RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Rabu, 21 Disember 2011

Misteri Rakam Gambar Hantu


MISTERI RAKAM GAMBAR HANTU

MACHANG, KELANTAN:  MAKHLUK halus ada di mana-mana sama ada dalam rumah, bangunan, masjid, hospital, pasar, sungai dan lautan, bukit-bukau dan gunung-ganang dan sebagainya, kerana mereka sebenarnya berkongsi alam dengan manusia. Cuma manusia tinggal di alam realiti yang dapat dilihat dengan mata zahir manusia, berbeza pula dengan makhluk halus yang hidup di alam ghaib. Berdasarkan kepada corak kehidupan, manusia gemar hidup secara berkumpulan di tempat yang mudah dan jelas dilihat, berbanding dengan makhluk halus yang gemarkan suasana sunyi dan jauh dari bunyi hiruk-pikuk suara bising. Sekiranya di kawasan tersebut didiami manusia yang bermasalah khususnya individu diserang penyakit tentunya lemah semangat. Hal ini ternyata amat disukai makhluk ghaib terbabit kerana itulah peluang mereka untuk melakukan sesuatu yang tidak diduga oleh manusia.

Menyedari hakikat inilah, Kampung Temangan Lama dekat sini yang merupakan desa tempat Penulis dilahir dan dibesarkan pada masa dulu bebas dari sebarang gangguan lebih-lebih lagi yang melibatkan jelmaan makhluk ghaib itu. Kampung berkenaan yang sejak dulu dikelilingi bukit-bukau dan hutan belantara malah sering dilanda banjir setiap kali musim tengkujuh tiba, namun ketika hayat atuk, nenek dan bapa tercinta, Penulis tidak pernah mendengar sebarang jelmaan makhluk halus yang sering terbang seperti langsuir, pontianak dan bunian. Tetapi sejak ketiadaan ketiga-tiga orang tercinta itu, bermulalah suatu zaman yang tidak pernah terlintas dalam kotak minda Penulis tentang kemunculan dan jelmaan makhluk ghaib yang sentiasa berlegar-legar di kawasan berkenaan. Walaupun pada masa itu pancaindera mata tidak dapat melihat mereka dan masih belum wujud sebarang kamera yang dapat merakam makhluk terbabit, tetapi sejak hari itu jelmaan mereka dapat dilihat dengan jelas melalui kamera digital setiap kali menjelang malam.

Berdasarkan pengamatan, kali pertama Penulis dapat merakam gambar makhluk halus itu ketika Penulis pulang ke kampung pada 12 Februari, 2009 atas sebab bapa mengalami gangguan kesihatan. Sememangnya apabila tubuh diserang penyakit, akan menyebabkan tubuh kita menjadi lemah dan kesempatan inilah akan digunakan oleh makhluk halus itu untuk menyerang. Modus operandi makhluk halus tidak menyerang manusia secara total atau sekaligus, sebaliknya mereka akan menjadikan tempat tinggal dan kawasan sekeliling sebagai pengkalan untuk menyerang. Selepas itu, barulah manusia menjadi taruhannya sebagai mangsa. Manusia yang cekap dan tahan kepada gangguan akan dapat mempertahankan dari segala gangguan, namun jika lemah semangat seperti serangan penyakit yang dialami oleh bapa Penulis tentunya akan menjadi mangsa makhluk terbabit.

Setibanya Penulis di kampung pada 12 Februari, 2009 itu keadaan hari sudah Maghrib dan sebelum menunaikan solat berkenaan, terdetik di hati Penulis untuk merakam gambar kerana lazimnya makhluk ghaib itu akan muncul pada waktu tersebut sama ada sedang mencari makanan atau dianggap masa kaum mereka untuk memulakan kerja. Jadi, setelah kamera 'diklik' sebanyak dua kali pada pukul 7.46 malam tersebut, tanpa disangka-sangka jelmaan lembaga seperti manusia entah dari kategori mana sama ada pontianak atau jin tiba-tiba muncul dalam suasana remang pada malam itu. Makhluk halus yang dimaksudkan itu dapat dirakam gambarnya di sebatang turus pagar kebun pisang yang letaknya berhampiran dengan rumah kediaman kedua orang tua Penulis. Jelmaan itu agak jelas dan semenjak itu Penulis meminta kedua orang tua supaya merobohkan pagar tersebut kerana makhluk berkenaan bukan sahaja gemarkan tempat seperti itu terutamanya jika terletak pula berhampiran dengan kebun pisang dan kini pagar tersebut telahpun dirobohkan.

Namun, tidak selesai setakat itu sahaja kerana sudah menjadi sifat makhluk halus apabila kali pertama dapat menyusuri di sesebuah kawasan sunyi yang menjadi kegemarannya, makhluk berkenaan akan bertandang pula untuk kali yang berikutnya. Jika tidak dibersihkan, tentunya kawasan berkenaan akan menjadi perkampungan mereka dan makhluk terbabit akan menghuni di tempat itu pula.

Hal ini bukanlah cerita andaian, kerana semenjak bapa Penulis menghembuskan nafas pada 8 Apri, 2009 dan kini hanya bonda yang menetap di rumah tersebut seorang diri, kerap kali juga Penulis dapat melihat dengan jelas jelmaan empat makhluk halus dari bangsa bunian sedang menuju ke teratak Penulis pada malam hari pada bulan Mei 2010 sambil membawa obor api kemudiannya ghaib di sebatang anak sungai iaitu laluan ke halaman rumah berkenaan.

Sementara pada 13 Jun, 2010 tanpa disangka-sangka sekali lagi jelmaan makhluk halus dari bangsa langsuir telah cuba menjadikan kampung halaman Penulis sebagai penempatan mereka. Buktinya amat jelas setibanya Penulis di kampung terbabit pada tarikh berkenaan kerana ada urusan yang perlu diselesaikan keesokannya.

Setelah selesai solat Maghrib pada hari tersebut, kira-kira pukul 8.08 malam Penulis cuba merakam lapan keping gambar secara pantas. Gambar pertama dihalakan ke arah rumah bapa saudara, manakala gambar kedua dihalakan ke arah dua batang pokok pinang dara. Setelah disemak, Penulis dapati gambar kedua itu kelihatan objek ganjil dan setelah dipastikan betul-betul memang tidak terdapat sebarang objek putih di antara kedua pohon pinang tersebut.

Pada ketika itu, terdetik di hati Penulis pula bahawa mungkin ada makhluk ghaib yang sedang bertenggek di celah-celah di antara kedua pokok pinang dara itu. Lantas Penulis cuba menghulurkan tangan kiri untuk mengenalpasti rahsia di sebalik dua batang pokok pinang pada malam itu, sementara tangan kanan pula sedang memegang kamera. Dengan tiba-tiba tangan kiri Penulis berasa agak seram apabila seluruh bulu roma tiba-tiba berdiri tegak untuk menunjukkan ada makhluk yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar masih wujud di situ.

Kemudiannya, Penulis cuba merakam gambar berikutnya dan apabila disemak tiada lagi objek yang muncul dalam kamera. Malahan apabila Penulis menghulurkan tangan sebagaimana kali pertama tadi, bulu roma di tangan Penulis tidak menunjukkan sebarang tindakbalas untuk menunjukkan makhluk halus tersebut telah berlalu dari kawasan itu.

Dalam hubungan ini, amat jelas makhluk halus seperti langsuir itu tidak diketahui dari mana datangnya. Namun, terbaru pula, bersebelahan rumah kediaman bonda Penulis kini telah dibina laluan jalan raya sehingga ke hujung ladang getah di atas sebuah bukit yang kini dianggap terpencil kerana tidak lagi digunakan.
 



Foto makhluk halus yang dapat dirakam Penulis.


Inilah laluan masuk ke kediaman bonda Penulis tempat jelmaan makhluk bunian pada bulan Mei 2010. Kini tempat ini adalah perkampungan makhluk berkenaan.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan