RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Sabtu, 3 Disember 2011

Misteri Kubur Pauh Ganja


MISTERI KUBUR PAUH GANJA

WAKAF BAHARU, KELANTAN Kubur Pauh Ganja yang letaknya di Kampung Kubang Palas, Wakaf Baharu, dekat sini memang tersohor sejak dahulu sebagai sebuah kawasan yang agak keras dan sering mengusik. Ini amat jelas dengan dakwaan beberapa penduduk tempatan termasuk beberapa pengalaman individu yang telah mengalami peristiwa sedemikian tentunya kenangan tersebut tidak dapat dilupakan sepanjang hayat.

Kisah yang dialami oleh Mek Ani Ismail, 52, dari Kampung Padang Pohon Tanjung, Wakaf Baharu, Kelantan juga tidak kurang menariknya apabila beliau juga turut diusik makhluk halus di kawasan perkuburan itu.

"Pengalaman ini berlaku pada tahun 2001 sewaktu akak menunggang motosikal ke sekolah untuk menjemput anak akak pulang", ujar Mek Ani ketika ditemui Penulis di kediamannya.

Menurut Mek Ani, ketika itu cuaca agak panas, beliau menunggang motosikalnya seorang diri ke salah sebuah sekolah agama di Wakaf Baharu untuk menjemput anaknya yang menuntut dalam Tingkatan Lima yang sedangnya menunggunya pada jam 2.00 petang itu. Pada masa itu, tiada orang lain yang lalu lalang di kawasan Kubur Pauh Ganja itu kecuali beliau seorang sahaja.

Tanpa disangkanya, semasa beliau melintasi kawasan perkuburan itu, anak matanya terpandang sepasang lembaga yang kelihatan olehnya seorang lelaki dan seorang perempuan berpakaian serba putih sedang duduk bertenggek di atas sebuah pusara di bawah sebatang pohon pauh (mangga) tersebut, tetapi wajahnya berpaling ke arah lain. Pada mulanya beliau agak ada orang sedang membersihkan pusara, namun melihatkan keadaan cuaca pada hari itu yang agak panas berbahang, amat mustahil ada orang berbuat demikian.

Setelah menempuh perjalanan selama sejam, Mek Ani kemudiannya tiba di sekolah tempat anaknya menuntut yang ketika itu sedang menunggunya untuk dibawa pulang. Tanpa menolah ke belakang kerana itulah kelazimannya setiap kali menjemput anaknya, beliau telah dapat mengagak tentunya anaknya yang telah membonceng sebagaimana selalu apabila bahagian tempat duduk belakang motosikalnya itu dirasakan turun seumpama telah diduduki oleh seseorang, lantas beliau menunggangnya.

Ketika beliau sedang menunggang motosikalnya itulah, Mek Ani terasa agak pelik tidak sebagaimana selalu seolah-olah sedang memikul beban yang amat sangat. Pergerakan motosikalnya juga didapati perlahan tidak sebagaimana kelazimannya ketika beliau memboncengkan anaknya yang dirasakannya agak ringan. Namun, Mek Ani tidak mempedulikannya kerana sudah tentu di tempat duduk bahagian belakang motosikalnya kini adalah anaknya sendiri dan bukannya orang lain.

Katanya, setelah tiba berdekatan dengan pohon kelapa yang juga berhampiran rumahnya, beliau diminta oleh pembonceng motosikalnya itu supaya menurunkannya di situ dan beliau sekadar menganggukkan kepada tanpa menoleh ke belakang. Apabila pembonceng motosikalnya telah turun, motosikalnya dirasakannya terlajak ke hadapan dan dalam masa yang sama beliau terasa motosikalnya itu dalam keadaan ringan untuk menunjukkan pemboncengnya telah turun.

"Dia minta akak turunkannya dekat dengan pohon kelapa itu. Selepas turun, akak rasa motosikal itu ringan. Tapi hairan, tiada pun kelibat sesiapa yang masuk ke rumah", cetus Mek Ani agak kehairanan dengan peristiwa pada hari itu.

Melihatkan keadaan agak pelik dan luar biasa itu, barulah beliau berpaling ke belakang untuk memastikan siapakah pembonceng sebenar yang memintanya menurunkannya berdekatan sebatang pohon kelapa itu. Pemboncengnya memang telah turun kerana tiada lagi kelibat di tempat duduk motosikalnya.

"Akak cuba memandang ke kiri dan kanan berkali-kali lepas itu baru toleh ke belakang, memang terkejut juga kerana dia sudah tiada. Ingat anak akak yang naik tadi. Jadi, akan pusing motosikal pergi ke sekolah itu balik untuk jemput anak akak kalau-kalau dia tak sempat naik", cerita Mek Ani dalam keadaan pelik.

Mek Ani kemudiannya berpatah balik ke sekolah untuk tujuan menjemput anaknya yang disangka telah membonceng motosikalnya beberapa jam tadi. Dalam masa sedang menunggang itu, fikirannya bercelaru memikirkan peristiwa itu. Jika bukan anaknya yang membonceng di tempat duduk motosikalnya, siapa pula? Ketika itulah beliau terasa sesuatu yang agak berlainan apabila memikirkan sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam hatinya selama ini.

Mek Ani menambah, apabila beliau tiba di sekolah, memang anaknya masih menunggu di situ sejak keluar dari bangunan sekolah lagi. Anaknya agak hairan juga dengan sikap mamanya berkeadaan begitu. Mek Ani yang masih dalam kebingungan dengan peristiwa pelik itu lantas menceritakan peristiwa aneh itu kepada anaknya menyebabkan anaknya ketawa kerana geli hati dengan gelagat mamanya. Ini kerana, ketika anaknya itu baru saja ingin meletakkan kaki di atas pemijak motosikalnya itu, mamanya terus menunggangnya tanpa menoleh ke belakang.

"Ingatkan anak akak sudah naik sebab terasa seperti ada orang telah naik, rupa-rupanya tidak. Jadi, tahu-tahu masa tiba di sebatang pohon kelapa itu, baru akan perasan bukan anak akak yang naik", ujar Mek Ani sambil ketawa kecil.

 Apabila ditanya, siapa yang menumpang motosikalnya itu jika bukan anaknya? Mek Ani menjelaskan, sudah tentu perbuatan hantu pari yang ingin memperdayakannya. Ini kerana menurutnya, sewaktu melintasi Kubur Pauh Ganja itu beliau perasan terdapat sepasang makhluk berpakaian putih sedang duduk di atas sebuah pusara di bawah pohon mangga dalam kawasan perkuburan tersebut. Pada mulanya beliau ingat ada individu atau ahli keluarga yang menziarahi ataupun sedang membersihkan kawasan perkuburan yang dimaksudkan, namun amat mustahil dilakukan ketika cuaca panas terik itu.

Justeru, beliau yakin dan percaya makhluk halus itu memang tahu sejak awal lagi beliau yang akan menjadi mangsa lantas mengikutnya dari belakang tanpa pengetahuannya dan apabila tiba di sekolah, anaknya pula digagalkan untuk membonceng motosikalnya  berpunca dari gangguan makhluk ghaib yang dikenali 'hantu pari' itu. Malahan menurutnya, sejak peristiwa itu Mek Ani mula berhati-hati supaya tidak lagi menjadi mangsa diganggu penunggu Kubur Pauh Ganja itu buat kali kedua.  


Mek Ani Ismail atau Mek Ani.


Mek Ani (berbaju kuning) ketika ditemubual Penulis di kediaman barunya di Kampung Paloh Chicha, Palekbang, Tumpat, Kelantan.

Inilah pohon pauh (anak panah) yang diduduki sepasang makhluk halus yang dikenali hantu pari di Kubur Pauh Ganja.


Inilah laluan yang digunakan oleh Mek Ani sehingga ditumpang oleh hantu pari di atas motosikalnya.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan