RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Ahad, 4 Disember 2011

Misteri Hutan Lipur Bukit Bakar


MISTERI HUTAN LIPUR BUKIT BAKAR

MACHANG, KELANTAN:  HUTAN LIPUR BUKIT BAKAR yang terletak 13 kilometer dari bandar Machang, Kelantan dan 63 kilometer dari pusat bandar Kota Bharu adalah sebuah lata atau sungai berjeram selain tempat perkelahan untuk keluarga mandi manda serta kawasan sesuai untuk aktiviti perkhemahan. Walaupun hutan lipur ini adalah tempat sesuai untuk menenangkan fikiran di samping dapat menyedut udaranya yang segar sambil menikmati panorama hutannya yang menarik dan mempesonakan, namun di sebalik keindahan dan hutannya yang teduh itu, Hutan Lipur Bukit Bakar sebenarnya menyimpan suatu kisah misteri yang hanya diketahui oleh penduduk tempatan sahaja.

Misalnya tragedi lemas penuh misteri sejak pembukaan hutan lipur ini pada tahun 1975 malahan kejadian yang sama berlaku pada tahun 2003, 2004 dan 2005 itu sedikit sebanyak menjadikan pengunjung seakan fobia kerana kejadian sedemikian sememangnya tidak masuk akal apabila air yang tenang lagi cetek itupun boleh menyebabkan mangsa terkapai-kapai kelemasan dan menemui maut ke dalam sebuah batu di sungai itu.

Ketika ditemui Wartawan RELATIF, seorang pengusaha gerai makanan di tebing sungai di hutan lipur itu, Mohd. Asri Mahmud, 51, mengakui malah tidak menolak bahawa hutan lipur berkenaan ada penunggunya. Ini kerana, setiap kali pengunjung yang datang untuk mandi manda dengan membuat bising dan tidak dapat mengawal diri ketika itulah kejadian lemas berlaku penuh tragis dan bermisteri.

Katanya, seingat beliau Hutan Lipur Bukit Bakar diteroka sejak tahun 1960 lagi. Waktu itu, orang yang meneroka hutan dan bukit berkenaan terdiri daripada kalangan orang yang berilmu tinggi kerana amat sukar untuk memasuki bukit dan meneroka keluasan hutan belantara tanpa memiliki semangat kental dan bukan calang-calang orang boleh melakukannya, tentunya akan melalui pelbagai halangan dan kesukaran selain terpaksa berdepan dengan binatang buas dan makhluk halus yang merupakan penghuni setia di situ jika cuba campurtangan atau mengganggu kehidupan masyarakat mereka.

Apatah lagi kepercayaan karut orang-orang tua dahulu yang menganggap, setiap tempat yang perlu diteroka perlu diberikan sajian berupa sembelihan seekor kambing misalnya untuk sebagai jamuan kepada penunggu di situ sebagai korban agar mereka tidak diganggu nanti adalah realiti sebenar pada masa dulu. Salah satu tempat yang dimaksudkan adalah di sebatang pohon terap yang agak besar di atas tebing berhampiran dengan Lubuk Ayah Man itu adalah tempat asal yang masih wujud sehingga hari ini sebagai tempat pemujaan dan jamuan di mana darah sembelihan itu disimbah ke pohon tersebut selain sebagai tempat buangan saka. Akibatnya, apabila individu berkenaan meninggal, tentunya makhluk berkenaan mula bermaharajalela dan menagih korban sebagai bayaran perjanjian itu kerana makhluk berkenaan tidak lagi memperolehi makanan yang sepatutnya. Dengan demikian, tragedi mangsa lemas yang terjadi beberapa dekad lalu adalah sebagai bayaran yang perlu ditunaikan terhadap makhluk berkenaan akibat pelanggaran perjanjian yang pernah dibuat.

Semenjak Hutan Lipur Bukit Bakar dibuka dengan rasminya pada tahun 1975, penduduk setempat turut mendakwa di sepanjang sungai berjeram itu selain terdapatnya sebuah batu yang agak besar di mana di hadapan batu itu pula dikatakan ada sebuah kolam sedalam paras dada. Di atas batu tersebut pada masa itu sememangnya telah ditanda pangkah menggunakan cat merah sebagai tanda amaran dan simbol larangan kepada pengunjung untuk tidak menghampiri atau mandi manda di kolam tersebut. Ini kerana, pada masa itu individu yang mandi di situ pastinya akan menerima natijahnya sama ada dibayangi jelmaan lembaga yang menakutkan, disakat, meraung-raung tidak keruan dan histeria. Puncanya terdapat jelmaan makhluk wanita berwajah hodoh yang sering muncul dan bertenggek di atas batu besar itu selain sering berada berhampiran kolam misteri itu kononnya kejadian seumpama itu disebabkan seorang wanita pernah mandi di situ yang akhirnya lemas dan meninggal di situ juga.

Maka hari ini sesuai dengan peredaran masa, pengubahsuaian tempat itu dilakukan dengan penuh terancang untuk menjadikannya sebuah lata dan sungai yang agak menarik dalam usaha untuk menampakkan keindahan serta keselesaannya kepada pengunjung seperti beberapa prasarana, gerai makanan dan sebagainya. Namun, tempat yang dikatakan berpuaka itu masih lagi wujud sehingga hari ini dan kerana perubahan itulah dikatakan sebagai punca utama lata di hutan lipur itu menuntut korban setiap tahun. Tragedi lemas yang meragut beberapa nyawa sebelum ini apatah lagi terdapat mangsa yang tidak dapat diselamatkan kerana di kawasan itu adalah sebuah lombong atau lubuk yang dikenali 'Lubuk Ayah Man'.

"Di kawasan itu pada masa dulu adalah sebuah lubuk dikenali 'Lubuk Ayah Man'. Apabila seseorang itu lemas, air yang mengalir laju ke dalam lombong tersebut akan menyedut mangsanya.

"Apabila lubuk itu menyedut mangsa, mangsa yang tidak dapat berpaut di mana-mana tempat akan terus disedut ke bawah batu tersebut. Akibatnya, mangsanya tidak akan dapat naik ke atas dan sudahnya akan menemui maut di dalam lubuk tersebut kerana seolah-olah ada lombong yang sedang ternganga luas di bawah batu besar itu akan menarik dan menelan mangsa ke dalamnya", terang Mohd. Asri.

Menceritakan tragedi lemas pada tahun 2003, tragedi berkenaan masih meninggalkan kesan di hatinya di mana pada tahun tersebut terdapat dua mangsa lemas terus disedut ke bawah batu itu. Akibatnya, mayat mangsa yang sepatutnya terapung du sungai itu didapati hilang entah ke mana. Setelah bertahun-tahun kejadian yang sama berlaku di situ, barulah disyakki bahawa mangsa disedut ke bawah batu itu, jika tidak ke mana mayat mangsa lemas itu ghaib?

Mengingatkan lagi peristiwa mangsa lemas beberapa tahun lalu, Mohd. Asri berkata, beliau turut menyaksikan sendiri tragedi itu tetapi tidak sempat memberikan pertolongan sebagaimana sepatutnya apabila mangsa secara pantas terus tenggelam seperti disedut oleh suatu kuasa luar biasa ke bawah batu tersebut dan jika berlaku seumpama itu tentunya mangsa tidak akan dapat berbuat apa-apa lagi.

"Saya lihat sendiri rakan-rakan mereka turut terjun untuk memberikan pertolongan supaya mangsa dapat diselamatkan. Namun, mereka tidak dapat berbuat apa-apa, sebab kejadian itu berlaku dengan pantas", ujarnya.

Tambah Mohd. Asri lagi, beberapa mangsa yang turut lemas di sungai itu adalah salah seorang pelajar berusia 18 tahun yang sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Manakala mangsa terbaru pula adalah mangsa yang juga penduduk tempatan yang sedang menunggu keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) juga menjadi mangsa yang sama.

"Dalam kejadian itu, mangsa datang bersama keluarga. Namun, kejadian itu berlaku dengan pantas. Mangsa dapat ditarik, tetapi sudah tidak bernyawa lagi", sambungnya.

Kata Mohd. Asri lagi, beberapa pelajar kadet Polis juga turut diganggu sewaktu berkhemah di seberang sungai itu. Kejadian bermula apabila satu kumpulan kadet tersebut berlakon sebagai bomoh untuk merawat pesakit yang kerasukan. Ketiga-tiga watak pelakon seperti bomoh, pembantunya dan pesakit itu pula secara tiba-tiba terus dirasuk, akibatnya mereka meminta pertolongan supaya dibawa ke hospital dengan segera. Ketiga-tiga rakannya dalam kumpulan yang sama turut memberikan pertolongan, namun mereka juga dirasuk.

Kejadian histeria juga menurut Mohd. Asri pernah berlaku di Hutan Lipur Bukit Bakar ketika aktiviti perkhemahan. Kejadian berkenaan hanya dialami sekolah menengah termasuk pelajar Politeknik namun tidak kepada sekolah agama. Ini kerana, pelajar-pelajar dari sekolah agama mengetahui adab-adab ketika memasuki hutan lipur itu dengan mengadakan pelbagai aktiviti berfaedah umpamanya majlis membaca ayat Qursi beramai-ramai dan sebagainya. Malahan apabila makhluk halus di situ sedang mengamuk terhadap mangsa yang membuat bising di siang hari, mangsa yang sedang nyenyak tidur dalam khemah kadang-kadang diangkat oleh makhluk berkenaan lalu diletakkan di bawah pokok. Malah ada yang dicampakkan ke dalam duri di luar khemah pada waktu malam hari.

Sambung Mohd. Asri lagi, beliau tidak menolak apabila sebuah papan tanda Jabatan Perhutanan yang melarang pengunjung membuat bising keterlaluan berkemungkinan untuk merujuk kepada kejadian misteri lemas seumpama itu. Dalam hal seumpama ini menurutnya, pengunjung adalah tetamu dan sebagai seorang tetamu apabila datang ke tempat orang perlulah berhemah dan bersopan. Begitulah juga dengan kawasan hutan lipur berkenaan yang sebagaimana sedia maklum adalah sebuah penempatan makhluk halus pula, jadi setiap yang masuk perlu menjaga adab-adab di dalam hutan dan bukit yang dimasuki.

Manakala seorang pengunjung setia Hutan Lipur Bukit Bakar, Wan Mohd. Roslan Wan Ismail, 30, atau dikenali sebagai Lan, tidak menolak tragedi lemas itu adalah perbuatan makhluk halus yang menghuni di sebuah rumah tumpangan di seberang sungai itu. Beliau yang berasal dari Kampung Limau Manis, Machang turut mendakwa makhluk halus akan bertindak ke atas mangsa yang membuat bising kerana bunyi sedemikian boleh mengganggu mereka sebagai penghuni asal di tempat itu.

Katanya, salah seorang pelajar perempuan dari sebuah sekolah d daerah Tumpat, Kelantan juga turut menjadi mangsa. Ini kerana menurutnya, setiap pengunjung yang ingin mandi manda di sungai itu tidak perlu risau kerana airnya agak cetek malah alirannya juga perlahan dan selamat. Namun, akibat campurtangan makhluk ghaib itu berikutan ketenangan mereka diganggu, apatah lagi akibat kecuaian mangsa yang tidak mempedulikan larangan Jabatan Perhutanan supaya tidak membuat bising sebagai penyebab kejadian seumpama itu.

"Pada saya, punca sebenar kejadian lemas itu kerana mangsa yang mandi di situ seperti tidak dapat mengawal diri dengan membuat bising sambil meraung seperti seorang yang kerasukan.

"Memanglah kalau menurut kata orang-orang tua, jika tidak dapat mengawal diri dengan menunjukkan perasaan terlalu gembira dan dalam masa yang sama lalai pula, pastinya natijah buruk akan berlaku.

"Dalam hal ini, jika ingin mengadakan aktiviti perkhemahan misalnya, pihak-pihak terlibat sepatutnya mendapatkan nasihat Ketua Kampung dan memaklumkannya kepada Imam di kampung ini terlebih dahulu untuk mengelakkan tragedi seumpama itu, sebab di sini kawasan hutan", tegasnya.

Wan Mohd. Roslan menambah, pengalaman beliau di kawasan hutan lipur itu memang sesuatu ada kebenarannya. Ini kerana, apabila hari berikutnya ada pengunjung yang akan menjadi mangsa lemas di sungai itu, akan kedengaran bayi dan kanak-kanak yang menangis agak luar biasa. Selepas tiga hari, tragedi tersebut pun berlaku.

Dalam hubungan ini menurut Wan Mohd. Roslan, bukanlah mempercayai seratus peratus kejadian maut akibat lemas di sungai berjeram itu disebabkan gangguan makhluk halus sebagai penyebabnya. Namun, wajarlah setiap pengunjung mengetahui adab-adab memasuki hutan lipur berkenaan kerana setiap adanya hutan dan bukit tentunya dihuni oleh pelbagai jenis makhluk halus yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Justeru, apabila manusia tidak dapat melihatnya, maka berhati-hatilah apabila memasuki hutan kerana selain binatang buas, makhluk halus juga sentiasa menunggu dan memerhatikan tingkah laku manusia yang bertandang ke tempat mereka.   

Mohd. Asri Mahmud.

Mohd. Asri sedang ditemubual Wartawan RELATIF di gerai makanan miliknya.

Wan Mohd. Roslan Wan Ismail, pengunjung Hutan Lipur Bukit Bakar.

Lubuk Ayah Man: airnya cetek dan tenang tetapi pernah menelan mangsa. Kelihatan tunggul kayu, tempat buang saka dan menyimbah darah binatang sembelihan yang dilakukan ketika dulu.

Lubuk Ayah Man: bahaya apabila air pasang dan laju.

Airnya tenang, tetapi hati-hati kerana bahaya pasti mengundang jika berlaku kelalaian.


Rumah penginapan kosong dan terbiar. Kini dikatakan menjadi rumah langsuir.

Mungkin di sinilah seorang peserta yang berkhemah dicampakkan ke luar khemah dan diletakkan atas duri.


Lihatlah (bulatan) merupakan gerombolan makhluk halus "orb" sedang memerhatikan siapa yang masuk ke Hutan Lipur Bukit Bakar.

Lihatlah papan tanda no. 8: Jangan Bising.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan