RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Sabtu, 17 Disember 2011

Misteri Wanita Berkain Kafan


MISTERI WANITA BERKAIN KAFAN

KOTA BHARU, KELANTANKEWUJUDAN dan kehadiran makhluk halus tidak mengira zaman sama ada dulu dan sekarang kerana makhluk berkenaan juga dijadikan oleh Allah S.W.T  dapat hidup di alam ini sebagaimana manusia juga.

Makhluk ini berada di sekeliling kita dan sentiasa mencari ruang untuk memperdaya dan menyesatkan golongan manusia, terutamanya yang lalai. Ia mampu menjelmakan dirinya dalam pelbagai bentuk dan rupa yang dimampu dilihat oleh segelintir manusia.Jelmaan makhluk berkenaan di sekeliling kita bukanlah satu perkara baru malahan ramai yang mendakwa mereka pernah bertemu, diganggu dan disakat oleh makhluk seperti pontianak, langsuir, jin dan sebagainya.

Ketika kesempatan Wartawan RELATIF menemui seorang Pengawal Keselamatan, Rosli Mamat, 33, atau lebih dikenali sebagai Sham di sebuah sekolah agama di Jalan Sultan Yahya Petra dekat sini ingin berkongsi tentang pengalamannya yang paling berharga kira-kira 10 tahun lalu. Ketika itu beliau baru tiba di bandar Kota Bharu dengan membawa barangan bapa saudaranya yang baru berpindah dari Pahang kerana bertukar kerja di Kelantan.

Melihatkan jam sudah menunjukkan pukul 2.00 pagi, jadi disebabkan di rumahnya masih belum mempunyai kemudahan telefon kediaman, terpaksalah beliau menggunakan khidmat telefon awam berhampiran Makam Diraja Langgar serta Masjid Langgar itu. Tujuan beliau ke pondok telefon awam yang turut ditemani sepupunya yang perempuan adalah untuk memaklumkan keluarga di Pahang supaya tidak menaruh sebarang kebimbangan kerana beliau kini selamat tiba di Kota Bharu.

Selepas berjaya menghubungi kaum keluarganya tentang selamatnya perpindahan tersebut pada pagi itu, beliau mengambil keputusan untuk pulang dengan menunggang motosikal bersama sepupunya melalui Makam Diraja Langgar tersebut. Dari kesamaran cahaya lampu di situ, tiba-tiba matanya terpandang sesusuk lembaga wanita berpakaian serba putih muncul dari arah tanah perkuburan berkenaan. Ketika itu beliau sedang menunggang motosikalnya bersama sepupunya untuk pulang ke rumah.

"Memang saya nampak lembaga wanita itu muncul dari arah tanah perkuburan Makam Diraja Langgar itu, pakaiannya serba putih", ujarnya mengingatkan pengalamannya bertemu wanita misteri yang belum pernah dilihatnya sebelum ini pada pagi itu.

Lembaga wanita misteri yang muncul dari arah tanah perkuburan itu kemudiannya berjalan perlahan-lahan yang kemudiannya diekori oleh beliau. Selari dengan pergerakan berdekatan lembaga wanita apabila tiba berdekatan kubur Maharani, beliau memotong perjalanan dengan mendahului langkah lembaga wanita itu dan dalam masa yang sama sempat menjeling ke arah wajah lembaga wanita misteri terbabit. Tanpa disangkanya, lembagta wanita itu dengan tiba-tiba mendahului perjalanannya melintasinya secara pantas.

"Semasa saya menunggang motosikal mengekori dari arah belakangnya, saya memotong perjalanannya untuk melihat siapakah gerangan wanita itu. Anehnya, wanita itu mendahului saya lebih pantas ke hadapan", katanya yang turut berasa seram dengan kejadian pada pagi itu.

Apabila tiba di rumahnya yang juga terletak berhampiran dengan deretan tanah perkuburan seterusnya, beliau berhenti di situ buat seketika untuk menghilangkan rasa sejuk dan gementar. Dari arah pagar rumahnya beliau memanggil bapa saudaranya beberapa kali supaya keluar untuk menyatakan beliau telah pulang. Terdengar suara panggilannya, bapa saudara termasuk isi keluarga yang lain bergegas keluar dan secara tidak langsung dapat melihat susuk tubuh lembaga wanita misteri itu secara dekat.

Seluruh ahli keluarga termasuk bapa saudaranya dapat melihat dengan jelas lembaga wanita tersebut melalui kawasan rumahnya kemudian melintasi jalan di situ seterusnya melangkah ke arah benteng jalan raya di mana di situ juga terletak lampu isyarat jalan utama dan terus masuk ke tanah perkuburan berhampiran lalu terus ghaib.

Apabila ditanya, adakah beliau nampak wajah wanita misteri di malam itu. Beliau menjelaskan, berikutan suasana agak gelap beliau tidak dapat melihat rupa wanita terbabit kerana mukanya dalam keadaan tunduk. Namun menurutnya, kain yang bersimpul seperti kain kapan mayat masih kelihatan jelas di bahagian kepala lembaga wanita terbabit.

Justeru, kisah pertemuan dengan lembaga wanita misteri dari kubur sewaktu ketika dahulu itu telah hilang dari lipatan sejarah. Ini kerana, akibat pembangunan pesat di persekitarannya di mana rumah kediaman yang pernah didiaminya dan tempat wanita misteri itu melintasinya telahpun dibina sebuah bangunan baru dan beliau kini telah berpindah ke tempat lain. Orang ramai juga tidak lagi bimbang akan disampuk wanita makhluk halus kerana banyak rumah kediaman baru telah didirikan di situ sesuai dengan pembangunan perbandaran yang dirancang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). 



Rosli Mamat atau Sham.

Inilah tanah perkuburan tempat munculnya lembaga wanita misteri.

Arah jalan ketika dia mengekori lembaga wanita misteri itu.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan