RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Rabu, 14 Disember 2011

Misteri Jambatan Biru


MISTERI JAMBATAN BIRU

KOTA BHARU, KELANTAN:  MEMBICARAKAN tentang tanah perkuburan, tentunya menimbulkan sesuatu yang misteri. Apatah lagi jika tanah perkuburan terbabit akan dipindahkan ke kawasan baru tetapi tidak dilakukan dengan sempurna, pasti akan mengundang sesuatu yang tidak diingini.

Dalam usaha membongkar kisah berkenaan, Wartawan RELATIF berkesempatan menemui Shamsuddin Ahmad, dari Taman Uda Murni, Jalan Pengkalan Chepa dekat sini. Beliau turut menceritakan pengalamannya bertembung dengan perempuan cantik yang nampak jelas dari cahaya lampu ketika perempuan tersebut melintasi hadapan kenderaannya di sebuah jambatan biru di Kampung Tok Dokang kira-kira jam 8.05 malam, di mana kejadian penuh misteri itu berlaku pada tahun 2004.

Katanya, beliau bersama-sama keluarganya ketika itu sedang memandu kereta dari rumahnya melalui Taman Sabariah untuk ke rumah kakaknya di Kampung Perupok, Banggol, Kota Bharu terpaksa melalui jambatan biru kerana laluan itu sahaja sebagai jalan pintas yang paling hampir dengan rumah kakaknya.

Semasa tiga perempuan cantik melintas di hadapan kenderaannya di bahagian kepala jambatan biru pada malam itu, beliau tidak berbuat apa-apa dan terkaku, seolah-olah beliau dalam keadaan sedar atau sedang bermimpi. Ini kerana, dari apa yang diketahuinya, kawasan tersebut masih dipenuhi hutan dan semak-samun sama ada di sebelah kini dan kanan jalan yang juga dipagar dengan dawai besi. Paling menghairankannya ialah, ketiga-tiga perempuan aneh dan misteri itu dapat meloloskan diri dengan mudah dari arah kanan kenderaannya yang dipagar dengan dawai besi menuju ke sebelah kiri yang juga dipagar dengan dawai besi di mana kawasan berkenaan masih diseliputi hutan belukar malah terdapatnya anak sungai, kemudian ketiga-tiga perempuan aneh itu ghaib serta merta di situ.

Selepas melihat kejadian penuh misteri yang tidak diduganya, anak perempuannya bernama Siti Nor Amira yang ketika itu berusia 13 tahun dan anak lelakinya bernama Faiz berusia 7 tahun tiba-tiba muntah secara tiba-tiba. Menurutnya, apabila diimbas kembali kejadian itu, beliau percaya perempuan tersebut bukanlah dari kalangan manusia kerana dapat meloloskan diri dari dawai besi yang kemudiannya ghaib berhampiran anak sungai itu dan kemunculannya benar-benar di kawasan hutan belukar bahkan pada waktu malam pula.

"Saya cuba imbas kembali peristiwa dilintasi tiga perempuan muda dan cantik itu. Saya percaya, ketiga-tiganya bukanlah manusia sebaliknya makhluk halus. Kalau tidak, masakan di tengah-tengah malam di kawasan hutan belukar itu dapat berjalan tanpa bantuan cahaya lampu. Inikan pula dapat meloloskan diri dari pagar dawai besi. Seram juga saya dibuatnya ketika itu", ujarnya ketika menceritakan pengalaman pertamanya dilintasi tiga perempuan cantik dan aneh pada malam kejadian.

Menurutnya, anak sungai dan jambatan biru yang dibina pada tahun 2000 itu sewaktu ketika dulu merupakan sebuah tanah perkuburan Islam di Kampung Tok Dokang. Tetapi apabila perkuburan berkenaan dibersihkan untuk dipindahkan ke tanah perkuburan baru di Kampung Banggol dipercayai wujudnya perkara-perkara misteri dan mengusik yang turut dialami oleh penduduk di kampung sekitarnya.

Semasa usaha untuk membersihkan dan memindahkan kubur untuk pembinaan sistem pengairan dan saliran (tali air) serta sungai menyebabkan enjin jentera penggali tanah terhenti dengan sendirinya untuk beberapa kali. Ini memungkinkannya bahawa, berpunca dari usaha yang dilaksanakan itu tidak dilakukan dengan sempurna sebagai penyebab kejadian-kejadian pelik di kawasan itu.

Tambahnya, kejadian misteri bertembung dengan perempuan muda dan cantik di kawasan itu bukan sahaja dialami beliau sahaja, sebaliknya turut dialami oleh beberapa penduduk di kampung itu sendiri. Ia kerap berlaku terutamanya apabila tibanya waktu Maghrib hingga seawal jam 3.00 pagi.

Di antara peristiwa misteri lain yang pernah diceritakan kepadanya ialah, sepupunya yang bernama Mek Nab binti Ismail pernah mengalami peristiwa yang agak memeranjatkannya sewaktu melalui kawasan terbabit. Ketika itu beliau baru pulang dari rumah abangnya di Kampung Perupok Banggol dan kebiasaannya jambatan biru itulah sebagai jalan penghubung yang paling dekat.

Sewaktu sedang melalui jalan itu, dari jauh beliau ternampak cahaya terang dari arah kepala jambatan biru itu sedangkan jalan sedang dilaluinya gelap pekat. Beliau agak hairan, siapa pula yang berkhemah di kawasan jambatan biru itu di malam hari begini, bisik hatinya. Tatkala kakinya melangkah menghampiri bahagian kepala jambatan biru itu, beliau terlihat dengan jelas tiga perempuan muda dan cantik yang tidak dikenali menyambut tangannya dan mengajaknya bermain-main bersama. Pada mulanya, beliau menolak pelawaan tiga perempuan aneh itu kerana ingin cepat pulang akibat terlalu keletihan.

Dengan tiba-tiba tangannya dipegang dan ditarik dengan lembut lalu tubuhnya diputarkan membentuk satu bulatan di mana beliau berada di tengah-tengah dan dikelilingi ketiga-tiga perempuan aneh berkenaan. Sambil bermain-main dengan perempuan aneh yang tidak dikenali itu, beliau terdengar nyanyian lagu merdu dari ketiga-tiga perempuan misteri berkenaan sambil menari penuh syahdu.

Semasa sedang menari dan berjoget, beliau ditelangkup dengan payudara wanita misteri itu beberapa kali. Keadaan demikian menyebabkan pernafasannya agak sesak dan kelemasan kerana ukuran payudara perempuan tersebut sebesar baldi. Apabila dirinya agak letih kerana bermain-main tanpa berhenti, beliau seterusnya diajak oleh tiga perempuan aneh itu ke rumahnya yang agak besar dan cantik. Sewaktu beliau memasuki rumah tiga perempuan itu, beliau merasakannya agak tinggi tidak sebagaimana rumah yang dibina oleh manusia.

Beliau kemudiannya dihidangkan dengan nasi di mana berasnya amat putih dan bersih. Setelah memakannya, antara sedar atau tidak, beliau terlihat ada beberapa orang sedang mencarinya dan beliau pasti bahawa apa yang dilihatnya itu ialah kaum keluarganya yang bernama Pak Mat dan Pak Soh kelihatan sedang mundar mandir mencarinya di serata arah di kawasan belukar itu.

Beliau cuba memanggil-manggil dan menjerit ke arah keluarganya dan orang ramai untuk menunjukkan dirinya ada di kawasan itu tetapi tidak didengari oleh mereka, seolah-olah suaranya tersekat. Malahan apabila tersedar keesokan harinya, beliau mendapati dirinya berada dalam semak pohon kapal terbang yang telah pun musnah seperti dipijak-pijak.

Pengalaman misteri juga ingin dikongsi bersama oleh Ibrahim bin Omar, 40, atau dikenali sebagai 'Him' dari Kampung Tok Dokang, Kota Bharu, Kelantan yang ditemui Wartawan RELATIF di sebuah gerai di tanah perkuburan lama itu sewaktu sedang menikmati minuman petang selepas mengerjakan tanaman sayur-sayuran. Menurutnya, beliau juga melalui pengalaman misteri berhampiran kepala jambatan biru itu apabila terpandang seorang wanita sedang mendukung bayi.

Kelihatan dari jauh, beliau hanya nampak kelibat seorang wanita dan bayi itu sahaja yang kelihatan berada di atas kepala jambatan biru itu pada malam berkenaan. Namun, apabila didekati, wanita yang sedang mendukung bayi itu ghaib di tengah-tengah jambatan berkenaan.

Apabila ditanya, mengapa peristiwa misteri berkenaan sering berlaku di tempat dan di kawasan yang sama. Beliau menjelaskan, sewaktu ketika dahulu anak sungai serta jambatan biru itu adalah tanah perkuburan Islam terbesar di Kampung Tok Dokang di mana di sebelah menyebelahnya adalah sebuah hutan agak tebal.

Pengalaman berkenaan juga ingin dikongsi oleh Mohd. Abdul Ghani bin Ahmad, 61, (gambarnya tidak ingin disiarkan), iaitu abang kandung Shamsuddin bin Ahmad sewaktu ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya di Kampung Perupok Banggol, Kota Bharu, Kelantan.

Katanya, sememangnya sewaktu ketika dahulu sebelum hutan belukar dan semak-samun di kampung berkenaan diteroka, terdapat sebuah tanah perkuburan Islam di situ. Oleh kerana perkuburan berkenaan tidak lagi dianggap sesuai di kawasan itu apatah lagi sebuah tapak perkuburan baru telah dibina di Kampung Banggol, maka terdapat usaha untuk memindahkannya ke tempat yang lebih luas.

Walau bagaimanapun, proses melakukan pemindahan tersebut dianggap tidak sempurna iaitu ketika menggali mayat menyebabkan ada mayat-mayat yang baru dikebumikan seolah-olah terganggu. Buktinya terdapat beberapa batu nisan di tanah perkuburan itu yang masih bersalut darah untuk menunjukkan adanya mayat baru dikebumikan.

Menurutnya, akibat dari proses pemindahan yang dianggap tidak sempurna itu menyebabkan roh mayat-mayat berkenaan berkeadaan tidak tenteram. Keadaan ini akan wujud gangguan yang turut dialami oleh sesiapa yang pernah melintasi kawasan tersebut terutamanya pada malam hari sehingga awal pagi.

Jelasnya, banyak kejadian aneh berlaku di kawasan tersebut. Di antaranya, ketika usaha sedang dilakukan oleh seorang kontraktor berbangsa Cina untuk membina jambatan biru itu pada tahun 2000, didapati tiang yang dipacakkan terutamanya di bahagian kepala jambatan itu gagal dilaksanakan. Apabila terjadinya peristiwa berkenaan, kontraktor Cina itu hilang akal kerana sepanjang kerja yang pernah dilakukannya, inilah kejadian pertama yang dianggapnya luar biasa.

Walau bagaimanapun, kontraktor Cina itu perlu menyelesaikan kerja-kerja tersebut walau dengan apa cara sekalipun. Sehinggalah pada suatu hari, beliau diberitahu bahawa orang-orang kampung berkenaan sanggup melakukan solat Hajat dengan mengorbankan seekor kambing dengan syarat segala perbelanjaan majlis berkenaan hendaklah ditanggung oleh kontraktor berkenaan.

Maka, apabila solat Hajat berjaya ditunaikan barulah usaha untuk membina dan memacakkan tiang jambatan biru itu berjaya dilaksanakan. Di samping itu menurutnya, beberapa orang kampung yang menceritakan kepadanya bahawa, jambatan biru itu tiba-tiba ghaib dari pandangan walaupun ketika itu hari masih siang kira-kira jam 5.00 petang dan bukannya malam hari.

Selain itu, orang-orang kampung berkenaan juga pernah melihat susuk lembaga perempuan berpakaian serba putih sedang berdiri berhampiran kepala jambatan biru itu. Wajah perempuan tersebut amat cantik untuk menunjukkan seperti seorang perempuan yang bersopan-santun.

Sepupunya, Pak Mat Haji pernah memberitahunya bahawa sewaktu beliau sedang melalui jambatan itu beliau agak terkejut kerana dengan tiba-tiba jambatan tersebut hilang serta merta. Kalaulah beliau meneruskan juga perjalanan melalui jambatan berkenaan di waktu itu sudah tentu beliau juga turut juga menjadi korban. Dengan itu, beliau berhenti buat seketika untuk mengelakkan gangguan tersebut selama tiga minit. Selepas itu, jambatan biru itu mula kelihatan pada pandangan seperti sedia kala.

Katanya lagi, setakat ini jambatan biru itu telah mengorbankan dua mangsa apabila kenderaan empat roda Pajero yang dipandu oleh seorang yang dikenali Jimi terbabas lalu merempuh benteng pagar jambatan biru menyebabkan pagar jambatan biru itu patah lalu kenderaan berkenaan terjunam ke dalam sungai betul-betul di bahagian kepala jambatan biru itu. Ketika peristiwa berkenaan berlaku kira-kira pukul 7.45 malam. Jimi dan anaknya meninggal dalam nahas ngeri itu yang turut dikaitkan dengan peristiwa pelik di atas jambatan biru terbabit.

Tambah Mohd. Abdul Ghani lagi, dia percaya jelmaan perempuan cantik sebagaimana yang dialami oleh adiknya, sepupunya dan orang-orang kampung adalah jelmaan 'hantu pari' yang kerjanya hanyalah untuk menyakat dan mengganggu orang yang melalui kawasannya. Tetapi gangguan tidak wujud apabila seseorang yang melalui jambatan itu di kalangan orang yang berani dan berjiwa kental.

Dengan demikian, kita perlu sedari sebagai manusia sebenarnya kita tidak bersendirian. Hakikat dijadikan makhluk halus adalah untuk menunjukkan keagungan Allah S.W.T  yang secara langsung untuk menguji sejauh mana ketakwaan manusia kepada pencipta-Nya. Dengannya juga untuk memberikan gambaran supaya kehidupan manusia tidak wajar dilalaikan oleh pujukan jin, iblis dan syaitan yang setiap detiknya bekerja untuk melalaikan dan menyesatkan manusia dari jalan lurus.

Justeru, selidikilah peranan kita terhadap alam ini dan sentiasalah berwaspada dengan pujukan makhluk halus yang ada di dalamnya, kerana kecuaian sebenarnya membawa padah.



Shamsuddin bin Ahmad sewaktu ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya.

Ibrahim bin Omar menceritakan pengalamannya melihat seorang perempuan mendukung bayi.
Sewaktu ketika dahulu, kawasan ini adalah tanah perkuburan misteri.

Tiga perempuan cantik dan misteri muncul lalu melintasi kenderaan Shamsuddin di kawasan ini.

Shamsuddin menunjukkan arah perempuan misteri menuju pagar dawai besi menuju ke sungai yang dipenuhi hutan tebal dan terus ghaib di situ.

Di sinilah pemandu kenderaan Pajero maut dan keluarnya cahaya misteri di malam hari.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan