RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Sabtu, 17 Disember 2011

Misteri Langsuir Mengamuk


MISTERI LANGSUIR MENGAMUK

KOTA BHARUKELANTAN:  Percaya atau tidak, makhluk halus semakin ramai di zaman teknologi maklumat hari ini, kerana aura, gelombang dan teknologi adalah dunianya. Makhluk ghaib itu tetap ada di mana-mana, ternyata kalau manusia memerlukan mereka dalam konteks menyalahi agama atau tidak, makhluk halus akan tetap menjadikan manusia sebagai kuda tunggangan. Sebabnya, kelemahan sebenar manusia adalah tidak dapat melihat mereka, sebaliknya makhluk halus dapat melihat manusia dari pelbagai sudut.

Hakikat kewujudan makhluk berkenaan di dunia manusia yang boleh muncul dan menjelma di mana-mana sahaja menurut kehendak mereka menyebabkan manusia yang lemah semangat menjadi takut. Disebabkan ketakutan yang ditunjukkan oleh manusia, menyebabkan mereka bermaharajalela. Malahan kalau terlalu berani tetapi buta ilmu juga akan menjadi makanan makhluk halus tersebut.

Hal inilah yang telah menggemparkan Kampung Sungai Keladi dekat sini beberapa tahun lalu, apabila beberapa orang penduduk tempatan bukan sahaja dapat mendengar suara rintihan yang mendayu-dayu penuh misteri. Malah ada juga di kalangan mereka yang dapat melihat makhluk berkenaan di beberapa kawasan di sekitar tanah perkuburan di kampung berkenaan. Akibat sering terdengar suara misteri itu menyebabkan ada di antara kanak-kanak di kawasan terbabit diserang demam dan sering dalam ketakutan.

Wartawan RELATIF yang ingin mendapat gambaran sebenar tentang cerita berkenaan yang kian heboh di dada media cetak dan elektronik ke seluruh negara, sempat menemui penduduk tempatan, Zaidah binti Mustafa37, di mana rumahnya terletak paling hampir dengan tanah perkuburan Kampung Sungai Keladi dekat sini.

Katanya, beliau tidak nafikan tentang kemunculan lembaga misteri walaupun pada mulanya dia tidak ingin mempercayainya. Malah beliau juga turut ditanya oleh beberapa orang penduduk kampung berkenaan tentang bunyi suara aneh wanita menjerit di malam hari sebagaimana yang pernah dialami oleh beberapa penduduk terbabit.

Namun katanya, setakat itu beliau belum pernah mendengarnya walaupun rumahnya paling hampir dengan tanah perkuburan itu. Walau bagaimanapun, beliau berharap supaya dapat mengalami perkara sebagaimana yang dialami oleh kalangan mereka juga. Akhirnya pada hari yang berikutnya, barulah beliau dapat mendengar suara tersebut dengan agak jelas. Suara yang didengarinya itu bukanlah suara mengilai sebagaimana yang pernah dilaporkan beberapa media cetak dan orang ramai. Tetapi, suara tersebut seperti seorang wanita yang merayu pertolongan dan simpati dan kemudiannya diikuti sahutan bunyi salakan anjing yang mendayu-dayu. Kadang-kadang bunyi salakan anjing lebih awal dari bunyi suara wanita merintih seperti di dalam kesakitan.

"Suara tersebut bukan mengilai tetapi seperti seorang wanita meminta pertolongan, mungkin dalam kesakitan kerana bunyinya macam merintih", katanya yang turut memperdengarkan bunyi suara itu.

Menurut Zaidah, jeritan meminta tolong kerap berbunyi apabila malam semakin larut bermula jam 12.30 malam, jam 2.30 pagi dan kadang-kadang jam 4.00 pagi iaitu sebelum Subuh menjelang.

Katanya, bunyi jeritan dan rintihan tersebut agak sayup-sayup seperti bunyinya dari jarak jauh dan pernah beberapa kali dalam jarak dekat. Bahkan pernah juga satu lembaga sedang bertenggek di atas sepohon getah berhampiran tanah perkuburan yang terletak di hadapan rumahnya. Beliau tidak pasti siapakah yang dapat melihat lembaga wanita di malam pertama kejadian. Walaupun begitu, cerita salah seorang penduduk di kampungnya yang terlihat sesusuk lembaga berkenaan telah memaklumkannya kepada penduduk setempat.

Dalam pada itu, beliau juga menjelaskan bunyi suara anjing menyalak manusia amat berbeza dengan bunyi salakan anjing yang melihat atau menandakan kehadiran makhluk halus di kawasan tersebut. Suara tersebut katanya, agak mendayu-dayu yang kadang-kadang dapat didengari di hadapan rumahnya malah kadang-kadang di belakang rumahnya.

Suatu hari beliau ternampak kelibat susuk lembaga misteri di kawasan tanah perkuburan itu dan melintasi kawasan rumahnya, tetapi beliau tidak mempedulikannya. Keadaan ini untuk menunjukkan susuk lembaga misteri itu memang wujud di kawasan itu.

Menurutnya lagi, pernah suatu ketika ada di antara orang-orang kampong itu yang pergi menebang pokok dalam hutan berhampiran telah terhidu bau busuk dan sekadar mengesyakki ada mayat ditanam di kawasan itu. Setelah memberitahu penduduk setempat, salah seorang dari penduduk kampung itu telah membuat aduan polis.

Berikutan aduan tersebut, polis menjalankan siasatan dan terpaksa menggali tanah di kawasan semak dan belukar di sebelah belakang tanah perkuburan itu untuk mengesahkan adakah wujud atau tidak mayat sebagaimana yang didakwa. Namun, setelah digali sedalam paras dada, tidak ditemui sebarang mayat sebagaimana yang dimaksudkan.

Apabila beliau diminta mengulas akhbar Berita Harian pada 14 September, 2006 (sambil menunjukkan keratin akhbar berkenaan kepadanya) oleh Ketua Penyiasat dan Penceramah Paranormal Seekers Malaysia, Syed Abdullah Al-Attas bahawa, bunyi mengilai dan menangis yang dikaitkan dengan makhluk halus adalah bunyi haiwan daripada spesis kera seperti kongkang atau haiwan lain. Beliau turut menafikan dakwaan tersebut.

“Di kawasan ini tidak ada kera. Dulu memang tidak terdapat sebarang bunyi, sekarang bunyi pelik berkenaan wujud”, katanya yang turut menafikan dan tidak senang dengan dakwaan tersebut kononnya bunyi mengilai dan menangis itu adalah daripada spesis kera seperti kongkang dan sebagainya. Sebab katanya, bunyi kongkang berbeza tetapi yang jelas kini bunyi misteri itu adalah seperti suara langsuir.

Dari akhbar yang sama turut mendakwa bau busuk di kawasan tanah perkuburan itu berasal dari gas mentana (akibat proses pereputan semula jadi). Sedangkan, menurut Pegawai Kaji Bumi, Jabatan Mineral dan Geosains Kelantan, Ahmad Rosli Osman mengesahkan, bau busuk yang didakwa dating dari tanah perkuburan di kampung berkenaan bukan bau gas. Katanya, kajian yang dibuat mendapati tanah di kawasan itu adalah dari jenis aluvium ataupun enapan lanar yang tidak berbau.

“Bau busuk itu seperti bau binatang dan bukannya gas”, tegas Zaidah lagi untuk menjelaskan dan menafikan bau busuk itu adalah gas.

Walaupun begitu, agak menarik juga apabila Wartawan RELATIF berkesempatan menemui salah seorang penduduk jati dari kampung berkenaan yang hanya ingin dikenali sebagai Jane, 31, (gambarnya tidak ingin dirakam) di mana temubual berkenaan dibuat di tanah perkuburan itu pada 15 September, 2006 untuk berkongsi cerita sebenar tentang kejadian penuh misteri di tanah perkuburan itu.

Menurut Jane, sebelum ini beliau pernah mendengar cerita yang diperkatakan oleh orang-orang tua tentang kisah seorang perempuan misteri bersama dua bayinya muncul di Kampung Sungai Keladi itu. Pada mulanya, beliau menafikan cerita yang dianggap karut itu kerana belum pernah mengalaminya kerana beliau turut mendakwa bagaimana hantu boleh wujud di zaman teknologi maklumat (IT) ini.

“Pada hakikatnya, saya memang tidak percaya adanya hantu dan makhluk halus lain. Sebab, bagaimana hantu boleh wujud di zaman teknologi maklumat hari ini”, katanya menafikan adanya hantu yang didakwa oleh orang-orang tua itu.

Untuk dijadikan cerita katanya, pada suatu hari setelah tamat permainan futsal di mana dewan permainan futsal berhampiran dengan jalan umum dan padang bola yang juga berdekatan dengan tanah perkuburan berkenaan. Ketika itu waktu Maghrib dan beliau pulang untuk mandi dan solat Maghrib kerana selepas itu beliau berhasrat untuk bertandang ke rumah rakannya berhampiran dengan sebatang pokok getah di kampung tersebut.

Apabila tiba berhampiran dengan tanah perkuburan yang dimaksudkan, beliau terpandang susuk lembaga perempuan sedang menyusukan dua bayinya di atas sebuah pondok lama (wakaf atau bangsal, menurut dialek Kelantan) dalam kawasan tanah perkuburan tersebut. Pada mulanya, beliau menyangka ada di antara rakannya yang ingin ‘bergurau’ dengan cara ‘menyakatnya’ kerana rakan-rakannya di kampung itu memang nakal malah suka menyakat orang lain.

Jadi, tanpa berlengah lagi beliau mencapai sebatang kayu untuk dilontarkan ke arah ‘lembaga’ perempuan di atas pondok lama tersebut. Tetapi tanpa disangka, kayu yang tergenggam erat di tangannya itu terasa berat dan seolah-olah terkaku untuk dihayunkan ke arah lembaga perempuan itu seolah-olah ada kuasa ghaib yang menahannya dari berbuat demikian.

“Pada mulanya, saya ingatkan rakan saya itu yang ingin bergurau. Jadi, saya ambillah sebatang kayu untuk dibaling ke arah lembaga perempuan itu. Tetapi dengan tiba-tiba kayu yang saya pegang itu terasa berat dan tangan pun terkaku untuk berbuat demikian seolah-olah ada kuasa ghaib lain yang menghalang”, ujar Jane mengingatkan pengalaman pertamanya bertemu lembaga perempuan misteri pada malam itu.

Dalam suasana cahaya langit yang smar-samar itu, beliau cuba mengamati dan sahlah bukanlah rakannya yang ingin bergurau, sebaliknya lembaga perempuan yang tidak menampakkan wajah sebenarnya. Beliau menganggap lembaga perempuan tersebut sebaai ‘iblis’ kerana tidak ingin mengkategorikan lembaga perempuan tersebut sebagai hantu raya atau pelesit. Apatah lagi pada mulanya, anggapan beliau terhadap lembaga itu dalam keadaan 50-50 sama ada manusia atau hantu.

Kerana terfikir bahawa lembaga tersebut bukanlah dari kalangan manusia, beliau mencampakkan kayu tersebut seraya terus menuju ke rumah rakannya sebagaimana niat awalnya. Apabila beliau tiba di rumah rakannya, dilihat rakannya itu dalam keadaan pelik.

“Siapa pula yang duduk di atas pondok lama di tanah perkuburan tadi?” soalnya setiba di rumah rakannya itu.

Rakannya yang menyambutnya itu memberitahu bahawa tidak ada sesiapa tinggal di atas pondok lama di tanah perkuburan itu. Tidak ada sesiapa yang sanggup ke situ terutamanya pada waktu malam pula. Mendengar jawapan daripada rakannya itu, bulu romanya mula meremang dan terasa seram sejuk di atas lehernya secara tiba-tiba.

Pada malam yang sama, beliau juga dapat melihat lembaga perempuan bersama dua banyinya itu tiba-tiba berada di padang bola yang terletak di bawah lembah berhampiran tanah perkuburan itu pula serta berdekatan dengan hutan di mana lembaga perempuan itu seolah-olah sedang mendodoi bayinya pada malam tersebut. Beliau tidak mempedulikanmya kerana niatnya bukanlah untuk mengganggu kehadiran lembaga perempuan tersebut.

Tambahnya, dua hari selepas beliau terpandang lembaga perempuan misteri di kawasan tanah perkuburan tersebut, seorang pekerja dari sebuah stesen minyak di Kota Bharu yang baharu pulang kerja jam 12.00 malam tersebut juga terlihat lembaga perempuan misteri yang sedang mendodoi dua bayinya di atas padang bola berhampiran jalan laluannya malah berdekatan pula dengan hutan di sebelahnya yang juga berhampiran dengan tanah perkuburan itu. Peristiwa tersebut telah dilaporkan kepada ibunya kerana sebelum ini beliau juga belum pernah mengalaminya. Ibunya telah memarahinya dan turut memberikan amaran kepadanya supaya peristiwa tersebut didiamkan saja dan dilarang mengganggu perempuan misteri bersama bayinya itu.  

Dalam tempoh dua bulan selepas kejadian itu, seorang rakan rapatnya dari kampung yang sama masuk ke hutan di belakang tanah perkuburan yang diistilahkan olehnya sebagai “Kubur Tiga Beranak”. Kebetulan semasa rakannya itu masuk ke hutan di belakang kubur tiga beranak itu, rakannya itu terlihat ada sebuah lubang dan peristiwa itu diceritakan kepadanya, lalu beliau mendesak rakannya itu untuk menggali lagi lubang tersebut untuk mengesahkan apakah objek tersembunyi di sebalik lubang tersebut.

Berita penemuan lubang misteri di belakang tanah perkuburan tiga beranak itu turut meggemparkan seluruh penduduk Kampung Sungai Keladi, namun kebanyakan daripada mereka tidak mengetahui apakah yang tersirat di sebalik wujudnya lubang misteri di dalam hutan tersebut. Beliau bertindak sebagai penggali lubang tersebut meneruskan kerja-kerja menggali untuk memastikan apakah wujud harta karun yang tersembunyi ataupun mayat manusia yang telah meninggal dibuang di kawasan hutan itu.

Desakan nalurinya meronta-ronta untuk mengetahui perihal wujudnya lubang misteri itu. Ini kerana, beliau ada mendengar satu cerita kononnya seorang kanak-kanak perempuan dari Kuala Krai, Kelantan telah meninggal tetapi mayatnya tidak diketahui di mana. Berikutan teka-teki yang masih belum terjawab dan penuh misteri itu, rakannya dari kampung tersebut terus membuat aduan polis.

Ekoran aduan tersebut menurutya, polis bertindak menggali tanah tersebut untuk mengesahkan sama ada wujudnya mayat manusia atau tidak. Setelah digali kira-kira satu meter (3 kaki), polis mengesahkan tidak ada mayat manusia yang dimaksudkan di dalam lubang tersebut. Jadi, pihak polis berharap masyarakat di kampung berkenaan tidak menaruh rasa bimbang tentang hal tersebut.

Sikap ingin tahu beliau tidak tamat setakat itu sahaja kerana pada awalnya beliau memang tidak ingin mempercayai adanya suara hilaian perempuan berhampiran kubur tiga beranak itu. Justeru, bagi menngetahui kedudukan cerita yang sebenarnya berhubung dengan tanah perkuburan itu, tepat jam 12.00 malam beliau ke kubur tiga beranak itu seorang diri untuk mendengar sendiri suara hilaian sebagaimana yang dimaksudkan, namun beliau tidak mendengar suara hilaian sebagaimana yang didakwa.

Tambah Jane lagi, berikutan berasa hampa kerana tidak dapat mendengar suara hilaian daripada lembaga misteri itu, pada malam berikutnya beliau bersama seorang lagi rakannya menunggu di sebatang pohon limau kira-kira 10 meter dari tanah perkuburan tersebut. Tindakan beliau berbuat demikian bukan untuk menunjukkan seorang yang berani apatah lagi dengan makhluk halus dan alam ghaib yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar manusia. Orang-orang kampung berkenaan yang mengetahui tindakannya itu turut keluar beramai-ramai untuk sama-sama melihat apakah yang bakal terjadi seterusnya.

Apabila buat pertama kali terdengar suara aneh itu beliau menyangka suara anjing yang dibela manusia sedang menyalak malahan orang-orang kampung itu juga turut mengesahkan bunyi suara anjing. Jadi, akibat bunyi salakan anjing yang dianggap aneh, kebanyakan yang hadir di kawasan itu berlari pulang meninggalkan tempat itu kerana ketakutan dan tinggallah beliau bersama seorang rakannya itu.

Apabila jam menunjukkan 2.30 pagi, sayup-sayup beliau mula mendengar suara perempuan misteri itu. Rakannya yang turut bersama-samanya itu berkata, suara tersebut menyusul lagi. Menurutnya, bunyi yang mula-mula dapat didengar dengan jelas ialah burung hantu dan kemudiannya sahutan salakan anjing dapat didengar walaupun secara sayup-sayup. Tetapi beliau masih juga belum mempercayai bahawa suara tersebut sebagai petanda kehadiran lembaga perempuan misteri itu.
Seterusnya kira-kira jam 3.00 pagi, bunyi hilaian perempuan misteri itu semakin kuat sehingga sahutan burung hantu dan salakan anjing tenggelam akibat hilaian lembaga itu. Seketika kemudian, beliau dengan jelas dapat melihat lembaga perempuan misteri itu muncul dan terbang sehinggakan pokok getah berhampiran dengan tanah perkuburan itu bergegar dan bergoyang akibat dilanggar lembaga misteri itu. Pada saat itu, beliau tidak ingin mengesahkan sama ada langsuir, hantu raya, pelesit atau anak kerak. Tetapi menurutnya, dari dakwaan orang-orang kampung itu menyatakan perempuan misteri itu adalah ‘langsuir’.

Dalam suasana yang agak panik dan separuh sedar itu beliau dapati rakan yang turut bersama-samanya sebentar tadi hilang secara tiba-tiba dan tinggallah beliau seorang diri di malam pekat itu. Dalam hal ini, amat jelas perempuan misteri bersama dua bayinya itu bukanlah cerita rekaan atau perbuatan rakan-rakan yang ingin menyakatnya. Akhirnya, sudah terbukti bahawa lembaga perempuan misteri bersama dua bayi yang muncul di pondok lama dalam kawasan tanah perkuburan itu serta di padang bola sebelum ini mempunyai kaitan segala-galanya dan bukanlah daripada perbuatan manusia tetapi makhluk halus.

Menurut Jane lagi, berita beliau dan rakannya dapat melihat lembaga misteri sedang terbang itu telah diketahui oleh seluruh penduduk Kampung Sungai Keladi dan beliau kini dianggap popular dan hebat kerana begitu berani mengikut ke mana arah lembaga misteri itu terbang. Manakala orang-orang kampung berkenaan yang tidak berkesempatan untuk melihat rupa bentuk lembaga misteri itu memintanya menemani ke tanah perkuburan tiga beranak itu supaya memberikan peluang kepada mereka untuk melihat dan merasai pengalaman yang sama secara dekat.

Pada keesokan harinya iaitu lebih kurang jam 4.30 pagi, rakan setianya yang sering bersama-samanya membawa telefon bimbit 3G dan cuba merakam suara hilaian dan tangisan lembaga misteri (hantu) pada pagi itu. Setelah dimainkan rakaman itu didapati tidak kedengaran suara sedangkan rakaman itu jelas dibuat dan telefon bimbit rakannya itu bukan calang-calang telefon kerana harganya juga boleh tahan. Selepas itu, cerita tersebut mula tersebar luas kononnya suara hantu gagal dirakam walaupun telefon bimbit dibeli dengan harga yang mahal.

Jane menambah, sesetengah orang mengaitkan punca amukan lembaga misteri itu ada berhubung kait dengan kematian seorang Mak Bidan dari kampung berkenaan. Malah ada cerita tentang perempuan yang menamatkan riwayat hidup secara salah dalam hutan belukar berhampiran tanah perkuburan tiga beranak itu apabila tidak menyempurnakan pengkebumian mayat secara yang tidak sepatutnya dan tergesa-gesa di penjuru pondok using dalam kawasan perkuburan tiga beranak itu (sambil menunjukkan ke arah bangsal usang yang dimaksudkan). Peristiwa berkenaan dilakukan kira-kira jam 2.00 pagi, di mana urusan pengkebumian tersebut dilakukan semasa Perkampungan Islam  Hadhari pada 18 Ogos, 2006 dulu.

Semasa urusan pengkebumian mayat giat dijalankan waktu itu, seorang penjaga tanah perkuburan itu terasa berat untuk melangkah malah terkaku untuk cuba bertanya kepada pihak yang terlibat perihal dan sebab mengkebumikan mayat pada pagi-pagi buta itu.

Mungkin berpunca daripada simbolik itulah menyebabkan lembaga misteri itu berkeliaran dan terbang ke sana ke mari dan pernah terjun ke atas bumbung rumah rakannya yang tinggal berhampiran dengan tanah perkuburan tiga beranak itu yang menyebabkan mentol elektrik tertanggal dari mangkuknya hingga terjatuh dan terhempas ke lantai rumah, tetapi yang anehnya mentol itu tidak pecah.

Jane juga tidak dapat mengkategorikan lembaga perempuan terbang itu sama ada langsuir, hantu raya, pelesit, anak keran mahupun bunian. Cuma bagi yang pernah melihatnya mengkategorikan makhluk halus tersebut sebagai langsuir yang selepas itu bertenggek pula di atas pokok getah berdekatan dengan kubur tiga beranak itu dan berhadapan dengan rumah Zaidah binti Mustafa.

Baginya, tindakan lembaga misteri itu seolah-olah menggambarkan diri lembaga misteri itu tidak selesa dengan apa yang dialaminya apatah lagi tempatnya bertenggek dan sering dipijak oleh lembaga misteri di dahan pohon getah itu kini telah ditebang dan menganggap pohon yang lain itu bukanlah tempatnya.

Menurut Jane lagi, sekarang ini lembaga misteri itu tidak lagi menampakkan dirinya berikutan kawasan tersebut telah menjadi tumpuan ramai termasuk Mat Rempit dan bersorak-sorai sehingga menimbulkan suasana bising dan gamat sehingga pagi itu untuk tujuan meyaksikan kemunculan lembaga misteri yang dimaksudkan. Tetapi percayalah katanya, selepas keadaan hingar-bingar dengan tumpuan orang ramai kembali reda dan orang ramai semakin berkurangan serta lupa dengan kejadian itu, maka lembaga misteri itu pasti mengamuk kembali.

Akibat daripada kemunculan lembaga misteri itu sudah ramai yang mengalami sakit dan demam-demam kerana terkejut. Apatah lagi, terdapat seorang dari penduduk dari kampung lain iaitu dari Tanjung Chat, Kota Bharu yang hanya dikenali sebagai “Zu (Ju)” yang dikatakan bermulut celupar datang ke tanah perkuburan tiga beranak Kampung Sungai Keladi semata-mata untuk menangkap lembaga turut memberikan amaran supaya tidak bermulut celupar dan angkuh kerana amat mustahil dapat menangkap makhluk ghaib itu.

Namun, Zu dengan bangga mencabar beliau dengan katanya, “kau nak takut apa, makhluk ghaiblah yang patut ditangkap”, katanya dengan nada angkuh termasuk berhasrat untuk mengambil gambar sebagai kenangan.

Perbualan di antara beliau dengan Zu melewati jam 3.30 pagi yang akhirnya Zu meminta diri untuk pulang ke rumah. Tetapi disedari oleh Zu, lembaga misteri itu mengikutnya pulang ke rumahnya dan sering memunculkan diri beberapa kali terutamanya pada pintu cermin rumahnya sehinggakan Zu tidak dapat melelapkan mata walaupun untuk seketika. Akibat daripada gangguan lembaga misteri itu menyebabkan Zu mengalami demam selama tiga hari yang juga berpunca dari mulut celuparnya sendiri.

Seterusnya beliau turut menambah, kejadian seperti suara hilaian, tangisan dan lembaga terbang di tanah perkuburan tiga beranak itu adalah kisah benar dan bukannya lakonan atau sengaja dibuat-buat. Ini kerana, sebelum ini ada orang mendakwa kononnya suara hilaian itu adalah suara rakaman yang disebarkan ke udara melalui alat pembesar suara. Dakwaan ini menurutnya adalah tidak berasas, kerana beliau pernah cuba menyiasat dan memasuki hutan berhampiran tanah perkuburan itu untuk melihat sendiri dan mengesahkan banyak andaian kononnya ada pihak-pihak tertentu memasang alat pembesar suara ataupun sebaliknya.

Namun, menurut Jane lagi, suara hilaian dan tangisan yang pernah didengari dan lembaga terbang itu ada kaitan dengan lembaga tiga beranak itu. Keadaan ini amat jelas, setiap kali beliau melalui laluan berhampiran tanah perkuburan itu, dengan tiba-tiba lembaga tiga beranak itu akan muncul dengan rutin hariannya iaitu menyusu dan mendodoi dua bayinya di tempat yang selalu dilaluinya pada waktu malam.

Selain itu menurut Jane, gangguan daripada lembaga tiga beranak itu tidak berakhir setakat itu sahaja. Kadang-kadang terdapat juga jelmaan ular sawa sebesar batang pinang yang melintang di laluan umum berhampiran tanah perkuburan tiga beranak itu. Salah seorang penduduk dari kampung yang sama turut bertembung dengan jelmaan ular sawa tersebut ketika beliau baharu pulang daripada aktivitinya pada suatu malam seolah-olah menghalang laluannya. Paling anehnya, beliau tidak nampak di manakah kepala dan ekornya. Beliau masih berhati-hati untuk tidak melangkah atau memijaknya sebarangan sebaliknya memesong ke arah lain untuk mengelakkan jelmaan ular sawa itu mengikutnya pulang ke rumahnya.

Kampung Sungai Keladi selain ditakuti sesetengah orang kerana di kini dan kanannya dihimpit tanah perkuburan, ada beberapa pengamal rawatan tradisional yang datang untuk mengadakan ritual masing-masing memberikan alasan kononnya kekuatan ilmunya tidak seberapa, malah ada yang mendakwa akibat orang ramai berkerumun di situ beliau tidak dapat menjalankan tugasnya untuk mententeramkan tanah perkuburan yang semakin gempar itu.

Wartawan RELATIF juga meminta beliau mengulas kenyataan akhbar Berita Harian, 14 September, 2006 lalu apabila Ketua Penyiasat dan Penceramah Paranormal Seekers Malaysia, Syed Abdullah Al-Attas kononnya bunyi hilaian itu adalah dari spesis kera seperti kongkang.

“Kongkang tidak ada di kampung ini. Orang-orang kampung ini tidak pernah bertembung dengan haiwan seperti itu”, katanya menafikan dakwaan pihak Seekers itu.

Beliau juga meminta kepada orang ramai dan pihak-pihak tertentu supaya tidak membuat pelbagai andaian yang mengarut terhadap mana-mana kubur yang ada di situ kerana boleh mengaibkan keluarga si mati.

Di samping itu beliau juga berharap, mana-mana pemuja nombor ekor supaya tidak berbuat demikian. Ini kerana, sejak kebelakangan ini, ramai pemuja nombor ekor datang bersama-sama ‘bomoh nombor ekor’ kerana terlalu ghairah untuk mendapatkan kekayaan secara berjudi yang amat menyalahi hokum Islam yang bukan sahaja bersubahat dengan perbuatan khurafat bahkan akan terlibat dengan dosa besar lain pula. Sepatutnya menurutnya, individu yang datang ke mana-mana kubur patut memberikan salam dan memberikan sedekah ‘Al-Fatihah’ bukannya terlibat dengan unsur-unsur judi da khurafat yang boleh menjejaskan akidah. 

Zaidah Mustafa ketika ditemui Wartawan RELATIF di kediamannya.

Lubang misteri yang didakwa wujudnya mayat akibat bau busuk.

Jalan belakang tanah perkuburan Kampung Sungai Keladi menuju lubang misteri.

Dalam hutan belukar ini disyakki perempuan menamatkan riwayat hidupnya secara mudah.

Kubur ini juga dikatakan ada kaitan kejadian misteri, juga menjadi tempat bomoh khurafat memuja nombor ekor.

Di penjuru pondok usang ini dikatakan tempat pengkebumian mayat seorang perempuan secara tidak sempurna.

Di atas pondok lama dan uzur inilah Jane melihat lembaga perempuan misteri menyusukan bayinya.

Di atas padang bola inilah rakan Jane melihat lembaga perempuan misteri itu mendodoi dua bayinya.

Berhampiran pohon rambutan ini juga Jane terlihat lembaga perempuan misteri itu sedang duduk sambil menyusukan dua bayinya.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan