RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Khamis, 22 Disember 2011

Misteri Lembaga Wanita


MISTERI LEMBAGA WANITA

PASIR MAS, KELANTAN:  KAMPUNG Pangkal Kalong yang menghubungkan dengan Kampung Kedondong, Kampung Kerasok dan bandar Pasir Mas dekat sini pada masa dulu sering menjadi bualan seluruh penduduk kampung berkenaan. Ini berikutan, munculnya jelmaan lembaga wanita dan lelaki di sebatang jalan di kampung berkenaan, apatah lagi terdapatnya sebuah rumah lama yang ditinggalkan oleh pemiliknya sering ditakuti individu yang pernah melintasinya, namun lembaga yang dikatakan sebagai 'penunggu' di kawasan terbabit tidak pernah menyakat atau mengusik sesiapa. Cuma, pada masa itu orang yang pernah lalu lalang sahaja yang seakan gementar dan berasa seram apabila terpandangkan rumah dan kawasan pohon buluh di kampung terbabit.

Hal seumpama ini memang tidak dinafikan oleh Wan Mohd. Hakimi Wan Daroh, 22, atau dikenali sebagai Mie ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kampung berkenaan.

Menurut Mohd. Hakimi, ketika beliau masih kanak-kanak dulu perasaan takut memang wujud, maklumlah kampungnya itu masih dipenuhi hutan tebal dan keadaan jalan yang masih belum sempurna, tidak sebagaimana sekarang. Beliau pada masa itu tidak pernah keluar malam kerana sering dihantui ketakutan disebabkan cerita orang-orang tua tentang jelmaan makhluk halus. Apabila beliau meningkat remaja, beliau sering melihat jelmaan itu namun beliau tidak mempedulikannya seperti tidak pernah melihatnya.

"Pengalaman pertama saya ketika bertembung dengan bayangan seorang perempuan berpakaian serba putih setinggi dua meter (5 kaki). Ketika itu saya baru pulang dari rumah seorang kawan pada pukul 1.00 pagi, 6 Jun 2010 lalu.

"Memang pada pagi itu hujan turun renyai-renyai, suasananya agak sejuk. Saya dapat melihat makhluk itu secara sepintas lalu, tetapi makhluk itu tidak mengusik saya. Dia jelma kemudian hilang sekelip mata", ujarnya.

Beliau yang merupakan bekas penuntut Politeknik Kok Lanas, Kota Bharu tidak menafikan makhluk yang dimaksudkan memang sering menjelma di beberapa kawasan di kampungnya itu setiap kali malam menjelang dan dianggap suatu kelaziman bukan berpunca sesuatu tragedi ngeri seperti pembunuhan, misteri dari kubur lama ataupun akibat nahas jalan raya yang sering dikaitkan dengan kejadian misteri.

Walaupun jelmaan makhluk halus di kampungnya itu tidak pernah menyakat sesiapa, namun apabila dikatakan makhluk halus tentunya ditakuti oleh manusia. Menurutnya, beberapa tempat yang sering ditakuti penduduk setempat termasuk sebuah rumah lama milik Tok Saudaranya yang ditinggalkan kosong sejak 10 tahun lalu kerana berpindah dan kini menetap di Johor pula.

Katanya, beberapa kejadian menakutkan yang sering dikaitkan dengan rumah tinggalan Tok Saudaranya itu kerana beliau difahamkan sebelum rumah tersebut dibina, ia menjadi tempat buangan saka beberapa tahun lalu dan pada masa itu kawasan rumah termasuk kampung itu sendiri masih ditumbuhi hutan belukar yang agak tebal.

Apatah lagi menurutnya, rumah yang didiaminya sekarang memang berdekatan dengan rumah lama milik Tok Saudaranya dan pada masa-masa tertentu makhluk halus yang dikatakan berkampung di tempat terbabit sering menjelmakan dirinya. Buktinya beberapa orang tua dari kampung yang sama pernah melintasi di kawasan yang ditumbuhi sebatang pokok yang tumbuh subur pada mulanya dalam keadaan kering kontang. Namun, tatkala pulang dan melintasi di kawasan pokok yang sama tiba-tiba hujan turun renyai-renyai sedangkan di tempat lain tidak pula ada tanda-tanda hujan turun. Walau bagaimanapun, pengalaman penduduk terbabit di kawasan berkenaan dikatakan agak ganjil dan luar biasa, tidak pula ada jelmaan makhluk halus walaupun kejadian berkenaan sering dialami.

Tambahnya lagi, kejadian yang tidak pernah beliau lupakan apabila terdengar suara yang amat mengerikan seolah-olah suara seorang wanita sedang menangis dan bertempik pada dua minggu lepas di mana ketika itu beliau sedang menonton siaran langsung pesta bola Piala Dunia 2010 melalui siaran teleisyen pada pukul 1.00 pagi di rumahnya. Pada hakikatnya, sebelum ini beliau sering keluar rumah pada waktu malam, namun pada malam kejadian beliau tidak ke mana-mana kerana kebetulannya hujan turun.

Mengamati suara tangisan yang kedengarannya agak sayup itu beliau tidak pasti datang dari arah mana, namun setahunya berkemungkinan dari arah rumah Tok Saudaranya itu yang terletak berhampiran dengan rumahnya. Pada masa yang sama pula ibunya masih belum tidur kerana sedang menjahit. Walaupun ibunya sedang menjahit, ibunya turut mendengar suara jeritan itu tetapi tidak mengetahui suara jeritan siapakah yang dimaksudkan oleh beliau pada pagi itu.

"Jeritan wanita misteri pada pagi itu agak lama juga iaitu memakan masa selama setengah jam. Tangisan itu berhenti seketika kemudian berbunyi lagi untuk beberapa ketika", ujarnya.

Beliau beranggapan selain makhluk saka yang dikatakan dibuang oleh bomoh di tempat terbabit pada masa dulu, berkemungkinan juga makhluk yang sering merayau berhampiran rumahnya itu sebagai penunggu asal di kawasan tersebut sebelum kampung berkenaan dibuka lagi, kerana pada masa itu bentuk geografi kampung terbabit masih ditumbuhi hutan belukar yang agak tebal pastinya menjadi kegemaran makhluk halus untuk berkampung disebabkan suasananya.

"Saya tidak nafikan lembaga yang sering menjelma di kampung ini dari dulu sehingga sekarang merupakan penunggu hutan berdasarkan cakap-cakap orang-orang kampung yang pernah terserempak dan makhluk terbabit. Cuma saya dari generasi baru tidak pernah melihat lembaga yang dikatakan penunggu di situ", jelasnya.

Selain rumah lama yang ditinggalkan oleh Tok Saudaranya dianggap keras dan ditakuti, sebaliknya laluan di bahagian belakang rumah yang didudukinya sekarang memang menyeramkan apabila dua orang rakannya dikenali sebagai Roma dan Miji turut diganggu jelmaan seekor beruk tanpa kepala. Manakala berdasarkan cerita bapanya pula mendakwa pernah melihat makhluk halus berbungkus kain putih seperti mayat yang dikenali 'hantu bungkus' terguling merentangi jalan juga dari arah rumahnya menuju jalan utama.

Selain itu, jalan raya yang dilalui sekarang baru sahaja diturap berbanding ketika usianya enam tahun sejak 16 tahun lalu masih jalan biasa. Kejadian misteri ketika itu memang agak tersohor juga, mungkin akibat perkampungan makhluk halus telah diceroboh menyebabkan kehidupan keluarga mereka terancam. Sementara, setelah pembinaan selesai sepenuhnya jelmaan makhluk terbabit sering terjadi sehingga segelintir penduduk kampung terbabit menjadi rimas dengan kejadian misteri, namun terpaksa mereka harungi juga kerana itulah tanah dan kampung milik mereka.

"Pernah beberapa kali orang kampung ini bertembung dengan kelibat lembaga seperti seorang lelaki tua sedang berjalan sambil wajahnya tunduk ke bawah. Saya tidak pasti sebab apa lembaga itu tunduk ke bawah, mumgkin malu dengan wajahnya atau tidak mengizinkan manusia untuk melihat rupanya", jelas Wan Mohd. Hakimi lagi.

Sambung Wan Mohd. Hakimi, jelmaan makhluk halus lelaki yang dimaksudkan itu kadang-kadang menjelmakan dirinya berdekatan rumpun buluh yang tumbuh di tepi sebatang jalan di kampung berkenaan. Walaupun jelmaan berkenaan tidak pernah mengganggu serta mengusik sesiapa termasuk pengguna jalan raya lain apatah lagi penduduk setempat, namun jika mangsa bertembung ketika kemunculannya tentunya perasaan gelabah dan gementar pasti wujud.

"Saya tidak pasti lembaga itu dari bangsa apa sama ada hantu raya ataupun bunian kerana tidak pernah melihatnya dengan jelas. Orang-orang kampung ini pun tidak pernah menceritakannya kepada sesiapa walaupun ada di antara mereka pernah mengalaminya", jelasnya apabila ditanya tentang jenis makhluk halus itu.

Justeru, walaupun sewaktu ketika dahulu kebanyakan orang-orang Kampung Pangkal Kalong itu terasa seram dan diserang gementar untuk melalui kawasan-kawasan yang dikatakan agak keras itu setiap kali tibanya waktu malam terutamanya menjelang 10.00 malam, namun pada masa itu kebanyakan penduduk kampung itu tidak akan keluar ke mana-mana kerana sering dihimpit ketakutan bukan sahaja golongan tua termasuk juga remaja dan kanak-kanak. Namun berbeza pula di zaman moden ini, walaupun jam menunjukkan 1.00 pagi golongan muda tidak lagi mempedulikan apa yang berlaku kerana itu mereka dianggap tidak takut hantu kerana mereka tidak kenal hantu disebabkan tidak pernah melihatnya.   


Wan Mohd. Hakimi Wan Daroh atau Mie.

Wan Mohd. Hakimi Wan Daroh ketika diwawancara Wartawan RELATIF di sebuah warung makanan di kampung berkenaan.


Inilah rumah lama yang ditinggalkan oleh Tok Saudara Mie yang didakwa mengusik.


Kadang-kadang makhluk halus menjelma dari arah pohon buluh ini.

Makhluk halus menjelma sebagai lelaki tua sering menggunakan jalan di Kampung Pangkal Kalong ini.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan