RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Sabtu, 3 Disember 2011

Misteri Warga Emas Disorok


MISTERI WARGA EMAS DISOROK

PASIR MAS, KELANTAN:  BERITA tentang kanak-kanak disorok makhluk halus mungkin banyak kali kita dengar. Tetapi, jika golongan warga emas turut mengalami peristiwa sedemikian adalah sesuatu yang dianggap luar biasa. Namun begitu, percaya atau tidak kejadian pada bulan Disember 2008 apabila seorang warga emas yang hanya dikenali dengan nama Pak Lah telah disembunyikan makhluk halus ketika sedang menebang buluh dalam sebuah belukar di belakang Sek. Keb. Bunut Susu, dekat sini bukanlah cerita dongeng tetapi kejadian sebenar yang menimpa beliau.

Seorang pengusaha warung makanan, Abdul Halim Saamah, 54, atau Abang Halim berkata, Pak Lah adalah seorang tukang kebun Sek. Keb. Bunut Susu. Pak Lah masuk ke belukar tersebut atas permintaan pihak sekolah berkenaan untuk tujuan mengadakan satu majlis jamuan yang memerlukan banyak keperluan terutamanya buluh.

Jadi, untuk tidak mensia-siakan harapan guru-guru sekolah terbabit dan kebetulan pula Pak Lah memang mahir dengan keadaan hutan terus masuk ke hutan itu untuk mendapatkan bekalan buluh seperti yang diminta agar majlis yang dirancang akan berjalan lancar.

Sambil mencapai parang miliknya, beliau bergegas ke hutan berhampiran untuk melaksanakan tugas sebagaimana yang sepatutnya. Suatu kejadian aneh telah berlaku sewaktu Pak Lah sedang menebang pohon buluh itu secara tiba-tiba, selain tidak bermaya, Pak Lah tidak dapat bertutur umpama mulut dan lidahnya menjadi kelu seribu bahasa.

"Biarpun dilihat Pak Lah dalam keadaan sedar, namun beliau sebenarnya seperti sedang dipukau, tidak mampu berbuat dan berkata apa-apa. Bukan itu sahaja, beliau juga tidak dapat keluar dari kawasan pohon buluh itu. Walaupun dicuba berkali-kali, namun dia masih belum berjaya untuk keluar dari kawasan itu seolah-olah dirinya telah dirantai", cerita Abang Halim yang berasal dari Kampung Bukit, Wakaf Baharu itu kepada Wartawan RELATIF, Azmi Mohd. Salleh.

Tambah Abang Halim lagi, selang 10 minit kemudian, Pak Lah dapat membebaskan dirinya dari ikatan dan kepungan  dalam rimbunan pohon buluh itu secara tiba-tiba. Peristiwa yang menimpanya itu diceritakan kepada rakan-rakannya menyebabkan mereka bergegas ke tempat kejadian untuk melihat secara lebih dekat tempat di mana Pak Lah dirantai.

Hasil pemerhatian rakan-rakannya itu, memang tidak terdapat suatu kesan yang mencurigakan bagi menyokong dakwaan Pak Lah itu. Dalam keadaan aneh itu, penduduk kampung berkenaan memang agak hairan sebab belum pernah berlaku kejadian aneh sebelum ini di kampung itu.

Selang beberapa jam selepas kejadian itu, suatu hal pelik telah berlaku terhadap Pak Lah apabila didapati mulutnya herot sebelah. Berikutan itu, Pak Lah bagaikan tidak sempurna seperti wujudnya gangguan makhluk halus dalam tubuhnya. Lalu orang ramai yang bersimpati dengannya berusaha mendapatkan khidmat bomoh bagi memulihkan semangatnya yang hilang akibat gangguan itu.

Menurut dakwaan bomoh yang merawatnya, di kawasan pohon buluh itu merupakan tempat tinggal makhluk ghaib itu. Kehadiran Pak Lah ke tempat itu seolah-olah mengganggu ketenteraman puak dan tempat kediaman mereka.

Sementara itu, salah seorang penduduk yang ditemui, Mamat Hussein, 51, atau Pak Mat dari Kampung Tualang, Bunut Susu, dekat sini turut mengakui kejadian yang menimpa Pak Lah itu.

"Ketika Pak Lah menebang buluh itu, dengan tidak disangka-sangka Pak Lah menemui sebilah parang lain. Apabila melihat parang ganjil yang entah milik siapa, Pak Lah berhasrat untuk mengambilnya. Namun, hasrat itu dibatalkan dan ketika itulah Pak Lah jatuh dan tidak sedarkan diri secara tiba-tiba", terang Pak Mat.

Tambah Pak Mat, sebelum Pak Lah jatuh, beliau sempat membaca sepotong ayat kursi apabila kepalanya secara tiba-tiba pening, terasa mamai dan terus rebah tidak sedarkan diri.

Kehilangan Pak Lah disedari guru-guru sekolah apabila Pak Lah yang ditunggu-tunggu tidak juga pulang membawa bekalan buluh seperti yang diminta. Justeru, usaha mencari Pak Lah dilakukan dan dalam pencarian itu, beberapa orang guru telah mendapati Pak Lah sedang terbaring pengsan di hadapan pohon buluh itu.

Menurut Pak Mat, beliau masih kurang jelas kaitan berhubung dengan kejadian Pak Lah itu sama ada ia disebabkan sebotol minyak orang mati dibunuh telah dicampakkan ke pohon buluhn itu atau sebaliknya. Namun, beliau memang percaya bahawa Pak Lah sememangnya telah disorok atau disembunyikan oleh makhluk halus yang menghuni dalam rimbunan pohon buluh itu kerana makhluk berkenaan menganggap Pak Lah telah mengganggu kehidupan keluarga makhluk ghaib itu.

Justeru, tindakan membalas dendam makhluk berkenaan sebagai memberi pengajaran supaya tidak ada lagi daripada kalangan manusia yang cuba mencari pasal dan mengganggu kehidupan makhluk berkenaan.

    
Abdul Halim Saamah atau Abang Halim.

Mamat Hussein atau Pak Mat.


Abang Halim dan Pak Mat menunjukkan tempat Pak Lah disorok dan ditemui pengsan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan