RELATIF: Media Mematangkan Minda . Selamat Datang . Selamat Membaca . Kepada Semua Pengunjung . Editor: Azmi Mohd. Salleh . Layari: http://azmirelatif-1.blogspot.com

Khamis, 22 Disember 2011

Misteri Pohon Sena


MISTERI POHON SENA

PASIR MAS, KELANTAN Tumbuh-tumbuhan bukan menjadi penyebab kepada kejadian puaka dan mengusik. Tetapi kerana sikap manusia yang mempercayai perkara-perkara karut dan tahyul dengan mengadakan jamuan, pemujaan serta persembahan tertentu akan diambil kesempatan oleh jin dan syaitan untuk masuk campur menyebabkan kejadian berkenaan ditakuti. Dalam usaha untuk mengelakkan dari diganggu oleh penunggu kawasan terbabit, maka jamuanlah sebagai persembahannya.

Amalan khurafat yang dimula dan diamalkan oleh masyarakat zamat dahulu tidak boleh dijadikan contoh kerana mereka takut hanya kepada makhluk semata-mata. Dalam hal ini, kisah sebatang pohon sena yang dikatakan berpenunggu dan masih kekal sehingga hari ini di Kampung Kubang Sepat dekat sini dikatakan tidak berhasil untuk ditebang malah individu yang melakukannya pasti mendapat padah. Dengan itu, syaitan dan jin yang memainkan peranan akhirnya didewakan.

Menurut salah seorang penduduk asal kampung tersebut, Che Hamidah binti Che Awang, 53, atau dikenali sebagai Kak Dah berkata, pada masa dulu kampung berkenaan masih sebuah hutan belukar dan ketika remajanya hanya sekadar empat buah rumah sahaja yang didirikan di kampung itu. Walaupun masih dipenuhi hutan belukar, kebanyakannya adalah pokok-pokok kecil dan renek sahaja kecuali sebatang pohon sena yang tumbuh subur dan membesar agak cepat berhampiran sawah padi itu.

Katanya lagi, ketika hayat bapanya (kini arwah) menyatakan pohon sena itu hidup subur bukanlah sebagai tumbuh-tumbuhan liar sebaliknya telah ditanam oleh orang-orang tua yang pernah menghuni di kawasan itu pada masa dulu dan pohon sena itu pula ditanam secara terbalik iaitu akarnya terletak di bahagian atas tanah. Sementara pohon sena itu masih kekal sehingga hari ini dan membesar dengan cepat kerana masyarakat pada masa dulu menjadikannya tempat aktiviti khurafat seperti melakukan pemujaan, jamuan pulut kuning dan pesta permainan iaitu perlawanan di antara haiwan tertentu dengan haiwan yang lain. Setiap kali diadakan pesta dan sebagainya, sebatang pohon sena itulah menjadi tumpuan masyarakat sekitar pada masa itu.

Tambah Kak Dah, di zaman beliau masih kanak-kanak, atuknya sering diarahkan oleh Bomoh Tok Che Mat (meninggal dalam usia 70 tahun) yang juga seorang pesawah untuk mengadakan jamuan termasuk mengadakan persembahan darah ayam putih kononnya untuk dijadikan sebagai jamuan kepada penunggu di pohon tersebut.

Manakala di bawah pohon sena itu pula didapati sarang anai-anai yang semakin membesar dan di sarang itulah masyarakat pada masa itu memasang panji-panji lagak zaman raja-raja dahulu. Pemasangan panji-panji berwarna merah dan hijau itu juga untuk memberitahu ada orang yang tersesat dan orang-orang yang sakit juga akan memacakkan panji-panji berkenaan. Kononnya, seseorang yang ingin melalui kawasan dan bawah pohon sena itu perlu meminta izin terlebih dahulu dan jika tidak berbuat demikian kononnya akan mendapat demam. Malahan kalau sebelum ini jamuan sering diletakkan di situ dan jika gagal untuk berbuat demikian, kononnya keturunan masyarakat di situ akan sering diganggu yang akan menyebabkan kanak-kanak sering menangis setiap malam.

Sambungnya, disebabkan sering meletakkan jamuan, menyebabkan pohon yang tidak bersalah dan tidak mempunyai sebarang kuasa akhirnya dijelmakan jin dan syaitan untuk menyesatkan manusia dari jalan lurus apabila sejak itu pohon sena berkenaan akan menjelmakan makhluk penunggu dan hal itu sering dilihat oleh segelintir penduduk asal dari kampungnya.

Ada yang menyatakan jelmaan Tok Kopiah Merah. Menurut ceritanya, ketika hayat Pakcu Mat (meninggal tahun 2007), kerapkali melalui di bawah pohon sena itu sering terdengar suara memanggil-manggil namanya berulang kali. Malahan sering terjadi, apabila orang luar menjejakkan kaki di kawasan itu sebagai jalan singkat tidak akan dapat keluar dari tempat terbabit walaupun berasa agak jauh berjalan sebaliknya hanya berpusing di kawasan yang sama beberapa kali. Kadang-kadang apabila sampai di rumah, mangsa terbabit akan mengalami demam tanpa disangka-sangka kononnya diganggu penunggu ketika melalui kawasan pohon sena itu. Sedangkan, bagi masyarakat di kampung itu tidak pernah diganggu sedemikian rupa kerana terdapat dakwaan warga emas di kampung terbabit menyatakan, penunggu di situ telah dapat mengecam keturunan yang ada di kampung berkenaan.

Tambahnya, pada tahun 1915 iaitu pada masa hayat atuknya (meninggal tahun 1994), usia atuknya pada ketika itu dalam belasan tahun. Semasa atuknya pulang dari belajar muqaddam di sebelah malam pernah melihat jelmaan lembaga sedang berayun di dahan dan ranting pohon sena itu sewaktu sedang melalui kawasan pokok berkenaan. Namun, di zaman Kak Dah pula lembaga yang sedang memerhatikan sesiapa yang datang dan melalui kawasan itu tidak pernah menjelmakan dalam rupa lembaga, sebaliknya sekadar menegurnya sahaja.

Sejak diketahui bahawa pohon sena itu dikatakan mengusik dan berpuaka, menyebabkan orang ramai mula fobia dan bimbang jika mereka pula yang akan menjadi mangsa gangguan walaupun telah ada jaminan penduduk dari kampung berkenaan tidak akan diganggu kerana makhluk tersebut mengenali setiap wajah penduduk kampung itu. Walau bagaimanapun, mereka tetap berhati-hati dan tidak lagi menjadikan kawasan pohon sena itu sebagai laluan kerana bimbang disampuk atau diganggu.

Ketika Kak Dah sedang meningkat remaja, hanya terdapat empat buah rumah sahaja berbanding sekarang yang telah meningkat dan keadaan persekitarannya didapati sudah membangun di samping banyak kawasan telah dibuka untuk dibina penempatan. Kesan dari pembukaan tanah dan banyaknya rumah dibina di kawasan berkenaan menyebabkan pesta permainan, pemujaan dan jamuan pulut kuning untuk penunggu pohon sena itu telah ditinggalkan setelah kesedaran Islam semakin meningkat dan golongan terdahulu telah kembali menghadap Illahi, makhluk yang masih mendiami di pohon sena itu tidak lagi dipedulikan.

Menurut Kak Dah, disebabkan masyarakat hari ini telah berilmu dan tidak lagi menganggap makhluk halus di pohon sena itu hebat dan berkuasa, menyebabkan tiada lagi diberikan jamuan dan sebagainya. Malahan disebabkan tiada lagi kepercayaan karut oleh masyarakat kampung itu pada hari ini menjadikan jin yang menghuni di pohon sena itu semakin geram dengan sikap dan perubahan manusia. Walaupun pada masa dulu, makhluk berkenaan sering menjelmakan dirinya untuk menunjukkan kuasa, kehebatan dan menakutkan penduduk kampung, namun hari ini hal itu tidak lagi wujud. Cuma sekali sekala sahaja makhluk berkenaan hadir dalam mimpi sesetengah dari kalangan penduduk di kampung terbabit yang terdiri daripada golongan yang lemah semangat.

Katanya, makhluk halus yang dikatakan sering hadir dalam mimpi beberapa orang penduduk terbabit berupa seekor beruang agak besar berwarna hitam. Makhluk itu dikatakan berjalan dengan dua kaki sahaja, namun apabila ditanya adakah beruang jelmaan itu berpijak ke bumi. Beliau menjelaskan tidak pasti, sebab dirinya sendiri belum pernah mengalami mimpi seumpama itu. Walau bagaimanapun, dari desas desus orang-orang tua menyatakan makhluk jelmaan haiwan itu dikatakan 'hantu raya.

Apabila makhluk berkenaan tidak lagi dipedulikan apatah lagi dengan perkembangan Islam di kampung berkenaan semakin pesat menyebabkan makhluk berkenaan seperti tersisih dan terpaksa mengalah. Hasilnya kini pohonn sena itu adalah sekadar tumbuh-tumbuhan makhluk Allah sahaja dan gangguan yang didominasi oleh makhkuk ghaib itu tidak lagi wujud.

Justeru, betapa hebatnya manusia jika manusia mempunyai kesedaran dalam diri masing-masing ternyata boleh mengalahkan makhluk yang didakwa hebat dan berkuasa, sedangkan Allah S.W.T  lagi berkuasa bukannya makhluk berdarjat rendah itu. Takutlah hanya kepada Allah semata-mata bukannya takut kepada sesama makhluk apatah lagi terhadap makhluk halus yang juga diciptakan oleh Allah S.W.T. 



Che Hamidah Che Awang atau Kak Dah ketika ditemubual Penulis.


Inilah pohon sena yang dikatakan berpuaka dan berpenunggu suatu ketika dahulu.
 
Tulisan dan Foto:
AZMI MOHD. SALLEH

Tiada ulasan:

Catat Ulasan