RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Sabtu, 10 Disember 2011

Misteri Disakat Lembaga Aneh


MISTERI DISAKAT LEMBAGA ANEH

KOTA BHARU, KELANTAN BERDASARKAN sejarah pendudukan Jepun di Tanah Melayu khususnya di Negeri Kelantan pada tahun 1941 dulu, terdapat sebuah penjara Jepun yang menempatkan tahanan untuk dijatuhkan hukuman pada masa yang dijadualkan. Dalam masa menunggu hukuman tersebut ramai mangsa tahanan telah didapati meninggal dalam penjara berkenaan. Walaupun peristiwa sedemikian berlaku 65 tahun lalu, namun berikutan kejadian itu menyebabkan kawasan berkenaan agak 'keras' dan kadang-kadang mengusik menurut masa-masa tertentu.

Beberapa buah bangunan khususnya sebuah hotel, bank dan gedung perniagaan yang dikatakan dibina di atas tapak penjara Jepun pada masa itu yang kini terletak di Jalan Maju dekat sini dikatakan masih mencari mangsa yang lemah semangat untuk disakat. Kejadian-kejadian yang menakutkan dan meremangkan bulu roma selepas operasi organisasi yang bermula pada tahun 1966 sehingga hari ini terutamanya menjelang malam adalah pengalaman mereka yang tidak dapat dilupakan.

Menyorot beberapa kejadian misteri di premis berkenaan pada awal tahun 1970 dulu hanya diketahui oleh segelintir kakitangan yang menyewa di premis itu sahaja. Bermulanya kisah seorang perempuan cantik aneh yang membawa bungkusan makanan dan minuman sambil menuju arah tangga kemudiannya masuk ke dalam sebuah lif lalu ghaib pernah dialami salah seorang warga emas di situ. Kejadian berkenaan tidak selesai setakat itu, kerana kejadian pada tahun 1983 sebuah pintu yang telahpun dikunci sempurna dengan tiba-tiba terbuka dengan sendirinya setiap kali menjelang malam. Salah seorang kakitangan yang sedang menggunakan mesin taip untuk menyelesaikan 'kera lebih masa' turut diusik apabila mesin taip yang digunakannya itu ditiru oleh bunyi yang sama sedangkan tiada sesiapa pun di situ kecuali dirinya sahaja.

Pada tahun 1995 pula, seorang pengawal keselamatan pula diusik dengan jelmaan seorang pegawai di premis terbabit pada pukul 3.00 pagi dari Tingkat Bawah menuju Tingkat Satu. Setibanya di tingkat satu, jelmaan lembaga perempuan itu duduk di sebuah kerusi sambil menandatangani sekeping kertas seperti 'baucer' dan ghaib sekelip mata selepas menyerahkan baucer yang ditandatanganinya kepada pengawal keselamatan terbabit juga cukup menakutkan.

Manakala salah seorang kakitangan yang sedang bekerja dalam sebuah bilik di Tingkat Lima premis itu pada tahun 1997 seringkali melihat sebiji mata merah sebesar buku lima sedang memerhatikan ke arahnya. Malah kakitangan yang sama juga turut diusik ketika sedang solat Maghrib dengan menjelmakan bayang-bayang hitam menyerupai seorang lelaki seperti manusia sedang berdiri di sebelah belakang ketika sedang solat.

Manakala pada tahun 2010, kejadian usikan dan jelmaan makhluk halus yang masih menghuni di situ turut menjadi misteri kerana selain ada yang dapat melihat jelmaan lembaga perempuan cantik di bangunan itu, tidak kurang juga yang pernah mendengar bunyi rantai kaki dihentakkan seperti seseorang sedang berjalan di tingkat dua premis yang sama pada suatu malam, diceritakan kepada individu yang mahu mendengarnya.

Terbaru pula, adalah pengalaman seorang pengawal keselamatan, Muhamad Amirul Mukminin bin Roslan, 19, yang berasal dari Kampung Kutan, Wakaf Baharu, Kelantan merupakan kejadian pertamanya semenjak beliau memulakan tugas sebagai pengawal keselamatan setahun lalu.

"Pada masa sekolah dulu, memang saya suka bercakap besar. Saya sering berkata, saya tidak takut hantu, datanglah saya tidak hairan, saya tidak akan lari. Jadi, apabila saya ingat balik kata-kata saya itu dengan kejadian hari ini, saya anggap sebagai pengajaran", katanya ketika menceritakannya kepada Wartawan RELATIF.

Menurut Amirul, semenjak beliau bertugas mengawal peralatan untuk tujuan pengubahsuaian bangunan selama 12 hari di premis itu, bermula pada hari kedua adalah pengalamannya diusik lembaga yang sering menjelma beberapa kali di situ. Kejadian pertama pada pukul 12.00 malam itu, telinganya dapat mendengar bunyi sepatu seorang perempuan sedang berjalan di bahagian atas bangunan terbabit, ketika itu beliau berada di tingkat bawah.

Bunyi hentakan sepatu tersebut menurutnya agak kuat untuk memberikan isyarat ada makhluk ghaib sedang bertapak di kawasan terbabit. Melihatkan keadaan itu, dengan menaiki sebuah lif bangunan beliau bergegas ke tempat bunyi yang didengarinya untuk membuat tinjauan. Namun, setibanya beliau di tempat berkenaan beliau dapati tidak ada sesiapa di tempat terbabit. Sebaliknya, dalam beberapa minit sahaja beliau terlihat seperti kelibat seseorang sedang melintas di hadapannya secara pantas.

Sambungnya, pada malam Jumaat 6 Mei, 2010, beliau terdengar pula suara perempuan sedang mengilai panjang bercampur sedih dari arah Tingkat Lima premis terbabit. Mendengar suara hilaian agak nyaring dan jelas yang berlaku pada pukul 12.30 malam itu, beliau bergegas ke tempat terbabit untuk melihat sendiri pemilik suara ganjil itu. Namun, apabila beliau tiba di tempat kejadian beliau tidak nampak batang tubuh pemilik bersuara aneh itu. Memanglah dalam hatinya sendiri tidak berhasrat untuk melihat makhluk itu dan harapannya agar dijauhkan akan hal tersebut.

Amirul tidak berganjak dari tempatnya berdiri sambil anak matanya melilau dan ligat memerhatikan keadaan sekeliling ketika berada di Tingkat Lima itu. Namun, dalam beberapa saat sahaja, kelihatannya bayangan makhluk halus bergerak pantas dari arah dalam bangunan walaupun di luarnya adalah pintu cermin yang ditutupi pagar besi.

"Rupa-rupanya bukan saya seorang yang lihat kelibat bayangan lembaga di Tingkat Lima itu. Salah seorang pekerja lelaki yang sedang menyiapkan kerja pada masa itu juga turut mengalami pengalaman yang sama ketika beliau ingin turun ke Tingkat Satu untuk tujuan mendapatkan air. Katanya, lembaga itu berpakaian hitam, bergerak sepantas kilat", jelas Amirul.

Tambah Amirul lagi, kejadian seterusnya yang dialami oleh beliau berlaku pada 9 Mei, 2010 (malam Isnin). Menurutnya pada malam itu, beliau berhasrat untuk ke tandas yang terletak di Tingkat Satu dengan menaiki sebuah lif dari Tingkat Bawah. Selepas menjejakkan kaki ke dalam lif, beliau segera menekan butang menuju ke Tingkat Satu. Hanya dalam beberapa saat sahaja beliau tiba di Tingkat Satu yang menempatkan tandas yang dimaksudkan.

Katanya, ketika beliau masih lagi berada dalam lif untuk keluar dari tempat itu, secara tidak diduganya baju yang dipakainya (pakaian seragam pengawal) ditarik atau seperti disentak oleh seseorang dari arah belakang, sedangkan dalam lif pada jam 8.30 malam itu hanya dia seorang sahaja. Dia buat-buat tidak tahu kerana tidak berhasrat untuk melihatnya, bulu romanya tidak perlu diceritakan lagi kerana secara tiba-tiba tubuhnya berasa seram yang amat sangat, malah untuk berpaling ke belakang walau seketika dia berasa tidak sedap hati.

Bukan itu sahaja, keadaan kipas yang dipasang di bahagian siling lif yang lazimnya berpusing dan memutarkan udara untuk tujuan menyejukkan bahagian dalam lif didapatinya agak luar biasa. Selepas bajunya disentak, kipas yang berpusing sempurna sebelumnya didapatinya berhenti secara tiba-tiba, kemudiannya berfungsi seperti sediakala seolah-olah sedang diganggu sesuatu yang tidak dapat dilihat.

"Saya yakin, usikan dalam lif pada malam itu untuk memberitahu saya tentang lembaga terbabit memang wujud sebagai penunggu bangunan. Saya tak nafikan, dia memang ada dan sedang memerhatikan saya", ujarnya.

Apabila ditanya tentang perasaannya berhubung kejadian yang dialaminya, sememangnya beliau berasa seram sejuk dan kadang-kadang bertukar panas pula kerana itulah kejadian pertama semenjak menjadi pengawal keselamatan.selama setahun itu.

Walau bagaimanapun, beliau tidak ingin memikirkan tentang kejadian berkenaan kerana menganggapkannya sebagai gurauan lembaga itu semata-mata. Paling penting adalah tugas dan tanggungjawabnya untuk memastikan setiap arahan dipatuhi dan peralatan untuk mengubahsuai yang ditempatkan di bangunan itu sentiasa di dalam keadaan selamat dan selepas ini beliau tidak lagi bertugas di bangunan yang dianggap penuh dengan kejadian misteri itu yang asalnya sebuah tapak 'penjara Jepun' pada masa dulu.     

Muhammad Amirul Mukminin bin Roslan.

Muhamad Amirul Mukminin Roslan ketika diwawancara Wartawan RELATIF.

Dulu kawasan ini dikatakan tapak penjara Jepun  yang kini terletak di Jalan Maju. 

Di sebalik cermin pagar tingkat lima inilah, Amirul terdengar suara wanita mengilai dan kelibat lembaga melintasinya dengan pantas.

Dalam lif inilah bajunya ditarik dari belakang beberapa kali.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan