RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 23 Disember 2011

Misteri Ular Jilat Lidah


MISTERI ULAR JILAT LIDAH

WAKAF BAHARU, KELANTANDugaan dan ujian Allah terhadap hamba-hamba-Nya amat berbeza antara seseorang individu dengan individu yang lain. Kadang-kadang menurut tafsiran manusia, ujian yang dialami itu dianggap mereka sebagai nasib dan kadang-kadang dianggap tidak masuk akal. Kisah yang dialami oleh sebuah keluarga dari Kampung Mulong, Wakaf Baharu, Kelantan menjadi pengajaran tentang hakikat bahawa, mereka sebenarnya terkena 'badi ular', rawatan alternatif adalah sebagai jalan penyelesaiannya dan sekiranya lambat bertindak, hanya Allah jua yang mengetahuinya.

Ketika ditemui Penulis, Roslan Haji Abdullah, 47, dari Kampung Tok Malik dekat sini dan kini bertugas sebagai Pegawai Penguatkuasa, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) sanggup berkongsi cerita sebagai suatu iktibar ekoran kejadian itu menyebabkan abang dan adik-adiknya yang baru dilahirkan menerima nasib 'pekak' dan 'bisu' dan penghinaan itu turut diterima oleh ibu dan bapanya kecuali dirinya sendiri yang bernasib baik.

Menurut Roslan, beliau mempunyai 11 orang adik-beradik di mana dua darinya telah meninggal dunia, sejak hari itu hanya tinggal sembilan orang iaitu lima lelaki dan empat perempuan. Di antara sembilan adik-beradiknya itu, hanya beliau seorang sahaja yang dilahirkan normal dan cukup sifat tidak sebagaimana yang dialami oleh adik-beradiknya yang lain. Jelasnya, amat jarang ditemui di kalangan keluarga lain seperti keluarganya apabila kelima-lima adik-beradik yang meliputi dua lelaki dan tiga perempuan tidak dapat bertutur (bisu), namun baginya masih tetap bersyukur dengan ujian itu.

Tambahnya, masalah yang dialami oleh keluarganya bukan disebabkan oleh keturunannya. Walau bagaimanapun, daripada cerita arwah ibunya (meninggal tahun 1984) bahawa, penyebab adik-beradiknya menjadi bisu dan pekak berikutan satu kejadian aneh berlaku ke atas ibunya, iaitu semasa ibunya sedang hamil didapati seekor ular sawa tikus sedang menjalar di persekitaran rumah dan di atas siling rumahnya beberapa kali. Lantas arwah bapanya yang merupakan seorang guru (meninggal tahun 1991) tidak sampai hati membunuh ular tersebut semasa isterinya sedang hamil sebaliknya mengusir ular sawa berkenaan dari laman rumah. Walaupun ular tersebut telah diusir, pada suatu malam iaitu pada minggu yang kedua, ular tersebut muncul kembali. Dari cerita ibu yang pernah didengarinya, kemunculan ular itu mempunyai tujuan iaitu untuk menjilat lidah ibunya.

Pada mulanya, kemunculan ular itu berulang kali sebagai sangkaan sahaja, namun kejadian pada suatu malam kira-kira jam 4.00 pagi iaitu ketika ibunya sedang nyenyak tidur, memang tidak menyedari mulutnya terbuka secara tidak sengaja. Pada ketika itu, ular terbabit memang telah siap sedia di atas tubuh ibunya dapat menjilat lidah ibunya yang mulutnya sedang ternganga itu. Selepas dapat menjilat lidah ibunya, secara tiba-tiba ibunya tersedar dari tidur kerana berasa lidahnya terlalu sejuk dan dengan tidak disangka-sangka dapat melihat bentuk fizikal ular tersebut sebesar ibu jari sedang melingkar di atas dadanya. Ular tersebut mungkin agak terkejut dengan situasi itu mula menjalar turun melalui perut kemudiannya melungsur  ke arah kaki seterusnya berlalu dari pintu rumah. Ibunya tidak dapat memberikan gambaran adakah ular tersebut ular sebenar atau sekadar jelmaan semata-mata.

Walau bagaimanapun, semenjak hari esoknya ular sawa tikus yang telah dapat menjilat lidah ibunya tidak lagi muncul-muncul. Keadaan ini menurut ibunya sesuatu yang agak aneh. Namun, ibunya tidak ambil kisah sangat apatah lagi ketika meminta pandangan dari bondanya sendiri menyatakan hal tersebut adalah perkara biasa. Sehinggalah abang beliau dilahirkan, didapati dalam masa setahun, apabila abangnya dipanggil berulang kali bukan sahaja tidak menyahut panggilan itu sebaliknya tidak mempedulikannya seperti telinganya tidak dapat mendengar suara panggilan yang ditujukan kepadanya. Dari keadaan demikian, abangnya disahkan mengalami masalah bisu dan pekak.

"Setelah saya dilahirkan, ibu amat bersyukur kerana saya tidak  mengalami masalah sebagaimana yang dialmi oleh abang. Namun, hal tidak dapat bertutur (bisu) dialami pula oleh adik-adik saya yang ketiga, keempat dan kelima iaitu satu lelaki dan dua perempuan.

"Jadi, bertolak dari situlah iaitu semasa adik-adik saya sedang membesar, bonda saya perasan masyarakat sekeliling menganggap kami adalah keluarga terhina kerana mengalami kecacatan", ujarnya.
   
Disebabkan keadaan demikian lebih-lebih lagi terpaksa menelan tohmahan dan penghinaan jiran-jiran sekeliling menyebabkan adik-adiknya berasa malu untuk keluar rumah. Dalam masa yang sama, tercetus di hati keluarganya mengapa Allah S.W.T  memberikan dugaan sedemikian berbanding dengan orang lain.

Selepas kesembilan adik-adiknya lahir, barulah ibunya berusaha mendapat nasihat seorang rakannya untuk mendapatkan khidmat rawatan alternatif. Hasil pertemuan dengan Pengamal Rawatan Alternati itu memberitahu bahawa keluarganya terkena 'badi ular'. Katanya, kalau sejak hari itu keluarganya tahu malah bertindak awal bagi mengatasinya, kemungkinan abang dan adik-adiknya yang lain tidaklah mengalami nasib seperti itu.

"Jadi, saya masih ingat apabila saya dimandikan oleh perawat alternatif itu dengan tujuh air limau, tujuh jenis bunga dan tujuh jenis air perigi termasuk adik-adik saya yang lain apabila mereka mempunyai anak pinak dan bercucu-cicit yang akan datang nanti tidak menerima nasib sebagaimana mereka pula", katanya yang merupakan anak kelima keluarga besar itu.

Menurutnya, selepas rawatan itu dilakukan masalah keluarganya dapat diatasi dan semuanya boleh bertutur dengan baik. Kesemua adik-adiknya kini memiliki minda yang cerdik dapat memasuki asrama dan menduduki SPM dengan keputusan terbaik. Apatah lagi, walaupun terpaksa bersaing dengan golongan berada dan memiliki mental dan fizikal yang sempurna berbanding adik-adiknya. Malahan pada suatu masa kerajaan memberi peluang golongan OKU diberi peluang sama rata, ketika itulah beliau mengetahui keadilan Allah apabila golongan OKU seperti adik-adiknya adalah manusia biasa yang turut diberi penghormatan yang adil juga.

"Selepas kejadian itu, barulah keluarga kami menerima hakikat bahawa ketentuan yang berlaku itu merupakan anugerah Allah terhadap hamba-Nya, perlulah diterima dan kemungkinan kejadian sedemikian ada sebab dan musababnya yang akan datang. Malahan kemungkinan juga dengan sebab itu Allah ingin memberikan suatu kelebihan kepada hamba-hamba-Nya berbanding orang lain, hanya Allah S.W.T  sahaja yang tahu tentang hamba-hamba-Nya.

"Rupa-rupanya kejadian ular sawa tikus ingin menjilat lidah bonda saya itu mempunyai hikmah di sebaliknya. Keluarga kami tidak ada keturunan sedemikian kecuali disebabkan seekor ular tersebut. Saya percaya, tidak ada keluarga lain sebagaimana dialami oleh keluarga kami.

"Cuma saya terkilan dengan sikap masyarakat yang tidak dapat menerima orang kurang upaya seperti keluarga kami, mereka sanggup menghina daripada meminta kami supaya bersabar dengan ujian itu", keluh Roslan yang turut bersyukur apabila masalah yang dialami oleh adik-beradiknya selesai.

Apabila ditanya, adakah ular sawa tikus itu jelmaan daripada jin memandangkan setiap kali diusir, ular itu masih tetap muncul di halaman rumah ibunya yang terletak di Kampung Mulong, Wakaf Baharu itu, beliau tidak menafikan tentang hakikat tersebut. Tetapi disebabkan kepercayaan keluarganya pada masa itu menganggap perkara biasa, jadi hal berkenaan dibiarkan begitu sahaja. Sepatutnya meminta pandangan orang-orang alim, tetapi apabila keadaan berkenaan agak melarat barulah terbuka pintu hati ibu dan bapanya untuk mendapat nasihat tentang keadaan dan sebab musabab yang dialami oleh anak-anaknya.

Justeru katanya, daripada kejadian itu beliau mendapat kesimpulan dirinya mungkin dianugerahkan oleh Allah untuk menjadi pemimpin kepada adik-adiknya kerana berkeadaan normal tidak sebagaimana dialami yang lain, jika tidak dirinya juga menerima nasib yang sama.     


Roslan Haji Abdullah ketika ditemubual Penulis di kediamannya.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan