RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Sabtu, 24 Disember 2011

Misteri Dilanggar Pontianak


MISTERI DILANGGAR PONTIANAK

TUMPAT, KELANTAN Gangguan dan jelmaan makhluk halus yang dikaitkan dengan kubur bukanlah perkara baru tetapi sering berlaku. Pengalaman individu yang sering diusik tatkala melintasi kawasan perkuburan yang dikatakan agak keras memang kerap terjadi, kadangkala menyebabkan mangsa yang disakat itu demam berminggu-minggu. Namun, tidak kurang juga ada individu mangsa yang dilanggar makhluk halus sewaktu melintasi kawasan perkuburan terbabit.

Pengalaman Mohd. Fadli bin Anuar, 28, dari Kampung Menjual, Tumpat, Kelantan ketika ditemui Wartawan RELATIF memang tidak menafikan hal itu kerana beliau sendiri pernah dilanggar makhluk halus sewaktu menunggang basikal ketika melintasi kawasan Tanah Perkuburan Kampung Menjual ketika dalam Tahun 5 pada tahun 1982.

Katanya, ketika hari kejadian berlaku pada pukul 7.30 malam, di mana pada masa itu beliau sedang menunggang basikal ke rumah seorang guru Al-Quran untuk belajar muqaddam. Semasa beliau sedang menunggang itu, tanpa diduganya beliau telah melintasi kawasan perkuburan terbabit. Dengan tidak disangkanya, basikal yang ditunggangnya itu dilanggar secara tiba-tiba oleh sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasarnya dan terkena di sebelah kanannya. Disebabkan rempuhan kuat makhluk ghaib itu menyebabkan basikal yang ditunggangnya itu terbabas lalu terbalik. Paling membuatkan beliau terkejut sewaktu basikalnya dirrempuh dengan agak kuat itu, beliau terdengar suara mengilai seperti seorang perempuan dengan agak jelas.

"Memang pada mulanya saya agak panik kerana basikal saya dilanggar secara tiba-tiba. Akibat rempuhan kuat dari benda yang saya tidak nampak, menyebabkan basikal yang saya tunggang terbalik.

"Saya tidak pasti benda apa yang langgar saya secara tiba-tiba itu. Tapi, kalau tidak nampak dengan mata, tentulah makhluk halus", ujar Fadli sambil tersenyum mengingati pengalamannya itu.

Tetapi menurutnya, dalam keadaan kelam kabut itu matanya melilau ke kiri dan ke kanan jalan dan ketika itu dengan tiba-tiba beliau terlihat kelibat suatu lembaga seperti seorang perempuan sedang melintasi di tempat beliau terjatuh itu. Beliau tidak pasti lembaga perempuan itu, tetapi setahunya lembaga perempuan berkeadaan seperti itu dikenali sebagai "pontianak" kerana beliau hanya dapat melihatnya seperti bayang-bayang dan dalam keadaan samar-samar sahaja di mana selepas itu makhluk tersebut terus ghaib.

"Hairannya, walaupun basikal saya terbalik dan saya tercampak dari basikal, saya lihat basikal tidak rosak apa-apa. Hanya bahagian tubuh saya cedera ringan", katanya.

Tambah Fadli lagi, pada hari-hari tertentu tanah perkuburan Kampung Menjual memang agak keras dan menyeramkan. Sebut sahaja nama kubur terbabit segelintir penduduk dari kampung itu sendiri akan berasa kecut perut dan kadang-kadang membuatkan bulu roma meremang dan berdiri tegak.

Sambungnya, kawasan perkuburan itu dikatakan agak keras dan sering mengusik kerana pada masa itu dilindungi sebatang pohon jering yang agak rendang. Bukan beliau sahaja yang disakat, pengalaman seorang bomoh dari kampung yang sama turut menjadi mangsa lembaga tersebut pernah terjadi sewaktu melintasi kubur berpenunggu itu.

Jelas Fadli lagi, untuk pulang ke rumah bomoh terbabit perlu melintasi kawasan perkuburan dimaksudkan, tetapi tanpa disangka-sangka motosikal yang ditunggangnya tiba-tiba meragam. Selepas beberapa kali membaikpulihnya, enjin motosikal itu hidup sekejap kemudian mati semula. Namun, beliau tidak dapat pastikan apakah sebab motosikal bomoh itu meragam sama ada angkara makhluk halus itu atau sebaliknya.

Selain itu menurutnya, sebuah rumah lama dan kosong telah ditinggalkan oleh pemiliknya yang terletak di Kampung Bunut Sarang Burung, Tumpat iaitu sebuah kampung berjiran dengan kampungnya juga sering ditakuti bukan sahaja menjelangnya waktu malam tetapi juga di siang hari. Salah seorang rakannya yang sedang melalui lorong bersebelahan rumah tersebut pada suatu malam agak hairan kerana didapatinya rumah tersebut seolah-olah ada penghuni apabila kelihatan cahaya lampu kalimantang agak terang benderang dalam rumah tersebut, sedangkan setahunya rumah terbabit merupakan rumah lama iaitu rumah kosong yang telah ditinggalkan oleh pemiliknya.

"Dia tanya saya, adakah tuan rumah kosong yang dilihatnya pada malam itu sudah balik. Tapi sekelilingnya penuh dengan semak-samun. Saya tak jawab, saya kata padanya, faham-fahamlah", ujar Fadli.

Katanya, kejadian sebagaimana pengalaman rakannya itu memang sering berlaku dan pernah dialami oleh beberapa orang penduduk dari kampung lain. Menurutnya, beliau pernah terdengar cerita dari beberapa orang warga emas dari kampungnya bahawa pemilik asal rumah kosong itu dikatakan membela makhluk halus seperti "hantu raya" sebagai penjaganya. Beliau tidak pasti apa tujuannya pemilik rumah itu membela makhluk penunggu sedangkan dirinya berpindah ke tempat lain.

"Saya pernah dengar dari salah seorang cucunya yang menyatakan, atuknya boleh mendengar siapa yang mengumpat dirinya. Ini disebabkan penunggu rumah itulah", ujarnya.

Kata Fadli, disebabkan ingin mengetahui dan merasai pengalaman di rumah kosong itu, pada suatu hari Fadli cuba memanjat sebatang pohon kesayangan milik tuan rumahn kosong itu. Dengan tiba-tiba beliau terlihat jelmaan tuan rumah terbabit sedang berada di bawah pohon yang dipanjatnya. Pada mulanya beliau agak hairan memandangkan tuan rumah berkenaan telah berpindah, tetapi dengan tiba-tiba berada di bawah pohon yang dipanjatnya pula. Sejak itu, beliau tidak lagi datang ke rumah kosong yang pernah dipanjatnya itu. 


Mohd. Fadli bin Anuar ketika diwawancara Wartawan RELATIF di laman rumahnya di Kampung Menjual, Tumpat.

Inilah Kubur Kampung Menjual.


Di tempat inilah Fadli dilanggar pontianak lalu terbalik dan selepas itu terdengar suara perempuan mengilai.

Inilah rumah lama dan kosong tetapi berpenunggu yang terletak di Kampung Bunut Sarang Burung, Tumpat.

"Saya pernah panjat sebatang pokok dekat rumah ini, tiba-tiba jelmaan tuan rumah sedang berada bawah pokok", Fadli.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan