RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Ahad, 4 Disember 2011

Misteri Pelajar Histeria


MISTERI PELAJAR HISTERIA

WAKAF BAHARU, KELANTAN KEJADIAN histeria boleh berlaku di mana-mana apatah lagi sejak kebelakangan ini mangsa utama adalah terdiri daripada pelajar sekolah. Apabila berlaku di sekolah, lazimnya mangsa yang terdiri daripada pelajar-pelajar perempuan yang lemah semangat akan menyebabkan mereka mudah diganggu kejadian yang tidak diduga itu.

Namun umumnya mengetahui, punca sebenar kejadian histeria di kebanyakan sekolah berkait rapat dengan gangguan makhluk halus yang menghuni dalam kawasan berkenaan selain akhlak dan perilaku pelajar itu sendiri yang gemar membuat bising secara keterlaluan dan tidak mempedulikan nasihat ternyata sebagai penyebab kejadian seumpama itu.

Mengulas kejadian histeria yang berlaku ke atas dua pelajar perempuan Tingkatan Satu dari Sekolah Menengah Kebangsaan Wakaf Baharu, Kelantan pada 22 Julai, 2009, Pengawal Keselamatan sekolah berkenaan, Mohd. Nor bin Mohamed, 52, atau Pak Nor tidak menolak kejadian itu ada hubungannya dengan sikap mangsa terlibat.

"Setahu Pak Nor, dua mangsa itu dalam keadaan lemah semangat selain duduk berdua-dua dengan membuat bising masing sambil membicarakan perihal makhluk ghaib, jadi mudahlah mereka tersampuk oleh makhluk halus yang kebetulan ada di kawasan itu", jelas Pak Nor yang telah bertugas di sekolah tersebut sejak 15 tahun lalu.

Katanya, walaupun pada masa kejadian beliau tidak bertugas kerana giliran malam, namun beliau mendapat berita itu daripada beberapa pelajar bahawa mangsa gangguan histeria pada hari tersebut memang dialami dua pelajar perempuan dari Tingkatan Satu. Pada hematnya, pelajar terbabit tidak memahami kedudukan sejarah sekolah terbabit terutamanya yang berhubung dengan alam dan perkara-perkara ghaib, jadi dengan membicarakannya perihal makhluk alam lain apatah lagi secara kebetulan makhluk yang dimaksudkan itu berkebetulan ada di kawasan terlibat, tentunya timbulnya rasa geram di kalangan makhluk berkenaan seolah-olah mempersenda golongan mereka. Kesempatan ini boleh jadi digunakan oleh makhluk halus itu untuk menyakat dan mengganggu mangsa supaya mereka memahami hakikat yang sepatutnya.

"Mangsa yang terkena gangguan akan memerhatikan pelajar-pelajar lain dengan pandangan agak luar biasa. Selepas itu, berlakulah gangguan dalam diri mangsa dan keadaannya tidak stabil, mereka bersedih dan menangis semahu-mahunya", jelas Pak Nor yang kemudiannya bergegas ke sekolah terlibat untuk memberikan bantuan dan pertolongan apabila mengetahui kejadian tersebut.

Menurut Pak Nor, pada peringkat awal ketika mangsa mula diganggu makhluk berkenaan sebagai punca histeria itu, beliau difahamkan salah seorang pelajar yang mengetahui keadaan cemas itu turut memberikan pertolongan sambil membaca beberapa potong ayat suci Al-Quran untuk tujuan menghindarkan gangguan pada tubuh mangsa. Namun, mangsa pulih hanya untuk seketika sahaja sehinggalah beliau bersama rakannya turut memberikan bantuan sebagaimana yang sepatutnya.

Pak Nor menambah, sebelum ini kejadian histeria pernah berlaku di sekolah berkenaan pada tahun 1982 apabila terdapat beberapa pelajar dikatakan duduk berdua-duaan yang menimbulkan syak. Keadaan ini menurutnya menjadi kebencian makhluk halus yang menjadi penghuni asal di tempat tersebut sebelum sekolah berkenaan ditubuhkan selain terdapatnya sebuah jirat Cina di hadapan sekolah terbabit.

Katanya lagi, sekolah berkenaan pada masa dulu adalah sebuah ladang getah yang agak luas, manakala penduduk tempatan pada masa itu sememangnya amat takut untuk melalui beberapa kawasan terlibat yang dianggap mengusik kerana jika ada yang lemah semangat pasti menjadi mangsa disakat beberapa golongan makhluk halus yang berkampung di kawasan sekolah berkenaan.

Kata Pak Nor lagi, satu hal yang dilakukan oleh orang-orang dulu yang terlibat secara langsung tentang kepercayaan karut kononnya untuk mengelakkan mereka sering diganggu, mereka terpaksa melakukan pemujaan terhadap makhluk tersebut. Justeru, makhluk halus yang sememangnya mengetahui kebanyakan manusia adalah lemah dan mudah diperdayakan, jadi dengan cara demikian akan memudahkan makhluk ghaib itu mengambil kesempatan dengan memberikan tekanan dan bebanan terhadap manusia.

Setelah zaman berlalu, apabila tiada lagi seorang manusia pun mempedulikan makhluk berkenaan, apatah lagi akibat kawasan terlibat telah diteroka tanpa mempedulikan kewujudan makhluk halus telah berkampung di situ akan menyebabkan makhluk tersebut cuba membalas dendam. Dengan itu, amat jelas akibat kelalaian manusia menjaga perilaku tentunya menjadi kebencian makhluk halus yang ada di antaranya penganut Islam merasa muak dengan perilaku mangsa terlibat.

"Pak Nor tak nafikan, gangguan tersebut datangnya dari diri pelajar terlibat yang meremehkan waktu solat sehingga memudahkan gangguan berkenaan. Ini kerana, amat mustahil jika pelajar terbabit sentiasa mendirikan dan menjaga solat akan terkena gangguan tersebut", katanya.

Tambahnya, kejadian histeria tersebut berlaku jam 1.00 hingga 6.00 petang. Selain pertolongan pelajar lain, beliau juga turut membantu termasuk pertolongan rakannya sendiri sebagai ikhtiar bagi meredakan keadaan gangguan tersebut sehingga selesai dengan merenjiskan sedikit air. Selepas itu, mangsa terbabit dijemput oleh keluarga masing-masing untuk pulang ke rumah. Namun, semasa kehadiran keluarga mangsa terbabit kejadian yang sama berlaku dan pulih beberapa ketika selepas itu.

Ketika ditanya oleh Penulis tentang sejarah sekolah berkenaan, Pak Nor juga tidak menolak bahawa Sekolah Menengah Kebangsaan Wakaf Baharu sebenarnya turut dihuni oleh makhluk halus sebagaimana kejadian itu yang terdiri daripada bangsa jin.

Setahunya, makhluk halus yang masih menghuni di sekolah berkenaan terdiri daripada empat golongan yang turut menjaga di beberapa tempat berdasarkan bangsa makhluk itu masing-masing. Gangguan histeria sebagaimana yang dialami oleh mangsa sebenarnya sengaja dicetuskan oleh makhluk halus dari golongan bukan Islam. Manakala di sebelah hujung sekolah berkenaan dihuni oleh makhluk bunian yang sering bermain-main di kawasan terbabit mengikut masa-masa tertentu.

Menurutnya, pengalaman beliau sendiri ketika menunaikan solat dalam sebuah surau sekolah berkenaan, beliau mendapati terdapat beratus-ratus makhluk halus yang turut sama berada dalam surat itu seolah-olah menjadikannya imam solat dan ini membuktikan sekolah berkenaan turut menjadi tumpuan makhluk berkenaan yang merupakan penghuni asal di kawasan itu. Manakala manusia pula adalah penghuni kedua telah mengganggu kehidupan mereka di hutan itu sejak pembinaan sekolah berkenaan lagi.

Dengan demikian, amat jelas baginya jika makhluk berkenaan masih wujud di situ menandakan makhluk berkenaan sayang untuk meninggalkan tempat asal mereka supaya berpindah ke tempat lain. Ini tentunya, jika berlaku perkara buruk atas sikap cuai manusia, tentunya makhluk halus itu membencinya kerana menganggap manusia telah merosakkan ketenangan dan keamanan kawasan mereka.

"Tempat-tempat yang sering menjadi tumpuan makhluk halus dalam kawasan sekolah ini seperti di surau, di bahagian belakang pejabat koperasi sekolah, kawasan sekolah baru, manakala berhampiran kantin pula terdiri dari makhluk hantu raya.

"Walaupun masih wujud makhluk halus di kawasan sekolah ini, keadaannya terkawal dan kejadian histeria pada hari itu dapat diatasi dengan sempurna", jelasnya.

Walaupun begitu, Pak Nor juga berharap supaya mana-mana pihak hendaklah menjaga perilaku masing-masing. Sebagai manusia yang tinggi budi pekertinya perlu menjaga maruah diri, termasuk keluarga dan agama Islam yang dianuti dalam usaha untuk menghindarkan gangguan histeria itu. Ini kerana, individu yang tinggi akhlaknya tidak akan melakukan perkara-perkara sumbang yang bukan sahaja ditegah agama, dikutuk malaikat tetapi tentunya tidak disenangi oleh makhluk halus dari golongan Islam.

Pak Nor memberikan contoh, sepanjang beliau berkhidmat sebagai pengawal di sekolah berkenaan sejak 15 tahun lalu di mana beliau perlu membuat kawalan siang dan malam, beliau tidak pernah mengalami sesuatu gangguan sebagaimana yang dialami oleh dua pelajar tersebut. Paling pentin baginya adalah menjaga kehormatan dan mengawal diri, kerana suara bising manusia tidak disenangi oleh makhluk lain yang ada di situ yang gemar kepada keamanan tetapi tidak dapat dilihat oleh manusia.

Justeru, tidak perlulah beliau cuba mengambil tahu aktiviti makhluk halus itu apatah lagi cuba memasang niat untuk melihat rupa paras atau bentuk fizikalnya. Beliau tidak ingin mencari pasal kerana jika tersilap langkah beliau pula akan dipersalahkan. Biarlah beliau dengan kerjanya dan makhluk halus itu dengan aktiviti golongan mereka masing-masing, begitulah sebagai makhluk beriman yang berkongsi alam dengan makhluk lain ciptaan Allah S.W.T. 


Mohd. Nor Mohamed atau Pak Nor.

Pak Nor ketika diwawancara Wartawan RELATIF di halaman sekolah terbabit.


Inilah Sekolah Menengah Kebangsaan Wakaf Baharu.

Halaman Sekolah Menengah Kebangsaan Wakaf Baharu.

Teks dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan