RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Isnin, 12 Disember 2011

Misteri Ilmu Pengasih


MISTERI ILMU PENGASIH

KUALA TERENGGANU:  Amat salah mempelajari ilmu pengasih untuk tujuan supaya suami sentiasa sayang malah memberikan perhatian terhadap diri kita sebagai isteri. Apatah lagi jika ilmu tersebut turut melibatkan atau didalangi makhluk jin yang bertindak sebagai penunggu dan penjaga wanita yang mengamalkannya. Jika suami mengalih perhatian terhadap gadis lain, mungkin ada sesuatu yang tidak kena terhadap diri kita sendiri dan dalam hal ini perlulah wanita terbabit mengambil tahu kehendak suami dan apa yang perlu dilakukannya supaya suami terus menambat hati terhadapnya sepanjang masa bukannya mengambil langkah pendek dengan mengamalkan ilmu yang tentunya memakan diri sendiri.

Amalan ilmu pengasih bukan cerita rekaan, namun dewasa ini masih terdapat individu wanita yang masih mengamalkan ilmu seumpamanya selain susuk untuk tujuan menambat hati suami supaya suami yang dicintai tidak berpindah kepada gadis lain yang lebih cantik serta menawan hati.

Sebagaimana dakwaan Ismail Mohd. Lela, 22, atau Mat Ail yang merupakan seorang penuntut Politeknik Kok Lanas, Kota Bharu yang ditemui Penulis di rumah rakannya di Kampung Gerong, Palekbang, Kelantan berkata, tidak sewajarnya seorang muslim mengamalkan ilmu pengasih kerana boleh mendatangkan masalah kepada diri sendiri. Natijahnya pula akan dirasai sewaktu pengamalnya akan menghembuskan nafas terakhir. Ini kerana, makhluk yang bertindak sebagai penunggu pengamalnya itu akan menjadikan tuannya sebagai boneka dan dalam masa yang sama meratah tubuh pengamalnya dalam keadaan tidak disedari oleh pengamalnya sendiri dan sebab itulah pengamalnya dalam keadaan lemah serta tidak bermaya apatah lagi untuk mengakhiri kematian juga terlalu sukar.

"Cerita ini berlaku pada tahun 2006. Ada seorang isteri mengamalkan 'ilmu pengasih'. Pada mulanya hal ini diketahui melalui kaum keluarga wanita itu saja di mana ketika itu wanita itu masih muda, suaminya menjalin hubungan dengan perempuan lain. Suami wanita itu memang berhasrat untuk mendirikan rumahtangga dengan perempuan kedua sebagai isteri muda", jelas Mat Ail yang berasal dari Kampung Dusun, Bukit Tunggal, Kuala Terengganu dan kejadian berkenaan berlaku di kampungnya itu.

Katanya, setelah mengetahui niat suaminya, wanita terbabit ligat berfikir bagaimana caranya untuk menghalang suaminya itu untuk tidak meneruskan hasratnya untuk berkahwin dengan isteri nombor dua. Lantas wanita terbabit menemui seorang bomoh wanita untuk tujuan mengikat hati suaminya supaya membatalkan niatnya untuk berbuat demikian, dengan kata lain hanya sayangkan dirinya sahaja seperti dulu tetapi tidak memandang wanita lain sebagai bakal 'isteri muda'.

Menurut Mat Ail seterusnya, akhirnya suaminya dapat juga berkahwin dengan gadis pilihan hatinya sebagai isteri muda. Setelah beberapa hari berbulan madu dengan isteri muda, dengan tidak disangka-sangka suaminya berasa sesuatu yang agak pelik terhadap dirinya.

"Sebagaimana yang diceritakan oleh kaum keluarganya, isterinya yang tua itu memakai satu jenis bedak berwarna putih yang didakwa ada unsur-unsur jin (penunggu) yang diberikan oleh bomoh wanita itu yang diletakkan dalam sebuah tin dengan syarat bedak tersebut perlu dipakai setiap hari", ujar Mat Ail yang turut ditemani rakan-rakannya.

Sambung Mat Ail lagi, pada ketika itu suami wanita tersebut tidak menyedari perubahan dan tingkah laku isteri pertamanya. Namun, disebabkan bedak tersebut sering dipakai oleh isterinya pertamanya dengan tidak disangka-sangka suaminya mulai berubah sikap lantas memarahi isteri keduanya. Ada-ada saja yang tidak kena walaupun tidak pernah berlaku semenjak hari pertama beliau mendirikan rumahtangga dengan isteri mudanya itu. Pada ketika itu, seolah-olah kasih sayang yang pernah dicurahkan terhadap isteri mudanya seolah-olah sudah hilang dan tidak berguna lagi. Malah dalam masa yang sama secara tiba-tiba suaminya berbalik malah mulai memberikan kasih sayang terhadap isteri pertamanya. Disebabkan perubahan itu menyebabkan suaminya menceraikan isteri mudanya.

Setelah sekian lama hidup bersama, suaminya meninggal dunia. Ketika isteri pertama arwah masih hidup kisahnya memiliki ilmu pengasih masih belum diketahui jiran sekeliling kecuali ahli keluarganya sendiri. Namun, jika semasa hidup mungkin masyarakat tidak ambil kisah sangat tentang hal itu tetapi setelah wanita berkenaan dalam keadaan sakit tenat, amalannya itu mulai diketahui orang. Keadaan ini amat jelas apabila wujudnya jelmaan suatu makhluk penunggu wanita berkenaan cuba mengganggu bekas madunya. Sesuatu yang agak mengerikan manusia apabila nafsu makannya juga agak luar biasa tidak sebagaimana semasa wanita terbabit masih sihat.

"Bukan itu saja, apabila terdengar azan solat wanita itu akan membebel dan memarahi orang yang mengazankannya.

"Ahli keluarganya memang berusaha untuk memulihkan wanita berkenaan, namun menemui jalan buntu, keadaan wanita berkenaan seperti itu juga. Sebagai ikhtiar akhir, terpaksa salah seorang ahli keluarganya mendapatkan khidmat perawat tradisional wanita untuk memulihkan mangsa terbabit. Jadi, bomoh wanita terbabit meminta menyediakan tujuh jenis bunga, tahi besi dan pelbagai lagi ramuan yang dikehendaki oleh bomoh wanita tersebut", katanya.

Tambah Mat Ail lagi, sewaktu rawatan bermula, dengan tiba-tiba mekhluk penjaga yang menghuni dalam tubuh wanita terbabit marah dengan tindakan bomoh wanita berkenaan. Namun, dengan ilmu yang dimiliki oleh bomoh wanita terbabit akhirnya penunggu wanita itu dapat dibuang. Setelah berjaya dibuang, barulah wanita terbabit dapat menghembuskan nafas terakhirnya dengan tenang. Tetapi keadaannya agak mengejutkan apabila didapati sewaktu nafasnya berakhir, mata wanita terbabit didapati terbeliak seolah-olah sukar ditutup walaupun telah berbuat demikian.

Kata Mat Ail, inilah balasan bagi orang yang mengamalkan 'ilmu songsang' akhirnya boleh memakan diri sendiri. Beliau berharap kisah ini dijadikan pengajaran dan teladan supaya tidak dijadikan contoh untuk ditiru oleh kaum Hawa lain dalam usaha menambat hati suami kerana tanpa disedari boleh mendatangkan sesuatu yang buruk. Lihatlah ke dalam diri sendiri penyebab suami berpindah kepada wanita lain, mungkin ada sesuatu yang tidak disenangi oleh suami yang tidak disedari oleh diri kita sendiri.

Justeru katanya, dalam usaha menambah kemesraan suami isteri apabila timbul sesuatu masalah hendaklah berbincang dari hati ke hati kerana dari situ keadaan yang kusut dapat diselesaikan malahan hasil perbincangan itu sebenarnya boleh mendatangkan banyak manfaatnya dan boleh menyelamatkan bahtera rumahtangga yang dibina sekian lama bukannya dengan bantuan perkara-perkara yang meragukan seperti ilmu pengasih itu.         



Ismail Mohd. Lela atau Mat Ail ketika ditemubual Penulis di Kampung Gerong, Palekbang, Kelantan.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan