MISTERI SITI BALQIS GHAIB
(Rencana Kedua)
JERTEH, TERENGGANU: MAKHLUK halus bukan sahaja boleh menjelma dalam pelbagai bentuk sama ada rupa paras manusia dan haiwan seperti monyet, kucing, anjing, beruang, harimau, kuda, gajah, ular di samping rupa buruk yang menakutkan. Makhluk ghaib itu juga bukan sahaja mampu menyakat golongan yang lemah semangat terutamanya wanita, namun makhluk tersebut juga adalah pembuli malah boleh menjadikan manusia sebagai mangsanya, apatah lagi jika wujud perjanjian dengan makhluk itu sebelum ini yang telah diengkari. Penafian segelintir manusia yang menganggap amat mustahil berlakunya gangguan makhluk halus di zaman moden ini menunjukkan individu terbabit lupa kepada kejadian makhluk ciptaan Allah S.W.T yang antara lain tentang kewujudannya. Ini kerana, hakikatnya kekuatan makhluk berdarjat rendah itu disebabkan kelemahan dan kelalaian yang ditunjukkan oleh manusia sendiri.
Kejadian manusia telah dighaibkan atau disorok oleh makhluk halus sejak kebelakangan ini bukanlah cerita yang sengaja direka-reka kerana makhluk halus yang berindukkan iblis dan turut dibantu jin dan tenteranya syaitan memang mencari peluang sebagai alasan untuk menguasai manusia yang leka dari agama yang lurus.
Kejadian Siti Balqis Mohd. Nor, 22, dari Kampung Gong Nangka, Jerteh, Terengganu yang disorok dan dighaibkan oleh makhluk halus yang berdendam terhadapnya ketika umat-umat Islam sedang menunaikan ibadat puasa di bulan Ramadan awal Oktober 2010 tahun lalu adalah cerita benar.
Ketika kunjungan pertama Wartawan RELATIF ke rumah mangsa pada 15 Oktober, 2010, Penulis tidak dapat mendapatkan butirannya kerana ketika itu mangsa sedang menangis semahunya. Namun, dalam kunjungan yang kedua pada 20 Oktober, 2010 jam 10.30 malam, Wartawan RELATIF akhirnya memperolehinya sendiri dari mulut ibu mangsa, Noor Rizan Said, 47, tentang hakikat anak sulung empat beradik itu yang sering disorok dan dikembalikan amat menyiksakan ahli keluarganya.
Menurut Noor Rizan, kejadian yang dialami oleh Siti Balqis berlaku pada bulan Ogos 2010 iaitu ketika umat-umat Islam sedang menunaikan ibadat puasa di bulan Ramadan. Punca kejadian, apabila kakinya terpijak kaca pada hari Jumaat iaitu dua minggu sebelum Hari Raya Aidilfitri. Bimbang dengan keadaan tusukan kaca yang telah menyebabkan kakinya berdarah, mangsa dibawa oleh ibunya ke Hospital Jerteh. Tetapi dalam perjalanan ke hospital, Siti Balqis merasakan ada sesuatu yang seolah-olah cuba menghisap luka di kakinya. Agak terkejut dengan keadaan itu apatah lagi Siti Balqis sendiri dapat melihat makhluk yang cuba menghisap darah di kakinya seperti seekor "monyet" iaitu berbulu hitam lebat.
Ketika di Hospital Jerteh, doktor yang merawatnya menyatakan beliau mengalami masalah putus urat ibu kaki lalu beliau dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan kerana bimbangkan keadaan lukanya itu agak serius. Apabila kes berkenaan dirawat sebagai pesakit luar dan dianggap tidak mendatangkan kesan yang membimbangkan, beliau dibenarkan pulang pada hari Jumaat itu juga lalu singgah di Masjid Muhammadi, Kota Bharu untuk menunaikan solat Maghrib. Ketika di masjid itu, tubuhnya berasa panas yang agak luar biasa. Dalam masa yang sama Siti Balqis berasa ingin membuang air kecil, lantas dipapah oleh ibunya ke tandas.
Selepas meninggalkan Masjid Muhammadi pada malam tersebut, beliau pulang dan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka menghampiri sebuah masjid di Peringat, Melor ketika masuk waktu Isyak, dengan tiba-tiba Siti Balqis menangis agak kuat. Selama kira-kira dua jam Siti Balqis menjerit sepuas hati menyebabkan timbulnya rasa resah di hati ibunya dan dengan nada geram ibunya meminta Siti Balqis tinggal di situ dan masuk Islam di situ.
Berikutan kata-kata Noor Rizan menyebabkan Siti Balqis berhenti menangis dan dengan itu Nor Rizan dapat memandu kenderaannya itu dengan aman kerana tiada sebarang gangguan yang pelik dari anaknya. Setelah Siti Balqis tiba di rumahnya di Jerteh, Siti Balqis meminta izin ibunya untuk melelapkan mata (tidur) kerana berasa agak keletihan dan ketika itu Siti Balqis dapat tidur buat sementara.
Namun, menjelang hari Sabtu jam 8.00 pagi keesokannya, Siti Balqis tiba-tiba mengamuk dan membentak. Siti Balqis menggelupur kerana berasa ada sesuatu yang tidak kelihatan sedang menghisap luka di kakinya kembali. Apabila ditanya, makhluk ghaib yang menghisap luka di kaki anaknya, Noor Rizan menjelaskannya seperti "hantu raya" di mana bentuk fizikal tubuh yang pernah dirasakan melalui selawat yang diamalkannya agak berbulu lebat seperti monyet. Bahkan, Siti Balqis pernah memberitahunya bahawa makhluk yang pernah menjelma sebelum ini pun seperti seekor monyet yang agak besar.
Beritahu Noor Rizan lagi, cara Siti Balqis tidur juga amat berlainan dengan manusia kerana dengkurannya agak kuat dan luar biasa. Apabila tersedar, dia bertindak ganas seperti orang dirasuk atau "histeria" apabila cuba menghempaskan diri dan menerkam orang yang duduk berdekatan.
"Melihat keadaan Siti Balqis agak kritikal bagi seorang gadis sepertinya yang tidak tahu apa-apa, saya membawanya berjumpa bomoh di Pantai Cahaya Bulan (PCB), Kota Bharu, tetapi bomoh itu kata tidak mampu merawatnya.
"Selepas itu, saya bawa Siti berjumpa bomoh di Pengkalan Chepa pula. Setelah berikhtiar menggunakan kaedah telur, didapati keluarlah dua ketul serpihan kaca dan sepucuk jarum dari kakinya", tambah Noor Rizan yang menyatakan kejadian itu berlaku pada hari Ahad, esoknya.
Kata Noor Rizan lagi, setelah segalanya selesai dipulihkan oleh bomoh itu, beliau membawa Siti Balqis ke tempat adiknya di Tahfiz Al-Amin, ketika itu waktu senja dan Maghrib. Di saat itulah Siti Balqis kembali meracau dan cuba bertindak ganas terhadap salah seorang guru agama lelaki di tahfiz tersebut. Siti Balqis kemudiannya berjaya dipulihkan, lalu mereka pulang ke rumah di Jerteh. Pada mulanya, Noor Rizan beranggapan tidak lagi berlaku kejadian seperti itu, namun setelah beberapa minit berlalu tiba-tiba Siti Balqis kembali meracau sebagaimana sebelumnya. Sejak malam itu, keadaan Siti Balqis seperti tidak sedarkan diri kerana menggelupur seperti orang di dalam kepanasan dan beliau bertindak memarahi sesiapa saja yang ada berdekatan dengannya. Keadaan itu menyebabkan Siti Balqis dan keluarganya tidak dapat melelapkan mata sehinggalah pada hari Khamis tersebut.
Makhluk yang cuba meghisap luka di kakinya tidak lagi berbuat demikian, mungkin disebabkan kaca dan jarum itu telah dapat dikeluarkan. Namun, kejadian lain terhadap Siti Balqis ternyata semakin pelik apabila dengan tiba-tiba setelah sedar dari tidurnya, Siti Balqis merangkak bagaikan seekor monyet ingin menerkam dan menggigit sesiapa sahaja yang ada di sekelilingnya. Mulut dan giginya dingangakan kepada orang yang melihatnya, umpama seekor monyet. Berikutan itu, Noor Rizan naik ke atas belakang Siti Balqis sambil membaca surah Yassin untuk tujuan menghalang Siti Balqis dari berperangai seperti haiwan itu. Sejak itu, tiada lagi tingkah laku sedemikian sehingga hari Ahad minggu yang berikutnya, penyakit pelik yang dialami Siti Balqis hilang serta merta.
Akibat daripada beberapa tindakan Siti Balqis, mangsa terpaksa diberikan tongkat kerana tidak mampu untuk berjalan walaupun di dalam rumahnya sendiri. Setelah itu, pada malam Ahad berikutnya, Siti Balqis dikatakan ingin tidur dan meminta ibunya menyelimuti keseluruhan tubuhnya, sementara ibunya asyik berbual-bual dengan emak saudaranya manakala anak saudaranya masing-masing tidur di ruang tamu dengan melingkari seperti satu bulatan, sementara Siti Balqis pula tidur di tengah-tengah di antara mereka kerana bimbang dengan keadaan Siti Balqis itu.
Tiba-tiba dalam keadaan suasana yang hening itu, terlihat olehnya seekor lipan yang bersaiz agak luar biasa besarnya sepanjang kira-kira enam sentimeter. Terkejut dengan keadaan bentuk fizikal lipan kerana seumur hidupnya tidak pernah melihat lipan sebesar itu, mereka berdua tertanya-tanya kehairanan, dari mana lipan sebesar itu muncul apabila dengan tiba-tiba merayap betul-betul di atas perut Siti Balqis.
Dalam usaha untuk menyelamatkan Siti Balqis daripada angkara seekor lipan yang pada masa itu telah bertenggek di atas perut mangsa, Noor Rizan segera bertindak pantas membungkus lipan tersebut menggunakan kain selimut yang digunakan oleh Siti Balqis lalu meletakkannya di atas lantai lalu menyembelihnya. Bangkai lipan yang telah putus, hancur serta telah mati itu kemudiannya dicampakkan oleh Noor Rizan ke luar jendela. Tetapi secara tiba-tiba, dalam pukul 2.00 pagi, Siti Balqis tersentak dari tidurnya secara mengejut dengan memarahi Noor Rizan perihal lipan itu telah disembelih olehnya.
Mendengarkan suara sedemikian rupa, fahamlah Noor Rizan bahawa lipan tersebut adalah jelmaan jin yang masih ingin menghisap darah Siti Balqis. Tetapi Noor Rizan membalas kemarahan jin itu kerana mangsa tidak diberi izin untuk diapa-apakan, kata-katanya itu umpama sedang bertekak dengan jin berkenaan yang dijelmakan dalam tubuh Siti Balqis. Beberapa saat kemudian, Siti Balqis menggelupur dan tindakannya agak agresif seperti seekor haiwan ganas menyebabkan Noor Rizan bersama emak saudaranya dan ahli keluarga yang lain menerkam Siti Balqis sambil memegangnya dengan kuat. Hasil pegangan yang kuat, dalam pukul 4.00 pagi Siti Balqis berasa mengantuk kerana tubuhnya agak lebih akibat dibuli oleh makhluk jin yang tidak kelihatan dengan mata kasar itu.
Keadaan Siti Balqis pada waktu siang hari itu agak tenang dan tiada kejadian yang tidak diingini sebagaimana semalam. Noor Rizan tidak lagi memberikan perhatian terhadap Siti Balqis kerana lebih menumpukan perhatian terhadap kedai miliknya. Manakala pada pukul 7.00 malam, beliau membuat persiapan juadah dan minuman agak awal dan dalam masa yang sama anak dan menantunya sampai di rumahnya, sementara Siti Balqis pula masuk ke bilik mandi. Kata Noor Rizan, dalam masa beliau sedang membancuh air, beliau terdengar bunyi dentuman yang agak kuat dari arah bilik mandi rumahnya. Sangkaan beliau pada mulanya Siti Balqis terjatuh di bilik mandi kerana anak sulungnya itu masih berjalan menggunakan tongkat, lantas Noor Rizan bergegas ke bilik mandi.
Alangkah terkejutnya, kerana Siti Balqis yang dikatakan sedang mandi dan terjatuh tadi didapati sudah hilang. Seluruh tempat dalam kawasan rumahnya digeledah, namun kelibat dan bayangnya juga tiada. Itulah kali pertama Siti Balqis tiba-tiba ghaib (hilang). Beliau kemudiannya meminta anak-anaknya yang lain cuba mencarinya di segenap tempat namun tidak juga menemuinya. Lantas beliau menghubungi sepupunya melalui telefon bimbitnya juga gagal seolah-olah talian itu sengaja dikosongkan atau disekat oleh makhluk tersebut.
Pada ketika itulah terlintas di fikirannya, mungkin Siti Balqis telah disorok oleh makhluk halus yang menggunakan kesempatan waktu senja itu sebagaimana dakwaan orang-orang tua dahulu. Tetapi terlintas pula dalam hatinya, amat tidak munasabah seorang manusia yang bertubuh besar mudah disorok dengan cara yang sedemikian. Kemudiannya beliau turun ke halaman rumahnya lantas mengalunkan azan dan selepas masuk waktu Maghrib kedengaran di beberapa surau turut mengalunkan azan yang sama. Dalam masa yang sama, beliau berniat untuk menunaikan solat hajat sebagai jalan penyelesaiannya. Manakala sepupunya pula memberikan cadangan supaya menghantar mesej atau menghubungi Siti Balqis untuk mengetahui ke mana beliau hilang, namun usahanya itu gagal.
Beberapa minit kemudian, Noor Rizan menerima mesej daripada Siti Balqis bahawa mangsa berada di pangkal pokok pisang. Selepas menerima mesej bahawa Siti Balqis berada di situ, beliau termasuk sepupunya bergegas mencari Siti Balqis di setiap pokok pisang yang ada di kawasan itu, namun Siti Balqis tidak juga ditemui. Kecewa disebabkan tidak menemui Siti Balqis di tempat yang dimaksudkan, Noor Rizan mula beredar dari situ dan secara tiba-tiba beliau terdengar seperti suara Siti Balqis sedang meminta pertolongannya tidak jauh dari tempatnya berdiri. Mendengar suara tersebut, Noor Rizan bergegas ke belakang rumahnya dan memang benar, Siti Balqis berada dekat dengan pohon pisang di belakang rumahnya itu, di mana ketika itu jam 8.30 malam. Keesokannya pohon pisang tempat Siti Balqis disorokkan itu terpaksa ditebang untuk mengelakkan kejadian berulang di masa akan datang.
Noor Rizan mengagak ekoran Siti Balqis telah dighaibkan dan dikembalikan di pangkal pohon pisang itu tentunya tidak akan terjadi peristiwa seterusnya. Namun, sangkaannya meleset apabila pada pukul 11.00 malam, Siti Balqis dighaibkan buat kali kedua. Selepas kejadian kali pertama dan kali kedua itu, pada malam esoknya Siti Balqis disorokkan pula buat kali ketiga. Pada ketika itu, Siti Balqis dikembalikan dan dicampakkan ke atas bumbung rumahnya. Bunyi dentuman yang agak kuat pada masa itu menyebabkan darah Noor Rizan berderau kerana bimbang Siti Balqis akan menemui ajal disebabkan ketinggian bumbung rumahnya itu tidak sesuai dengan seorang gadis seperti Siti Balqis.
Bermula dari episod itulah Noor Rizan mula memanggil bomoh untuk menyelesaikan masalah yang sentiasa menghantui Siti Balqis, namun menemui kegagalan. Selepas kejadian yang ketiga itu, Siti Balqis seakan dibuli dan dipermainkan oleh makhluk halus apabila sering hilang dan muncul di dalam rumahnya berulang kali. Kejadian yang berlaku sejak awal bulan Ramadan itu semakin menjadi-jadi kerana ketika itu orang ramai khusyuk dan hanya menumpukan kepada solat sunat tarawikh.
Akibat kejadian yang dianggap tidak terkawal itu, beliau kemudiannya meminta bantuan ramai bomoh dan ustaz dari pelbagai surau untuk supaya melakukan solat hajat serta membaca Yassin dengan tidak menghebohkannya kepada orang ramai malahan orang-orang kampungnya sendiri tidak mengetahuinya kecuali adik-beradik dan ahli keluarganya yang terdiri daripada tiga buah rumah sahaja. Beliau bukan sahaja menyembunyikan masalahnya itu dari pengetahuan ramai, tetapi memikirkan orang-orang kampung dalam keadaan letih selepas solat terawikh tentunya perlu tidur awal kerana di siang harinya mereka berpuasa.
Akhirnya, menjelang Hari Raya Aidilfitri beliau mula menceritakan keadaan Siti Balqis yang sering ghaib akibat disorok makhluk halus itu kepada umum termasuk ahli keluarganya yang menetap jauh selepas hari raya tersebut.
Ditanya tentang kejadian Siti Balqis disorok di kubur pada malam Selasa, Noor Rizan menjelaskan, pada petang hari Isnin itu, Siti Balqis masih di rumahnya sedang menyediakan roti sandwich sebanyak dua bungkus dan ramai yang telah menikmati sandwich yang disediakannya itu. Apabila roti didapati habis, Siti Balqis memaklumkan kepada ibunya, pada masa itu Noor Rizan sedang berurusan dengan di kedainya. Noor Rizan meminta salah seorang adik Siti Balqis supaya memberi roti sebagaimana yang dikehendaki oleh kakaknya itu buat kali kedua. Selepas menerima roti dari adiknya itu, Siti Balqis hanya dapat menghasilkan sekeping roti sahaja sedangkan sepatutnya Siti Balqis perlu menghabiskan bungkusan roti sebagaimana yang dimintanya itu.
Apa yang diketahui oleh Noor Rizan, bukanlah Siti Balqis yang berada di rumahnya ketika itu tetapi makhluk lain yang menjelma menyerupai Siti Balqis. Noor Rizan menyatakan demikian berdasarkan perubahan sikap anak sulungnya itu dengan tidak mengeluarkan sepatah percakapan. Kebiasaannya tidak pernah berlaku hal seumpama itu, namun pada hari dan ketika itu roti sandwich yang telah siap disediakannya itu diserahkan kepada bapa saudaranya tanpa sepatah percakapan yang sepatutnya keluar dari mulut Siti Balqis sendiri. Selepas Siti Balqis meletakkan roti sandwich yang dimaksudkan, jelmaan Siti Balqis itu datang kepadanya dan selepas itu dia ghaib.
Semenjak dari tarikh tersebut, bermulalah kemuncak kehilangan Siti Balqis, tahu-tahunya beliau dimaklumkan oleh Siti Balqis bahawa anaknya itu dimasukkan ke dalam liang lahad selama tujuh jam di sebuah kubur. Mengetahui berita jam 2.00 pagi itu, Noor Rizan bergegas ke Tanah Perkuburan Bukit Kenak kerana difahamkan Siti Balqis tentunya akan dighaibkan ke situ. Ini kerana, beliau tidak dimaklumkan oleh Siti Balqis berada di kubur yang mana satu. Apabila Noor Rizan sampai di kubur tersebut, beliau terus membaca ayat Qursi namun sehingga ayat tersebut selesai dibaca, Siti Balqis tidak juga muncul-muncul. Noor Rizan terpaksa pulang ke rumah dengan perasaan hampa dan selepas beberapa minit, beliau menerima mesej (SMS) yang menyatakan Siti Balqis berada di Tanah Perkuburan Gong Nering pula melalui bandar Jerteh berhampiran dengan Kampung Gong Guchil. Pukul 3.00 pagi pula beliau bertanya khabar tentang Siti Balqis yang dikatakan disorok di Kubur Gong Nering itu yang mempunyai dua jenis kubur iaitu yang lama dan baru.
Semasa tiba di tanah perkuburan Kampung Gong Nering itu, keluarganya yang lain membaca surah Yassin di dalam kenderaan yang dinaiki ke situ manakala anaknya yang lelaki mengalunkan azan berhampiran kubur tersebut. Sementara anak-anaknya yang lain masih meneruskan zikir, manakala Noor Rizan sendiri membaca surah Yassin sebagai pelengkap operasi mencari Siti Balqis pada pagi itu. Setelah selesai membaca surah tersebut, beliau bersama anak-anak dan ahli keluarganya yang lain memulakan operasi mencari di setiap pelosok di kubur yang dimaksudkan kerana dalam hatinya mengesyakki tentunya Siti Balqis disorok di salah sebuah kubur yang agak pelik pada pagi itu, mereka kemudiannya bergegas ke situ.
Salah sebuah kubur tersebut tidak mempunyai batu nisan, manakala didapati tanah ditebingnya masih berkeadaan baru. Manakala sebuah kubur lagi mempunyai batu nisan. Dalam hatinya mula mengesyakki, tentunya Siti Balqis berada di sebuah kubur tanpa batu nisan di mana di tebing kubur tersebut seolah-olah tanahnya masih berkeadaan baru digali. Ketika ahli keluarganya yang lain menyerbu kubur tersebut, beliau memanggil nama Siti Balqis dengan panggilan Kak Long berulang kali supaya makhluk yang menculik mangsa mengembalikan kepadanya secara baik.
Tambah Noor Rizan, disebabkan tidak mempunyai sebarang petunjuk dan Siti Balqis masih juga belum ditemui, beliau terpaksa pulang dan ketika itulah beliau membuat laporan polis di Balai Polis Jerteh. Beliau sengaja datang beramai-ramai kerana masih berhasrat untuk kembali ke kubur yang dimaksudkan disebabkan masih tidak berpuas hati kerana gagal menemui mangsa. Pada ketika itulah, beliau menerima mesej daripada Siti Balqis menyatakan Siti Balqis akan pulang ke rumah dan beliau sendiri telah melihat ibu dan adik-adiknya yang lain sedang mencarinya. Siti Balqis meminta ibunya membaca surah Yaasin kerana makhluk yang menculiknya akan menghantarnya sendiri ke rumah. Ketika sedang menerima mesej itu, beliau masih di balai polis iaitu sedang menulis aduan. Kemudiannya, beliau memberitahu salah seorang polis yang bertugas pada malam itu untuk pulang.
Apabila beliau dan ahli keluarganya sampai di rumahnya pada pukul 5.00 pagi itu, beliau memaklumkan kepada penduduk-penduduk kampungnya itu supaya membaca Surah Yassin selepas beberapa kariah masjid terbabit bersahur dan akan ke masjid untuk menunaikan solat Subuh. Lebih kurang jam 5.30 pagi, Siti Balqis dikembalikan lalu diletakkan di atas sebuah anak tangga di rumahnya, sedangkan di tangga yang sama beliau dan anak-anaknya yang lain pernah lalu lalang di situ, namun kelibat Siti Balqis tidak juga kelihatan di tempat yang dimaksudkan. Sambil melihat ke sebuah tangga yang dimaksudkan itu, beliau terhidu bau kapur barus seperti mayat baru dikapan, ketika itulah Siti Balqis muncul. Keadaannya seperti sekujur mayat, didapati kakinya berwarna hitam dan dipenuhi selut berwarna hitam yang sememangnya dari dalam kubur yang dimaksudkan.
Selepas kejadian terbabit, tiada lagi kejadian baru pada malam Rabu, Khamis dan Jumaat (malam hari raya Aidilfitri). Tetapi apabila tiba malam hari raya Aidilfitri kedua, anak saudara sepupunya memang tidak tidur kerana berjaga dan mengawal Siti Balqis, termasuk ahli keluarganya yang lain juga tidur di rumahnya untuk berkawal. Namun, ketika beliau ingin menunaikan solat Subuh termasuk ahli-ahli keluarganya yang lain juga ingin menunaikan solat yang sama.
Adik-adiknya yang masih ada berhampiran mangsa mula bercerita tentang pengalaman dalam mimpinya semalam, dengan tiba-tiba Siti Balqis mendekati mereka sambil ingin mendengar cerita mimpi tersebut. Kemudiannya apabila dua beradik itu selesai bercerita, mereka meninggalkan kakaknya Siti Balqis seorang diri. Apabila mereka datang kembali, di dapati Siti Balqis hilang di mana kejadian itu berlaku jam 6.00 pagi. Walau bagaimanapun, Siti Balqis kemudiannya ditemui di atas bumbung rumahnya pada pukul 9.00 pagi.
Selepas kejadian Siti Balqis di atas bumbung rumah, pada malam esoknya Siti Balqis ditemui di dalam siling rumahnya pula. Ketika di dalam siling itulah, beliau memarahi makhluk tersebut kerana cuba menculik Siti Balqis dan kalau beliau dapat beliau akan membakar buntut (punggung) makhluk halus itu, menyebabkan makhluk halus yang menyembunyikan Siti Balqis marah dengan menendang siling rumahnya sehingga pecah. Katanya, siling rumahnya pecah bukan disebabkan Siti Balqis dicampakkan di situ, tetapi akibat tindakan makhluk halus itu yang menendangnya.
Manakala kejadian pada malam berikutnya, Siti Balqis dikatakan dikurung dalam alat membancuh simen, tetapi bukan di alam manusia sebaliknya di alam ghaib tempat makhluk halus itu menghuni. Selepas itu, Siti Balqis dikembalikan di sebuah pagar masjid di kampungnya di mana di badan Siti Balqis dipenuhi simen. Selepas itu, Siti Balqis disorok kembali lalu diletakkan di atas sebatang pohon manggis di belakang rumahnya. Kemudiannya, Siti Balqis ditemui di bawah rumahnya. Selepas itu ditemui di tempat baja. Selepas kejadian itu, Siti Balqis ditemui olehnya di dalam almari pakaian.
Penemuan Siti Balqis di dalam almari kerap kali berlaku bukan kejadian hari berkenaan sahaja. Diikuti penemuan berikutnya di bawah katil dalam rumahnya. Manakala kejadian terakhir paling jauh pula, Siti Balqis dibawa merentasi alam ghaib lalu diletakkan oleh makhluk itu di Bukit Keluang yang terletak di Besut, Terengganu. Noor Rizan cuba menelefon Siti Balqis tetapi tidak berhasil, selepas itu beliau dimaklumkan oleh Siti Balqis melalui SMS bahawa beliau berada di bukit tersebut.
Sebanyak enam buah kenderaan dikerah olehnya ke Bukit Keluang pada malam tersebut. Apabila sampai, mereka mula membaca surah Yassin termasuk beberapa orang ustaz daripada Yayasan Islam Terengganu (YIT). Apabila Siti Balqis tidak ditemui di Bukit Keluang, mereka pulang dengan perasaan kecewa. Tiba-tiba Siti Balqis muncul di atas sebatang pokok rambutan di belakang rumah jirannya (berjarak tiga buah rumah).
Selepas kejadian itu, Siti Balqis dalam keadaan selamat kerana tidak lagi dighaibkan dan semasa kunjungan Penulis ke rumah mangsa pada 20 Oktober, 2010, lebih kurang seminggu Siti Balqis tidak dighaibkan. Walaupun Siti Balqis tidak lagi dighaibkan, namun mangsa seperti ditarik oleh sesuatu yang tidak kelihatan dengan mata kasar. Cara Siti Balqis ditarik dari tempat duduknya agak jauh di mana kejadian berkenaan berlaku ketika Maghrib berkumandang.
Bukan sahaja Siti Balqis sebagai mangsa ditarik, Noor Rizan ikut terpalit sama seperti ditarik oleh sesuatu yang tidak kelihatan. Puncanya, Siti Balqis dapat melihat ada suatu objek dalam sebuah mangkuk di atas siling rumahnya. Siti Balqis meminta adiknya mengambil objek yang dilihatnya, namun adiknya mendakwa objek yang dinyatakan itu tiada di tempat yang dimaksudkan, lantas meminta kakaknya itu menunjukkan kepadanya.
Berikutan itu, Siti Balqis memanjat sebuah tangga untuk ke atas siling terbabit. Apabila Siti Balqis menjejakkan kaki di anak tangga yang ketiga, dengan tiba-tiba makhluk ghaib itu menarik kakinya turun ke bawah menyebabkan kaki Siti Balqis seperti dirantai iaitu tidak dapat bergerak atau cuba mengangkatnya.
Menurut Noor Rizan, kejadian mengheret dan tarik-menarik di antara ahli keluarganya dengan makhluk halus itu berlaku dalam dua malam berturut-turut apabila kejadian pertama melibatkan tujuh kejadian dan malam kedua 15 kejadian. Kadang-kadang Siti Balqis ditarik dari bahu, betis dan kadang-kadang kepala yang dihantukkan ke dinding dan lantai di ruang tamu rumahnya sesuka hati oleh makhluk itu seolah-olah memaksa Siti Balqis menuruti kehendak makhluk tersebut.
Disebabkan wujudnya masalah Siti Balqis tidak dapat bergerak dari kedudukannya ketika itu, salah seorang ahli keluarganya cuba mengangkat Siti Balqis menyebabkan tangga yang digunakan untuk memanjat ke siling itu terjatuh seolah-olah tidak mahu terlucut. Akhirnya, setelah mengalunkan azan serta membaca ayat Kursi, beberapa minit kemudian Siti Balqis terlepas dari kedudukannya yang seolah-olah kena rantai itu.
Apabila Siti Balqis terlucut daripada dibelenggu oleh makhluk halus itu, Noor Rizan membawa Siti Balqis ke ruang tamu dalam usaha untuk menyelamatkan Siti Balqis. Ketika Siti Balqis masih dalam keadaan berdiri untuk duduk di lantai, dengan tiba-tiba makhluk ghaib itu mengheret Siti Balqis kembali. Kekuatan makhluk berkenaan dapat mengheret Siti Balqis menyebabkan Noor Rizan yang masih memegang Siti Balqis terpalit sama apabila beliau juga turut terheret dengan agak kuat, syukurlah tidak terpelanting ke tangga berdekatan. Kejadian berkenaan berlaku ketika awal Maghrib pada hari yang sama. Pada mulanya, Noor Rizan terfikir Siti Balqis akan disorok kembali, namun Siti Balqis selamat dari mangsa mangsa makhkluk halus itu.
Apabila ditanya tentang 15 biji batu permata yang diperolehinya, beliau menyatakan batu-batu permata tersebut dicampakkan ke atas rumahnya pada minggu berikutnya. Kejadian itu berlaku pada pukul 1.00 pagi di mana sebelum batu-batu permata itu muncul, serpihan papan itu terhempas awal ke dalam ruang tamu rumah dari bahagian atas rumahnya. Katanya, pada pukul 10.00 malam, kelihatan sekeping papan jatuh dari bahagian atas rumahnya. Manakala apabila pukul 1.00 pagi sebiji permata tiba-tiba jatuh ke atas sebuah katil di rumahnya. Kejadian kemunculan batu-batu permata berikutnya berlaku pada 12 Oktober, 2010.
Menurut Noor Rizan, selain batu-batu permata agak kecil berwarna putih, biru, merah, kuning air dan hijau muda berjumlah 14 biji, terdapat sebiji batu biasa yang di dalamnya tertera gambar Kaabah. Manakala tiga permata lain pula ada yang kelihatan kalimah Allah, Muhammad dan sebiji lagi berwajah manusia. Pada mulanya memang batu berkenaan diberikan kepadanya, namun beberapa hari selepas itu 14 batu permata didapati hilang dari rumahnya di mana menurut Noor Rizan telah diambil oleh makhluk tersebut, hanya tinggal sebiji batu biasa yang masih kekal sehingga hari ini.
Walau bagaimanapun menurut Noor Rizan, beliau tidak merasa duka cita apabila 14 batu yang dimaksudkan diambil kembali kerana, kalau makhluk itu ingin mengembalikannya pasti akan muncul juga. Dan pastinya kemunculan batu-batu permata itu pada peringkat yang pertama untuk memberitahu kepada umum bahawa beliau memperolehi batu-batu berkenaan dan apabila diketahui ramai batu itu tidak lagi berguna kepadanya dan perlu diambil balik.
Sambung Noor Rizan lagi, jika dilihat dengan mata kasar memang seperti batu. Tetapi apabila batu-batu permata itu dirakam menggunakan kamera digital didapati seperti tengkorak manusia. Apabila ditanya betulkah kelihatan bantuk Kaabah dalam salah satu batu tersebut. Beliau menjelaskan, memang jika dilihat secara teliti seperti bentuk Kaabah, tidak tahulah sama ada jelmaan saja. Manakala tulisan kalimah Allah dalam sebiji batu permata itu bertulisan sebagaimana yang kita lihat di kedai-kedai.
Apabila ditanya tentang pendapat dan pandangan pihak-pihak yang telah merawat Siti Balqis, beliau memberitahu kedua-dua bomoh pernah mendakwa, punca kejadian tersebut adalah daripada saka keturunannya zaman lampau. Manakala beberapa ustaz dan golongan alim menyatakan, keadaan sedemikian akibat gangguan jin. Sementara bagi pandangan salah seorang jurucakap pihak Yayasan Islam Terengganu (YIT) menyatakan bahawa kejadian berkenaan berpunca daripada sihir, pemujaan orang yang dengki yang bertindak mengambil mangsa sebagai model untuk mengetahui amalan dan kaedah yang dilakukan oleh mereka berhasil atau tidak atau memuja nombor ekor pun termasuk dalam kategori yang sama ataupun sebagai ujian kerana mengamalkan ilmu sama ada berhasil atau tidak.
Jelas Noor Rizan, baginya cara dan kaedah yang diusahakan oleh pihak-pihak yang telah membantunya dalam usaha untuk memulihkan keadaan Siti Balqis ternyata beliau amat berpuas hati dan beliau mengucapkan berbanyak terima kasih. Katanya, kalau makhluk halus yang terlalu lekeh sudah tentu binasa, tetapi kejadian sedemikian menunjukkan makhluk halus tersebut jenis keras kepala.
Cuma kelemahan makhluk berkenaan apabila majlis bacaan Yaasin dan solat Hajat yang diadakan di dua puluh (20) buah masjid selepas solat Jumaat pada 15 Oktober lalu didapati berhasil apabila Siti Balqis yang tinggal di rumah tiba-tiba menangis semahu-mahunya dan bertempik seorang diri. Sebab pada tarikh yang sama iaitu semasa kunjungan Penulis pada sebelah malamnya didapati Siti Balqis masih menangis. Hanya dalam pukul 4.00 pagi, tangisan Siti Balqis baru reda, manakala pada jam 6.00 pagi pula barulah Siti Balqis dapat tidur dengan nyenyak kerana keletihan.
Kata Noor Rizan, pada hari Sabtu (16 Oktober, 2010) iaitu keesokannya, didapati Siti Balqis dalam keadaan tidak bermaya. Sebaliknya, pada hari Ahad (17 Oktober, 2010) beliau mengadakan majlis bacaan Yaasin di rumahnya, manakala Noor Rizan bersama Siti Balqis duduk berdekatan di antara satu sama lain. Apabila surah Yaasin mula dibaca, Siti Balqis mengerut dahi sambil menggerakkan kepalanya kerana dirasakan kepalanya tersangat sakit sambil mengheret ibunya seolah-olah mengajaknya masuk ke bilik untuk melarikan diri, namun Noor Rizan tidak mempedulikannya sehingga majlis berkenaan selesai dan selepas membaca doa, Noor Rizan mendapati Siti Balqis agak lemah longlai lantas Noor Rizan mengangkat anaknya itu ke biliknya.
Dalam hal ini menurut Noor Rizan, memberikan gambaran seolah-olah makhluk halus yang memperdayakan Siti Balqis itu tidak ingin mendengar surah Yaasin itu kerana mungkin terasa bahang ayat-ayat tersebut. Apabila menjelang malam pula pada hari itu, Siti Balqis tiba-tiba menggelupur seolah-olah terasa bahang kesakitan kerana mendengar surah Yaasin dibacakan.
Sementara pada petang esoknya iaitu hari Isnin (18 Oktober, 2010) iaitu ketika Pengasas Pusat Rawatan Islam Zamdurrani, Ustaz Sarhan Shafie berkunjung ke rumahnya untuk tujuan membuat rawatan dan memandikan Siti Balqis, mangsa tidak ingin keluar dari biliknya, alasannya ingin mencuci kain seolah-olah mencari helah untuk melarikan diri. Manakala setelah Ustaz Sarhan Shafie pulang kira-kira jam 9.30 malam, mangsa mengajak Noor Rizan ke Jerteh. Hairan dengan tingkah laku mangsa, Noor Rizan bertanya untuk tujuan apa ke Jerteh, mangsa memberitahu perutnya terlalu lapar. Apabila tiba di di kedai KFC, mangsa enggan turun dari kenderaan sebaliknya meminta ibunya ke Pasar raya Eco Jaya. Namun Siti Balqis tetap dengan keputusannya enggan turun dari kenderaan yang dinaikinya itu.
Agak hairan juga, apabila Siti Balqis cuba menghulurkan kakinya dari kenderaannya itu didapati kakinya tidak dapat dimasukkan kembali ke dalam kereta yang dinaikinya. Akibatnya Noor Rizan naik geram juga malah turut membentak, kalau tidak kerana Siti Balqis sudah tentu beliau tidak akan ke situ. Berikutan itu, Siti Balqis membentak di dalam kenderaan berkenaan kerana terlalu marah dengan sikap Noor Rizan. Bimbang dengan kejadian yang diingini, Noor Rizan kemudiannya terpaksa menghubungi anaknya yang masih tinggal di rumah ketika itu supaya datang dengan segera untuk tujuan memujuk Siti Balqis. Akhirnya Siti Balqis berjaya dipujuk di mana ketika itu jam menunjukkan hampir pukul 12.00 malam.
Apabila Penulis bertanya, adakah kejadian heret dan tarik-menarik akan berlaku lagi selepas ini sebagaimana kejadian awal, Noor Rizan tidak dapat memberikan jawapan yang sepatutnya kerana tidak mengetahui kejadian yang akan berlaku berikutnya. Pada tarikh 20 Oktober, 2010 lalu, beliau agak tidak akan berlaku lagi kejadian tarik-menarik, namun makhluk halus memang tidak boleh dipercayai. Ini menurutnya, gelang besi milik dan sering dipakai oleh Siti Balqis telah diambil oleh makhluk halus itu sebelum ini telah dikembalikan kepada pemiliknya apabila didapati tersangkut di siling rumahnya.
Manakala gelang besar bertatahkan batu-batu permata yang agak besar yang dipakaikan oleh salah seorang bomoh yang merawat Siti Balqis turut juga diambil oleh makhluk itu ketika Siti Balis dighaibkan ke Bukit Keluang, besut sebelum ini. Kata Noor Rizan, Siti Balqis mendakwa gelang besar memang muncul di atas siling rumahnya tetapi oleh kerana tiada sesiapa yang ingin mengambilnya, jadi dia minta makhluk itu menghantarnya ke bawah sebab dia tidak mengizinkan gelang itu dibawa ke atas.
Justeru menurut Noor Rizan, sejak akhir-akhir ini keadaan Siti Balqis masih terkawal kerana kejadian mengheret dan tarik-menarik tubuh mangsa di antara keluarganya dengan makhluk itu tidak lagi berlaku. Walau bagaimanapun, beliau menyerahkan segala kejadian itu kepada Allah S.W.T dan berharap supaya kejadian yang lebih serius tidak lagi berlaku untuk masa-masa yang akan datang.

Ibu mangsa, Noor Rizan Said ketika ditemubual Penulis.
Siti Balqis Mohd. Nor (kiri) dan Noor Rizan Said (kanan) di kediamannya di Kampung Gong Nangka, Jerteh, Terengganu.
Inilah kediaman Noor Rizan dan Siti Balqis.
Siling pecah akibat ditendang makhluk halus yang marahkan Noor Rizan kerana ingin membakar punggungnya.
Kepingan papan terhempas ke bawah ketika batu-batu permata digugurkan makhluk halus itu.
Siti Balqis turut disorok di pangkal pohon pisang ini (anak panah).
Siti Balqis kerap kali disorok di belakang rumahnya pada malam hari.
Siti Balqis juga telah dighaibkan dan ditemui di dahan pokok manggis ini (anak panah).
Inilah tempat Siti Balqis dicampak ke atas bumbung rumahnya (anak panah).
Bukit Keluang: Siti Balqis pernah diterbangkan jin terbabit ke tempat ini.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan