RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Ahad, 25 Disember 2011

Misteri Kubur Lama


MISTERI KUBUR LAMA

PASIR MAS, KELANTAN Lazimnya kejadian misteri sama ada diusik atau disakat makhluk halus sama ada berupa jelmaan lembaga yang menakutkan hanya berlaku di kawasan terpencil. Namun, sejak kebelakangan ini, makhluk ghaib itu dikatakan menjadikan kawasan perumahan sebagai modus operandi apatah lagi kawasan terbabit pada masa dulu adalah sebuah tanah perkuburan lama. Disebabkan hal itu menyebabkan kawasan perumahan berkenaan dikatakan amat menyeramkan. Akibat daripada kejadian sedemikian menyebabkan projek perumahan tersebut sepatutnya dapat disiapkan awal didapati 'terbengkalai' gara-gara gangguan tersebut.

Hal ini bukanlah cerirta dongeng, namun hakikatnya kebanyakan kejadian yang dianggap misteri itu memang benar-benar berlaku di kawasan taman perumahan, suatu kejadian yang kurang diberikan perhatian kerana tidak diceritakan orang. Kejadian berkenaan bukan sahaja menyebabkan perumahan yang terletak di Kampung Kubang Gatal dekat sini terbengkalai yang dikatakan ada kaitan dengan jelmaan lembaga yang menakutkan pekerja-pekerja di situ.

Bagi mendapatkan gambaran di sebalik kejadian demikian, Penulis sempat menemui seorang Guru Besar di salah sebuah sekolah berhampiran yang berasal dari kampung terbabit yang hanya ingin dikenali sebagai Abdul Rahim atau Abang Him, 56. Katanya, beliau tidak nafikan rumah yang dikatakan terbengkalai itu dibina pada bulan Oktober 2008, namun sehingga kini masih belum dapat disiapkan ekoran kejadian tersebut.

"Pada peringkat awal, tapak rumah terbabit adalah sebuah kebun getah. Semasa rumah itu mula dibina ramai pekerja warga asing dari Bangladesh dan Indonesia yang menjadi tukang di situ. Namun, agak hairan apabila semakin lama pekerjanya semakin berkurangan.

"Manakala dalam masa proses membina rumah yang dimaksudkan, banyak perkara pelik berlaku. Terdapat di antara kes dua pekerja kemalangan setelah terjatuh dari tempat tinggi, manakala salah seorang dari mereka didapati pengsan. Mangsa yang terjatuh itu warga Bangladesh terpaksa dimasukkan ke hospital disebabkan tulangnya patah", ujar Abang Him.

Tambah Abang Him lagi, selain kebun getah dikatakan juga tapak asal rumah tersebut pada masa dulu adalah sebuah tanah perkuburan lama yang terpencil. Jadi, menurutnya masih ada lagi batu-batu nisan hidup sebagai tanda masih terdapatnya kubur ketika jentera bulldozer mengerjakan tanah tersebut untuk tujuan memindahkan kubur terbabit. Menurutnya, tanah berkenaan berkeluasan lapan ekar, dari jalan berkenaan dengan kubur baru berjarak 100 meter yang diguna pakai sekarang ini oleh penduduk kampung berkenaan sekitar tahun 1960-1970.

Ditanya tentang kes pekerja terjatuh semasa bekerja di rumah terbabit, beliau pada mulanya agak hairan dengan kejadian itu, namun tidak menafikan tentang hakikat tersebut berpunca daripada gangguan makhluk halus. Ini kerana, pada masa dulu iaitu semasa tanah tersebut dibuka pernah berlaku peristiwa pelik menyebabkan penender (berbangsa Cina) tersebut membuat tempat memuja dengan meletakkan buah limau untuk menghalau makhluk halus. Keadaan ini juga menjadi penyebab kawasan perumahan tersebut menjadi keras kerana makhluk halus akan sering ke tempat terbabit disebabkan kawasan tersebut telah menjadi tempat mereka berkampung.

Sementara itu menurut Abang Him, pada tahun 1980 dulu, satu kejadian di sebuah alur berhampiran tanah perkuburan terbabit pernah berlaku kejadian yang meremangkan bulu roma. Ada beberapa orang penduduk kampung memberitahu, mereka melihat seorang ibu sedang membawa anak kecilnya di mana rambut perempuan tersebut sampai ketumit, pakaiannya seperti orang kampung dalam kawasan sawah padi di situ. Apabila ditanya tentang kejadian itu, beliau agak tentunya ada peristiwa ganjil pada masa itu sama ada disebabkan pembunuhan atau sebagainya.

Selain itu, beliau pernah mendengar cerita satu kejadian di kawasan alur itu terdapatnya rumpun buluh duri, ada individu yang ingin mendapatkan buluh terbabit tetapi dengan tiba-tiba terserempak lembaga yang dimaksudkan seperti orang tua. Namun, selepas beliau menduduki rumahnya sekarang kejadian seumpama itu tidak lagi berlaku sehingga hari ini.

"Seorang pekerja Bangla yang mula-mula bekerja di rumah terbabit pernah diusik apabila beliau bangun di tengah malam terlihat olehnya suatu lembaga berpakaian serba putih pada tahun 2008 lalu.

"Bangla tersebut memberitahu Abang Him ketika beliau datang ke rumah ini untuk mendapatkan bekalan air paip. Kejadian berkenaan berlaku di tengah-tengah di antara perumahan tempat pekerja Bangla itu menginap", jelasnya.

Tambahnya lagi, salah seorang pekerja Bangla yang sama memberitahunya apabila tiba waktu malam terutamanya jam 2.00 pagi lembaga tersebut akan muncul di tempat yang dimaksudkan. Malah ada beberapa pekerja di tapak perumahan itu memberitahunya, kejadian usikan pernah berlaku di waktu senja di kawasan tepi kubur tersebut terutamanya kira-kira pukul 7.00 malam berdekatan dengan kaum Cina membuat pemujaan itu.

Justeru katanya, walaupun terdapat dakwaan bahawa perumahan itu terbengkalai akibat beberapa orang pekerja Indonesia berhenti kerana masalah pembayaran gaji dan tenaga buruh yang tidak mencukupi. Namun, setakat apa yang diketahuinya masalah gangguan makhluk halus adalah sebagai penyebab utama perumahan tersebut tidak dapat disiapkan. Bahkan menurutnya, laluan yang baru disiapkan sekarang sering kali mengusik apabila beberapa pekerja yang pernah menginap di situ kerap terpandang lembaga yang sering mundar-mandir dengan rupa yang menakutkan. 


Abdul Rahim atau Abang Him ketika ditemubual Penulis di kediamannya.


Asalnya tapak perumahan ini adalah perkuburan lama. Ada pekerja buruh di sini maut setelah terjatuh dari tempat yang tinggi.


Lembaga berpakaian serba putih sering dilihat di laluan ini pukul 2.00 pagi.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan