RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 2 Disember 2011

Misteri Kuarters Kesihatan Tendong


MISTERI KUARTERS KESIHATAN
TENDONG

PASIR MAS, KELANTAN:  ORANG lain punya angkara, orang lain pula yang dipersalahkan dan menerima natijahnya. Inilah yang terjadi ke atas Adnan Che Hassan atau Mat dari Kuarters Kesihatan Tendong, Bunut Susu, Pasir Mas dekat sini ketika menceritakannya kepada Wartawan RELATIF. Dia yang bertugas sebagai Pembantu Rawatan Kesihatan agak terkilan dengan tuduhan dan dakwaan beberapa petugas di kuarters berkenaan yang kononnya beliau membela hantu. Walaupun tanpa bukti yang boleh mengaitkan dia sebagai pembela hantu, namun mereka tetap menuduhnya.

"Sejak kami berpindah ke kuarters ini sekarang pada tahun 1998, kejadian gangguan pelik itu belum wujud. Namun selepas tiga tahun kami tinggal di sini, kami sekeluarga mula mendengar pelbagai bunyi suara yang agak aneh.

"Oleh kerana inilah pengalaman pertama kami, saya dimaklumkan oleh beberapa orang warga asal kampung ini menyatakan, tapak kuarters yang kami duduki sekarang adalah tapak asal makhluk halus kononnya arwah penggawa yang pernah menetap di sini dulu ada membela makhluk tersebut", beritahu Adnan kepada Penulis yang sempat berkunjung ke kuarters yang didudukinya sekarang.

Walaupun dimaklumkan berkali-kali oleh warga emas kampung tersebut, beliau masih belum berpuas hati tentang jawapan tersebut. Tetapi setelah buat pertama kali pintu rumahnya diketuk berulang kali apatah lagi mata dan kepalanya dapat melihat sendiri lembaga perempuan berpakaian putih sedang mengirai rambutnya yang panjang mengurai ketika bulan mengambang jam 3.00 pagi di atas sebuah tangki air bersebelahan kuartersnya itu, beliau mulai mempercayainya.

Menurutnya, pernah berlaku gangguan dan turut disakat oleh lembaga yang sama sebagaimana yang dialaminya itu apabila dilihat sendiri oleh seorang Pengawal Keselamatan sekolah yang tinggal berdekatan dengan kuarters berkenaan, akibat tidak dapat menahan usikan itu menyebabkannya berpindah dan tinggal di tempat lain.

Gangguan tersebut tidak selesai setakat itu sahaja kerana selain berlaku di laman rumahnya, sering kali juga berlaku di dalam rumah. Ketika duduk bersendirian misalnya, beliau dapat merasakan ada sesuatu yang melintasi batang tubuhnya apatah lagi apabila seluruh keluarganya berkumpul di rumah tersebut ketika hari-hari minggu, makhluk berkenaan seperti tidak makan saman malah akan cuba mengganggu mereka dan paling kerap berlaku seperti ada sesuatu yang bermain-main di belakang beliau sendiri.

Tambah Adnan lagi, kadang-kadang gangguan dalam rumahnya itu berlaku suatu lintasan di bahagian dapur, bukannya sekali dua tetapi banyak kali. Malahan kadang-kadang setiap kali beliau ingin melelapkan mata kerana penat bekerja seharian, ketika itulah wujudnya pelbagai gangguan apabila pintu rumahnya diketuk berkali-kali setelah tibanya waktu larut malam yang sunyi.

"Pernah suatu kali, saya ingatkan rakan sekerja saya yang berkunjung ke rumah kerana memberi salam 'assalamualaikum'. Apabila saya bingkas bangun tidur untuk melihat siapa yang datang, didapati tiadapun orang yang memberikan salam itu", ujarnya untuk menunjukkan makhluk berkenaan cuba memperdayakannya dengan meniru suara dan tabiat rakannya yang sering berkunjung ke kuartersnya itu.

Katanya, kadang-kadang beliau terdengar bunyi enjin kenderaan sedang melalui dan parkir di laman rumahnya. Namun, apabila dijenguk melalui langsir jendela rumahnya tidak ada sebarang jenis kenderaan yang datang.

"Ada satu kali, ketika larut malam saya terdengar ada bunyi ketukan di pintu rumah ini. Saya sangka ada jiran-jiran dari kampung ini yang meminta pertolongan saya, tetapi apabila dilihat tidak ada orang.

"Acap kali juga ada seseorang sedang batuk di hadapan tangga rumah, namun apabila dilihat tidak ada seorang pun yang berdiri di situ", ujarnya mengingatkan beberapa peristiwa yang menunjukkan, jika individu tertentu tidak sabar dengan gangguan berkenaan pastinya akan cabut lari atau pindah rumah.

Pernah beberapa kali beliau membebel dengan keadaan berkenaan untuk menunjukkan kuarters berkenaan agak teruk. Ini kerana, sesuatu yang agak menyedihkannya tentang peristiwa itu apabila beberapa penghuni di kuarters itu pula membuat dakwaan yang memanaskan cuping telinganya kononnya beliau memelihara hantu. Dakwaan ini dilemparkan terhadapnya berikutan setiap malam berlakunya pelbagai gangguan yang menakutkan penghuni kluarters berkenaan. Beliau dengan selamba menjelaskan bahawa, bagaimana boleh beliau membela hantu sedangkan hakikatnya beliau sendiri sedang berusaha untuk mencari bomoh yang boleh menghalau gangguan makhluk halus itu.

Katanya, beberapa penduduk pernah memaklumkan kepadanya bahawa walaupun diundang kepakaran bomoh lain yang lebih handal tidak akan mampu memulihkan gangguan berkenaan kerana ia sudah sebati dengan kuarters tersebut. Dengan itu juga, beliau terus berusaha untuk mendapatkan khidmat Pengamal Rawatan Tradisional yang dapat berbuat demikian.

Tambah Adnan, disebabkan pelbagai gangguan yang menakutkan seluruh keluarga di kuarters itu umpamanya bunyi ketukan pintu bertalu-talu menjadikan keluarga berkenaan bimbang dan panik dengan situasi yang dialami. Katanya, akibat daripada kejadian itu, salah seorang penghuni kuarters yang bernama Amir MMA cuba mendapatkan khidmat bomoh lain bukan untuk memulihkan keadaan kritikal akibat gangguan itu, sebaliknya untuk mengetahui adakah beliau (Adnan) seorang pembela hantu yang didakwa oleh penghuni-penghuni lain di kuarters itu.

Namun, jawapan yang diberikan oleh bomoh tersebut amat jelas bahawa, Adnan bukanlah beliau yang membela makhluk halus itu sebaliknya adalah pemilik tanah asal kuarters itu yang membelanya untuk tujuan peribadi. Ini kerana menurut ceritanya, kuarters yang beliau duduki sekarang adalah sawah padi. Jadi, sepatutnya sebelum meninggal dunia arwah penggawa berkenaan perlu berusaha untuk menyelesaikan masalah belaannya itu terlebih dahulu supaya daripada tidak bertuan dan pastinya akan mengganggu orang lain setelah dia meninggal, penggawa itu patut menyingkirkan dari tubuhnya sendiri termasuk kawasan yang didudukinya. Disebabkan penggawa itu tidak berbuat secara yang sepatutnya menyebabkan orang lain yang akan tinggal di situ pula yang menjadi mangsa.

"Saya dapat tahu dari beberapa orang warga emas di kampung ini, katanya makhluk belaan itu tidak mahu diterima oleh keluarga dan keturunan mereka. Namun, pandangan mereka supaya saya mendapatkan bomoh yang lebih handal boleh dipertimbangkan. Jika tidak, masalah gangguan di sini akan sentiasa berlaku dan tidak akan selesai selama-lamanya", katanya.

Setakat ini beliau masih lagi bersabar walaupun sering diganggu berkali-kali oleh makhluk halus yang menghuni di kawasan itu dengan mengambil keputusan tidak ingin berpindah. Disebabkan sering diganggu sedemikian rupa beliau menganggap gangguan berkenaan sebagai sudah lali dan memahami dengan keadaan yang berlaku. Cuma, beliau agak dukacita dengan sikap masyarakat di kampung berkenaan yang sanggup menuduhnya membela hantu tanpa usul periksa walaupun hakikatnya tidak.

Tambah Adnan lagi, dalam usaha untuk menyelesaikan masalah sedemikian, beliau cuba menemui seorang bomoh dari kampung berhampiran bernama Kak Lah dalam usaha untuk menyingkirkan makhluk ghaib di kawasan itu. Namun, bomoh tersebut memberitahunya bahawa, makhluk yang dianggap penghuni asal di kuarters itu jika berjaya dihalau hanya dalam tempoh sementara iaitu selama dua atau tiga minggu sahaja, selepas itu makhluk ghaib itu akan kembali semula.

"Bomoh Kak Lah memberitahu, makhluk itu seumpama ulat, walau bagaimana sekalipun cuba dihalau, masalah tidak akan selesai kerana keturunan asalnya masih wujud di tempat ini.

"Kata Bomoh Kak Lah, beliau boleh usahakan sekadar untuk menahan dan mengurangkan gangguan makhluk itu sahaja tetapi kalau ingin harapkan makhluk itu pergi buat selama-lamanya, kemungkinan tidak akan berjaya", ujarnya dan beliau mengakui setakat ini gangguan yang agak menakutkan sewaktu ketika dahulu agak berkurangan.

Namun menurut Adnan lagi, walaupun gangguan berkenaan agak berkurangan tidak sebagaimana kejadian sebelumnya, natijah yang beliau terima agak munasabah apabila tubuhnya didapati semakin lemah dan semangat jiwanya agak berkurangan apatah lagi dibebani dengan kerja-kerja di pejabat akan menambahkan lagi masalah yang sedia wujud itu. Dalam situasi sedemikian, apabila beliau terasa semangatnya agak lemah dan kesihatannya sering terganggu secara luar biasa, beliau akan mendapatkan bantuan bomoh Kak Lah itu supaya membantunya untuk mengurangkan masalah sedemikian sehinggalah hari ini.    


Adnan Che Hassan atau Mat.

Adnan Che Hassan ketika diwawancara Wartawan RELATIF di kuarters kesihatan di Tendong.

Kelibat lembaga sering melintasi tubuhnya di ruang tamu rumahnya.

Di atas tangki air inilah dia sering melihat lembaga perempuan sedang mengirai rambut.

Kadang-kadang lembaga terbabit menjelma di pokok mangga ini.

Kuarters yang didudukinya sekarang adalah bekas tapak sawah padi.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan