RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 9 Disember 2011

Misteri Rumah Mengusik


MISTERI RUMAH MENGUSIK

WAKAF BAHARU, KELANTAN MAKHLUK halus memang tidak mengira siapa, asalkan mangsa itu dalam kelalaian, lemah semangat dan senang diperdayakan, makhluk yang dibenci bumi itu akan cuba menyakat dan membuat gangguan. Walaupun makhluk ghaib itu tidak menjelmakan dirinya yang sebenar untuk menakutkan mangsa, namun sebuah keluarga di Kampung Perupok, Wakaf Baharu yang disakat beberapa jenis makhluk halus beberapa tahun lalu sehingga hari ini dapat digambarkan supaya manusia yang mendiami di kawasan itu perlu berpindah untuk mengelakkan dari sering diganggu.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, mangsa yang dimaksudkan, Mohd. Johari Muhammad Salleh, 40, atau Mat Yie dari Kampung Perupok, Wakaf Baharu, Kelantan tidak menolak hakikat itu. Beliau yang menetap di kampung berkenaan sejak tahun 1998 pada mulanya tidak pernah mengalami keadaan seumpama itu. Walau bagaimanapun, kejadian berkenaan mula menghantui keluarganya sejak tahun 2005 lalu, keadaannya agak mencemaskan, malah kalau sekiranya bersifat kurang sabar tentunya mereke akan membuat keputusan mudah iaitu berpindah. Namun, bagi Mat Yie walau bagaimanapun yang terjadi dia tidak akan mengalah, sebaliknya dia akan lawan gangguan dari makhluk itu kerana kampung tersebut adalah tempat asalnya.

Katanya, kejadian pertama berlaku ketika beliau dan keluarganya menetap di rumah asal yang masih uzur iaitu tempat beliau menjual buah-buahan sekarang ini. Sememangnya setiap kali gangguan dia tiada di rumah kerana bekerja di luar kawasan dan rumah tersebut didiami oleh anak-anak serta isterinya sekadar mengharungi perjalanan malam. Pada masa yang sama, beliau membina rumah baru bagi menggantikan rumahnya yang lama dan telah uzur agar kelihatan lebih selesa dari masalah hujan danpanas.

Pada hematnya, ada kemungkinan disebabkan makhluk berkenaan mengetahui sebuah lagi rumahnya yang dalam pembinaan apatah lagi bersebelahan rumah barunya kini terdapat sebuah perigi lama yang telah ditimbus dikenali 'telaga pancung Jepun' pada masa dulu dikatakan sebagai penyebab keadaan gangguan itu sering berlaku setiap kali menjelang malam.

Bahkan beliau tidak menolak, gangguan itu juga berpunca dari beberapa buah rumah jirannya yang dikatakan sebuah kawasan agak keras, selain di seberang jalan raya di hadapan rumahnya kini ditumbuhi rumpunan buluh yang turut dijadikan penempatan kelompok makhluk halus yang sering bertenggek di atasnya, di samping gangguan dari arah ladang cilinya dalam jarak beberapa meter dari rumahnya seolah-olah sebagai satu pertalian dan alasan kelompok makhluk halus itu untuk menghuru-harakan keluarganya. Peliknya, beliau sendiri tidak pernah disakat sedemikian rupa kecuali dialami oleh anak-anaknya termasuk isterinya serta ibunya.

Katanya, isterinya seringkali terlihat sekujur lembaga yang menjelma dalam rupa beruk dan kadang-kadang seekor lembu pernah menjelma di hadapan rumah barunya itu beberapa kali. Jelmaan dalam rupa anak lembu sering melompat melintasi ketinggian sebatang pohon kelapa mengejutkan isterinya. Sebaliknya lembaga yang menjelma dalam rupa beruk pada masa-masa tertentu sekadar bertenggek di kawasan itu sahaja.

Pada masa kejadian itu, isterinya baru keluar dari rumahnya untuk ke tandas yang pada masa itu dibina di luar rumah. Walaupun kedua-dua bentuk lembaga itu sering menjelmakan dirinya pada malam terbabit, namun lembaga itu tidak pernah membuat khianat atau melakukan sesuatu yang menyebabkan isterinya cedera seperti mencakar, menanduk atau melanggarnya. Apabila isterinya berpaling ke arah lembaga yang dimaksudkan, didapati lembaga terbabit terus ghaib di celah-celah malam itu.

Sambungnya lagi, selang beberapa hari dia menganggap gangguan berkenaan tidak lagi berlaku dan tentunya keluarganya dalam keadaan tenteram. Namun, ternyata telahannya agak meleset kerana selang beberapa hari, anak sulungnya bernama Nur Syazwani, 16, yang menuntut dalam Tingkatan Empat terlihat kelibat toyol sewaktu mengalami demam pada tahun lalu. Pada mulanya, beliau beranggapan adiknya yang bongsu sedang bertenggek di situ, namun gerak hatinya menafikannya kerana tidak mungkin adiknya akan berbuat begitu di tengah-tengah malam pula. Lantas untuk mengetahui kelibat siapakah yang dilihatnya, Nur Syazwani mendekati kelibat lembaga pendek yang sedang menjelma pada ketika itu dan beberapa saat kemudian lembaga toyol itu terus ghaib.

"Gangguan makhluk halus ini dianggap belum selesai. Selepas rumah baru saya siap sepenuhnya, gangguan dari makhluk itu semakin menjadi-jadi sehingga meresahkan isteri dan anak-anak saya.

"Pada masa saya menyiapkan bilik dapur pada waktu siang hari, lembaga yang sering menjelma di rumah saya akan meniru pula bunyi saya bertukang di sebelah malam terutamanya pada pukul 2.00 pagi dan bunyi-bunyi lain untuk menakutkan anak-anak dan isteri saya", ujarnya seolah-olah makhluk halus itu ingin mencabar kesabaran beliau dan ahli keluarganya.

Katanya, di antara pelbagai bunyi yang ditiru dan dicipta oleh makhluk halus terbabit seperti seseorang sedang memaku zink dan dinding rumah sedangkan apabila dilihat tidak kelihatan lembaga yang dimaksudkan sedang bertukang pada pukul 2.00 pagi itu.

Disebabkan kejadian itu, menyebabkan anak sulungnya itu tidak dapat melelapkan mata kerana bunyi tersebut sememangnya amat menyeramkan bulu tengkuknya. Apabila diintai siapakah yang menyebabkan bunyi yang menakutkan itu memang tidak kelihatan lembaga atau makhluk halus yang berbuat demikian, sedangkan bunyinya seolah-olah seperti bapanya sedang bertukang.

Paling melucukannya apabila ada jiran-jirannya secara berseloroh kononnya beliau tahan dengan tidak tidur kerana sanggup bertukang sehingga menjelang pagi. Namun, sebahagian jiran-jirannya menyatakan, bunyi sedang bertukang itu bukanlah Mat Yie kerana beliau pada masa itu ke tempat kerja. Jadi jelas, bunyi beliau bertukang akan ditiru oleh makhluk halus yang berkeliaran berhampiran rumahnya itu untuk tujuan menakut-nakutkan ahli keluarganya.

Cetus Mat Yie lagi, disebabkan keadaan dan masalah rumahnya sekarang secara zahirnya dilihat berkeadaan seram dan menakutkan itu menjadikan anak-anak dan isterinya kelihatan tidak begitu ceria dan sentiasa sakit-sakit malah tidak begitu tahan dengan gangguan yang datang bertalu-talu, akhirnya mereka mengambil keputusan untuk bermalam di rumah ibunya. Apabila rumahnya dalam keadaan kosong kerana ditinggalkan anak-anak dan isterinya, beliau menganggapkan keadaan itu tidak mencapai penyelesaian seolah-olah makhluk halus itu telah berjaya menyingkirkan keluarganya selain menjadikan keadaan mereka tidak tenteram dan dalam ketakutan. Gangguan terbabit tidak setakat dialami oleh anak-anak dan isterinya setelah mengosongkan rumah terbabit, sebaliknya apabila menjelang malam kedua kejadian gangguan yang agak serius itu, ibu mertuanya terdengar sesuatu bunyi yang agak menyeramkan dari dalam rumah barunya yang dikatakan dihuni makhluk halus berkenaan.

Bunyi yang agak menyeramkan pada malam terbabit seolah-olah menghambat ibu mertuanya untuk melihatnya dalam jarak yang dekat. Ibu mertuanya yang ketika itu telah memasuki laman rumah barunya segera membaca beberapa potong ayat kursi untuk tujuan mengelakkan dari gangguan dan menghentikan segala bunyi agak luar biasa yang menyeramkan dari rumah terbabit. Seraya berpaling dari arah laman rumahnya, dengan tiba-tiba ibu mertuanya berasa gatal yang amat sangat. Namun, apabila ibu mertuanya bergegas meninggalkan tempat itu, kulitnya yang berasa gatal itu tiba-tiba hilang. Keadaan demikian menunjukkan, makhluk halus itu berani mencabar sesiapa yang berpijak di laman rumah yang dihuni kelompok mereka sehingga menimbulkan pelbagai masalah.

"Memang agak pelik, ibu mertua saya berasa gatal-gatal agak luar biasa setelah kakinya berpijak di halaman rumah ini. Tapi, apabila dia keluar dari kawasan ini, penyakit gatal-gatal tadi tiba-tiba hilang", ujarnya untuk memberikan gambaran makhluk halus itu ingin mempermainkan keluarganya.

Setelah bermalam beberapa hari di rumah ibunya, anak-anak dan isterinya pulang semula ke rumahnya. Begitulah yang sering berlaku, apabila menjelang malam, kedengaranlah bunyi yang menakutkan itu dalam beberapa detik seolah-olah mengetahui tuan rumah telah pulang. Kejadian itu dimaklumkan oleh isterinya setelah beliau pulang lewat pagi, disebabkan itu beliau mendapatkan khidmat bomoh untuk memulihkan keadaan rumahnya itu dengan cara solat Hajat dan sebagainya. Walau bagaimanapun, bomoh yang dimaksudkan tidak memberitahunya apakah jenis makhluk halus yang menghuni rumahnya dan menimbulkan suasana bising serta menakutkan itu.

"Itulah rutin harian makhluk halus itu, dia akan memanjat dan melompat dari rumah lama kemudian berjalan dan terus ke rumah baru saya.

"Saya pernah diberitahu oleh beberapa orang jiran bahawa makhluk halus itu memang takutkan bunyi mercun, secara kebetulan sempena Tahun Baru Cina baru-baru ini di mana pada ketika itu saya tiada di rumah, isteri saya terdengar ada sesuatu makhluk yang tidak kelihatan sedang berjalan di atas bumbung rumah.

"Kebetulan pula pada masa itu berlaku dentuman mercun bertalu-talu, dengan tidak semena-mena isteri saya terdengar bunyi sesuatu terjatuh dari atas bumbung rumah dan dapat didengari olehnya makhluk tersebut seperti sedang turun dari rumahnya dan selepas itu keadaan menjadi reda", jelasnya yang mempunyai empat anak, tiga perempuan dan seorang lelaki yang bongsu itu.

Katanya lagi, sepanjang bulan Februari hingga Mac setiap tahun sememangnya gangguan berkenaan agak ketara dan menyeramkan bulu roma bagi sesiapa yang pernah mendengarnya. Puncanya menurutnya, pada masa dulu di hadapan rumahnya sekarang ditumbuhi serumpun pohon buluh agak rimbun dan subur. Pada ketika itu, orang-orang tua dulu sering mengadakan jamuan yang diletakkan di perdu pohon buluh itu.

Pada malam-malam tertentu, orang-orang tua dalam kampung berkenaan sering melihat api dari atas pohon buluh yang tumbuh subur di tempat itu. Mungkin juga apabila pohon buluh berkenaan ditebang dan dibakar untuk tujuan pembinaan jalan raya menyebabkan makhluk halus yang berkampung dalam rumpunan buluh itu berasa marah lantas menjadikan rumahnya pula sebagai tempat penginapan untuk membalas dendam.
 omoh
Dalam pada itu menurut Mat Yie, gangguan yang berlaku di rumahnya selain disebabkan dari rumpunan pohon buluh itu, beliau percaya punca sebenar kejadian menyeramkan itu datangnya dari sebuah perigi mayat yang dikenali 'telaga pancung Jepun' bersebelahan rumah barunya di samping gangguan makhluk kerdil dari sebuah rumah jirannya. Ini katanya, makhluk halus yang sememangnya wujud di rumahnya dikatakan berkawan rapat dengan makhluk toyol dari rumah jirannya itu.

Seperti jelmaan toyol di rumahnya setiap kali beliau mendapatkan khidmat bomoh, kehadiran makhluk berkenaan memang didengari dan dapat dilihat dengan jelas oleh beliau sendiri, adik dan ibunya. Bunyinya seperti seorang kanak-kanak sedang menangis, seolah-olah ibunya mendakwa isterinya telah memukul anaknya yang sulung bernama Nur Syazwani itu. Jadi, adiknya (perempuan) yang menetap di rumah mereka bersama ibunya ketika itu diminta supaya memerhatikan punca tangisan tersebut. Apabila masuk sahaja ke di laman rumahnya, adiknya itu agak terkejut kerana beliau dapat melihat lembaga berkepala bulat sedang berdiri berhampiran rumahnya. Melihat keadaan lembaga itu, adiknya lantas memaklumkan kepada ibunya dan ibunya yang berhasrat ingin melihat lembaga yang dikatakan toyol itu tiba-tiba ghaib di sebalik hujan renyai-renyai yang secara kebetulan turun pada ketika itu.

Mat Yie mendakwa, kebanyakan kejadian gangguan dan jelmaan makhluk halus termasuk toyol itu adalah pengalaman ibunya, isteri dan anak-anaknya sendiri, namun beliau tidak pernah mengalami disakat oleh makhluk yang mendiami rumahnya kini. Beliau pernah mencabar dan menunggu makhluk berkenaan supaya bertemu dengannya, namun makhluk itu seolah-olah takut kepadanya kerana enggan menjelmakan diri apatah lagi membuat gangguan dengan bunyi-bunyi yang menakutkan ketika beliau berada di rumah.

"Saya pernah cabar makhluk itu supaya menjelmakan diri mereka dan bersemuka dengan saya. Buat apa takut-takutkan ahli keluarga saya kalau dia berani", cetusnya dengan nada geram melihat pengecutnya makhluk halus yang dimaksudkan.

Sementara itu, anaknya yang juga pelajar Tahun Tiga bernama Siti Sarah berusia sembilan tahun, mengalami kejadian gatal-gatal kulit yang amat sangat menyebabkan beliau menangis dengan keadaan yang dialami oleh anaknya itu. Kejadian yang berlaku pada tahun lalu itu memaksanya untuk membawa Siti Sarah ke klinik, namun penyakit gatal tidak juga sembuh-sembuh. Hasil pemeriksaan doktor mendapati anaknya itu tidak mengalami sebarang penyakit kulit. Sebagai alternatif terakhir, terpaksalah beliau mendapatkan khidmat rawatan tradisional kerana merekalah yang arif di sebalik yang berlaku berhubung dengan gangguan berkenaan.

Selain rumahnya mengusik dan berpuaka, kejadian mengusik dalam ladang cili miliknya turut menakutkan dan menyeramkan bulu roma setiap kali ke situ. Pengalaman isterinya diusik pada pukul 5.00 petang itu oleh suatu suara lembaga yang tidak kelihatan menegur isterinya awal bulan Mac 2010 lalu masih diingatinya sehingga hari ini. Pada mulanya isterinya menganggap beliau ditegur oleh bapa sepupunya yang dikenali sebagai Pak Su. Mendengar suara seumpama bapa sepupunya itu menyebabkan isterinya berpaling secara tiba-tiba untuk melihat adakah benar pemilik suara itu bapa sepupunya, namun apabila berpaling kelibat pemilik suara itu tiada.

"Selang lebih kurang dua tiga hari, saya minta isteri saya melihat kebun itu. Selepas pulang, dengan tidak semena-mena isteri saya tidak boleh bercakap. Akibat kejadian itu, isteri saya demam selama dua minggu", ujar Mat Yie betapa kerasnya kawasan ladang cilinya itu.

Tambah Mat Yie seterusnya, baru-baru ini pengalaman salah seorang wanita agak berusia dari Rantau Panjang juga turut disakat sewaktu masuk ke ladang untuk melihat cilinya itu. Pada mulanya, beliau menganggap wanita yang telah berusia sepertinya tentunya tidak diusik. Namun, setelah pulang ke rumahnya, pada malam yang sama mangsa iatu wanita tua itu tidak dapat bernafas seperti hidungnya disumbat dengan beberapa biji cili menyebabkan hidung mangsa kepanasan. Akibat kejadian itu, wanita berkenaan mendapatkan khidmat bomoh untuk menyelesaikan masalah yang dihadapinya, sehinggakan bomoh berkenaan bertanya kepada mangsa ke mana beliau pergi sebelum itu. Lalu diberitahu oleh mangsa bahawa beliau ke sebuah ladang cili milik Mat Yie di Kampung Perupok, Wakaf  Baharu.

Justeru, beliau percaya kejadian yang pernah menimpa isterinya dan termasuk wanita dari Rantau Panjang itu ada kaitan dengan sebuah perigi yang dikenali 'telaga pancung Jepun' yang terletak bersebelahan dengan ladang cili miliknya sehingga hari ini. Ini kerana, kadang-kadang akan kelihatan kelibat seperti tentera Jepun di hujung ladang cilinya setiap kali selepas Asar di antara jam 5.00 petang sehingga Maghrib dan pengalaman itu pernah dilaluinya sehingga beliau tidak dapat bergerak dan melangkah seolah-olah terkaku dan dipaku oleh makhluk halus yang menjelmakan dirinya seperti tentera Jepun itu.    




Mohd. Johari Muhammad Salleh atau Mat Yie ketika ditemubual Penulis.
Di sinilah kejadian pertama jelmaan seekor anak lembu di hadapan rumah barunya dilihat oleh isterinya melompat setinggi pokok kelapa.


 Kejadian jelmaan toyol di atas bumbung rumah dan dekat sink air di dapur rumah barunya.

Dulu di sini perigi lama dikenali 'telaga pancung Jepun' bersebelahan rumah barunya, punca segala gangguan menakutkan.

Dulu di sini adalah rumpunan buluh menjadi tempat makhluk halus bertenggek dengan mengeluarkan cahaya api.


Inilah telaga pancung Jepun terletak di ladang cili Mat Yie menyebabkan isterinya disakat.

Beberapa jelmaan tentera Jepun muncul di hujung ladang cilinya menyebabkannya terkaku.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan