RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Selasa, 27 Disember 2011

Rawat Penyakit Gila


RAWAT PENYAKIT GILA

PASIR MAS, KELANTAN:  BARANGAN antik dan pelik sebenarnya amat berguna jika pemiliknya mengetahui tentang rahsia, keistimewaan dan khasiatnya dalam bidang rawatan tradisional. Walaupun sesetengah orang menganggapnya karut dan ragu-ragu tentang kegunaannya kepada bidang rawatan penyakit manusia lebih-lebih lagi yang melibatkan gangguan makhluk halus, tetapi bagi individu yang faham tentang kepentingan dan manfaatnya akan terus menyakini  bahawa bahan-bahan tersebut sebenarnya memberi impak yang besar kepada rawatan yang diperlukan.

Hal seumpama ini bukanlah untuk mempercayai yang kononnya benda-benda tersebut boleh menyembuhkan penyakit yang dihidapi oleh manusia. Sebaliknya sebagai bahan perantaraan di mana bahan-bahan yang dijadikan oleh Allah di muka bumi ini mendatangkan banyak manfaat dan kegunaannya kepada manusia sendiri jika manusia itu berusaha di dalam bidang yang diceburi. Sebab itulah, wajibnya manusia menuntut ilmu adalah sebagai dasar untuk menaikkan martabat manusia di sisi Allah sekaligus untuk mengelakkan kalangan manusia berserah kepada nasib semata-mata yang hanya mewujudkan sifat putus asa. Ia juga dapat dijadikan sebagai jalan ikhtiar terakhir apabila rawatan secara formal tidak membuahkan hasil yang memuaskan atau menemui jalan buntu.

Menyedari hakikat itulah, atas minat dan usaha yang dilakukan oleh seorang Pengamal Rawatan Tradisional, Che Yusoh Che Ali, 62, yang lebih mesra dengan panggilan Pakcu Soh dari Kampung Jenereh, Meranti, Pasir Mas, Kelantan ketika ditemui Penulis menceritakan minatnya terhadap barangan antik dan pelik itu bahkan kesan rawatan yang dilakukannya semenjak berhenti sekolah sehingga sekarang amat memuaskan hati telah mendapat kepercayaan di kalangan pesakit yang pernah berubat dengannya.

Katanya, walaupun dianggap barangan antik dan pelik tetapi paling berguna ia boleh merawat penyakit manusia. Pengalaman beliau paling berharga pada tahun 1988 apabila berjaya mendapatkan sebiji "kelapa bertanduk". Menurutnya, kelapa bertanduk tersebut diperolehinya dari seorang jirannya dari kampung itu sewaktu beliau membawa seekor monyet (beruk) untuk tujuan memetik kelapa jirannya. Ketika melalui sebatang pokok kelapa di situ, beliau terpandang kelapa tersebut yang kelihatan bersama tandan kelapa yang lain.

Melihatkan kelapa yang dianggapnya luar biasa itu, beliau meminta dari pemilik pokok kelapa itu untuk mendapatkan kelapa bertanduk sebagaimana yang dimaksudkan itu secara ikhlas. Akhirnya, beliau memperolehi kelapa bertanduk itu setelah diizinkan oleh pemiliknya yang mengetahui Pakcu Soh sememangnya peminat barangan pelik di kampung berkenaan.

Pada mulanya, beliau tidak menyedari kelebihan dan keistimewaan kelapa bertanduk itu. Tetapi semenjak beliau memiliki kelapa berkenaan, semasa hayat seorang warga emas yang juga penduduk asal kampung berkenaan, Tok Awang (meninggal ketika berusia 80 tahun) menyatakan bahawa, rumah Pakcu Soh sentiasa dikunjungi orang ramai sama ada jauh atau dekat bukan sahaja untuk mendapatkan rawatan penyakit yang diperlukan, tetapi semenjak memiliki kelapa bertanduk itu ramai yang datang kerana ingin melihat keanehan kelapa tersebut dengan lebih dekat.

Beberapa hali beliau memperolehi kelapa bertanduk itu, beliau belum dapat mengesan keistimewaan kelapa berkenaan dari sudut rawatan penyakit. Sehinggalah dalam tempoh sebulan beliau mendapat ilham bahawa, kelapa bertanduk itu mempunyai khasiat untuk merawat penyakit tekanan perasaan (stress) dan penyakit gila. Cara beliau merawat penyakit berkenaan ialah dengan meletakkannya di atas kepala seseorang pesakit dan disapu dari hujung kepala sehingga hujung kaki sebanyak tiga kali.

"Kelapa bertanduk ini telah berusia 19 tahun tetapi masih lagi lekat di tandannya", ujarnya sambil menunjukkan kelapa tersebut untuk dirakam gambarnya.

Selain itu, Pakcu Soh juga memperolehi satu tandan kelapa. Beliau memperolehi tandan kelapa semasa beliau menetap di Perdana Resort, Pantai Cahaya Bulan (PCB) di Kota Bharu selama empat tahun kerana mengusahakan 'Rawatan Mandi Wap' di sana.

Pada ketika itu, ribut telah melanda dengan kuat di pantai tersebut. Oleh kerana Pantai PCB banyak ditumbuhi pohon kelapa, tentunya banyak daripada daun-daunnya termasuk tandan kelapa yang berguguran akibat dilanda ribut itu. Seketika kemudian, ribut berhenti dan selepas solat Zohor beliau meninjau untuk melihat suasana di persekitaran pantai itu dari serangan ribut. Anehnya, dalam banyak tandan kelapa yang gugur hanya tandan kelapa tersebut yang jatuh terpacak dan berdiri kukuh seperti pohon hidup.

Tanpa berlengah apatah lagi melihat luar biasanya tandan kelapa itu, beliau mengambilnya untuk dibawa pulang. Suatu hari, seorang rakannya dari Terengganu yang terlihat tandan kelapa itu memberitahunya bahawa, menurut kepercayaan masyarakat Terengganu tandan kelapa itu mempunyai khasiat dan keistimewaannya yang jarang diketahui orang. Di antara keistimewaannya ialah dapat menghalang gangguan makhluk halus dan boleh merawat orang yang disakat dan tersampuk oleh makhluk halus itu.

Bahan-bahan lain yang masih dalam simpanan Pakcu Soh adalah terdiri daripada pelbagai jenis batuk antik. Walaupun dikatakan batu antik dan pelik tetapi sebenarnya boleh merawat pelbagai jenis penyakit umpamanya batu senjata lelaki yang berguna untuk melakukan urutan kaki dan refleksologi.

Batu kelulut pula beliau perolehi dari arwah moyangnya bernama Tok Isa, Tok Che Leh, Che Ali (arwah bapanya) dan akhirnya dimiliki oleh beliau. Batu ini boleh digunakan untuk merawat demam panas dengan cara merendam ke dalam air kemudian diminum. Batu busut juga dapat merawat penyakit demam panas dengan merendamnya ke dalam air kemudian diminum dua kali sehari iaitu pagi dan petang.

Batu biji mangga bertindak sebagai penawar segala racun dan santau. Batu ini hendaklah direndam ke dalam air dan meminumnya dua kali sehari. Batu petir putih dan batu petir hitam dapat menyembuhkan penyakit buatan orang serta menghalang gangguan makhluk halus.Caranya, batu ini hendaklah diletakkan di atas kepala kemudian disapu sehingga hujung kaki.

Batu keluar air juga mempunyai keistimewaan dapat menghalang bisa gigitan serangga seperti lipan, kala jengking dan ular berbisa. Cara merawatnya ialah dengan meletakkan batu berkenaan di tempat terkena patukan dan gigitan tersebut.

Manakala batu kura-kura dan batu siput juga mampu mampu merawat bengkak-bengkak dan tersalah urat. Cara merawatnya dengan meletakkannya di tempat yang sakit kemudian disapukannya berulang kali.

Di antara barang-barang pelik yang lain ialah buluh belalai gajah. Barangan ini beliau perolehi dan dihadiahkan oleh seorang pesakit dikenali Tok Mandur Mat yang juga bekas kakitangan JPS semasa mengadakan rawatan di rumahnya. Selain itu, beliau juga memiliki sepasang 'batu kayu' iaitu kayu bertukar menjadi batu yang asalnya diperolehi oleh arwah bapanya di laut.

Manakala rawatan yang beliau berikan kepada pesakit umpamanya refleksologi, urutan tradisional sama ada lelaki dan wanita, urutan selepas bersalin, memulihkan tenaga batin, menaikkan seri wajah, cepat dapat jodoh, mengurangkan berat badan, memulihkan tenaga perempuan selepas bersalin, awet muda, menghilangkan tekanan perasaan (stress) serta memulihkan hal yang melibatkan dalaman dan luaran.

Walau bagaimanapun, itu adalah sebahagian penyakit yang dapat disenaraikan. Beliau sebenarnya tidak memilih penyakit apa yang dihidapi oleh pesakit, beliau akan mengadakan rawatan apabila diminta untuk berbuat demikian.   


Che Yusoh Che Ali atau Pakcu Soh dan kelapa bertanduk.

Pakcu Soh bersama barangan antik yang lain.

Buluh belalai gajah - dihadiahkan oleh seorang pesakit.

Kayu menjadi batu diperolehi oleh arwah bapanya di laut.

Tandan kelapa luar biasa - diperolehi semasa ribut.


Pelbagai jenis batu digunakan dalam rawatan.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan