RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Selasa, 20 Disember 2011

Misteri Jari Berapi


MISTERI JARI BERAPI

KOTA BHARU, KELANTAN PENGAMAL Perubatan Tradisional, Bomoh Muda Azman dari Kampung Padang Lembek, Ketereh, Kota Bharu, Kelantan bukan sahaja terkenal di kalangan penduduk Kelantan, malah penduduk dari negeri lain turut mengenalinya. Banyak penyakit yang mampu dirawatnya seperti penyakit zahir, penyakit berkaitan batin seperti sihir, saka, santau dan pelbagai lagi dengan izin Allah. Begitu halnya tentang pengalamannya merawat penyakit misteri yang dialami oleh seorang kanak-kanak ajaib berusia 10 tahun pada tahun 2002 benar-benar menguji Bomoh Muda Azman.

Katanya, beliau mendapat tahu tentang keajaiban kanak-kanak tersebut melalui abangnya yang bertugas sebagai seorang Kolonel tentera di Pahang. Keluarga kanak-kanak ajaib yang berasal dari Bentong, Pahang itu telah datang ke rumahnya untuk mengubati penyakit misteri yang dihadapi oleh kanak-kanak tersebut setelah beberapa dukun gagal merawatnya.

"Memang dukun yang merawatnya tidak berjaya. Sebaliknya pakaian yang dipakai oleh dukun itu habis terbakar. Mereka sendiri lari lintang-pukang dalam keadaan berbogel kerana malu", ceritanya kepada Wartawan RELATIF sambil ketawa kecil kerana menganggap peristiwa tersebut amat lucu.

Bukan itu sahaja menurutnya, pihak sekolah tempat kanak-kanak itu belajar juga takut dengan penangan kanak-kanak berkenaan. Ini kerana, beberapa kali sekolah berkenaan terbakar termasuk kereta, rumah serta harta benda penduduk tempatan apabila kanak-kanak misteri itu naik darah. Oleh kerana tidak ada pihak yang sanggup merawat kanak-kanak ajaib itu, beliau sanggup merawatnya sekadar termampu.

Tambah Bomoh Muda Azman lagi, pada awal kedatangan mereka, tidak ada peristiwa pelik yang berlaku. Tetapi, mungkin kerana lama menunggu menyebabkan kanak-kanak itu naik geram. Apabila dihalakan jari telunjuknya segala objek yang ditunjuknya pasti terbakar. Pohon kelapa yang ada di hadapan rumahnya pada masa itu turut juga terbakar dek penangan jari telunjuk kanak-kanak tersebut. Kanak-kanak itu juga mengumpul daun-daun kering dan membakarnya menggunakan jari telunjuknya.

Suasana rumahnya yang semakin riuh rendah itu pada mulanya tidak dipedulikannya kerana beliau sedang dalam proses merawat pesakit yang semakin ramai. Setelah selesai merawat, beliau tertanya-tanya tentang suasana yang berlaku di luar rumahnya itu sehingga dilihatnya orang ramai yang ada di situ bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri. Namun, setelah dilihatnya kehebatan kanak-kanak tersebut yang dapat mengeluarkan api dari jari telunjuknya secara sepontan, beliau merasakan bahaya pasti berlaku jika kanak-kanak berkenaan tidak dihalang.

Kanak-kanak tersebut dipanggil naik ke rumahnya. Mungkin kerana geram dengan arahan dan teguran daripada Bomoh Muda Azman, kanak-kanak itu naik geram lalu ditunjukkan ke arah Bomoh Muda Azman menyebabkan perutnya serta merta terasa sakit yang amat sangat.

"Saya sendiri, orang ramai yang ada di situ termasuk bapa kanak-kanak itu masing-masing berpakat untuk menangkap kanak-kanak ajaib itu, jika tidak bukan saja pohon kelapa yang terbakar, kemungkinan rumah saya sendiri akan turut hangus", ujarnya.

Katanya, seramai 14 orang menerpa ke arah kanak-kanak ajaib tersebut untuk tujuan menghalang jari telunjuknya dari membakar objek yang lain pula. Tetapi usaha mereka tidak berjaya kerana masing-masing terpelanting jatuh. Kekuatan tenaga yang ada pada kanak-kanak itu terlalu ajaib kerana tenaganya tidak sepadan dengan usianya ketika itu. Namun, akhirnya kanak-kanak tersebut dapat ditangkap juga dan jari telunjuknya dapat dibelokkan ke arah belakang untuk mengelakkan api keluar dari jarinya kembali.

"Dari pengamatan ilmu batin yang saya pelajari, kanak-kanak itu tidak ada keistimewaan kecuali tubuhnya dihuni jin yang turut mengawalnya", katanya.

Sambil kanak-kanak itu dipegang oleh orang ramai yang turut membantunya, beliau membaca beberapa potong ayat Al-Quran lalu dihembuskan menyebabkan kanak-kanak itu terus lali dan tertidur untuk tujuan mengeluarkan jin yang ada dalam tubuh kanak-kanak berkenaan. Dari komunikasi beliau dengan jin yang mengawal tubuh kanak-kanak itu menyatakan, jin itu telah lama menghuni tubuh kanak-kanak berkenaan dan memang jin tersebut sukakannya.

"Saya sendiri mengalami muntah darah apabila berjaya mengeluarkan jin dari tubuh kanak-kanak itu", ujarnya menceritakan pengalaman menariknya bertarung dengan jin yang telah menghuni tubuh kanak-kanak berkenaan sekian lama.

Menurut Bomoh Muda Azman seterusnya, asal ceritanya keluarga kanak-kanak itu memang kepinginkan anak sebab telah bertahun-tahun kahwin ternyata mereka tidak ada rezeki untuk melahirkan zuriat sendiri. Lantas mereka mendapatkan khidmat dukun ilmu hitam yang dinyatakan oleh keluarga itu dari sebuah daerah di Gua yang dianggap tidak jujur.

"Keluarga berkenaan sebenarnya telah disihir oleh dukun itu supaya membuat perjanjian dengan jin berkenaan untuk menyetubuhi isterinya", ujarnya menceritakan asal usul kanak-kanak itu adalah perbuatan dukun dan jin laknat itu.

"Berikutan perjanjian dengan jin itu masih sah, jadi kanak-kanak yang bakal lahir nanti akan dijaga sebagai haknya. Kuasa api melalui jari kanak-kanak itu kerana jin itulah", ujarnya menambah.

Sambungnya, memanglah sifat kanak-kanak misteri itu berwajah manusia dalam keadaan normal tetapi kulitnya ditumbuhi bulu. Bulu yang wujud pada kulit kanak-kanak itu adalah sama dengan jin berkenaan. Jadi, jin itu menganggap kanak-kanak itu adalah zuriatnya, sebab itulah kanak-kanak berkenaan sentiasa dikawal oleh jin yang menghuni dalam tubuh kanak-kanak malang itu.

Justeru, berwaspadalah dengan tipu daya jin dan syaitan yang ingin menyesatkan manusia dari landasan yang sebenar. Jika ingin mendapatkan rawatan, dapatkan pakar rawatan dalam bidang bersesuaian yang bersikap jujur, amanah dan bertanggungjawab dengan khidmat yang diberikan. Elakkan daripada mendapatkan ahli-ahli ilmu hitam yang bertentangan dengan akidah supaya kita tidak terus tersesat dan disesatkan. 



Bomoh Muda Azman ketika ditemui Wartawan RELATIF di pusat rawatannya.

Di sinilah pohon kelapa yang dibakar jari telunjuk kanak-kanak ajaib itu.

Arah laluan ke premis rawatannya.

Inilah kediaman bapanya sebagai premis rawatan Bomoh Muda Azman.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan