RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Jumaat, 9 Disember 2011

Misteri Kubur Surau Lama


MISTERI KUBUR SURAU LAMA

PALEKBANG, KELANTAN:  Membicarakan tentang kubur, ada di kalangan kita yang kecut perut mendengarnya padahal sebagai seorang msulim, patutlah sentiasa mengunjunginya untuk menginsafkan diri kerana suatu masa nanti kita akan ke situ. Namun, berbeza juga dengan sesetengah kubur yang dianggap segelintir di kalangan kita sebagai suatu tempat mengusik, apatah lagi apabila wujudnya campur tangan dari makhluk halus yang sering menjadikan pusara tempat pengkebumian mayat sebagai lokasi terbaik makhluk halus terbabit.

Dalam konteks ini, suatu kejadian yang turut dikaitkan dengan kejadian mengusik di kubur pernah berlaku di Kubur Surau Lama yang letaknya di Palekbang, Tumpat, Kelantan beberapa dekad yang lalu. Ketika ditemui Penulis, Mohamed Amirul Syafiq Mohd. Nasir, 18, atau dikenali sebagai Bob tidak menafikan hal tersebut. Ini kerana menurutnya, kejadian mengusik di kubur yang dimaksudkan memang sering berlaku di kampungnya malahan semua mangsa mengakuinya kubur tersebut dihuni makhluk halus yang dikenali 'Tok Hala'.

Menurut Amirul, kejadian misteri di Kubur Surau Lama itu diceritakan oleh neneknya. Katanya, setiap orang yang lalu lalang sama ada penduduk dari kampung itu sendiri mahupun dari kampung lain pasti disakat oleh penunggu yang sering menjelmakan dirinya di atas pagar atau di sebalik semak-samun berhampiran sebuah Makam Tok Raja di kubur tersebut.

Katanya, suatu kejadian pada tahun 1970 dulu turut menggempar dan menjadi buah mulut penduduk kampung terbabit apabila seorang warga emas (kini arwah) yang baru pulang dari menunaikan solat Isyak di sebuah surau sering melalui kawasan kubur terbabit untuk sampai ke rumah perlu melalui sebatang jalan yang masih belum diturap ketika itu. Ketika itu jam menunjukkan pukul 8.30 malam. Apabila mangsa tiba di rumah, tubuhnya berasa tidak selesa dan akibatnya mangsa mengalami demam yang melarat selama tiga hari akibat terkejut apabila basikal yang ditunggangnya itu seperti ditumpangi oleh sesuatu yang tidak kelihatan oleh pandangan matanya kerana dirasakannya agak terlalu berat sedangkan sebelum melintasi kubur tersebut basikalnya dalam keadaan ringan.

"Mulai saat itu, apabila menjelang malam arwah seakan fobia. Dia pernah beritahu tidak akan keluar malam lagi kerana bimbang diganggu makhluk halus yang sering bertenggek di atas pagar di kubur itu", jelasnya.

Sambung Amirul lagi, Tok Hala adalah gelaran yang diberikan oleh masyarakat kampung itu terhadap makhluk halus yang sering menyakat orang yang lalu lalang di waktu malam berhampiran tanah perkuburan. Kadang-kadang mangsa akan melihat makhluk itu menyembunyikan dirinya di sebalik semak-samun di tepi pagar kubur terbabit dan kadangkala bertenggek di atas pagar kubur tersebut. Jadi, walaupun orang yang melintasi kubur tersebut tidak nampak kelibat dan bayang makhluk halus terbabit, padahal Tok Hala telahpun menumpang kenderaan yang pernah melalui kawasannya. Kalaulah mangsa dapat melihat ada penumpang aneh yang berwajah hodoh menumpang kenderaan yang dibawanya, sudah tentu mangsa akan memecut kenderaannya kerana ketakutan.

Walau bagaimanapun katanya, sejak bulan Julai 2008 beliau telah dimaklumkan oleh adik-adiknya bahawa lembaga yang menjadikan perkuburan itu sebagai tempat kediaman dan modus operandi Tok Hala itu semakin menjadi-jadi kerana dikatakan makhluk ghaib terbabit sering merayau setiap waktu senja sehingga malam menjadikan kawasan perumahan sebagai sasaran. Adik-adiknya pernah terlihat bayangan dan lintasan seperti lembaga manusia melintasi halaman rumah mereka dengan pantas ketika waktu senja beberapa kali.

Tambah Amirul, pernah berlaku suatu pengalaman enam orang kaki lepak yang membina sebuah bangsal untuk aktiviti lepak mereka sambil berbual pada waktu malam berhampiran perkuburan yang dimaksudkan, kebetulan pula bangsal yang dibina itu berdekatan dengan salah sebuah rumah rakannya. Kejadian itu berlaku pada pukul 10.00 malam apabila beberapa orang pemuda kaki lepak itu terlihat sebatang tubuh kelihatannya seperti manusia sedang berdiri dalam semak dalam kawasan kubur terbabit. Kalau difikirkan, bagaimana mungkin ada manusia sanggup tinggal dalam kawasan tanah perkuburan apatah lagi pada waktu malam pula.

"Lembaga yang menjelma seperti manusia itu kelihatannnya sudah tua sambil mengenakan ketayap putih di atas kepalanya. Pakaian yang dipakainya adalah baju Melayu berwarna putih manakala kain yang dipakainya agak kurang jelas disebabkan suasana agak terlalu gelap sedang memerhatikan ke arah pemuda-pemuda lepak di situ", jelasnya.

Katanya lagi, penyebab kepada jelmaan lembaga di tanah perkuburan itu apabila salah seorang dari mereka bercakap besar dengan katanya, 'kalau tok hala datang, mereka tidak akan lari dari kawasan itu'. Lantas apabila ternampak jelmaan makhlu ghaib itu, barulah mereka bertempiaran lari meninggalkan tempat lepak mereka.

Apabila ditanya, adakah kejadian berkenaan hanya berlaku di malam hari tetapi tidak di siang hari. Beliau menjelaskan, walaupun tanah perkuburan itu sering ditakuti, namun orang ramai yang melalui jalan itu tidak pernah disakat di waktu siang hari. Sebaliknya, apabila menjelang malam sesiapa sahaja yang melalui seorang diri atau berbual-bual kosong di kawasan itu pasti diganggu dengan pelbagai jelmaan malah kejadian yang sering berlaku apabila makhluk berkenaan akan menumpang kenderaan orang yang melaluinya.

Kata Amirul, dari cakap-cakap dan desas-desus beberapa orang penduduk kampungnya mendakwa Tok Hala itu adalah dari jenis hantu raya yang dibela oleh salah seorang penduduk (kini arwah) untuk menjaga keharmonian kampung dari pelbagai kejadian kecurian dan sebagainya. Apabila tuannya telah meninggal sejak 10 tahun lalu tentunya makhluk berkenaan tidak dapat ke mana-mana, sejak itu dia dianggap oleh sebilangan penduduk kampung itu sebagai 'penunggu'.

Sejak kejadian jelmaan itu, pemuda-pemuda lepak seramai enam orang itu tidak lagi menjadikan aktiviti waktu malam untuk membuang masa. Manakala bangsal yang dibina mereka untuk tujuan itu juga telah dirobohkan. Namun, mereka sekarang hanya melepak di rumah salah seorang rakan mereka pula yang terletak berhampiran tanah perkuburan misteri itu.
 


Mohamed Amirul Syafiq Mohd. Nasir atau Bob sedang menceritakan kepada Penulis tentang misteri Kubur Surau Lama.

Inilah Kubur Surau Lama yang dikatakan mengusik akibat campur tangan makhluk halus.

Makhluk halus dikenali 'Tok Hala' sering menjelma dan bertenggek di atas pagar kubur ini.

Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan