang cerik' iaitu sejenis belalang yang bersuara merdu yang sering digunakan oleh masyarakat Kelantan pada masa itu yang gemar mengadakan pertandingan suara belalang.

Sewaktu sedang berusaha mencari belalang yang dimaksudkan pada pukul 8.00 malam iaitu pada musim kemarau lalu, lembaga haiwan dalam rupa 'gajah putih' yang sedia menunggu berhampiran pohon halban itu menjelmakan rupanya lalu diperlihatkan kepadanya.

Malahan menurut Abang Man lagi, pernah juga anak saudaranya yang sering ke situ untuk mendapatkan belalang cerik yang bersuara paling merdu yang dikatakan agak berbeza dari belalang cerik lain memang didengari dengan jelas olehnya. Katanya, jika belalang yang dimaksudkan itu dapat ditangkap, sudah tentu apabila memasuki pertandingan dapat mengalahkan belalang-belalang peserta lawan. Bahkan pada perkiraan anak saudaranya juga, sudah tentu pengadil-pengadil yang terlibat dengan pertandingan suara belalang nanti akan dapat mendengar kemerduan suara belalang yang dipersembahkan kepada penonton kelak.

Sambung Abang Man lagi, memang wujud dua ekor belalang berwarna coklat sebesar ibu jari di kawasan keras itu sebagaimana yang dimaksudkan oleh anak saudaranya itu. Suaranya memang merdu dan kemerduannya amat berbeza dengan suara belalang cerik yang lain. Apabila mendengar kemerduan suara belalang tersebut tanpa berlengah dan usul periksa anak saudaranya itu terus menangkapnya dan membawa pulang.

Namun, setelah dibawa pulang, anak saudaranya tidak dapat tidur dengan lena seperti ada gangguan yang menghantui tidurnya. Kalau sekali atau dua kali adalah sesuatu yang agak biasa, namun apabila beberapa kali kejadian yang sama anak saudaranya mula mengesyakki bahawa gangguan yang dialaminya itu tentunya berpunca dari belalang tersebut.

Sebelum kejadian luar biasa lain terus menghantuinya, anak saudaranya itu terpaksa mengembalikan belalang aneh yang telah ditangkapnya itu ke tempat asalnya dan semenjak itu kejadian gangguan tidur yang pernah dialaminya tidak lagi berlaku.



Abd. Rahman Husin atau Abang Man ketika ditemubual Penulis di kediamannya.

Di jirat inilah gadis Cina itu dikebumikan, penyebab kepada pelbagai jelmaan dua beranak. 

Dari arah inilah wujudnya jelmaan lembaga haiwan seperti ular besar, kucing, lembu dan gajah putih.

Pohon Halban inilah Abang Man terpegang ular besar yang agak luar biasa lalu terjun dari pokok itu serta merta.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan