RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 16 Disember 2011

Misteri Disakat Langsuir


MISTERI DISAKAT LANGSUIR

JELI, KELANTANMENURUT Kamus Dewan (DBP, Edisi Ketiga), 'langsuir' dan 'puntianak' membawa maksud yang sama iaitu hantu perempuan yang berlubang di belakangnya. Ramai yang pernah menemui makhluk yang suka mengganggu dan menyakat manusia itu. Malah tidak kurang juga yang hampir pengsan akibat terserempak dan disakat makhluk terbabit.

Misalnya puntianak dan langsuir sebenarnya suka mengganggu perempuan yang sedang mengandung sama ada mengambil kesempatan terhadap wanita yang akan bersalin. Makhluk ini akan mengilai keriangan setelah usahanya berjaya termasuk berjaya membuli seseorang yang dianggap lemah semangat dan dalam ketakutan.

Menurut Robiah Abdul Rahman, 32, sewaktu ditemui Wartawan RELATIF di tempat kerjanya, Restoran Mutiara Jeli, Jalan Dabong-Jeli dekat sini berkata, puntianak juga boleh wujud di zaman sains dan teknologi hari ini. Beliau yang menetap di Kampung Seberang, Jeli berkata, puntianak hanya mengganggu remaja-remaja terutamanya kaki pancing yang sering keluar waktu malam untuk memancing ikan di sebuah jambatan di situ yang dikenali Jambatan Kampung Seberang, sememangnya berlaku dan bukannya cerita dongeng untuk menakutkan orang yang lalu lalang.

Katanya, kumpulan remaja yang digelar kaki pancing ini memang ramai kerana jambatan berkenaan memang kawasan yang sesuai untuk aktiviti berkenaan terutamanya pada waktu malam. Ini menurut mereka, kebanyakan kaki pancing berkenaan memberitahu ikan akan mudah dipancing apabila waktu malam menjelma kerana keadaan suasananya yang sunyi. Jadi kesempatan berkenaan tidak ingin dilepaskan oleh kumpulan remaja berkenaan melunaskan hasrat di hati masing-masing memandangkan sebelah siangnya mereka bekerja, jadi apabila beramai-ramai memancing pada waktu malam tentunya menyeronokkan mereka.

Sebagaimana yang diceritakan oleh empat remaja yang pernah melihat puntianak itu kepadanya menyatakan, rupa puntianak tersebut berambut panjang yang kadang-kadang menyerupai wanita yang cantik malah kadang-kadang menyerupai orang tua. Tetapi bagi Robiah, beliau belum pernah menemuinya.

Tambahnya, kejadian empat remaja terserempak dengan puntianak itu berlaku pada bulan Februari 2006. Sedangkan sebelum ini, kejadian seumpamanya belum pernah berlaku, inilah yang menghairankan mereka.

"Kejadian itu berlaku pada bulan Februari 2006. Memang pelik juga sebab sebelum ini ia tidak pernah berlaku", katanya apabila ditanya adakah kejadian melihat puntianak pernah berlaku sebelum ini.

Menurut Robiah, beliau juga pernah dikias oleh anaknya bagaimana suasana pulang lewat malam, tidakkah pernah terserempak dengan makhluk tersebut? Katanya, setakat ini belum pernah bertembung dengan makhluk halus itu apatah lagi diusiknya. Tetapi kalau bertemu juga, pastinya beliau cabut lari, katanya sambil ketawa.

Tambahnya, kejadian yang pernah dialami oleh remaja-remaja yang memancing di atas jambatan terbabit apabila telinga salah seorang kaki pancing itu ditarik kerana tertidur di situ, motosikal yang ditunggang seperti ditarik oleh suatu kuasa hingga ke tepi jalan raya malah kadang-kadang motosikal yang enjinnya hidup dan sempurna tiba-tiba terhenti dengan sendiri adalah fenomena yang amat menyeramkan yang pernah dialami oleh remaja-remaja kaki pancing itu.

Menurut Robiah lagi, beliau sering pulang lewat dari kerjanya sebagai pelayan di sebuah kedai makan berhampiran cabang tiga Jambatan Kampung Seberang malah sering kali jambatan berkenaan sebagai laluan penghubung ke rumahnya. Beliau pernah menahan motosikal seorang penduduk yang juga jirannya sebagai pembonceng untuk pulang ke rumah lewat jam 10.00 malam, namun penunggang motosikal itu tidak mempedulikannya dan terpaksalah beliau berjalan kaki seorang diri kerana tiada lagi kenderaan lain yang melalui jambatan itu. Jelasnya, penunggang motosikal itu sebenarnya masih fobia dengan peristiwa dirinya yang pernah terserempak dengan pontianak yang dimaksudkan sebelum ini seolah-olah bimbang dirinya seperti jelmaan puntianak itu.

Pengalaman yang pernah dialami penunggang motosikal terbabit pernah melihat puntianak tatkala menunggang motosikalnya untuk pulang ke rumah seorang diri di atas jambatan itu masih tidak dapat dilupakannya. Beliau terdengar suatu bunyi benda jatuh berhampiran dengan motosikal yang ditunggangnya. Apabila didekati untuk mengetahui dengan lebih jelas benda apakah yang jatuh itu didapati tidak ada di situ. Perkara berkenaan amat menghairankannya sedangkan anak telinganya amat jelas mendengar bunyi suatu benda yang jatuh dari atas. Namun, dalam masa yang sama sewaktu beliau memusingkan kembali kedudukan motosikalnya menghala ke arah rumahnya itu, didapati puntianak yang berpakaian serba putih itu ada di belakangnya menyebabkannya ketakutan sehingga menunggang motosikal tersebut dengan laju tanpa menoleh lagi ke belakang.

Dengan demikian, jelaslah bahawa orang yang takut seringkali menjadi mangsa keadaan. Begitulah dengan kehadiran puntianak yang tidak mempunyai sebarang sebab dan alasan untuk berkampung di kawasan Jambatan Kampung Seberang itu. Tetapi perlu diingat, setiap hutan rimba, bukit-bukau dan lembah merupakan tempat tinggal makhluk halus yang tidak dapat dilihat oleh manusia.  

Robiah Abdul Rahman.

Cabang tiga masuk ke Jambatan Kampung Seberang, Jeli tempat kejadian pemancing diganggu puntianak.

Di atas Jambatan Kampung Seberang inilah remaja kaki pancing diganggu puntianak.

Aliran sungai mengalir di bawah Jambatan Kampung Seberang tempat remaja-remaja memancing ikan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan