RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 30 Disember 2011

Urutan Minyak Kelapa


URUTAN MINYAK KELAPA

MACHANG, KELANTAN Urat saraf semestinya tidak dapat menanggung beban jika sering memikul benda-benda berat yang lebih dari kemampuan tenaga. Apatah lagi jika individu yang melakukan kerja-kerja berkenaan telah lanjut usia akan menyebabkan urat saraf terus meragam jika diteruskan juga, akan mengakibatkannya terseliuh dan tentunya akan menanggung kesakitan yang berpanjangan. Malahan jika tidak diurut, tentunya urat saraf tersebut akan terus membengkak.

Sebut saja perihal mengurut, rawatan saraf dan refleksologi secara tradisional ini masih lagi diamalkan oleh kebanyakan masyarakat di Kelantan walaupun ubat-ubatan moden dikatakan mampu meredakan kesakitan yang dialami. Namun, ketahuilah bagi yang berharap kepada urutan dari tukang urut yang mahir dan berpengalaman dalam bidangnya akan mencuba kaedah tersebut kerana dengan cara ini sahaja urat-urat saraf yang bermasalah akan dapat diselesaikan.


Bagi mendapatkan gambaran jelas tentang kaedah mengurut secara tradisional ini, Penulis telah menemui seorang tukang urut yang agak mahir dan berpengalaman dengan sistem saraf, Awang bin Said, 47, atau dikenali Awang Tukang Urut yang berasal dari Kampung Pertok, Temangan telah diundang oleh bapa Penulis ke rumahnya di Kampung Temangan Lama yang meminta beliau untuk mengurutnya kerana mengalami masalah kekejangan urat saraf di beberapa bahagian anggota badan termasuk masalah kaki bengkak, ini tentunya amat menyukarkannya untuk melaksanakan kerja-kerja kampung.

Menurut Awang yang kini menetap di Kampung Pauh, Temangan, Machang, Kelantan berkata, keturunan beliau sebenarnya seorang tukang urut. Beliau yang memang mendapat ilmu terus dari arwah atuknya, Musa telah diwariskan ilmu tersebut kepadanya kerana beliau sememangnya berminat dengan kerja-kerja sedemikian. Abangnya yang sulung, Mamat bin Said juga seorang tukang urut yang mahir turut memperolehi ilmu dari atuknya itu.

"Masyarakat di Kampung Pertok memang maklum tentang kebolehan abang mengurut", jelasnya kepada Penulis.

Tambah Awang lagi, beliau belajar mengurut ketika usia 26 tahun dan pada ketika itu juga beliau mendirikan rumahtangga dengan gadis pilihannya dari Kampung Temangan Lama. Justeru, atuknya pernah berpesan jika beliau ingin belajar beberapa kaedah mengurut yang ternyata pesakit tidak akan terasa kesakitannya sewaktu diurut adalah ketika hayatnya supaya sentiasa membaca Al-Quran, tidak meninggalkan solat dan selepas mengurut melepaskan segala beban yang datang dari pesakit agar tidak memudaratkannya sebagai tukang urut. Jadi, langkah pertama beliau belajar mengurut dengan melihat bagaimana arwah atuknya mengurut beberapa orang pesakit dari kampungnya sendiri yang sering datang ke rumahnya.

Dalam masa yang sama, beliau belajar dari atuknya itu cara mengenal urat saraf dan mengesan kesakitan di samping kaedah mengatasi kesakitan akibat pelbagai sebab dan keadaan. Atuknya juga turut memperkenalkan beberapa urat dari bahagian badan, urat yang seringkali merasa sakit dan mudah terseliuh dan ada juga dikenali sebagai 'urat manja'.

"Abang sememangnya tidak mengetahui sepenuhnya jenis-jenis urat dalam tubuh manusia, tetapi abang dapat tahu urat mana yang terasa apanila menyentuhnya. Atas ikhtiar kerana Allah saja, abang berusaha menyembuhkannya", ujarnya.

Menurut Awang, setelah mewarisi sepenuhnya ilmu mengurut yang diperturunkan oleh atuknya itu, maka pada tahun 1971 bermulalah khidmatnya sebagai tukang urut bermula di kampung asalnya itu. Minatnya kepada kerja-kerja mengurut itu digunakan sepenuhnya dengan ilmu itu apabila sering menerima pelawaan masyarakat dari kampungnya. Berita tentang kemahirannya mengurut ialah bermula dari seorang rakannya sendiri dari kampung yang sama yang memang mengetahui bahawa beliau seolah-olah tukang urut berpengalaman walaupun masih dalam usia muda. Dari situlah beliau mula dikenali hinga ke kampung-kampung jiran yang lain seperti Kampung Pangkal Chuit, Kampung Pangkal Jenereh dan kampung-kampung yang berdekatan.

Kaedah beliau mengurut amat kompleks dan mudah dilakukan jika diperhatikan betul-betul. Beliau mula mengurut pesakit dengan cara menyentuh bahagian belakang pesakit. Bemula dari bahagian belakang pesakit terutamanya dari bahagian bahu, kaki dan proses terakhirnya ialah di bahagian perut.

"Sebab-sebab dimulakan di bahagian belakang pesakit kerana kebiasaannya pesakit akan terasa uratnya sakit di bahagian belakang terutamanya dari bahagian bahu yang dikenali sebagai 'tulang kipas', tapak kaki, paha dan urat perut.

"Sebab lain ialah urat di bahagian bahu merupakan tempat punca bagi seluruh urat saraf yang pastinya akan terasa ke bahagian-bahagian lain seperti kepala dan kaki", jelasnya apabila ditanya kaedah beliau mengurut pesakit berbanding sesetengah tukang urut yang mengurut di bahagian perut.

"Masalah pening kepala yang sering dirasakan pesakit kerana berpunca masalah urat saraf. Manakala kencing tidak sempurna akibat masalah angin disebut "angin medu" dari urat perut. Jadi, apabila diurut di bahagian berkenaan masalah pening kepala dan kencing akan dapat diselesaikan", ujarnya menambah.

Menariknya sewaktu mengurut pesakit ialah beliau hanya menggunakan minyak kelapa sahaja. Berbanding dengan tukang-tukang urut lain yang sering menggunakan minyak sapu seperti minyak urat atau minyak panas yang pastinya pesakit akan berasa tidak selesa apabila diurut. Namun, apa yang dimaklumkan oleh Awang, beliau menggunakan minyak kelapa kerana akan menjadikan kulit pesakit licin dan mudah diurut di samping untuk memberikan keselesaan kepada pesakit sendiri berbanding minyak urut yang pastinya akan terasa kesat, kasar dan melekat kepada kulit pesakit.

Dalam pada itu menurut Awang lagi, tugasnya sebagai tukang urut telah banyak kali mengurut masalah bengkak sama ada pada kaki dan sendi. Ia sebenarnya dipengaruhi masalah urat saraf, jadi jika wujud hal berkenaan akan menyebabkan pesakit akan terasa sakit sewaktu berjalan. Manakala jika didapati urat pecah, beliau tidak akan mengurut urat tersebut kerana akan menimbulkan masalah kepada pesakit jika berbuat demikian. Namun, beliau akan membuat urutan di bahagian lain yang ada kaitan dengan urat yang bermasalah itu.

Tambah Awang seterusnya, beliau amat biasa menemui pesakit yang mengalami pening-pening. Keadaan ini menunjukkan urat di bahagian bahu sememangnya bermasalah. Dalam hubungan ini, apabila menyentuhnya didapati bahu pesakit akan terasa amat berat, jadi di samping bertindak mengurutnya di bahagian itu beliau tidak lupa untuk meringankan beban urat di bahagian paha pula. Tindakan demikian akan menyebabkan pesakit akan terasa ringan seumpama masalah yang dihadapi oleh mereka sudah dapat diselesaikan.

Katanya, banyak pengalaman yang dilaluinya sewaktu menjadi tukang urut. Terdapat dua pesakit dari kampungnya yang sukar diurut kerana pesakit berkenaan tidak dapat menahan kesakitan sewaktu diurut dan seorang lagi kerap ketawa kerana terlalu geli apabila beliau menyentuhnya di bahagian rusuk, tapak kaki, paha dan sebagainya.

Di samping itu menurutnya, terdapat juga mangsa kemalangan jalan raya yang perlu diurut untuk memperbetulkan masalah urat yang terseliuh di samping ada mangsa kemalangan yang sebelum ini telahpun dimasukkan besi dalam anggota badannya oleh pihak hospital berjaya diurutnya walaupun agak terlalu sukar untuk berbuat demikian. Seorang pesakit yang dimaksudkan dikenali sebagai Ismail di mana beliau terpaksa mengurut urat paha yang didapati agak tegang, apa pun urutan berkenaan memang berhasil kerana urat di bahagian berkenaan memang selari dengan urat-urat di bahagian lain.

Pengalaman yang tidak dapat dilupakan olehnya sehingga hari ini sewaktu mengurut pesakit berasal dari Kampung Bukit Besi yang diganggu makhluk halus di mana tubuhnya memang menjadi tempat untuk makhluk berkenaan menumpang. Akibat diganggu makhluk berkenaan, pesakit tersebut pengsan. Apabila beliau menyentuh tubuh mangsa, tubuhnya terasa seram dan bulu romanya meremang buat seketika untuk menunjukkan kehadiran makhluk halus itu. Tetapi berkat memohon pertolongan daripada Allah di samping meniupkan beberapa kalimah suci Al-Quran ke tubuh mangsa, pesakit berkenaan berjaya diurut dan sembuh sepenuhnya.

"Dalam tubuh manusia ini, sekurang-kurangnya terdapat 10 jenis nadi. Jika nadi itu masih hidup, rawatan dan urutan boleh dilakukan dan jika Allah mengkehendaki pesakit itu berjaya diurut dan sembuh, pesakit itu pasti sembuh", ujarnya.

Tambah Awang lagi, apabila didapati dirinya berpeluh untuk menunjukkan urutan yang dilakukan terhadap pesakit telah menemui kejayaan. Malah dalam masa yang sama, pesakit akan berasa tubuh badannya agak ringan daripada sebelumnya. Sehubungan dengan itu, beliau amat berharap kepada orang ramai sama ada lelaki dan wanita yang mengalami masalah urat saraf seperti terasa pening, bahu terasa berat, langkah didapati lambat malah sering sakit-sakit di bahagian sendi dan sebagainya, segeralah berurut dan janganlah malu-malu. Ini kerana, kesakitan yang wujud di bahagian berkenaan untuk menunjukkan aliran darah terganggu, Justeru, apabila diurut dan urat di bahagian terlibat dapat diservis, tentunya aliran darah kembali normal. Jika tidak, pesakit akan menghadapi masalah lain yang lebih kritikal jika lambat berbuat demikian.   


Awang Said.


Arwah bapa Penulis sedang diurut Awang Said.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

4 ulasan:

  1. Tukang urut ini memang tiada no telefon. Saya difahamkan, dia tidak lagi menetap di kampung itu setelah berlakunya banjir 2014 baru-baru ini.

    BalasPadam
  2. Oo bgitu...xpe lah..walau mcm mn pn sy ucapkan t.ksh byk2 atas respon En Azmi...sy sndiri pn sbnrnya klau blh nk knl En Azmi krn kbtulan sy mempunyai minat yg sama dgn En Azmi...sy sbg pndakwah bebas dan sy amat brminat utk blajar seterusnya mndalami ilmu brkenaan rawatan Islam..t.ksh En Azmi

    BalasPadam
  3. Oo bgitu...xpe lah..walau mcm mn pn sy ucapkan t.ksh byk2 atas respon En Azmi...sy sndiri pn sbnrnya klau blh nk knl En Azmi krn kbtulan sy mempunyai minat yg sama dgn En Azmi...sy sbg pndakwah bebas dan sy amat brminat utk blajar seterusnya mndalami ilmu brkenaan rawatan Islam..t.ksh En Azmi

    BalasPadam